INARA memandang bangunan tinggi yang tersergam indah di hadapannya. Dia merasa dirinya tidak layak berada di sini.
RK Holding.
Tulisan besar itu terpampang di bahagian atas bangunan, menunjukkan bahawa seluruh bangunan ini adalah milik Reza Akasyah.
Penampilan setiap orang yang keluar masuk dari bangunan itu amat berbeza dengan Inara yang berpakaian biasa. Penampilan Inara jelas tidak sesuai dengan tempat yang dia pergi. Tetapi Inara tidak peduli kerana yang ada dalam fikirannya sekarang ini adalah bayaran rawatan hospital Puan Intan sahaja.
Inara melangkah masuk ke lobi bangunan itu dan berjalan ke meja penyambut tetamu. Dia disambut oleh seorang wanita yang bersolekan tebal pada wajahnya. Wanita itu memandang Inara dari atas ke bawah kemudian kelihatan angkuh.
Inara cuba abaikan pandangan wanita yang memandang rendah padanya itu.
“Boleh saya jumpa dengan Tuan Reza Akasyah?” ujar Inara sambil hulurkan kad nama lelaki itu.
Wanita itu tidak peduli dengan kad nama yang dihulurkan oleh Inara itu. Dengan sombong dia bertanyakan pada Inara.
“You ada set appointment?”
Inara geleng kepala. “Saya tak ada set appointment tapi Tuan Reza yang suruh saya datang ke sini cari dia. Tuan Reza mahu jumpa dengan saya,” jawab Inara dengan canggung sambil memasukkan kad nama itu semula ke dalam begnya.
“Sorry, you tak boleh jumpa Tuan Reza kalau tak ada appointment,” ujar wanita itu yang malas nak pedulikan Inara lagi.
“Tapi….”
Melihat Inara yang masih berkeras, wanita itu segera mendongak dan memandangnya tajam. Dia mendengus dan berkata dengan kasar. “Perempuan macam you ni dah selalu sangat cari peluang nak jumpa Tuan Reza. Macam-macam beri alasan semata-mata nak menipu. Tengok la pakaian you? You fikir Tuan Reza nak jumpa perempuan macam you?”
Inara terkedu mendengar kata-kata wanita itu. Memang benar, pakaiannya tidak semewah dan mahal seperti mereka yang bekerja di sini tetapi itu tidak bermakna wanita itu boleh merendahkannya seperti itu.
Bukannya Inara berbohong yang Reza Akasyah sendiri mahu berjumpanya.
Inara memutuskan untuk meninggalkan bangunan itu. Tiada guna dia terus berada di sana jika tidak dapat berjumpa dengan Reza Akasyah tapi dipermalukan saja.
FARID tidak sangka akan melihat sosok Inara di bangunan ini. Dia tahu Inara sudah menolak jemputan Pak Abu dan menegaskan tidak mahu bertemu dengan Reza Akasyah tetapi wanita itu tiba-tiba muncul di sini.
Farid juga menyaksikan sikap tidak profesional penyambut tetamu yang menghalau Inara tadi. Dengan segera Farid hubungi Reza Akasyah untuk beritahu kedatangan Inara.
“Tuan, Cik Inara ada kat lobi sekarang tapi receptionist tak benarkan dia masuk sebab tak ada appointment dengan tuan,” ujar Farid.
“Halang dia dari pergi,” arah Reza Akasyah ringkas sebelum menamatkan panggilan.
Setelah menerima arahan daripada Reza Akasyah, Farid kekal berada di lobi dan memerhatikan Inara serta bersiap sedia untuk menghalangnya pergi sambil menunggu bosnya tiba.
Ketika Inara berpaling dari meja penyambut tetamu dan bersedia tinggalkan tempat itu, tiba-tiba lif peribadi Reza Akasyah terbuka. Reza Akasyah keluar dari lif membuatkan semua orang di sekelilingnya tunduk dan beri salam hormat.
Reza Akasyah tidak pedulikan mereka dan dia terus berjalan menuju ke arah Inara. Reza Akasyah berhenti tepat di hadapan Inara.
Inara terpakus melihat Reza Akasyah dan pada masa yang sama dia rasa pelik kenapa lelaki ini dipapah seseorang?
