PAGI itu, dengan berbekalkan semangat yang tinggi dan hati yang gembira, Datin Jenny sudah awal-awal tiba di hadapan ofis Eirfan. Dia ingin ketemu sendiri dengan Natrah dan bercakap dengannya.
Pertemuan mereka dulu berakhir dengan tidak baik dan penuh dendam. Dia ingin meminta maaf pada Natrah dan mengajaknya berdamai.
Deringan telefon bimbitnya berdering. Nama Eirfan tertera di skrin telefon.
"Mummy, where are you?"
"Mummy kat ofis Fan ni"
"Haaa?!" Eirfan kerling jam di dinding. Masih jam 7.08 pagi.
"Awalnya mummy ke ofis? Do you need something? Fan boleh belikan"
"Tak tak!" Laju Datin Jenny mencelah. "Mummy nak jumpa Natrah"
"Haaa?!" Sekali lagi Eirfan tersentak. Baru saja dia hendak bersuara, Datin Jenny sudah letak telefon.
"Mummy mana?"
Datuk Elias menyoal.
"Kat ofis dah"
"Awalnya!"
Eirfan mengeluh. "Dia nak jumpa Natrah"
Bicara itu menjemput senyuman di wajah tua itu. Dia mengajak Eirfan untuk duduk bersamanya di meja makan. Sarapan pagi juga sudah tersedia di situ. Tuan Kassim turut berada di situ dengan senyuman di wajahnya.
"Pagi tadi aku tengok Jen tu dah awal-awal turun. Macam takde hari esok dah" gurau Tuan Kassim. Hatinya senang melihat perubahan keluarganya itu.
Ternyata kepermegian Ehsan membawa seribu rahmat ke dalam keluarganya. Datuk Elias sudah tidak mahu ikut campur akan urusan perniagaan lagi. Dia kini lebih kerap ke masjid dan melibatkan diri dengan aktiviti amal.
Menantunya, Datin Jenny juga sama. Peranan dan tanggungjawab sebagai isteri, menantu dan juga ibu kini menjadi fokus utamanya. Dia tak lagi menyibukkan diri dengan aktiviti yang sia-sia. Sebahagian besar dari kekayaannya disedekahkan kepada golongan yang memerlukan, dengan niat dipahalakan kepada arwah Ehsan.
Ya Allah! Sungguh hambaMu ini bersyukur dengan nikmat kurniaanMu!!
"Semalam sebelum tidur, seronok dia bercerita pasal cucu kami. Dia tak sabar nak jumpa Natrah dan Erman. Saya yang dengar ni pun ikut sebak. Nampak sangat dia rindukan arwah. Sebab tak habis-habis dia cakap muka Erman tu macam arwah masa kecik dulu"
Ada sebak dalam intonasi suara Datuk Elias. Masih terbayang-bayang akan wajah ceria isterinya ketika bercerita semalam. Tak dapat dia bayangkan kalau-kalau Natrah atau Erman yang menolaknya.
Eirfan menyimpul senyum. Wajah Erman ketika usia kecil memang salin tak tumpah seperti wajah Erman.
"Macam mana kamu boleh jumpa Natrah semula?" tanya Tuan Kassim.
"Dia sekarang kerja kat tempat Fan. Dulu Fan jumpa dia kat majlis akikah anak Ilham"
"Maksudnya?" Datuk Elias tidak mengerti.
"Isteri Ilham, Hasma tu kawan baik Natrah. Dan Hasma pulak tak tahu yang Fan dengan Ilham ni sepupu. Sebab Fan tak datang majlis kawen dorang dulu. Majlis akikah Aira dulu pun Fan tak datang. Baru-baru ni je Fan pergi. Kat situlah Fan jumpa dia"
"Laa keciknya dunia ni! Tak sangka jumpa kat situ pulak ye?" ujar Tuan Kassim dengan senyuman di wajah.
"Bukan dunia ni je yang kecik ayah, tapi jodoh dorang ni memang kuat" usik Datuk Elias pula. Tak sabar nak menerima ahli baru dalam keluarga. Jika dulu dia melayan Natrah dengan buruk, kali ini dia akan menerima gadis itu dengan tangan dan hati yang terbuka.
Apa saja yang menjadi kebahagiaan Eirfan ,pasti akan dia turuti. Sokongan dan doanya sentiasa buat anaknya itu.
"Tu payah sikitlah daddy!" adu Eirfan.
Tuan Kassim yang baru selesai mencicip kopi O panasnya segera menoleh.
"Haii kenapa pulak?"
"Entahlah tok! Dia dah lain sangat sejak kita orang berpisah dulu. Macam bukan Natrah yang Fan kenal" Eirfan mengeluh berat. Kalau Natrah yang dulu degil dan ego, Natrah yang kini pula berganda-ganda degilnya!
"Anggap je itu ujian untuk kamu. Kalau nak sangat dia, tunjuklah sikit usaha tu. Kalau tak usaha, mana nak datang hasilnya?" ujar Tuan Kassim, berbaur nasihat.
"Betul kata atok tu. Kita ni lelaki, tak payah nak tunjuk lemah. Kalau lemah sekalipun, kena jugak pura-pura kuat. Nanti belakang hari kita nangis puas-puas" Datuk Elias menokok pula.
"Yelah atok, daddy. Fan tahu apa yang Fan kena buat. Tapi Fan nak mintak izin boleh?"
"Izin apanya?" Tuan Kassim menanya.
"Fan ingat nak pindah rumahlah tok!"
"Dah beli rumah ke?" soal Datuk Elias pula. Dia bukannya apa, dia lagi senang jikalau Eirfan selalu ada di hadapan mata. Rumah sebesar itu tampak sunyi jika anaknya tiada. Entahlah, jiwanya kosong!
"Dah.Tu masih dalam proses lagi. Tapi yang satu ni Fan ingat nak sewa"
"Laa apa pulak nak sewa? Beli jelah! Kalau tak cukup duit, nanti daddy tolong top-upkan"
Eirfan meneguk liur. Duit bukanlah masalahnya. Dia punya tujuan lain sebenarnya.
"Ehh tak payah dy!"
"Kenapa pulak tak payah? Betullah cakap daddy kamu tu.."
"Tak..macam ni..Fan sewa rumah tu sebab dekat dengan tempat kerja..Tak payahlah Fan nak hadap jem je"
"Betul ke ni?" Datuk Elias mulai mencurigai niat Eirfan. "Sebelum ni tak pernah pun merungut pasal jem. Ke kamu tak nak dah duduk dengan kami?"
Nada suara Datuk Elias berbaur rajuk. Dia sudah hilang Ehsan. Kini dia tak mahu kehilangan Eirfan lagi. Mereka sudah berdamai dan dia ingin meneruskan kehidupan di saki-baki umur yang masih ada.
"Daddy, apa cakap macam ni?" Eirfan bertutur lembut. "Fan tak pernah pun fikir macam tu. Fan sayangkan keluarga ni. Keluarga ni je yang Fan ada. Fan cuma rasa Fan nak keluar sekejap je dari rumah ni. Takde niat apa-apa! Sumpah"
Datuk Elias mencuit lengan Eirfan.
"Main sumpah-sumpah! Karang makan diri sumpah tu, baru tahu!"
Eirfan memeluk Datuk Elias dengan erat. Rajuk daddy sudah reda!
"Fan janji Fan akan balik tiap-tiap minggu"
"Janji?"
"Ye janji!"
"Okay, you got my approval! Tapi kalau mummy tahu..."
"Tu daddy tak payah risau. Tahulah Fan nak buat apa"
"NATRAH kan?"
Seorang wanita tua menegurnya dari arah belakang. Natrah mengerut dahi. Dia ingat-ingat lupa akan wajah tersebut.
Wanita itu sangat cantik. Berkulit putih, barangkali memiliki darah kacukan. Kedutan di wajah pun kurang kelihatan.
Tudung yang dikenakan di kepala pun menunjukkan betapa mudanya wanita tersebut.
"Maaf ye? Saya tak kenal" tukas Natrah dengan senyuman.
"Natrah, ni mummy. Datin Jenny"
Mendengar nama tersebut, riak pada wajah Natrah segera berubah. Dia ingat siapa Datin Jenny. Dia ingat betapa angkuh dan sombongnya riak itu suatu masa dulu. Namun kini wajah itu tampak suram dan tenang. Apa yang sudah berlaku?
"Weii Ara! Siapa tu? Kenapa dia bahasakan diri dia mummy?" bisik Fatin ke telinga Natrah. Setahu dia, Natrah anak yatim piatu. Macam mana pula boleh muncul seorang wanita membahasakan dirinya 'mummy' kepada Natrah?
Ada apa-apa yang dia belum tahu ke?
"Fatin, kau naik dulu. Nanti aku menyusul"
"Sure ni?"
Melihat Natrah mengangguk, Fatin terpaksa akur. Dia berlalu meninggalkan Natrah dan wanita itu di situ.
"Kita cakap kat sana Datin"
Natrah menunjuk ke arah satu tempat terpencil. Tempat tersorok daripada perhatian umum. Dia tak mahu kalau satu ofis tahu hubungan mereka sebelum ini.
"MUMMY selalu cari Natrah"
Ayat itu dibiarkan sepi tanpa bicara. Sangatlah sukar untuk dia mempercayai segala yang telah didengarinya.
Barusan, Datin Jenny menceritakan segala yang telah berlaku dalam tempoh enam tahun itu. Betapa dia menyesali segala yang telah berlaku.
