P R O L O G

Romance Series 51225

PROLOG

Bunyi mesin pernafasan bergema perlahan dalam bilik yang sunyi. Bau ubat-ubatan menusuk hidung, bercampur dengan kesejukan penghawa dingin yang membekukan. Sekujur tubuh milik Sephia terbaring kaku di atas katil hospital, bersama wajah pucat dan bibir yang kering. Tiub oksigen terpasang di hidungnya, manakala wayar-wayar berselirat di sekitar tubuhnya yang melemah.

Di penjuru katil, Gabriel yang duduk menatap wajah hanya diam, jari-jarinya menggenggam tangan Sephia yang dingin.

“Kenapa…?” suara Gabriel serak, hampir berbisik.

Matanya yang merah menatap lama wajah isterinya—isteri yang selama ini dia abaikan. Dia tahu Sephia terluka, dia tahu Sephia kecewa. Tapi dia tak pernah menyangka luka itu sedalam ini. Tak pernah terlintas dalam fikirannya bahawa Sephia akan memilih jalan ini untuk melupakan semuanya—menenangkan diri dengan pil, mabuk hingga hilang kawalan dan akhirnya terbaring di sini. Di antara hidup dan mati.

Dia mula mengimbas kembali senyuman dan tawa Sephia padanya, seolah tiada secalit beban yang menghempap kehidupan. Rupanya…dibalik bahagia Sephia dalam diam mengambil pil penenang secara rutin, melupakan masalah yang dia sendiri buntu untuk menyelesaikannya. Jari-jemari Sephia yang berada dalam genggamannya dilihat, jelas lagi nyata, berat badan Sephia makin menyusut dengan melihat jarinya yang semakin kurus. Jelas tulang belulang tidak lagi disembunyikan.

“Maafkan abang, sayang. Abang gagal lagi dan lagi, tolong bangun Sephia supaya abang dapat tebus segala dosa abang.” Suara Gabriel tenggelam timbul bersama air mata yang dibiar mengalir deras. Dikucup perlahan kekura tangan Sephia, hati milik Gabriel remuk sejuta bersama luka yang dalam.

Sephia dah cukup menderita jadi isteri dia. Tapi Gabriel tetap berjanji untuk melindungi dan menjaga isterinya meski janji itu berkali-kali dia mungkiri dan hati Sephia yang berulang kali terluka.

Perbualan bersama ibunya, Puan Wardah kembali berlegar di ruangan minda.

“Gabriel memang tak sayang mama ke?” Sekilas soalan itu diaju pada Gabriel yang berdiri tegak di hadapannya. Setiap kali Gabriel pulang ke sini hanya untuk bertekak hal Sephia. Menantu yang tidak diinginkan itu. Entah apa wanita seperti Sephia mengadu pada Gabriel hingga merosakkan hubungan ibu dan anak.

“Ma,Gabriel sayang mama. Sayang sangat. Dan Gabriel sayang isteri juga, Sephia. Dia isteri yang sah di sisi Gabriel, kenapa mama benci dia sampai fitnah dia jadi perampas? Dia tak pernah merampas melainkan Gabriel yang mahukan dia, mama.” Berombak dada Gabriel, dia masih cuba untuk mengawal ton suara dari meninggi secara tiba-tiba hingga dilabel anak derhaka. Puan Wardah, ibunya benar-benar sudah berubah tidak selembut yang dulu. Kerana Sephia, mama menjadi keras kepala dan mementingkan nama.

“Kenapa mama benci dia? Bagus soalan tu. Sebab dia bukan sama taraf dengan kita, dia cuma perempuan kampung yang layak hidup di bawah. Bukan hidup dalam keluarga kita.” Segala kata-kata dari Puan Wardah bagai belati menusuk jauh ke dalam jantung Sephia yang menyorok di balik dinding. Air mata yang merembes keluar diseka segera dengan hujung lengan baju.

Sebab dia perempuan kampung? Apa maksud mama? Jauh sekali dengan kenyataan yang sebenar. Sephia lahir di bandar dan dibesarkan juga di bandar, atau kampung yang dimaksudkan Puan Wardah itu tentang kedudukan keluarganya? Ya. Dia bukan anak bangsawan jauh lagi anak ahli perniagaan. Tapi hinakah dirinya untuk menjadi sebahagian dari keluarga besar ini?