Reza Akasyah dan Inara segera menjadi tumpuan perhatian orang sekeliling di lobi itu. Mereka ingin tahu apa yang menyebabkan bos mereka tiba-tiba turun dan berjumpa dengan seorang wanita.
Tidak lama kemudian, mereka mula menyedari bahawa wanita di lobi syarikat itu adalah wanita yang sama seperti dalam berita. Wanita yang dikatakan skandal bos mereka.
Inara mula rasa terganggu bila menjadi perhatian. Apatahlah terdengar bisikan-bisikan mereka yang berkata tentangnya. Tanpa tunggu lama Inara sendiri memecahkan kesunyian antara dia dengan Reza Akasyah.
“Saya dapat tahu tuan cari saya.”
Soalan itu hanya dijawab dengan anggukan daripada Reza Akasyah.
“Ada apa tuan cari saya?”
“Come with me.”
Selepas berkata begitu, Reza Akasyah terus berpaling tanpa menunggu balasan daripada Inara.
Inara terpaku sejenak sebelum segeran mengikut Reza Akasyah dengan cepat.
Kedua-duanya masuk ke dalam lif peribadi Reza Akasyah.
Hanya Inara dan Reza Akasyah bersama seseorang yang setia dari tadi dengan lelaki itu berada dalam lif. Tertanya-tanya juga Inara siapakah lelaki yang langsung tak melepaskan lengan Reza Akasyah.
Nasib baik lif tersebut terus menuju ke tingkat pejabat Reza Akasyah jadi Inara tak perlu lama berasa kekok dalam lif tersebut.
Tanpa Inara sedar, Reza Akasyah mencuri pandangnya di sebalik cermin mata yang dipakainya.
Inara tetap nampak cantik walau berpakaian biasa. Haruman wangi rambutnya buatkan Reza Akasyah ralit sehingga tak sedar lif sudah terbuka.
Reza Akasyah segera melangkah keluar dari lif dan disambut oleh pembantunya.
Wanita itu berkerut melihat kehadiran Inara. Dia memandang Inara dari hujung kaki hingga ke kepala, merasa pelik dengan kehadiran seorang wanita seperti ini di pejabat bosnya. Tambahan pula, wanita ini dijemput secara khas oleh Reza Akasyah. Walaupun rasa tidak senangnya terhadap Inara jelas terlihat, dia tetap bersikap sopan dan profesional.
"Elin, postpone all meetings," arah Reza Akasyah sambil berjalan masuk ke dalam pejabatnya.
"Baik, Tuan." jawabnya dengan sopan, tetapi nada kekecewaan jelas terdengar dalam suaranya.
Inara terpegun apabila melihat pejabat Reza Akasyah. Sayangnya, ruang yang sangat mewah itu tidak mendapat cahaya matahari langsung kerana tingkap besar di bilik itu ditutupi tirai.
Kini Hanya Reza Akasyah dan Inara saja berdua dalam pejabat. Reza Akasyah duduk di atas sambil memerhatikan Inara yang sedang mengagumi isi biliknya. Dia tersenyum melihat kelakuan wanita itu. Inara benar-benar menarik untuk diperhatikan dan dia tidak akan pernah bosan melihatnya.
Reza Akasyah berdeham perlahan, membuat Inara tersentak kemudian berjalan ke arah sofa di hadapan Reza Akasyah. Setelah Inara duduk, Reza Akasyah tidak berkata apa-apa. Situasi itu membuatkan Inara kembali berasa canggung. Dia menyisir rambutnya ke belakang telinga, tidak tahu apa yang harus dilakukan.
"Saya... saya dengar, tuan cari saya?” tanya Inara yang cuba memecahkan keheningan di antara mereka.
"Hmm..."
Melihat Reza Akasyah tidak memberi sebarang respons kepadanya, Inara berasa keliru.
"Kenapa tuan cari saya?" Inara memberanikan diri untuk bertanya kepada Reza Akasyah.
“Bukan you tak nak jumpa I?” soal Reza Akasyah pula.
Inara menjadi gugup dengar soalan itu. Memang dia tak nak jumpa Reza Akasyah tapi sekarang dia benar-benar memerlukan bantuan daripada lelaki ini jadi Inara perlu segera cari alasan.
“Oh, saya cuma tak nak naik kereta dengan orang yang saya tak kenal je,” balas Inara. “Saya cadang nak jumpa tuan lepas lawat ibu saya kat hospital.”
