“AYDEEN, jangan main jauh-jauh sayang. Nanti mummy susah nak kejar...”
Sebaris ayat itu sahaja sudah cukup membuatkan jantung Irwansyah terasa bagai direntap keluar dari dadanya. Pandangannya tertumpu kepada Safira yang sedang mengejar si kecil dengan penuh kasih sayang dan kelembutan, sesuatu yang tak pernah dia bayangkan sebelum ini. Tanpa sedar, dia mendekati pagar rumah itu, mencengkam kuat besi pagar yang sejuk itu, cuba meredakan degupan jantungnya yang laju.
“Safira!” jeritnya tanpa sedar, suara itu penuh emosi dan gementar.
Safira serta-merta berpaling, wajahnya berubah pucat melihat Irwansyah berdiri di situ. Tangannya spontan memeluk erat tubuh kecil Aydeen, seperti mahu melindungi anak itu daripada pandangan mata Irwansyah.
“Aydeen?” Mata Irwansyah terbeliak, memandang tajam wajah anak kecil yang kini memandangnya dengan penuh kehairanan. Wajah kecil itu, dengan mata besar dan pipi gebunya, jelas menggambarkan persamaan yang sukar dinafikan.
“Safira!” ulang Irwansyah, lebih kuat kali ini, suaranya sarat dengan persoalan dan rasa tidak percaya yang mencengkam dirinya. Tangannya mula cuba membuka pagar yang tertutup rapat. “Safira, tunggu! Aku… Aku cuma nak bercakap dengan kau!"
Safira cepat-cepat mencempung tubuh genit Aydeen, tergesa-gesa membawanya masuk ke dalam rumah. Dia berpaling sekali lagi, jelas rasa takut dan risau terpancar di wajahnya. “Masuk rumah cepat, Aydeen. Jangan keluar, ya?” suara Safira lembut, tapi penuh desakan.
“Mummy, siapa tu?” soal Aydeen polos, matanya penuh tanda tanya.
“Tak ada siapa-siapa sayang, cepat masuk dalam.” Safira bergegas membawa Aydeen ke dalam rumah, menutup pintu dengan hati yang berdebar kencang.
Irwansyah di pagar semakin hilang kawalan. Dia yang biasanya tenang dan mampu mengawal keadaan, kini terasa begitu keliru dan cemas. Tangannya yang menggigil membuatkan dia bergelut untuk membuka pagar, kunci yang biasanya mudah dibuka tiba-tiba terasa seperti sesuatu yang mustahil.
“Safira! Keluar sekarang! Aku kena bercakap dengan kau!” Suara Irwansyah kini semakin tinggi, bercampur marah, keliru, dan terdesak.
Dari dalam rumah, Saif muncul, wajahnya serius melihat keadaan di luar. “Irwan, bawa bertenang. Ini bukan tempat dan masanya—”
“Aku kena tahu siapa anak tu! Kenapa Safira rahsiakan dari aku?” Irwansyah semakin tidak terkawal, perasaannya jelas terdedah.
Saif menghela nafas, cuba menenangkan keadaan. “Kau balik dulu, Irwan. Nanti kita bincang baik-baik. Sekarang bukan masanya kau datang sini buat kecoh—”
“Aku takkan balik selagi aku tak dapat jawapan dari Safira sendiri!” tegas Irwansyah, pagar yang selama ini kukuh dipegangnya seakan menjadi saksi kekacauan hatinya saat ini.
Suasana tegang memenuhi malam itu, sementara Safira berdiri di belakang pintu, memeluk erat Aydeen sambil menahan air mata yang hampir gugur. Dia tahu saat ini pasti tiba, tapi dia belum bersedia untuk berhadapan dengan kenyataan itu.
SAFIRA yang masih berdiri di belakang pintu segera meminta Naura membawa Aydeen ke bilik.
“Kak Naura, saya nak minta akak tolong bawak Aydeen masuk bilik tidur dia boleh?” pintanya dengan nada tergesa-gesa tetapi penuh kelembutan, tidak mahu anaknya melihat situasi yang semakin tegang di luar.
Naura mengangguk cepat, segera menggendong tubuh kecil Aydeen. “Jom sayang, kita masuk dalam dulu, ya?” pujuk Naura lembut sambil melangkah laju menuju bilik belakang.
Sementara itu, suara Saif yang marah mula jelas kedengaran di luar rumah.
