APA yang buat Haikal bengang sekarang adalah motor kesayangannya mula buat perangai sebaik masuk ke simpang rumah. Enjin motornya mati secara mendadak ketika pulang dari kerja.
"Itu dia... kau ingat dah sampai rumah ke? Kenapa kau mati?" rungut Haikal sebaik turun dari motor.
Haikal mencekak pinggang sekejap sebaik tongkat motor diturunkan. Mulutnya mula herut ke kiri dan ke kanan memikirkan masalah motornya yang merajuk.
"Nanti la aku fikir. Aku tolak kau sampai rumah dulu. Nasib baik dah dekat."
Motor ditolak hingga ke rumah sambil mulutnya tidak berhenti berzikir. Sebaik sahaja dirinya melepasi 10buah rumah, akhirnya dia sampai juga. Nafasnya tercungap-cungap ketika membetulkan tongkat.
“Nek! Haikal balik, nek! Assalamualaikum. Nek Yam oii, cucu balik ni!"
Senyuman lebar terukir saat kaki melangkah masuk ke dalam rumah walaupun letih. Suara nenek menyahut cukup dapat mengubati penatnya.
"Buat apa tu nek?"
"Balik pun cucu nenek. Mana... tak ada pun? Ingatkan dah lari ikut anak orang!”
Suara nenek di depan dapur gas buatkan Haikal gelak kecil. Beg kerja dicampak ke kerusi plastik. Tiga butang bajunya dibuka menghilangkan rasa rimas.
"Kal ni nak lari... Kal kena lari dengan menantu nek."
Nenek leka mengacau kuah lemak cili api. Harum semerbak. Perutnya mula terasa lapar. Tangannya sempat mncapai satu hirisan tempe goreng di atas tapis.
Nenek Yam menoleh dan memandang cucunya dari hujung rambut hingga hujung kaki.
"Cucu nenek ni cakap je lebih. Nak tengok bayang perempuan pun payah. Tak takut ke dah tua nanti... siapa yang nak layan cucu nenek bila dia lapar dan merajuk?"
"Alahai... Kal ada nenek apa. Cukuplah."
Kedua keningnya terangkat. Belum sempat dia meneruskan bicara senduk nenek singgah di tangannya.
"Oii, panas la nek!"
Nenek Yam ketawa mengekek melihat cucunya menjerit.
"Nenek nak cucu nenek ni kahwin. Dapat isteri elok, sopan dan kalau dia kerja ke tak kerja ke... nenek tak kisah. Janji dia pandai jaga cucu nenek yang separuh gila ni."
Berderai tawa Haikal. Pipi nenek dicium sekilas.
"Sayang ke nenek nanti dengan bakal isteri Kal... atau nenek dah lupa nanti cucu nenek ni. Mesti nenek tak sayang gila dah dengan cucu nenek yang separuh gila ni?"
"Dua-dua! Cucu gila nenek sayang, menantu nenek pun nenek sayang.”
Haikal senyum dan duduk di kerusi. Tempe dan tauhu goreng yang diisi dalam pinggan diletak di meja. Nenek pula sambung kacau kuah dan tenang seperti tiada apa yang berlaku tadi. Tangan masih gatal mahu mengutip tempe masuk ke mulutnya.
"Nek, andainya ada sorang perempuan ni. Cantik, bijak tapi macam… terlalu baik untuk cucu nenek. Agak-agak nenek la kan... nenek restu tak?”
Haikal terdiam melihat nenek menoleh dan senyum nipis.
"Kal, orang perempuan ni kalau betul baik, dia tak akan pandang siapa yang layak atau tidak. Dia akan pilih siapa yang buat dia rasa cukup."
Haikal terdiam sekejap.
"Cukup pakai, cukup buat dia rasa bahagia dan cukup bagi nafkah zahir batin. Pendek kata cukup semua benda la. Panjang kata lain pula."
Haikal mengangguk lambat. Di dalam fikirannya hanya ada wajah bos kesayangan dia. Bukan Tengku Zafran kayu tapi Puan Raisya. Wajah yang tenang tapi tiada siapa tahu sebenarnya Puan Raisya nampak seperti menyimpan masalah dunia dalam diam.
"Nek, nanti Kal kenalkan dengan nenek. Nenek kena janji jangan tanya banyak soalan ke dia.”
"Aiyyoo… rahsia lagi. Kal ni buat nenek sup rice je!”
"Bukan sup rice, nek. Surprise. Sup rice tu dah lain maksud dia.”
"Dah tukar ya? Dulu Kal ajar nenek sup rice?"
"Dei! sur... ikut. Nek, ikut ni."
"Sur...."
"Prise... tengok mulut Kal nek. Prise, pee...rise... surprise."
"Malas la nenek. Mulut Kal busuk. Bau rokok."
Haikal dan nenek ketawa mengekek bersama. Pinggan nasi yang dihulur nenek diambil. Sejujurnya di dalam hatinya hanya faham satu. Dirinya sudah mula angau. Angau dengan bos sendiri. Gila bayang dengan isteri orang.
"Nek, doakan je. Satu hari nanti mungkin perempuan tu akan jadi milik Kal juga," bisik batin Haikal.
..
..
Waktu rehat hari ini Haikal memilih untuk makan seorang diri di cafe pejabat. Kononnya Haikal mahu tenangkan diri selepas kejadian fail terbang pagi tadi.
"Wardah ni pun satu, cepat sangat tangan naik pukul Tengku. Aku pula yang kena," keluh batin Haikal.
Sebaik pintu lif terbuka, matanya menangkap susuk tubuh Puan Raisya melintas. Haikal keluar dan berdiri di tepi pasu batu di tepi lif. Lama dia berdiri memerhatikan bos kesayangannya itu.
"Tak, sekarang ni kenapa aku kena menyorok?"
Dahinya digaru sekejap sebaik tersedar dengan tingkahnya. Pandangannya beralih ke arah Puan Raisya sedang duduk sendirian di meja dengan dua bungkus tisu poket. Teh aisnya kini sudah banyak lapisan warna muncul.
"Hisyh, bukan gaya dia langsung."
Haikal menepuk mulutnya sebaik tersedar. "Haikal, kau buat apa ni? Kau intai isteri orang tu. Nak mati ke?"
Sedetik kemudian dia menegakkan tubuh dan berdehem. Bibirnya dikemam sebelum memulakan langkah. Sehabis boleh Haikal cuba buat tidak nampak Puan Raisya. Langkahnya laju ketika melintas di depan meja Puan Raisya. Setapak, dua tapak dan masuk tapak ke lima suara Puan Raisya mematikan langkahnya.
"Encik Haikal."
"Alamak, nampak ya? Aku ingat dia tengah fokus gentel tisu sampai dia tak nampak aku. Boleh pula dia terpanggil aku," bisik batin Haikal.
Haikal berpaling dan senyum tawar. Jauh sudut hati berbisik "Aku tak nak jadi tempat dia meluah rasa sedih tapi bila dia nak cerita aku sudi dengar."
"Awak tak makan?"
"Errkk... saya nak makan la ni Puan."
"Awak boleh temankan saya sekejap?"
"Haa sudah! Tak sampai la bihun goreng Si Mika ni nanti," gumam Haikal, perlahan.
Jantungnya seperti baru lepas lari pecut 800meter. Mimik mukanya dikawal agar nampak gaya lelaki yang tenang. Kerusi di depan Puan Raisya ditarik dan duduk tegak seperti pengawal menunggu arahan. Liurnya diteguk berulang kali menghilangkan gemuruh.
"Haikal, maaf. Saya ganggu awak rehat."
"Puan okey ke?"
"Haikal, Awak boleh panggil saya Raisya masa kita bukan dalam pejabat."
"Oh. Okey. Awak okey ke... Raisya?"
Haikal menarik nafas panjang ketika melihat Puan Raisya ketawa kecil dan tunduk. Tawa yang penuh duka walaupun perempuan ini mengangguk. Buktinya, mata Puan merah dan bosnya memang ada masalah.
"Saya penat sebenarnya," keluh Raisya.
"Kerja banyak ya?" balas Haikal lembut.
Tiba-tiba pula dirinya pandai berpura-pura bodoh di hadapan Puan Raisya.
Raisya menggeleng. "Bukan kerja Haikal. Hidup saya."
Haikal terdiam. Buat pertama kali dirinya melihat isteri Tengku Zafran tunduk dan main straw depannya. Comel. Jarang nampak wajah itu seumur hidupnya.
"Aduh dia ni, jangan buat aku serba salah," bisik batin Haikal.
"Haikal, kadang-kadang... saya rasa macam hilang diri sendiri. Bila dalam rumah saya kena tunduk. Bila ada dalam pejabat saya kena kuat. Sejujurnya dalam hati saya... cuma nak duduk diam dan menangis Lima minit menghilangkan semua luka yang ada."
Haikal mula buntu. Dia sendiri tidak tahu mahu bicara apa ke perempuan ini. Niat mahu hulur bahu tapi takut patah pula bahunya dikerjakan Tengku nanti. Bila dia mahu hulurkan tangan nanti ada tangan yang gatal ambil gambar curi dan masuk dalam group gosip.
Haikal mencapai bungkusan tisu yang hanya tinggal beberapa helai di dalamnya. Dia hulurkan ke Puan Raisya spontan.
"Terima kasih."
"Sama-sama Raisya. Saya rasa tisu tu mungkin ada serbuk karipap sikit. Saya belum basuh tangan lepas meeting dengan bos tadi."
Puan Raisya ketawa mengekek hingga nampak barisan gigi putihnya. Jelas sekali wajah bos kesayangannya nampak lebih tenang dari tadi. Pipinya naik sedikit dari sebelumnya.
"Awak ni suka bergurau la Haikal."
"Saya rasa saya memang macam ni Raisya. Ini je yang buat saya laris bila berbual dengan perempuan. Agaknya la."
Raisya menggeleng sambil tersenyum lebar. Nafasnya ditarik dalam-dalam. Walaupun lukanya masih ada, kehadiran pekerjanya yang satu ini buat dirinya tenang. Dia dapat berhenti berfikir masalah yang ada.
Saat itu juga Haikal pula mula sedar satu hal. Ada masa kita tidak merancang mahu jadi bahu orang lain bersandar tapi bila orang itu pilih kita untuk duduk dan berbual. Berbual bukan benda kecil tapi berbual tentang rasa hati. Itu tandanya dia percaya dengan kita.
..
..
Benda yang paling Haikal benci dan tidak gemar bila hal ini terjadi. Tidak sampai dua kilometer, motornya buat perangai di tengah panas di tengah jalan sesak. Begitu ramai manusia yang ada di atas jalan sedang bunyikan hon dan pandangnya yang tersidai di bahu jalan.
"Aku tengok motor aku dah macam tengok bekas kekasih yang dah move on dengan anak orang kaya," bebel Haikal sendirian.
Batang hidungnya digaru mencari akal.
"Kenapa hari ni juga kau nak merajuk sayang?"
Helmet dibuka dan tolak ke tempat selamat. Punggungnya dilabuhkan ke tembok konkrit.
"Nak call mekanik... kena sembelih aku nanti. Harga melantun naik. Dah la waktu sibuk orang balik kerja. Nak tolak balik ke sana... ah, memang tak la. Kirim salam la aku nak balik semula ke pejabat tu," bebel Haikal.
Selang beberapa minit Haikal terdengar bunyi hon. Dia lihat kereta itu berhenti di tepi motornya.
"Encik Haikal!"
Awalnya Haikal merasakan dirinya sedang berhalusinasi tapi saat cermin kereta terbuka wajah perempuan yang dia hormat melambainya di tempat duduk pemandu.
"Wow, heroin aku muncul di saat yang tepat," gumam Haikal dengan penuh teruja.
"Motor rosak?!" jerit Raisya dari dalam kereta.
Suara Puan Raisya tenang tapi Haikal sedar perempuan ini sedang menahan tawanya. Mungkin dari jauh lagi bos kesayangannya ini sudah nampak yang dirinya tersidai di sini.
"Tak… dia tengah merajuk. Nak perhatian," balas Haikal, tenang.
"Naiklah. Saya hantar awak balik."
Haikal terdiam.
"Dengar tak? Saya hantar awak balik!"
"Saya. Saya tumpang Raisya… awak tak rasa ke macam drama?"
"Apa awak merepek ni Haikal? Saya tak faham."
"Aduh la... nasib baik comel walaupun lembap," keluh batin Haikal sambil tersengih.
"Maksud saya, bos bawa balik pekerja bawahan. Saya risau, esok satu pejabat trending topik ni dari kisah tembok dengan cafe dulu."
Raisya menggeleng sambil ketawa mengekek. Tangannya membuka pintu kereta untuk Haikal yang suka bergurau dengannya.
"Itu yang awak risaukan. Saya janji saya bawa laju-laju. Tak sempat orang nampak kita."
..
..
Selesai sahaja solat Isyak, Haikal baring atas riba nenek yang tengah leka melipat telekung. Tenangnya rasa malam ini. Tenang sama seperti dia kecil dulu. Haikal dapat rasakan bila dia baring seperti ini lepas mengaji, nenek akan bercerita kisah nabi dan selit kisah mak ayahnya.
Nenek Yam mengusap rambut cucunya lembut. "Kal ni dari kecil sampai dah besar gajah... suka baring atas riba nenek."
Haikal senyum segaris.
"Siapa hantar tadi? Kenapa tak ajak dia masuk?"
Belum sempat Haikal menjawab, telefon bimbitnya berdering. Haikal bingkas bangun dan mencapai telefonnya. Jantungnya tiba-tiba bedegup laju.
"Puan Raisya."
Jantung aku berdegup lain macam.
"Nek! Kal jawab call kejap."
Haikal duduk di kerusi rotan nenek. "Raisya? Kenapa ni?”
Tangisan Puan Raisya dia dengar dengan jelas tapi tangisan yang sangat teruk dari sebelumnya.
"Raisya, awak ada mana sekarang? Bagitahu dengan saya.”
Haikal mengeluh. Dia bingkas bangun dan mencapai kunci motor nenek dan jaket.
"Nek! Haikal keluar kejap!”
"Eh kenapa ni?!”
"Nenek doakan cucu nenek ni merempit tak mati malam ni. Kal nak selamatkan orang!”
❤️?
Share this novel