Bab 12

Romance Series 11562

AROMA daging burger yang sedang dimasak membuatkan pelanggan yang menanti terbuka selera. Rizal kemudian menitikkan beberapa titis kicap buatannya sendiri ke atas daging tersebut. Kicap itu adalah resepi rahsia yang diperolehi Rizal daripada Anas. Setelah Aroma kicap dan daging menyatu di atas kuali, baunya semakin membuatkan orang tertarik. Rizal kemudian menjirus pula sedikit air bawang putih ke atas daging.

"Fuh, sedap betul.. bau dia je dah buatkan saya semakin lapar! abang pakai apa kat daging burger tu?" Bicara salah seorang pelanggan yang sedang menantikan Rizal menyiapkan burger yang dipesannya.

"Haa, ada la resepi rahsia.." Rizal menjawab seraya tersengih.

"Burger abang memang sedap. Tak sama dengan tempat lain.. saya dah ketagih, hari-hari datang beli burger abang je.. abang pakai kicap apa?"

"Laa, dah nama pun resepi rahsia.. kalau abang bagitau, nanti dah tak jadi rahsia la.." Rizal berseloroh lalu ketawa.

"Halal ke bang?" Tanya pelanggan itu lagi.

"Ish, mesti la halal.. abang pun orang Islam, takkan la nak buat benda tak halal bagi orang makan.. bahan-bahan yang abang guna untuk buat kicap tu semuanya bahan halal.."

"Air tu pulak, air apa?"

"Haa.. ini bukan rahsia.. ini air bawang putih je.. saja pakai, nak bagi aroma burger tu lagi padu." Rizal ramah dalam meladeni para pelanggannya.

Lelaki itu meneruskan tugasnya dalam menyediakan burger yang dipesan oleh para pelanggan. Hari itu, Rizal sangat keletihan. Para pelanggan burgernya datang berpusu-pusu. Gerai burgernya semakin dikenali dan menjadi buah mulut penduduk berhampiran menyebabkan permintaan terhadap burgernya naik mencanak.

Hampir jam sebelas malam, Rizal terduduk lesu. Dia benar-benar kepenatan. Biasanya dia akan menutup gerai jualannya pada pukul dua belas malam. Tetapi pada hari tersebut, jarum jam belum lagi tiba pada pukul sebelas, namun bahan jualannya sudah pun kehabisan.

"Fuh, 130 biji hari ni.. tak sampai pukul sebelas dah habis.. penat gila!" Rizal sedikit menguatkan suaranya untuk mendapatkan sedikit kekuatan. Dirinya benar-benar lelah. Hari ini, dia sudah pun menyediakan roti dan daging yang lebih banyak dari kebiasaan namun tetap juga kehabisan lebih awal.

Dalam kelelahan, Rizal tetap tersenyum. Dia berpuas hati. Burgernya kini semakin dikenali. Dia bahkan hampir tidak dapat memenuhi permintaan para pelanggannya kerana kehabisan bahan bekalan.

"Mungkin aku kena upah pekerja dah untuk bantu aku lepas ni.. mati sambil berdiri la aku kalau sorang-sorang nak berniaga macam ni." Rizal merungut sendirian. Dia turut membuat perancangan untuk mencari pembantu.

"Hmm, aku kena berterima kasih kat Anas dan Amira.. diorang yang dah tolong aku sejak dari awal.." Rizal terus berceloteh sendirian.

Sejenak kemudian, bayangan wajah Amira muncul dan bermain-main di mindanya. Rizal semakin hanyut dalam lamunan, terpesona dengan kecantikan Amira yang terlihat semulajadi. Namun fikiran jahat Rizal mula mengambil tempat. Lelaki itu mula membayangkan bentuk tubuh Amira yang tidak berpakaian. Rizal tersangat ingin meratah tubuh mugil gadis tersebut.

Walaupun dirinya sudah berubah perlahan-lahan, namun sikap dan tabiat lama Rizal masih sukar dikikis. Betahun lamanya dia hidup dengan menikmati tubuh badan wanita. Mustahil sama sekali untuk dia membuang tabiat buruk tersebut dalam sekelip mata.