Itu sahaja alasan yang terlintas di fikiran Inara ketika ini.
Kening Reza Akasyah terangkat apabila mendengar jawapan Inara. Dia tahu wanita di hadapannya itu sedang berbohong. Dia tidak tahu apa yang membuatkan Inara akhirnya berubah fikiran untuk bertemu dengannya. Tetapi dia tidak kisah dengan kebohongan Inara. Sekurang-kurangnya, wanita itu kini berada di hadapannya.
Inara pula semakin berasa gelisah kerana takut Reza Akasyah tidak percaya alasannya.
“Saya minta maaf sebab tolak jemputan tuan tadi,” ujar Inara beranikan diri.
“Jadi betul la you memang tak nak jumpa I?”
Terdengar keluhan Inara yang tidak pandai menipu itu.
“So, apa yang buat you berubah fikiran?” tanya Reza Akasyah.
Inara pandang Reza Akasyah sambil berfikir sama ada dia perlu berterus terang atau tidak.
‘Jujur jelah, Inara. Kau bukan pandai menipu pun,’ ujar Inara dalam hati.
“Sebab saya perlukan bantuan tuan sekarang,” balas Inara dengan jujur.
“Bantuan? Bantuan apa?” tanya Reza Akasyah dengan nada dingin walau dia sudah tahu semua maklumat tentang Inara.
“Saya perlukan duit untuk bayar bil tunggakan hospital ibu saya. Jadi saya perlu pekerjaan yang stabil untuk menampung kehidupan kami berdua.”
Setelah Inara fikir masak-masak, rasanya tak patut dia meminjam duit pada Reza Akasyah jadi dia buat keputusan mahu minta pekerjaan di syarikat lelaki itu.
Reza Akasyah tak terkejut pun dengan permintaan Inara kerana dia sendiri tahu yang Inara masih belum punya pekerjaan yang tetap selepas tamat ijazahnya. Tambah pula wanita itu sibuk menjaga ibunya yang sakit di hospital.
“Kalau boleh saya nak minta kerja kat company tuan. Saya tahu cara saya ni tak profesional tapi saya memang harapkan bantuan tuan.”
Inara berasa gugup ketika mengatakannya. Hanya Reza Akasyah saja orang yang boleh dia harapkan untuk bantu.
Reza Akasyah hanya memandang Inara dengan ekspresi yang sukar difahami. Jadi Inara tidak tahu sama ada lelaki itu akan membantunya atau tidak. Tidak ada tanda simpati, tetapi juga tidak ada pandangan jijik. Maka Inara hanya mampu menunggu.
“Kenapa I kena tolong you? You bukan kenal I, kan?” Reza Akasyah buka mulut.
Inara hilang kata-kata. Sebenarnya dia sudah berusaha mengingat sama ada dia pernah kenal atau tidak dengan Reza Akasyah.
Reza Akasyah lihat Inara yang tidak dapat menjawab terus bertanya lagi. “You masih tak ingat I?”
“Kita memang pernah kenal ke sebelum ni?” balas Inara dengan soalan.
Ini bukan kali pertama Reza Akasyah dengar soalan yang sama daripada Inara.
"Try to remember for yourself.”
Inara terdiam. Reza Akasyah langsung tidak berikan sedikit petunjuk pada Inara tentan hubungan mereka yang Inara tak pasti.
“Okey, saya akan cuba ingat tapi sekarang saya perlukan bantuan tuan. Ada tak kerja kosong untuk saya?” Inara kembali tanya tentang niat asal tujuannya.
Inara buang rasa malu untuk terus mendesak Reza Akasyah yang diam tanpa sepatah kata.
“Saya tak kisah kerja apa-apa. Yang penting saya dapat kerja tetap.”
“Tapi company I tak ada jawatan kosong any position sekarang,” balas Reza Akasyah mendatar. Sebenarnya dia mahu uji apa yang Inara akan buat jika terdesak.
“Hmmm… Macam tu tak boleh ke, tuan lantik saya sebagai PA?” Hilang sudah rasa malu Inara kerana rasa terdesaknya walau lelaki itu sudah kata yang tiada sebarang jawatan kosong.
“I dah ada PA yang sangat komited kerja dia. Farid seorang je dah cukup settle kan semua kerja I.”