“Kau buat apa datang sini, Irwan? Tak cukup lagi ke selama ni kau susahkan hidup adik aku?” suara Saif keras, penuh kemarahan.
“Aku datang nak jumpa Safira, bukan nak jumpa kau!” balas Irwansyah dengan suara lantang, emosinya jelas terganggu.
“Oh, sekarang kau baru teringat nak jumpa dia? Lepas kau biar dia terseksa bertahun-tahun, sekarang baru kau datang konon nak ambil berat? Kau memang lelaki tak guna!” jerkah Saif, wajahnya merah padam menahan geram.
“Kau jangan nak masuk campur urusan aku dengan Safira!” Irwansyah mula hilang sabar.
“Aku abang dia! Urusan dia, urusan aku jugak! Kau ingat senang-senang nak datang sini dan tuntut penjelasan lepas kau buang dia jauh-jauh selama ni?” tegas Saif lagi, langkahnya mula mendekati Irwansyah dengan penuh amaran.
SAFIRA yang melihat keadaan semakin buruk cepat-cepat keluar semula ke halaman rumah, cuba meleraikan mereka.
“Abang, cukup. Tolong jangan gaduh lagi. Biar Fira sendiri selesaikan dengan dia,” ucap Safira lembut sambil menarik lembut lengan abangnya, cuba menenangkan suasana.
Saif memandang adiknya seketika, jelas ada kebimbangan dalam matanya. “Kau betul ke boleh handle lelaki macam dia ni, Fira?”
“Ya abang, Fira boleh handle,” balas Safira yakin, memandang abangnya penuh pengharapan.
Saif menghela nafas panjang, mengangguk perlahan dan berundur masuk ke dalam rumah, memberikan ruang untuk Safira berhadapan dengan Irwansyah.
Irwansyah yang akhirnya berjaya membuka pagar segera meluru masuk, tetapi Safira segera mengangkat tangan, menghalangnya daripada mendekati lebih jauh.
“Safira, aku cuma nak jawapan. Siapa budak tu sebenarnya?” soal Irwansyah dengan suara sedikit bergetar.
“Pergi, Irwan. Dia bukan urusan kau,” balas Safira dingin.
Irwansyah menarik nafas dalam-dalam, jelas cuba mengawal perasaan yang semakin bercelaru. “Safira, aku tanya betul-betul ni. Siapa budak tu? Kenapa dia panggil kau mak?”
“Sekarang bukan masanya untuk aku explain benda ni,” Safira cuba tegas, walaupun hatinya mula gelisah.
“Safira! Aku nak kau jelaskan sekarang juga!” jerit Irwansyah, suara tegas dan lantangnya bergema di halaman rumah.
“Anak aku!” balas Safira tegas tetapi dengan nada terkawal.
“Aku ada anak, Safira. Dan kau tak rasa aku berhak untuk tahu?” suara Irwansyah sedikit kendur, penuh dengan luka yang tertahan.
Safira menggeleng perlahan, matanya tajam memandang Irwansyah. “Oh, aku tak cakap cukup jelas agaknya. Itu anak aku. Cuma anak aku, bukan anak kita.”
Irwansyah terpaku, hatinya terasa bagai dihiris-hiris. “Kau curang ke, Safira? Tak mungkin...” ucapnya perlahan, hampir tidak percaya.
“Oh, kalau kau rasa aku curang pun bagus jugak. So kau tak perlu ambil tahu tentang anak aku. Sekarang, pergi sebelum aku telefon polis,” Safira memberi amaran jelas, sebelum berpusing meninggalkan Irwansyah sendirian di halaman.
Irwansyah berdiri kaku, melihat Safira masuk semula ke dalam rumah. Dadanya sesak dengan pelbagai emosi. Dia mahu mengajar Safira, masuk ke dalam rumah dan menuntut penjelasan, tetapi dia sendiri keliru dengan perasaan yang menghantui dirinya sekarang. Bukankah dia patut bersetuju dengan kata-kata Safira? Bukankah lebih baik kalau dia tidak mengambil peduli langsung?
Namun, pandangan polos Aydeen yang seakan-akan refleksi dirinya sendiri membuatkan Irwansyah bertambah bingung. Mungkin betul, anak kecil bernama Aydeen itu bukan darah dagingnya seperti yang dia fikirkan. Tetapi, wajah itu, pandangan mata yang serupa dengannya… bagaimana mungkin ini semua hanya kebetulan?
...
Share this novel