Bab 2

Romance Series 12632

HARI itu, Damia pergi bekerja seperti biasa. Semakin hari, dia semakin terbiasa dengan rutinnya sebagai penyambut tetamu dan seperti selalu, dia bekerja dengan cekap dan profesional.

Namun, ada satu perkara yang membuatkan dia berasa tidak selesa iaitu tentang pekerja stor yang baru seminggu bekerja di hotel itu. Entah mengapa setiap kali dia berdepan dengan lelaki itu, dia dapat rasakan ketegangan yang sukar dijelaskan. Lelaki itu sentiasa kelihatan serius dan tenang, tetapi ada sesuatu dengan cara pandangannya yang membuatkan Damia berasa tidak selesa.

Pada ketika ini, Damia baru sahaja selesai menguruskan tempahan bilik melalui panggilan telefon ketika Nazril datang menghampiri kaunter. Manakala Alin yang baru sahaja masuk kerja itu pula sedang sibuk melakukan tugasnya di depan komputer.

"Hai," sapa Nazril dengan lagak tenang, tetapi aura dinginnya sangat terasa.

Damia yang sememangnya sudah perasan akan kedatangan lelaki itu dari jauh tadi langsung tersenyum nipis. "Hai, ada apa-apa yang boleh saya bantu?"

"Awak boleh bawa saya pergi ke laundri hotel ni tak?"

Spontan Damia memandang Alin dengan isyarat mata seolah-olah meminta wanita itu yang melayan lelaki berwajah dingin dan serius itu, kerana seperti selalu, dia berasa sangat tidak selesa dengan cara pandangan lelaki itu. Cara pandangan yang seakan-akan menunjukkan ketidakpuasan hati. Entah apa masalah lelaki itu dengannya, walhal baru kali ini mereka kenal.

Mengerti akan maksud isyarat mata rakan sekerjanya tadi, Alin terus berdiri. "Jom, biar saya yang bawa awak," ujarnya sambil tersenyum lebar.

"Takpa, Cik Alin. Awak teruskan je kerja awak, sebab Encik Azhan suruh saya minta tolong dengan dia," balas Nazril, lalu dia menghalakan semula pandangannya kepada Damia. "Cik Damia?"

Damia mengeluh kecil sebelum dia berdiri. "Tak payah bercik-cik dengan saya. " Hmm, jomlah." Dengan rasa terpaksa, Damia terus mengorak langkah menuju ke satu arah.

Nazril memandang Alin bersama dengan senyuman nipis sebelum dia melangkah mengekori Damia dan jalan beriringan dengan wanita itu.

"Awak tak selesa dengan saya ke?" soal Nazril kepada Damia dengan lagak tenang. Dia perasan wanita itu cuba menjaga jarak dan dia juga dapat rasakan kegelisahan yang terpancar pada wajah dan setiap langkah wanita itu.

Damia menoleh sekilas. “Taklah," jawabnya ringkas.

Nazril tersenyum sinis. “Ya ke?"

Damia serta-merta memberhentikan ayunan langkah kakinya dan memandang lelaki itu dengan kening terjongket. “Encik Nazril, kalau awak rasa ada yang awak tak suka pasal saya, terus terang je. Jangan main teka-teki. Lagipun, kita baru kenal, kan? Tapi, cara awak bercakap tu macam awak dah kenal saya seribu tahun."

Baru kenal? getus hati Nazril sambil menggeleng perlahan dan tersenyum sinis. “Tapi... nampak macam awak yang tak suka saya."

“Apa-apa jelah, awak. Saya tak suka bermusuh. Kalau awak nak berkawan, buat cara nak berkawan. Tu je yang saya nak cakap.” Damia mendengus perlahan sebelum dia meneruskan langkahnya.

Nazril memerhati wanita yang sudah beberapa langkah meninggalkannya itu sambil memicingkan mata buat beberapa saat sebelum dia melangkah pantas mengejar wanita itu dengan kedua-dua tangan di dalam poket seluar.