"Kita kan kawan.. dah jadi tanggung jawab saya untuk bantu awak." Suara Amira terngiang-ngiang dibenak Rizal. Seketika kemudian, Rizal tersentak.

"Astaghfirullah.. apa yang aku fikir ni.." Rizal mulai sedar dengan keterlanjuran fikirannya.

"Mira tu perempuan baik.. dia dah banyak tolong aku.. dia tak macam perempuan lain yang aku kenal sebelum ni.. aku tak boleh ambil kesempatan kat dia.." Rizal kesal dengan dirinya sendiri. Padahal dia sudah menyimpan niat untuk berubah dan meninggalkan dunia maksiatnya yang penuh dosa selama ini. Malah dia sangat terhutang budi kepada Amira. Rizal tidak ingin merosakkan gadis sebaik Amira hanya untuk memenuhi nafsu serakahnya.

Tidak ingin membuang masa, Rizal segera bangkit berdiri dan mula mengemas gerai jualannya. Dia harus segera pulang untuk berehat memandangkan dirinya sangat kepenatan. Namun dalam diam, wajah Amira masih muncul membayangi fikiran lelaki tersebut. Rizal sendiri tidak mengerti, entah kenapa dirinya sering mengingati gadis itu. Padahal, selama dia bercinta dengan Juana pun, dia tidak pernah memikirkan kekasihnya itu sebegitu.

KEESOKAN harinya, Rizal mendatangi Amira di pejabat. Amira yang sedang tekun bekerja di mejanya terkejut apabila Rizal tiba-tiba memberikannya satu beg kertas.

"Apa ni?" Amira langsung bertanya.

"Hadiah untuk awak.." Rizal tersenyum.

"Hadiah? Awalnya.. minggu depan baru hari jadi saya.. " Amira mencapai beg kertas yang diberikan Rizal lalu melihat isinya.

"Eh, minggu depan birthday awak? laa.. saya tak tahu pun.." Rizal pula yang terkejut.

"Laa.. dah tu, awak bagi hadiah apa ni? Ingatkan awak tahu tarikh lahir saya.. terkejut saya, dari mana awak dapat tahu.." Amira tertawa kecil.

"Hadiah ni sebagai ucapan terima kasih saya kat awak, sebab awak dah banyak tolong saya.. takpe, minggu depan saya bagi hadiah lain pulak.."

"Ish, tak payah la membazir.. apa ni, tudung?" Amira mengeluarkan sehelai tudung dari beg kertas pada pegangannya.

"Saya tak tahu nak beri apa kat awak.. so saya beli tudung ni je la.. sebab bantuan awak dan Anas, saya sekarang dah menjadi peniaga burger yang berjaya.." Rizal ketawa.

"Awak tak payah la risau.. tudung tu murah je saya beli.." Lelaki itu melanjutkan kata-katanya sambil menggaru-garu kepala.

"Hmm.. terima kasih. Mahal ke murah, bukan penting pun.. janji awak ikhlas. Saya hargai pemberian awak ni." Amira tersenyum lagi. Dia sebenarnya sangat menghargai hadiah pemberian Rizal itu. Selama ini, dia jarang sekali menerima hadiah. Pemberian Rizal itu benar-benar menyentuh perasaan Amira.

"Ah, minggu depan hari jadi awak.. berapa hari bulan?" Rizal bertanya. Dia agak teruja apabila mengetahui tarikh ulang tahun kelahiran Amira sebenarnya sudah sangat hampir. Lelaki itu berencana untuk memberikan hadiah yang lebih istimewa kepada Amira walaupun dia sendiri belum tahu barang apa yang harus dia dapatkan. Fikirnya, jika kad kreditnya tidak ditarik kembali oleh ayahnya, sudah pasti dia akan membelikan kalung emas yang bertatahkan berlian untuk gadis tersebut.

"Dua puluh satu.." Amira menjawab ringkas sambil tersipu-sipu.

"Yang ke berapa tahun?" Rizal masih ingin tahu lebih terpeinci. Dia sebenarnya masih tidak tahu umur sebenar Amira.

"Ish, mana boleh cakap."

"La.. Umur pun tak boleh bagitau?"

"Nak tahu, cari sendiri" Amira menjelirkan lidah seraya tersenyum.

Tiba-tiba Liza muncul dan menghempaskan beberapa buah fail di atas meja Amira. Wajah wanita itu terlihat sedikit masam.

"Apa yang korang duk sembang? nak mengular? masa kerja, buat kerja.. jangan duk bersembang! Ni, kau siapkan laporan pasal projek ni.." Liza bersuara tegas. Wanita itu kemudian menjeling ke arah Rizal yang berdiri di sampingnya.

"Kau cleaner, buat apa kat sini? Pergi buat kerja kau, tak payah nak semak kat sini.. bau pun dah macam sampah.. hissh, mengganggu betul." Liza memberi arahan kepada Rizal sambil menekup hidung dan memberi jelingan tajam kepada lelaki tersebut. Lagaknya jelas ingin merendahkan dan menghina Rizal. Melihat penampilan Liza, Rizal ingin sahaja melayangkan satu tamparan ke arah wajah perempuan tersebut. Namun apabila memikirkan mengenai misinya, dia terpaksa membatalkan hasratnya itu. Rizal sangat pantang jika dirinya direndahkan oleh orang lain lebih-lebih lagi daripada seorang perempuan. Emosinya terpaksa dikawal sebaik mungkin. Tidak ingin bertangguh di sana, Rizal segera berpaling punggung dan berjalan pergi. Dia risau jika dirinya tidak mampu menahan amarah jika semakin lama melihat Liza yang bersikap bongkak.

Setelah berjalan agak jauh daripada orang lain, Rizal menyandarkan belakang badannya ke dinding. Perlahan-lahan badannya menggelongsor dan punggungnya mula jatuh ke lantai. Fikiran Rizal melayang, mengingatkan perbuatannya suatu masa dulu.

'Aku marah bila dihina, di rendahkan oleh orang lain.. aku geram kerana tak mampu nak balas.. kerana aku hanya seorang pekerja rendahan.. aku tak ada apa-apa.. Ah, inikah rasanya perasaan orang-orang yang dah aku aniaya, yang aku tindas sebelum ni? Pekerja di clubbing.. pekerja di hotel.. pekerja di mall, pengawal keselamatan.. Ah, begitu ramai yang aku lempang, aku hina selama ni.. hanya kerana kedudukan mereka lebih rendah.. kerana mereka miskin.. mereka tak mampu nak melawan.. aku.. aku dengan sombong mengatakan, kekayaan boleh menyelesaikan segalanya.. dengan duit, aku menutup mulut diorang, tak bagi diorang report polis.. aku suap pegawai atasan diorang untuk memihak kat aku.. kejamnya aku.. Ya Allah, apa yang aku dah buat selama ni?' Rizal mulai sedar akan kesalahan dan menyesali perbuatannya yang dahulu.

Sungguh banyak penindasan yang dia lakukan. Bahkan dia juga seringkali mencabul kehormatan pekerja wanita yang menggiurkan pada fikirannya. Kini satu persatu dosanya pada insan yang lemah sebelum ini terbayang diruang fikirannya. Rizal benar-benar menyesal. Dia mengutuk kezaliman dirinya sendiri sambil menangis tersedu-sedan.

Benarlah anggapan Tan Sri Hanafi. Anak lelakinya itu hanya mampu sedar akan kesombongannya jika dia sudah merasai kesusahan dan berada di tempat mereka yang pernah ditindas olehnya. Selama ini hati Rizal sangat keras. Dia sama sekali tidak pernah mempedulikan perasaan orang lain. Baginya, dia mampu berbuata apa sahaja sesuka hatinya kerana dia memiliki wang dan kekuasaan.

Di sudut bahagian lain pada bangunan syarikat, Amira pula memicit dahinya sambil menatap beberapa dokumen. Gadis itu semakin merasa tertekan dengan tugasan yang diberikan kepadanya. Padahal dia masih lagi pekerja dalam tempoh pelatihan. Namun tugasan yang diberikan kepadanya itu hanya layak diuruskan oleh pekerja senior.

'kau pasti boleh buat Amira..' bisik hati Amira, memberikan semangat kepada dirinya sendiri.

Share this novel

Erna Md Nordin
2025-01-27 15:19:19 

yey, Rizal sikit² dh berubah, mula menyesali dirinya yg dlu..


NovelPlus Premium

The best ads free experience