BALQIS terkejut ketika melihat Ayla menendang pintu biliknya dengan kuat. Cepat-cepat Balqis mematikan panggilan telefon Fahmi supaya tidak ketahuan adiknya itu.
“A…adik…” Balqis tergagap.
“Jangan panggil aku adik! Kau tak layak jadi kakak aku!” Kemarahan Ayla sudah sampai kemuncak. “Mulai sekarang aku takkan anggap kau sebagai kakak aku lagi.”
Sejak Ayla bangun dalam bilik hotel tempoh hari, setiap masa dia menyalahkan dirinya sendiri. Ayla menganggap dirinya terlalu cuai dan tidak pandai jaga diri sehingga meragut kesuciannya tetapi hakikat sebenar, dia diperangkap oleh kakak kandungnya sendiri.
“Ayla kenapa ni? Asal tiba-tiba nak marah akak?” Balqis yang mula gugup cuba mengawal ekspresi wajahnya. Dalam panik, dia masih tidak mahu mengakui kesalahannya.
“Kau tak payah nak berlakon depan aku lagi la! Aku dah dengar semuanya. Kau yang perangkap aku tidur dengan jantan lain kan? Kau memang nak buat aku malu sampai mak dan abah benci aku. Sejak bila kau benci aku, Balqis? Kau memang jahat!”
“Ya, memang aku yang buat semua tu.” Akhirnya Balqis mengaku. Kenapa dia perlu takut dengan Ayla? “Aku tak nak kau kahwin dengan Fahmi sebab aku cintakan dia. Bekas tunang kau tu memang patut dari awal jadi milik aku. Dan aku benci bila mak dan abah selalu rasa bangga dengan kau macam kau seorang je anak dorang. Lagi-lagi bila kau yang bertunang dengan lelaki dari keluarga kaya macam Fahmi.”
Tubuh Ayla rebah di atas lantai. Dia rasa sangat sakit mendengar semua itu dari mulut kakaknya sendiri. “Sampai hati, kau! Sanggup kau khianat adik kau sendiri sebab seorang lelaki?”
Jadi Balqis sudah lama simpan perasaan pada Fahmi. Patutlah setiap kali Fahmi datang ke rumah untuk bertemu dengan Ayla, mesti Balqis ambil kesempatan berbual dengan Fahmi. Siap berpakaian cantik dan mencolok mata lagi. Rupanya sudah lama ada niat tidak baik.
“Aku nak kau menderita. Biar mak dan abah benci kau pula dan sayangkan aku seorang je,” ujar Balqis jujur. “Aku kakak tapi kenapa kau je yang mak dan abah pandang?”
“Balqis!” Jeritan Ayla sungguh kuat dan bergema di dalam rumah yang sunyi.
“Aku adik kau! Tapi aku yang banyak tolong support kewangan kau selama ni. Ni balasan kau? Sampai hati kau!”
Jadi selama ini sikap baik Balqis kepada Ayla cuma palsu? Mereka adik-beradik kandung tapi kenapa Balqis sanggup khianat adik sendiri?
“Kau manusia tak guna! Lebih baik aku tak ada kakak macam kau. Kurang ajar! Pergi mampus kau!”
Anum dan Borhan yang sedang berada dalam bilik mereka tergopoh-gopoh berlari ke bilik Balqis setelah mendengar jeritan Ayla.
“Ayla! Kamu nak buat apa kat kakak kau hah? Kamu nak cederakan dia?” Borhan berusaha melepaskan tangan Ayla yang terus menarik rambut Balqis dengan kuat sehingga anak sulungnya menjerit kesakitan.
“Abah tolong, sakit…” rintih Balqis yang mengerang kesakitan kerana dibelasah oleh Ayla.
“Dia jahat, abah! Dia yang perangkap Ayla tidur dengan lelaki lain.”
“Abah, Ayla tipu. Dia yang tiba-tiba masuk bilik akak. Lepas tu marah-marah. Akak takut, bah.” Balqis menangis teresak-esak membuatkan Borhan memandang Ayla dengan tajam.
“Kamu dah gila ke, Ayla? Balqis kan kakak kamu? Kamu bukan tak hormat dia tapi kau boleh pula nak belasah kakak kau yang tak bersalah ni?”
“Dia yang dah buat jahat kat Ayla, bah. Tolong la percayakan Ayla. Dia dah perangkap Ayla.”
“Cukup!” tempik Anum. “Kamu yang dah buat mak dan abah malu, Ayla. Sekarang kamu nak tuduh orang lain pula? Kakak kamu sendiri? Pergi balik bilik kamu kalau tak, kamu keluar dari rumah ni kalau asyik nak buat masalah. Jangan nak jadi gila!”
“Ayla takkan jadi gila kalau bukan sebab perempuan ni!” jerit Ayla yang berang kerana orang tuanya lebih percayakan Balqis. “Dia curang dengan Fahmi!”
“Kamu jangan nak buat cerita, Ayla. Selama ni kakak kamu layan kamu dengan baik. Sekarang masuk bilik kamu.” Borhan terus menyeret Ayla ke biliknya lalu menguncinya di luar seperti tadi.
Ayla bersandar di balik pintu sambil menangisi nasibnya. Bukan orang lain memusnahkan hidupnya tapi kakak sendiri. Selama ini dia sangat menghormati Balqis sebagai kakak tapi rupanya wanita itu menyimpan rasa iri hati terhadapnya.
Ayla cari telefon pintar pejabatnya. Dia cuba hubungi Fahmi dengan nombor telefon pejabatnya yang lelaki itu tidak tahu.
Fahmi terus menjawab panggilannya.
“Kau memang bangsat!” Maki Ayla bila dengar suara Fahmi. “Jadi kau berpakat dengan Balqis? Kurang ajar!”
Kali ini tiada kata-kata mesra atau pujuk rayu kerana Ayla mahu melampiaskan segala amarahnya.
Fahmi yang boleh agak Ayla sudah tahu perkara sebenar hanya ketawa sahaja. “Sorry, Ayla. I tak sangka I boleh terjatuh cinta dengan kakak you. Maybe dia lagi seksi dari you.”
Kata-kata Fahmi telah hancurkan cinta yang masih berbaki di hati Ayla. “Kau ingat korang boleh berbahagia atas pendirian orang lain? Aku akan balas dendam kat korang. Aku akan balas semuanya!”
Rasa jijik telah menguasai dalam hati Ayla. Dia benci lelaki tak guna seperti Fahmi!
“Oh, by the way mak dan abah you takkan rasa malu sebab kenduri hujung minggu ni akan jadi majlis pertunangan I dengan Balqis. You jangan terjun bangunan pula lepas tahu I dan Balqis akan menikah.”
HUJUNG minggu telah tiba dan sepanjang tempoh itu hidup Ayla telah bertukar 360 darjah gara-gara perbuatan jahat Balqis terhadapnya.
Ayla panik apabila mukanya disimbah dengan air. Anum menatap tajam Ayla dengan kedua-dua tangannya di pinggang.
“Dah la memalukan keluarga lepas tu pemalas pulak tu! Bangun sekarang!”
Ayla menatap Anum dengan wajah tidak percaya. Dulu Anum sangat menyayanginya dan selalu berkata dengan lembut tapi sekarang?
“Mak, maafkan la Ayla…”
“Maafkan? Kamu ingat senang mak nak maafkan apa yang kamu dah buat ha? Kamu dah malukan mak!”
“Itu bukan salah Ayla, mak! Berapa kali Ayla dah cakap yang Balqis perangkap Ayla kat birthday party tu.” Ayla terus berkeras pertahankan dirinya tapi Anum dan Borhan langsung tidak percaya.
Balqis dengan segala tipu muslihatnya berhasil membuatkan Anum dan Borhan membenci Ayla.
“Kamu ni memang tak habis-habis nak salahkan kakak kamu! Dah, jangan buang masa mak. Pergi mandi sekarang! Pergi beli semua barang ni.” Anum campak sehelai kertas yang tertulis semua barang keperluan yang harus dibeli.
“Asal banyak sangat ni? Bukan barang dapur masih ada lagi ke?” tanya Ayla.
“Petang karang ada orang nak datang ke rumah. Kamu beli semua apa yang mak nak tu pakai duit kamu. Duit mak dah kering gara-gara majlis kamu tak jadi.”
“Mak… Ayla dah kena pecat. Ayla pun kena berjimat. Guna jelah barang yang ada untuk masak nak jamu orang datang karang,” ujar Ayla dengan takut.