- - - -

SETIBANYA di kawasan laundri hotel, Damia berhenti di hadapan pintu kaca besar yang memisahkan ruangan itu dengan koridor, lalu dia memandang lelaki di sebelahnya. “Sinilah laundri hotel. Kalau awak perlukan apa-apa, awak tanya je staf kat dalam.”

Nazril tidak segera masuk, sebaliknya dia memandang Damia sambil menjongketkan kening. “Awak tak nak ikut masuk sekali?”

Spontan Damia mengerutkan dahi selepas mendengar pertanyaan yang kedengaran lebih kepada ajakan daripada lelaki itu tadi. “Kenapa saya perlu ikut? Tempat saya kat bahagian depan... kat kaunter penyambut tetamu."

"Sebab Encik Azhan yang suruh awak temankan saya. Jadi, maknanya awak memang kena ikut sayalah sampai saya selesai explore tempat-tempat penting dalam tugasan saya."

Sikit-sikit Encik Azhan, sikit-sikit Encik Azhan! getus hati Damia. "Encik Azhan yang suruh?"

Nazril mengangguk perlahan, tetapi belum sempat dia meneruskan bicara, seorang wanita bermekap tebal keluar dari bilik laundri di depan mereka.

"Damia? Kau buat apa kat sini? Tugas kau kat depan tu kan?" soal wanita bermekap tebal itu dengan suara keras.

"Encik Azhan suruh saya tunjukkan dia ni kat mana laundri," jawab Damia sambil membalas tatapan tajam wanita itu dengan lagak tenang.

"Hmm." Melina lantas memandang lelaki yang sedang berdiri di sebelah Damia dari atas sampai ke bawah dengan pandangan seperti melecehkan lelaki itu. "Kau pekerja stor yang baru masuk tu ya?"

"Ya, saya."

Tiba-tiba, Melina tersenyum sinis dengan pandangan yang kini kembali terhala kepada Damia semula. "Ha, sesuai sangatlah tu Encik Azhan suruh kau. Aku nak keluar ni. Nanti lepas kau dah habis syif, aku nak kau pergi fotostat minit mesyuarat untuk meeting pagi esok, buat 40 copy. Minta dengan si Jamil minit mesyuarat tu. Lepas tu, kau pergi ke bilik mesyuarat, aku nak kau letak dan susun atas meja minit mesyuarat tu. Satu kerusi, satu fail. Jangan lupa kemaskan apa yang patut dalam bilik mesyuarat tu, ya!"

Damia mengeluh kecil dengan rasa tidak puas hati. "Tapi, Cik Melina... itukan bukan tugas saya. Saya..."

"Kau nak terus kerja kat sini ke tak?" Laju Melina memintas sebelum sempat Damia menghabiskan percakapannya. "Kalau kau nak terus kerja kat sini, kau ikut je semua arahan aku, faham! Takda sesiapa kat sini berani bantah cakap aku, tahu tak!" Wanita berambut perang itu mengibaskan rambutnya ke belakang dengan riak muka angkuh sebelum dia mengorak langkah beredar dari tempat itu.

Damia menahan nafas buat beberapa saat sambil mengepal penumbuk. Amarah yang sedang dia rasakan membuatkan wajahnya terasa berbahang. Lantas, dia memandang Nazril yang berdiri di sebelahnya dan menjadi pemerhati sejak tadi tanpa sebarang reaksi.

"Awak tengok apalagi? Saya dah tunjuk awak laundri ni kan? Pergilah buat apa yang awak nak buat," ujar Damia dengan suara yang ditekankan akibat kesal dengan apa yang baru berlaku.

Nazril tersenyum nipis seolah-olah tidak terkesan langsung dengan nada keras dan wajah tegang wanita itu. "Awak selalu kena macam tu ke dengan dia?"

"Itu bukan urusan awak," balas Damia sambil memandang lelaki itu dengan riak muka jengkel.