Inara terfikir mungkin lelaki tadi yang bersama mereka itu adalah Farid. Inara masih tak putus asa. Kalau lelaki ini tak boleh tawarkan pekerjaan di syarikatnya, Inara akan minta bekerja di rumahnya pula.
“Apa kata tuan upah saya sebagai orang gaji tuan?” cadang Inara. Dia tidak kisah kerja apa asalkan halal dan tetap.
Kerja Inara yang sekarang cuma kerja sambilan saja.
Terangkat satu kening Reza Akasyah.
“I baru pecat dua orang pembantu rumah yang tak guna.”
Kata-kata Reza Akasyah itu buat Inara ada sinar harapan sehingga tanpa sedar dia tersenyum.
“But I still ada dua orang lagi. Cukup la seorang jadi tukang kemas rumah. Seorang lagi jadi tukang cuci baju I.” Reza Akasyah sengaja permainkan Inara.
Mati senyuman di bibir Inara dan wajahnya berubah muram kembali.
Reza Akasyah cuba sembunyikan senyumannya.
‘Come on, Inara. Jangan give up!’
“Saya pandai masak. Tuan boleh upah saya jadi tukang masak.”
“I ada tukang masak bertaraf chef hotel 5 star.”
Kini Inara betul-betul hampir putus asa dan wajah Inara itu dapat dilihat oleh Reza Akasyah dengan jelas.
Dengan Inara, Reza Akasyah menjadi dirinya sendiri tanpa menyamar sebagai orang buat. Cuma depan pekerjanya tadi saja yang Reza Akasyah terpaksa menyamar. Nasib baik Inara tidak syak apa-apa.
“Hmmm, tukang kebun I dah tua. Macam dah elok pencen…” Reza Akasyah pasang umpan.
Inara pandang Reza Akasyah dengan rasa tak teruja.
Tukang kebun?
Inara bukan pandai bercucuk tanam. Silap hari jahanam semua tanaman lelaki itu.
“Saya tak pandai,” akui Inara dengan jujur. Wajahnya ditundukkan.
Senyuman yang cuba ditahan itu akhirnya terukir. Nampaknya dalam terdesak, Inara tetap jujur orangnya.
“Why you beria sangat nak kerja dengan I?”
Inara angkat kepala dengar soalan Reza Akasyah itu.
Kali ini mungkin Inara akan tukar strateginya. Kalau Reza Akasyah tak nak bantu kerana simpati mungkin Inara boleh paksa Reza Akasyah bantunya kerana rasa bersalah.
“Kalau bukan hal yang berlaku semalam, saya masih boleh cari kerja tempat lain dengan senang tapi…”
Reza Akasyah angkat kening.
“Sekarang ni, semua orang dah kenal saya dan fikir yang saya ni betul-betul skandal tuan. So, macam mana saya nak cari kerja kat tempat lain kalau muka saya ni pun tak tahu nak letak mana bila dengar orang maki dan hina saya sebab tuan,” ujar Inara dengan lantang.
Memang betul pun sekarang ini Inara terpaksa tanggung malu akibat berita tak betul itu.
“So, apa kata you guna otak you yang bijak tu dan cuba fikir secara kreatif apa yang you layak untuk I offer?”
Inara terpinga-pinga.
“Maksud tuan?”
“Semua kerja yang you minta tadi tu tak layak atau lebih tepat tak sesuai dengan you,” balas Reza Akasyah.
“Jadi apa yang sesuai dan layak untuk saya? Terus jadi skandal tuan seperti orang fikir?” perli Inara dengan geram.
Kali ini Inara dapat lihat senyuman lebar yang menghiasi wajah Reza Akasyah dan buat dia tak percaya adakah lelaki itu maksudkan apa yang Inara fikir?
“So, tuan nak lantik saya jadi skandal tuan secara official?” tanya Inara dengan muka tak percaya.
Reza Akasyah renung Inara di hadapannya sambil menarik nafas perlahan-lahan sebelum dia mengatakan sesuatu yang penting. Dengan keyakinan yang ada, Reza Akasyah terus menawarkan niat sebenarnya.
“I takkan lantik you jadi skandal secara official tapi I akan jadikan you sebagai isteri yang sah. Marry me, Raisa Inara.”
Share this novel