Setelah kecoh majlis pernikahan Ayla tidak jadi kerana dikatakan curang, dia diberhentikan kerja serta merta akibat desakan isteri majikannya. Ayla sebelum ini bekerja sebagai setiausaha di sebuah syarikat milik usahawan persendirian di pekan Setiawan. Sebelum ini isteri majikannya memang sudah cemburu dengan Ayla yang lebih muda dan cantik. Bila wanita itu dapat tahu Ayla dikatakan curang dan menggoda lelaki lain walau sudah bertunang terus dia menyuruh suaminya memecat Ayla.
“Apa? Kena pecat? Kenapa malang sangat nasib kamu ni, Ayla? Bila masa kamu kena pecat?” pekik Anum yang tak boleh terima kerana selama ini Ayla yang menanggung makan minum dan semua keperluan di rumah ini.
Ayla hanya diam. Baru sekarang Ayla sedar yang selama ini dia disayangi kerana dia selalu memenuhi keperluan orang tuanya.
“Mak tak peduli semua tu. Kamu kena pergi beli juga. Kalau kamu tak ada duit, kamu yang kena berhutang kat kedai Suri tu.” Anum tetap memaksa Ayla juga sebelum dia menghempas pintu bilik Ayla dengan kuat.
Ayla tahu sebenarnya Anum malu untuk tunjuk muka di luar sebab itu Ayla yang kena pergi beli. Kalau tak, Anum boleh saja paksa Ayla bagi duit dan pergi beli sendiri.
Ayla terus bangun dan bersiap ala kadar pergi ke kedai runcit yang tak jauh dari rumahnya.
“Eh, dah lama tak nampak anak dara seorang ni keluar rumah. Nak ke mana tu?” tanya salah seorang mak-cik-mak cik yang sedang membeli sayur di kedai.
“Apa pula anak dara, Kak Som? Dia kan dah tak ada dara lagi,” ejek Timah dengan seronok.
Som turut ketawa. “Ha’ah betul juga tu.”
Ayla menahan geram dengan Timah yang sejak dari dulu suka cari pasal sebab anaknya tidak secantik dan bijak seperti Ayla. Jiran sekampungnya itu memang sangat iri hati dengan Ayla.
Ayla mengabaikan mereka semua lalu terus berjalan ke arah kedai runcit yang jarak 100 meter dari rumahnya.
“Eh, asal nak lari?” Timah genggam tangan Ayla untuk halang.
“Sorry, Mak Cik Timah. Ayla nak cepat ni. Lepaskan tangan saya.”
“Muka kamu ni masih tak malu ke nak jalan-jalan kat kampung ni”
“La, nak malu apanya? Muka saya elok je. Bukan saya keluar dengan muka tak mandi,” balas Ayla selamba sambil menarik kasar tangannya sehingga terlepas.
“Memang perempuan tak tahu malu ya, kamu ni Ayla! Kamu tu dah jijik tapi masih berlagak lagi.”
“Mak Timah, saya kena perangkap. Bukan kerelaan saya. Lagipun lelaki yang dah sentuh saya tu akan bertanggungjawab sebab dia tahu semua tu perangkap untuk kenakan saya dengan dia. Lelaki tu pun bukan calang-calang orangnya tau. Orang paling kaya kat kampung ni pun tak setanding dengan kekayaan dia. Kami berdua akan segera menikah nanti!”
Semua mak cik-mak cik itu melongo dan termakan dengan kata-kata Ayla kerana ada antara mereka pun rasa yang Ayla bukan bersifat semurah itu tapi mereka lebih iri hati dan itu pasal suka tengok Ayla menderita.
“Ah! Kamu jangan nak bohong! Mana ada orang lebih kaya yang nak menikah dengan kamu? Ingat senang ke lelaki kaya macam tu nak bertanggungjawab?” Timah masih tak percaya.
“Suka hati la nak percaya atau tak? Tapi memang saya kena perangkap dan dia sudi bertanggungjawab sebab dia lebih gentleman dari anak ketua kampung yang mak cik- mak cik semua pernah kempunan nak jadi menantu.”
Ayla malas nak tunggu lebih lama kerana takut lagi banyak dia menipu demi menutup rasa malu dari semua orang. Biarlah semua orang beranggapan begitu. Nanti pandai-pandailah Ayla fikir. Mungkin dia akan cari kerja jauh dari sini selepas ini.
Share this novel