Nazril menjongketkan kedua-dua bahunya, kemudian dia memandang pintu kaca di depan mereka. “Takpalah, saya masuk sendiri je.” Baru dia hendak menolak pintu kaca di depannya, tiba-tiba dia berpaling semula ke arah Damia. "Damia, sekejap."

"Apalagi yang awak nak?"

Dengan muka serius, Nazril merapatkan sedikit kedudukan mereka. “Kadang-kadang, awak perlu tahu bila untuk lawan balik. Kalau awak biar orang pijak awak selalu, lama-lama awak akan hilang diri sendiri.” Senyuman nipis sempat dilakarkan buat wanita itu sebelum dia melangkah masuk ke dalam bilik cucian di depannya.

Damia memerhati lelaki itu dengan kerutan di dahi, tidak pasti sama ada kata-kata lelaki itu tadi berupa sindiran ataupun nasihat. “Kau tak tahu apa-apa pasal aku. Jadi, kau tak payah nak ajar apa yang patut aku buat!" gumamnya dengan muka tidak puas hati sebelum dia melangkah pergi dari tempat itu sambil mengerling sekilas jam di pergelangan tangannya. "Memang lewatlah aku balik rumah hari ni!"

- - - -

SETELAH selesai menyiapkan semua tugasan yang diberi oleh penyelia yang angkuh lagi cerewet di hotel itu, Damia terus menuju ke ruang rehat kakitangan untuk berehat sebentar sebelum dia pulang. Dia baru sahaja melabuhkan punggung di kerusi ketika Alin datang menghampirinya.

“Kau okey tak ni?” soal Alin sambil meletakkan sebotol air mineral di depan rakannya itu. “Aku nampak muka kau macam lain je tadi masa minah kerek tu bising-bising.”

Damia menghela nafas panjang, lalu dia membuka penutup botol air. “Aku okey je, dah biasa.”

“Aku rasa tak adil kau selalu kena macam tu, Mia. Tengoklah, sepatutnya syif kau dah habis pukul 11.00 malam tadi, sekarang ni dah pukul 12.00 tengah malam dah. Minah kerek tu memang selalu buli pekerja yang dia rasa tak mampu lawan balik. Dia dah tak berani dengan aku sebab aku jenis melawan, lepas tu aku selalu report dengan Encik Azhan kalau dia buli aku. Kau ikut je macam aku, Mia. Lawan, jangan takut!"

Damia tersenyum hambar. “Aku bukan takut, tapi aku malas nak panjangkan isu. Lagipun, aku masih baru kat sini. Nanti aku dah bosan layan minah kerek tu, aku lawanlah dia," ujarnya dengan nada bergurau, lantas dia bingkas berdiri. "Aku balik dulu tau."

Alin hanya mampu melepaskan keluhan sambil menggeleng memerhati wanita itu melangkah pergi dari ruangan itu.

- - - -

DAMIA melangkah keluar dari pintu lobi hotel dengan perasaan lega dan nyaman walaupun dia berasa sangat letih selepas seharian berhadapan dengan karenah dan ragam manusia.

Udara malam yang bertiup agak kuat dan terasa dingin membuatkan Damia spontan memeluk tubuhnya dan menggosok-gosok lengannya. Langkah kakinya dipercepatkan lagi menuju ke perhentian teksi, namun suara yang memanggil namanya dari belakang membuatkan langkah kakinya serta-merta terhenti, lalu dia menoleh. Matanya langsung membulat selepas dia melihat sosok tubuh si pemilik wajah yang dikenalinya itu sedang berjalan pantas menuju ke tempatnya berdiri.

"Mia..."

Damia memandang wajah lelaki yang kelihatan agak kusut itu dengan kerutan di dahi. "Macam mana you tahu I kat sini?"

"It doesn't matter, Mia. We need to talk... please."

"Takda apa-apalagi yang kita nak cakapkan, Isaac. I dah jelaskan semua dulu, kan? Tolong jangan ganggu I lagi, please," balas Damia dengan muka serius, lalu dia segera meneruskan langkahnya.

