Prolog

Romance Series 63831

“BOLEH tak kalau abang Am tak payah pergi?” soal Aneesa dengan nada yang lirih. Bertanya soalan yang sama, malah sudah terulang entah untuk yang ke berapa kali. Mahunya Aneesa cuma satu, agar lelaki yang selalu melindunginya itu jangan pergi. Di dalam rumah besar itu, dia hanya ada Adham seorang sahaja. Hanya Adham yang selalu melayaninya dengan baik walaupun sikap asli lelaki itu terlihat kasar dan angkuh.

“Aku kena pergi. Aku kena sambung study aku. Aku janji selesai semuanya nanti, aku akan balik,” ujar Adham dengan nada yang datar. Terlihat seperti tidak kisah namun hakikatnya dia juga berat hati mahu meninggalkan Aneesa. Anak kecil itu sudah dianggap seperti adik kandungnya sendiri walaupun baru beberapa bulan sahaja mereka saling mengenali.

Aneesa merupakan seorang anak yatim piatu. Kedua-dua orang tuanya telah meninggal dunia kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika Aneesa sedang berada di sekolah. Di akhir nafasnya, arwah Zaihaidi telah mengamanahkan Aneesa kepada sahabat baiknya, iaitu Ghazi.

Titik hitam dalam hidup Aneesa bermula ketika dia dibawa tinggal bersama keluarga Ghazi. Aneesa selalu dilayan dan diarah seperti hamba oleh Kamilia dan anak perempuannya, Nadirah setiap kali ketiadaan Ghazi di rumah itu.

“Tapi kenapa abang kena pergi jauh? Kenapa abang tak sambung belajar kat sekolah Anes je?” Aneesa menangis tersedu sedan, tak segan memeluk Adham untuk menumpangkan wajah. Aneesa memang seorang anak yang manja dan penakut, kerana itu jugalah dia selalu bergantung nasib kepada Adham.

Tidak membalas pelukan Aneesa, Adham bercurian mengulum senyum. Polos benar anak kecil itu. Bagaimana dia yang sudah berumur 17 tahun mahu menyambung pelajaran di sebuah sekolah rendah?

“Sekolah kau tu untuk budak-budak kecik macam kau, Aneesa. Aku ni dah besar, tua tujuh tahun daripada kau. Dah, kau jangan menangis. Aku janji aku akan balik.” Adham tertawa kecil sambil mengusap dahi Aneesa dengan lembut.

“Janji?”

“Janji.”

“Anes sayangkan abang.”

Adham hanya mengangguk. Tidak kisah langsung dengan apa yang dikatakan anak kecil itu sebentar tadi. Apalah sangat maksud sayang buat seorang budak yang baru berumur 10 tahun itu?

“Dah ke, Am? Papa dah lambat ni.” Laungan Ghazi mematikan semuanya. Bersama keluhan berat, Adham terus menolak perlahan tubuh Aneesa dari dalam dakapannya.

“Aku kena pergi sekarang. Kau jaga diri kau.”

“Abang janji akan balik ya? Anes akan tunggu abang. Kalau Anes dah besar nanti, Anes nak kahwin dengan abang. Abang baik.” Aneesa meluah lagi sebelum menghulurkan sekeping kertas yang sudah terhias dengan hasil lukisannya kepada Adham. “Ni gambar abang dengan Anes. Abang simpan, abang jangan buang. Anes janji, Anes akan tunggu abang sebab Anes cuma nak kahwin dengan abang je.”

Adham bungkam. Sebelum ini, dia selalu sahaja meremeh dan mengabaikan perkataan kahwin atau sayang yang sering Aneesa luahkan kepadanya tetapi mengapa kali ini hatinya benar-benar terasa lain? Tak sedar, setitis air matanya langsung jatuh ke pipi. “Aku janji akan balik.” Untuk ke sekian kalinya, Adham tersenyum biar hanya senyuman yang hambar. Kepala Aneesa diusap kasar, setelah itu dia terus melangkah masuk ke dalam kereta.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience