BAB 2

Other Series 4475

BAB 2:

LOBI hotel Grand Aurum malam itu bertukar menjadi pentas berkilauan. Chandelier kristal berayun perlahan, membiaskan cahaya kekuningan ke seluruh dewan. Para tetamu yang berpakaian mewah berlegar-legar, membawa gelas kristal berisi jus anggur merah, berbual dalam tawa sopan yang berlapis diplomasi.

Rayyan dan Inara berdiri di tepi tangga utama, menunggu giliran untuk diperkenalkan. Seorang koordinator acara datang menghampiri mereka, membisikkan sesuatu kepada Rayyan sambil memberikan isyarat tangan. Rayyan mengangguk sedikit, mempamerkan wajah profesional yang sudah menjadi topeng rutinnya.

Inara berdiri di sisi suaminya, berlagak tenang. Gaun champagne satin yang sama terletak kemas di tubuhnya, memancarkan aura elegan tanpa berlebihan. Sekali pandang, dia tampak seperti isteri sempurna seorang ahli politik. Senyum cukup manis, mata cukup hidup, bahasa tubuh cukup ramah.

Hakikatnya, dalam kepala Inara, dia sedang menghafal wajah-wajah di sekeliling. Menilai. Menyusun. Mencari lubang dalam sistem.

"Dato' Azman dan isteri dari Majlis Ekonomi Negara," bisik Rayyan perlahan, matanya melirik ke arah sepasang suami isteri pertengahan usia yang sedang menghampiri mereka.

Inara tersenyum sopan ketika pasangan itu mendekati mereka. Rayyan berjabat tangan erat dengan Dato' Azman, dan bertukar pelukan ringan dengan isterinya, Datin Saleha. Bila tiba giliran Inara, dia menundukkan sedikit kepala, sopan seperti diajar.

"Tahniah pengantin baru." Dato' Azman berbasa basi, tawanya bergema kecil.

Inara membalas dengan tawa kecil yang seolah-olah tulus, walaupun hatinya beku.

"Thank you," jawabnya, nada bersahaja.

Sepanjang lima belas minit seterusnya, mereka bertukar-tukar kata manis yang kosong makna. Tentang cuaca, tentang trafik, tentang ekonomi. Semua topik yang dipilih dengan teliti supaya tiada satu pun terlalu peribadi atau kontroversi.

Inara mengikut rentak itu tanpa masalah. Seperti biasa, dia menyesuaikan diri mengikut persekitaran; satu kemahiran yang tidak dipelajarinya di universiti, tetapi di medan sebenar, dalam dunia penggodam.

Semasa makan malam bermula, mereka duduk di meja utama bersama beberapa tokoh penting. Menteri kanan, CEO syarikat berkaitan kerajaan, dan wakil-wakil diplomatik dari negara jiran. Setiap mereka berbual dengan berhati-hati, seolah-olah setiap patah perkataan mereka sedang dirakam untuk dijadikan senjata pada masa depan.

Inara duduk di sebelah Rayyan, memotong ayam panggang di pinggannya sambil memasang telinga.

"Projek Fund Rakyat nampaknya dapat perhatian antarabangsa," kata seorang lelaki bermisai nipis dari hujung meja.

Rayyan mengangguk perlahan. "Alhamdulillah. We're doing our best. I believe transparency is key.”

Inara hampir tersedak mendengar kata-kata itu.

Ketelusan? Dari seorang ahli politik? Huh, wayang!

Dia capai gelas lalu meneguk air perlahan, menahan senyum sinis daripada terbit di bibir. Pandangannya tertumpu pada wajah Rayyan yang serius, yang penuh keyakinan bila berbicara tentang integriti seolah-olah lelaki itu benar-benar percaya padanya.

Mungkin dia memang percaya, fikir Inara. Itu lebih berbahaya.

Di bawah meja, tangannya menyentuh gelang kulit hitam di pergelangan tangan kanannya. Ia bukan aksesori biasa, tetapi peranti kecil yang disamar rapi dan membolehkannya memintas isyarat WiFi di sekeliling tanpa meninggalkan jejak digital.

Dia tidak aktifkannya malam ini. Belum.

Inara hanya mengimbas, mengenal pasti rangkaian dan peranti yang aktif. Telefon pintar, tablet, sistem PA dewan. Banyak daripada mereka menggunakan protokol keselamatan kelas korporat. Beberapa daripadanya terlalu lemah untuk tempat segenting ini. Dia menyimpan maklumat itu di dalam memorinya, menunggu masa yang lebih sesuai.

Selesai makan, acara berganjak kepada sesi bergambar dan perbualan santai.

Seorang wanita muda yang mungkin pertengahan 30-an, berwajah licik di sebalik solekan nipis mendekati mereka. Dia berbual mesra dengan Rayyan, menyentuh lengan lelaki itu secara halus sambil ketawa kecil. Inara memerhati dari tepi. Wajahnya tetap tenang, tetapi di sebalik ketenangan itu, fikirannya berjalan pantas.

"You tak kenalkan I dengan isteri you, Rayyan?" tanya wanita itu, suaranya menggoda.

Rayyan hanya tersenyum tipis, memperkenalkan mereka secara ringkas. "Inara, this is Marisa. We’re old friends.”

Marisa menghulurkan tangan. Inara menyambut dengan lembut, menggenggam tangan itu seadanya.

"Rayyan finally ended up with someone, huh," kata Marisa dengan senyuman separuh ikhlas.

"Nasib saya baik," jawab Inara, membalas pandangan tajam itu dengan senyum sinis. Naluri wanitanya mengagak, Marisa memiliki perasaan terhadap Rayyan. Tetapi cinta tidak berbalas mungkin? Atau perkahwinan dengan Marisa tidak akan membantu menaikkan imej atau reputasinya dalam politik. Ah, apa pun alasannya, terbit sedikit perasaan bangga kerana berjaya mendampingi lelaki yang turut diingini wanita lain.

Yeah, I’m a gloater. Sisi jahat dalam dirinya ketawa berdekah-dekah.

Rayyan ketawa kecil, seolah-olah tidak perasan ketegangan halus antara dua wanita itu.

“Okay Marisa, we shall excuse ourselves now." Rayyan meminta diri.

“Oh...alright.” Marisa memaksa sebuah senyuman.

Rayyan berlalu sambil mengganding tangan Inara. Sempat Inara menoleh ke arah Marisa sambil menghadiahkan senyum kemenangan. Walaupun dia dan Rayyan hanya berkahwin untuk tujuan politik, tetapi tidak salah kan jika dia menikmati kemenangan ini walau sekejap.

ACARA beransur santai. Tetamu mula beredar ke lounge untuk minuman malam. Rayyan berbisik perlahan ke telinga Inara, "Kita kena tunggu lima belas minit lagi sebelum boleh balik."

Inara hanya mengangguk.

Mereka mengambil tempat di sudut lounge yang sedikit terlindung. Rayyan berbual kosong dengan seorang diplomat, sementara Inara memerhati ruang itu dengan pandangan separuh malas.

Di satu sudut lain, dia melihat seorang lelaki yang mencurigakan. Berpakaian kemas, tetapi matanya meliar. Tangannya pula sentiasa di dalam poket jaket.

Pengawal keselamatan hotel tidak begitu memerhatikan lelaki itu. Mungkin tidak nampak mencurigakan di mata mereka.

Inara menukar posisi duduk, memberikan sudut pandang lebih jelas. Diam-diam, dia mengaktifkan fungsi rakaman gambar pada gelang kulitnya, menangkap beberapa imej lelaki tersebut untuk analisis kemudian. Nalurinya jarang salah dan dia yakin ada sesuatu yang tidak kena dengan lelaki itu.

"Kenapa termenung?" suara Rayyan membuat dia terlonjak kaget.

Inara tersenyum tipis. "Letih."

“Tunggu sekejap lagi,” katanya.

Inara sekadar mengangguk.

APABILA akhirnya mereka dibenarkan beredar, Rayyan menghulurkan tangan, secara formal memegang pinggang Inara sambil membimbingnya ke arah lif peribadi. Mereka berlakon sempurna untuk kamera-kamera wartawan yang masih menunggu di lobi.

Saat pintu lif tertutup, Rayyan menjarakkan dirinya.

"You’re doing good tonight. Keep it up," katanya, tanpa nada pujian berlebihan.

"Thank you," balas Inara, memandang lurus ke hadapan.

Lif bergerak naik perlahan.

Dalam diam, kedua-duanya tahu ini hanyalah malam pertama daripada puluhan malam penuh lakonan dan topeng.

Salam. Hai semua. Novel ni akan bersiaran setiap hari Khamis, Jumaat, Sabtu dan Ahad. Jemput follow ya...

Share this novel

nurul afzan
2025-05-08 12:51:42 

akhirnya,novel baru.. coins dh lame x gerak lepas find my wife habis...huhuhu


NovelPlus Premium

The best ads free experience