Namun, Isaac dengan pantas menyambar pergelangan tangan Damia dan menariknya menuju ke lorong belakang hotel.

"Isaac, lepaslah!" bentak Damia sambil cuba melepaskan pegangan lelaki itu, tetapi gagal.

"Mia... what should I do, Mia? Apa salah I? I tak cukup baik ke selama ni? I dah buat segalanya untuk buktikan yang I serius cintakan you dan nak you jadi isteri I. I dah berusaha untuk jadi lelaki baik sebaik mungkin untuk you. Apa lagi kurangnya I? Tell me, Mia... I tak mampu lupakan you," luah Isaac sambil menolak sekujur tubuh langsing itu sehingga tersandar pada dinding bangunan.

"I dah jelaskan sebelum ni, kan? Mommy I tak nak I ada hubungan dengan you. Kenapa you tak faham-faham lagi? Tolonglah, Isaac. I dah buat keputusan, I tak boleh teruskan hubungan kita. I dah lama lupakan you," ujar Damia dengan nada tegas, walaupun pada hakikatnya, lidahnya terasa berat untuk melafazkan kata-kata itu.

"You tipu! I tahu you tipu! I tahu you masih cintakan I! Say it, Mia! You masih cintakan I, kan!" tempelak Isaac dengan mata terbelalak berurat merah yang tersembul di mata putihnya.

"No, Isaac! I dah tak cintakan you lagi. Tolong jangan paksa I." Damia menolak tubuh lelaki yang sangat hampir dengan tubuhnya itu, lalu dia segera mengorak langkah hendak pergi dari situ.

Namun, tanpa diduga, Isaac menarik kasar tangan Damia sebelum kedua-dua bahu wanita itu ditolak sehingga tersandar semula seperti tadi.

"I tak peduli mommy you sukakan I atau tak. I tetap nak you jadi milik I, Mia! Kalau you masih tak nak terima I, I akan buat you terpaksa terima I semula dengan cara I!" bentaknya seraya menolak Damia sehingga terbaring di atas lantai simen di lorong berlampu malap itu, lalu dengan pantas dia menindihnya sambil mengunci tangan wanita itu dengan sebelah tangan, manakala sebelah tangannya lagi kelam-kabut membuka zip seluarnya.

"Isaac! Jangan buat kerja gila, Isaac! Lepaskan I!"

Lelaki yang sudah hilang pertimbangan dan seolah-olah sedang kerasukan itu tidak mempedulikan langsung rayuan Damia. Malah, dia semakin bertindak liar dan ganas dengan mengoyakkan baju yang bersarung di tubuh wanita itu mendedahkan bahagian tubuh yang tidak sepatutnya dia lihat.

Namun, Damia bukanlah seorang wanita yang lemah. Dengan kekuatan yang dia ada, dia berjaya melepaskan tangannya yang dikunci, lalu dia menumbuk wajah lelaki itu sekuat hati sebelum dia menolak tubuh Isaac dari atas tubuhnya, kemudian dia segera berdiri sambil menutup bahagian tubuhnya yang terdedah. "Kau memang gila, Isaac!"

"Ya, I memang gila. I dah lama gila sebab you, Mia!" Isaac bingkas berdiri seraya meluru ke arah Damia.

"Berhenti!"

Serentak Damia dan Isaac menoleh.

"Awak okey?" soal Nazril dengan muka serius sebaik sahaja dia tiba di sebelah Damia.

Damia hanya membalas dengan anggukan kecil, namun dalam hati, dia tertanya-tanya bagaimana lelaki itu boleh berada di situ.

"Kau jangan masuk campur! Ni urusan aku dengan dia! Dia milik aku!" tengking Isaac sebelum dia meluru hendak melakukan serangan terhadap Nazril.

Segala-galanya berlaku sangat pantas. Tumbukan kuat bertubi-tubi yang mendarat pada wajah lelaki yang sudah terbaring itu membuatkan mata Damia terbeliak, terkejut dan panik melihat wajah yang berlumuran darah itu.

"Nazril!"

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience