PAGI Isnin, aras tertinggi di Menara Al-Wakeel Holdings dipenuhi bunyi derapan kasut kulit. Suasananya penuh kesibukan.
Tengku Hayder, CEO muda di syarikat gergasi itu melangkah keluar dari ruang bilik konferensi selepas selesai mempengerusikan satu mesyuarat.
Sut yang tersarung di tubuhnya kemas. Jam tangan mewah melingkari di pergelangan tangan kiri. Wajahnya tampan tetapi serius. Jarang atau setepatnya sukar untuk melihat dia tersenyum. Senyuman yang cukup mahal! Seperti ada ketulan emas di dalam mulut bak kata para pekerja bawahan.
“Tengku, jadual Tengku hari ini penuh. 11 pagi nanti ada mesyuarat dengan pelabur dari Jepun. Tengah hari lunch bersama klien yang Tengku jumpa di Singapura bulan lepas. Petang pula lawatan tapak di Cyberjaya. Malam dinner bersama Tan Sri Zainal dari Maju Corporation Berhad.”
Pembantu khas Tengku Hayder, Farid memaklumkan detil di dalam jadual kerja untuk hari ini. Memang penuh dari pagi hingga ke malam. Dia perlu memastikan pergerakan bos besar itu sentiasa teratur dan berjalan lancar. Jika salah sikit dia adalah orang pertama yang akan dihambur kemarahan.
Tengku Hayder hanya mengangguk. Dia memang seorang yang ‘perfectionist’ dan menepati masa. Setiap minit dan waktu dalam kehidupan hariannya amat berharga. Tak peduli apa orang lain nak cakap atau kritik mengenai dirinya.
Namun, ada satu hal yang merosakkan 'mood' Tengku Hayder sejak minggu lepas. Pemandu peribadi lamanya berhenti secara tiba-tiba. Sedangkan baru sahaja satu minggu bekerja.
Entah. Mungkin kerana tidak tahan diherdik dan terpaksa ‘makan’ jerkahannya hampir setiap hari membuatkan lelaki pemandu itu berhenti 24 jam.
Mana dia tak marah. Lembab dan seringkali tersilap arah jalan. Hingga dia beberapa kali terlambat hadir ke mesyuarat atau temujanji bersama klien penting.
Dan disebabkan 'mood' yang rosak itu jugalah menyebabkan dia naik angin macam puting beliung dan angin taufan sewaktu berada di sebuah restoran tempoh hari. Baru nak 'healing' si waitress itu tumpahkan kopi di kemeja berjenama terkenal miliknya. Hadaplah maki hamun yang keluar dari mulutnya!
Hmm wajah perempuan kasar dan biadap tempoh hari masih jelas di ingatan Tengku Hayder. Satu-satunya perempuan yang berani mencabar dan melawan kata-katanya.
Rahang Tengku Hayder bergetap. Cukup! Dia tak mahu ingat lagi tentang pertemuan dengan si waitress biadap itu. Bayangan wajah perempuan berkenaan dengan segera dilenyapkan dari fikirannya.
Tengku Hayder yang berjalan di depan kemudian menoleh ke arah Farid untuk bertanya sesuatu.
“Pemandu baru dah dapat?”
Farid sempat menelan liur mendengar suara serius bosnya. Nada itu bermaksud jawapannya harus ‘perfect’ dan 'ready'.
“Ya, Tengku. HR dah lantik pemandu baru. Katanya boleh mula hari ni. Tengku boleh bertemu dengan pemandu baru sekejap lagi.”
“Good,” ucap Tengku Hayder datar.
"Err menurut HR pemandu baru ni masih muda. Tak banyak sangat pengalaman. Tapi, dia seorang yang komited dan rajin bekerja. Memang sesuai menjadi pemandu peribadi Tengku."
Farid menambah poin penting. Berharap bosnya akan berpuas hati kali ini.
Tengku Hayder mendengus seketika. "Aku tak peduli siapa, asalkan pemandu baru ni tak lembab macam pemandu lama. Aku tak suka lewat seminit pun!”
Farid mengangguk laju. “Insya-Allah pemandu baru ni bagus dan boleh bekerja dengan baik, Tengku.”
Sedangkan di dalam hati, Farid sendiri tidak yakin calon baru itu mampu bertahan lama atau tidak. Tengku Hayder bukan bos yang biasa-biasa. Cerewet, cepat marah, dan ‘standard’nya tinggi melangit.
“Kereta dah siap?” soal Tengku Hayder lagi.
“Dah, Tengku. Pemandu baru Tengku dah standby di bawah.”
Tengku Hayder menghela nafas.
"Okey. Kita tengok sejauh mana ‘pemandu baru’ tu boleh tahan kerja dengan aku. Kalau tak kau carilah pengganti lain sampai aku jumpa driver yang boleh serasi dengan aku.”
Tengku Hayder menutur arahan sambil melangkah masuk ke dalam lif dengan wajah angkuhnya. Tak sabar nak berjumpa dengan si pemandu yang baru dilantik itu. Tanpa dia tahu siapakah sebenarnya gerangan orang yang dimaksudkan.
Apakah reaksi Tengku Hayder saat melihat wajah pemandu barunya sekejap lagi?
Share this novel