Pantas saja Datin Jenny berubah sedrastik itu. Cahaya keinsafan telah menular ke dalam dirinya. Baguslah! Kini Eirfan telah mendapat apa yang dia inginkan. Sebuah keluarga yang menyayangi dan menerima dirinya.
"Natrah dah berubah sekarang. Nampak lagi cantik pakai tudung. Mummy suka"
Jari-jemari Natrah digenggam erat. Wajah comel itu dipandang. Wajarlah arwah Ehsan dan Eirfan jatuh cinta pada Natrah. Tidak dinafikan, Natrah memang cantik dan ada auranya sendiri. Kenapalah dia bisa sekejam itu pada Natrah dahulu? Menuduhnya yang bukan-bukan!
Natrah berdebar tatkala diperlakukan sebegitu. Dia jadi rindu pada sosok seorang ibu yang telah lama meninggalkannya.
"Mummy tahu, Ara belum mampu nak maafkan mummy"
Disapa dengan nama Ara, hatinya jadi sebak apatah lagi nada suara itu lirih dan sedih saja.
"Mummy banyak buat dosa dan silap pada Ara dulu. Bahkan jugak pada Eirfan. Mummy tuduh dan fitnah Ara bukan-bukan. Mummy tak nampak salah tu ada pada anak mummy sendiri. Mummy tutup mata. Tapi bila Allah ambik harta paling berharga dalam hidup mummy, baru mummy sedar betapa kerdilnya mummy. Mummy mula rasa kehilangan"
Setitik demi setitik air matanya jatuh berlinangan. Dia insaf akan kekhilafan diri. Usia yang ada akan dimanfaatkan dengan sebaik mungkin. Jadi, dia turunkan ego untuk meminta maaf pada Natrah kerana dia yang bersalah. Salah mendidik anak dan salah menilai orang!
Melihat Datin Jenny yang hampir hanyut dengan kesedihan, Natrah merangkul tubuh itu dalam dakapannya. Dia turut menangis kerana mulai sedar akan keegoannya suatu ketika dulu.
"Maafkan mummy. Maafkan mummy! Ampunkan mummy" Datin Jenny melirih dalam tangisan.
Usai melepas pelukan, Natrah mengangguk kepala tanpa sepatah kata. Dia sudah lama memaafkan Ehsan dan keluarganya. Dia tak mahu menyimpan dendam lagi. Hatinya sendiri yang tersiksa.
"Ara maafkan mummy?"
"Ya saya maafkan Datin..."
"Mummy. Jangan panggil Datin" celah Datin Jenny.
Natrah serba-salah. Dia bukan menantu Datin Jenny. Jadi dia tak layak dengan panggilan tersebut.
"Panggil mummy ye? Walaupun Ara bukan menantu mummy, tapi mummy dah anggap Ara macam anak sendiri. Mummy takde anak perempuan"
Namun jauh di sudut hatinya, dia tetap berharap jodoh Eirfan dan Natrah kuat.
"Ye mummy" sahut Natrah.
"Macam tu laa.." Datin Jenny mengesat air matanya.
"Mummy lupa pulak" Datin Jenny keluarkan sesuatu dari dalam beg tangannya. Sebuah kotak segi empat berwarna merah baldu diberikan kepasa Natrah.
"Ni untuk Ara"
"Apa ni mummy?" tanya Natrah walaupun dia dapat mengagak isi di dalamnya.
"Bukaklah" gesa Datin Jenny.
Natrah akur. Dia tercengang melihat isinya. Matanya terkebil-kebil lantas pandangan dialihkan semula ke arah Datin Jenny.
"Ni..ni mahal sangat"
"But this is for you!"
Gelang emas bercorak hati dan berukiran nama Natrah itu tampak berkilau saja. Diambil lantas dipakaikan ke tangan Natrah.
"Mummy, tapi ni..."
"No buts! Mummy beli ni khas untuk Ara. Kalau Ara tolak, mummy akan kecik hati"
Natrah diam. Lama dia merenung gelang emas tersebut. Dulu dia juga pernah memiliki gelang emas namun terpaksa digadai untuk kelangsungan hidup. Kini dia diberikan kesempatan untuk memiliki gelang tersebut, yang jauh lagi cantik dan mahal dari punyanya dulu.
"Mummy tahu, Ara dah takde mak ayah. Tapi Ara kena ingat, mummy dan daddy akan sentiasa jadi ibubapa Ara. Jadi Ara jangan segan dengan kami"
Terharu dengan keikhlasan itu, Natrah mendakap Datin Jenny. Kali ini, ianya gugur bersama air mata bahagia.
Kelakuan mereka berdua tanpa sedar dilihat oleh Eirfan dari jauh. Hatinya senang melihat penerimaan Natrah. Dia berharap agar Natrah juga sudi menerimanya kembali.
"Terima kasih Ya Allah!"
Share this novel