Bibir Sephia menyungging senyum sinis. Dia dan bekas isteri Gabriel bagai bumi dan tanah.Natasya adalah anak dari ahli perniagaan terkenal di negara ini, sosok diri wanita itu sering mendapat perhatian media tambah lagi berita mengenai rumah tangganya yang retak kononnya ada wanita kelas rendah merampas suaminya.

Sementara Sephia hanya sekadar rakyat biasa, hidup tidak mewah dan tiada nama besar untuk dibanggakan seperti Natasya, bekas isteri Gabriel. Jadi sebab ini dia tidak pernah diundang ke rumah agam keluarga Gabriel kerana Puan Wardah sangat membenci dirinya.

“Apa guna status dan pangkat kalau kita semua pendosa di mata Tuhan, ma? Apa dengan gelaran anak Dato boleh jamin kita ke Syurga ke? Sephia tetap isteri Gabriel dan menantu dalam keluarga ni, kalau mama lempar najis pada nama baik isteri Gabriel….saya tak akan teragak untuk saman mama dan balik pada keluarga papa.” Dua ugutan terpancul keluar dari mulut Gabriel yang membuatkan lidah mama kelu dan riak wajah wanita itu berubah drastik.

Berani.

Berani Gabriel, darah dagingnya sendiri mahu menyeret mama ke mahkamah demi maruah isteri bukan nama keluarga yang tercalar kerana wanita itu. Dan….pulang pada keluarga bekas suaminya? Tuan Ghafar tak akan biarkan mana-mana manusia menyekat kebahagian Gabriel kerana anak ini satu-satunya pewaris Tuan Ghafar. Lebih teruk lagi, sebagai ibu dia akan hilang hak sepenuhnya ke atas Gabriel kalau anaknya pulang pada Ghafar.

“Berani Gabriel ugut mama demi perempuan tu? Selama ni tak cukup ke mama buat segalanya pada Gabriel? Natasya lebih layak jadi isteri Gabriel berbanding perempuan sial tu, dia punca semua ni jadi. Dia punca Gabriel hilang rasa hormat pada mama.” Menitis air mata Puan Wardah, ugutan tadi benar-benar merasuk jiwa. Dia bakal kehilangan Gabriel jika dia teruskan rancangan bersama Natasya untuk menjatuhkan Sephia.

Gabriel kaku.

Puan Wardah yang sudah terduduk jatuh di atas sofa hanya dipandang sepi. Ada rasa berdosa yang menyelimuti hati seorang Gabriel kerana melukakan jiwa ibunya sendiri.

Sephia yang dari tadi menjadi saksi senyap pertelingkahan anak dan ibu menyandarkan tubuh pada dinding sebelum perlahan melorot jatuh. Pandangan mata semakin kabur kerana derasnya air mata. Kerana dia, Gabriel berani melawan ibunya sendiri malah sanggup untuk mengkhianati jiwa Puan Wardah untuk kembali pada keluarga Tuan Ghafar, ayah kandung Gabriel yang sah.

Sanggupkah dia terus mempertahankan kedudukan sebagai isteri dan membiarkan keluarga Gabriel retak begini kerana kehadiran dirinya? Bukan Sephia yang minta untuk menjadi isteri Gabriel melainkan lelaki itu sendiri bersungguh membuktikan bahawa dia sanggup mengangkat Sephia sebagai isteri meski konflik antara keluarga menyekat bahagia mereka.

Cincin nikah yang elok tersarung pada jari, Sephia pandang hampa. Ada satu bisikan halus dalam jiwa yang menyuruh dia untuk meninggalkan keluarga ini. Sephia bukan datang dari keluarga bahagia, dia datang dari keluarga penuh racun dan luka, tak akan dia biarkan keluarga Gabriel juga menjadi racun untuk lelaki itu.

Segala kekuatan dikumpulkan sebelum Sephia tegak berdiri lalu kaki melangkah ke arah ibu anak yang sudah ditemani sepi dan luka. Riak wajah Gabriel yang dapat dia tebak, kemunculan dia di tengah ketegangan ini tanpa pengetahuan Gabriel.

“Sayang…” Gabriel terpempam tika kornea mata menangkap kehadiran wanita itu di tengah keributan. Soalan demi soalan bermain di minda dan hati Gabriel tentang bagaimana, apa dan mengapa Sephia berada di sini. Di rumah agam yang dilarang untuk Sephia jejak walau setapak.

“Betul cakap mama, Sephia punca semua ni. Sephia buat Gabriel jadi anak derhaka sebab nak pertahankan maruah Sephia sebagai isteri.” Perlahan Sephia melangkah mendekati Puan Wardah tak dipedulikan tangan Gabriel yang mahu menghalang dia dari dekat dengan ibu mentuanya.

“Sephia.” Tangan yang ditepis oleh Sephia kini berhenti. Gabriel jadi tak keruan apa yang Sephia lakukan di sini dan apa yang Sephia cuba sampaikan, kenapa wanita ini mengiyakan segala kata-kata nista itu?

“Sephia tak pernah rasa kasih sayang ibu, keluarga Sephia tak sempurna. Sephia minta maaf kalau disebabkan Sephia, Gabriel gagal jadi anak yang baik untuk mama.” Bicara Sephia jeda seketika. Cincin yang tersarung di jari ditarik keluar sebelum di letak di atas meja kaca itu.

“Dan….Sephia tak minta untuk jadi isteri Gabriel tapi anak mama bersungguh dengan Sephia sampai Sephia takut lukakan dia.” Sekali lagi Sephia jeda, matanya sudah berkaca-kaca. Dia tenggelam dalam lautan emosi demi keluarga Gabriel dia sanggup mengalah dan pergi.

Sementara Puan Wardah memandang menantunya untuk kali pertama. Ini kali pertama dia melihat wanita yang bernama Sephia di depan mata selain hari pernikahan Gabriel. Hati ibunya sedikit terusik dengan bicara Sephia.

“Sephia cuma nak menumpang kasih tapi tak apalah kalau mama bencikan Sephia sangat-sangat. Sephia pulangkan anak mama semula…..Sephia undur diri dulu.” Usai menoktahkan sisa bicara terus Sephia bangkit dan melutut di hadapan Puan Wardah tangan mama ditarik untuk disalam buat kali pertama.

Selesai bersalaman dengan mama sedikit pun Sephia tidak menoleh ke arah Gabriel yang menyeru namanya berulang kali tanpa henti. Laju Sephia menghayunkan langkah keluar dari rumah agam orang ternama ini.

Dia tidak layak untuk hidup dibawah keluarga ini.

“Sephia….Sephia sayang tunggu abang. Apa Sephia cakap tadi? Sephia tak akan tinggalkan abang kan?” Berlari anak Gabriel mengejar isterinya. Dia sudah berjuang habis-habisan demia Sephia tapi wanita itu sudah mengalah di tengah kemenangan mereka.

Puan Wardah mula dirundung mendung semula apabila melihat anaknya, Gabriel berusaha mengejar dan menghalang wanita yang bernama Sephia dari pergi. Cincin yang berkilat di atas meja direnung. Ini yang dia mahukan selama ini tapi kenapa hati miliknya seakan tidak bahagia dengan berita ini.

Puan Wardah ketawa sendirian sesekali dia meraup rambut yang pendek paras bahu ke belakang. Ini yang dia mahukan. Ini rancangan dia dan Natasya untuk meruntuhkan bahagia Sephia dan Gabriel tapi entah kenapa tiada rasa bahagia atau puas memeluk hati. Adakah kerana dia terusik dengan kata-kata dari menantunya itu?

“Ini yang kau nak Wardah, kau patut bahagia sekarang. Kenapa nak sedih pulak?” Air mata yang laju turun di pipi segera dia lap, ketawa palsu yang dibuat-buat bergema di tengah ruang tamu. Rasa sakit hinggap di jiwa melihat anaknya mengejar wanita yang kata pemberi bahagia untuk Gabriel.

TBC

New version of duda untuk sephia.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience