CUACA panas terik hari ini buatkan Amzar balik dalam keletihan. Baju kerja tidak sempat ditukar, kasut pun masih tidak dibuka. Punggungnya dilabuhkan ke tong kayu di tepi rumah.
Nora keluar dari rumah melihat keadaan suaminya.
"Abang rehat ke balik terus?"
Soalan Nora tidak dijawab. Jari Nora digoncang manja mahu membodek. "Sayang buatkan abang air sejuk boleh. Abang haus."
"Boleh abang. Sekejap saya ambilkan."
"Biar dekat dalam sayang, kejap lagi abang masuk." Beg silang diseluk mencari telefon. Beberapa panggilan dan mesej dipadam sebelum masuk ke rumah.
"Selamat. Now dah aman," bisik batin Amzar dengan tawa nakal.
Amzar masuk ke dalam rumah dan menanggalkan baju kerjanya. Susuk tubuh Nora dicari mahu dipeluk. Rindu betul dia dengan aroma Nora.
"Nora, duduk sini dulu. Ada benda abang nak bagitahu sayang."
"Hmm, sekejap. Dah nak siap air abang. Sikit lagi, sikit lagi ops... ops... dah siap. Air untuk suami yang Nor sayang."
Gelas besar diletakkan di depan Amzar dengan senyuman manja.
“Terima kasih Nora. Abang nak bagitahu sayang... abang rasa… kita kena pindah.”
Nora terbungkam. Sedetik kemudian dia bersuara.
“Kenapa? Rumah ni okey apa untuk keluarga kita yang kecil."
Amzar mengeluh dan memaut bahu Nora erat. "Tuan rumah nak naikkan sewa. Abang rasa tak berbaloi lagi pula rumah lain ada yang lebih murah kawasan pun lagi elok.”
Belum sempat Amzar bercerita bunyi suara dan ketukan pintu di luar mematikan perbualannya. Nora bangun dan ke depan. Seorang lelaki separuh umur dengan wajah masam mencuka berdiri dengan tangan mencekak pinggang.
"Pak cik?"
"Nora, Pak cik ni pun nak guna duit. Dah empat bulan sewa rumah tak bayar. Pak cik bukan nak perah kamu Nora."
Nora terdiam. Pantas dia menoleh ke arah Amzar yang baru muncul di belakangnya.
"Abang, betul ke 4bulan? Bukan ke tiap-tiap bulan...."
"Nora, pak cik datang bukan nak dengar masalah korang suami isteri. Macam ni la, pak cik bagi tempoh sampai 10hb. Tak bayar tolong keluar. Boleh ya."
Sengaja pak cik itu memintas perbualan mereka suami isteri. Dari riak wajah Nora pak cik sudah tahu apa yang berlaku. Satu keluhan dilepaskan merasa kesal.
"Nora, pak cik balik dulu. Ingat ya 10hb. Assalamualaikum," ucap pak cik sebelum beredar.
"Terima kasih pak cik. Saya cuba. Waalaikumussalam," balas Nora tergagap-gagap.
Tersandar Nora di pintu memikirkan masalah yang menimpa mereka.
"4bulan? Kenapa boleh jadi 4bulan?"
Amzar menggosok tengkuk dan meraup rambut ke belakang. Dahinya dipicit-picit terasa sakit. Doa tahu Nora marah.
"Kenapa abang tak bagitahu Nora awal-awal?"
Amzar mengeluh. Dia duduk di lantai dan bersandar di dinding dengan wajah tenang.
"Abang tak nak Nora risau. Nora, abang dah tengok satu rumah ni dekat tempat lain. Kawasan pun elok sikit ada tempat lapang untuk anak kita main nanti.”
Nora duduk dengan fikiran yang kusut. Dirinya rasa seperti ditarik ke bawah. Tapi dia diam dan hanya mengikut.
“Rumah baru tu… berapa depositnya abang?”
Amzar menggenggam tangan Nora. Pipi Nora diusap lembut agar isterinya tenang. "RM 1800 sekali dengan api air."
"Sekarang ni kenapa abang tak bayar sewa rumah kalau betul nak pindah? Ada ke duit abang nak bayar deposit banyak tu?"
"Ada, cuma tak cukup lagi RM900. Abang nak pinjam duit sayang dulu boleh? Abang janji nanti abang ganti. Kebetulan esok Nora gaji kan? Nora jangan risau okey, lepas ni abang cover semua," pujuk Amzar ke Nora dengan segal jurus yang ada.
Nora angguk perlahan. Seingat Nora dirinya ada membuat simpanan RM470 sejak beberapa bulan ini. Cadangnya untuk masa akan datang. Lama dia diam di depan suaminya memikirkan keputusan yang mahu dibuat.
"Nora, boleh tak abang pinjam?"
Kerana cinta Nora mengalah. Dirinya rela korbankan apa saja demi hidup bahagia bersama suami tercinta. Nora percaya satu hari nanti suaminya akan jaga dia seperti yang mereka janjikan.
"Abang, saya rasa boleh agaknya," ucap Nora mendatar.
Amzar memeluk tubuh isterinya. Pantas dicium pipi dan dahi Nora berulang kali. Sungguh Amzar rasa gembira apabila rancangannya berjaya dan Nora setuju dengan permintaannya.
"Terima kasih sayang. Abang tahu Nora satu-satunya buah hati abang yang baik," puji Amzar dengan senyuman meleret.
“Abang, boleh tak abang janji dengan saya."
"Janji apa Nora?"
"Boleh tak satu hari nanti bila kita senang… abang janji tak akan berubah. Abang janji tak lupakan Nora."
Amzar pandang Nora lama. Nafas ditarik panjang sebelum satu jari diletakkan atas kening Nora.
"Dengar sini sayang. Andainya satu hari nanti abang berubah, abang sakitkan hati sayang... abang rela tak dipanggil suami dan sayang boleh tinggalkan abang walaupun abang tak nak ceraikan sayang.”
Nora ketawa tawar. Dada suaminya ditumbuk manja. "Dramatik sangat abang ni."
"Nora, abang serius. Abang kahwin dengan Nora bukan sebab harta dan bukan sebab rupa. Abang ikhlas. Buktinya abang sanggup pilih sayang daripada pilih Yuna."
Nora dan Amzar ketawa bersama. Rumah kecil yang mereka duduk cukup buatkan Nora rasa tenang bila Amzar sentiasa ada bersamanya.
"Sayang, sekejap! Ada orang call abang. Ambilkan beg abang sana."
Nora bangun dan menurut kehendak suaminya.
"Siapa call sayang?"
"Aril."
"Oh, Aril! Abang lupa abang ada janji dengan dia."
Nora menghulurkan telefon ke suaminya namun suaminya meletakkan di sebelahnya dan menarik lengannya agar duduk bersamanya.
"Kenapa tak jawab?"
"Malas la abang. Baik abang layan isteri abang. Lagi dapat pahala."
.
.
Hujan renyai tidak menghalang semangat Nora dan Amzar ke klinik yang tidak jauh dari rumahnya. Nora duduk di kerusi menunggu namanya dipanggil. Nafasnya terasa sesak, jantungnya berdegup laju seperti baru memunggah barang di stor.
Peristiwa pagi kelmarin benar-benar merubah hidup Nora dan Amzar. Selesai membuat ujian air kencing, Nora dikejutkan dengan khabar gembira. Terang, jelas dan tanpa ragu sebaik keluar dari bilik air.
"Positif."
Nora berlari ke arah suaminya sedang baring di atas tilam nipis di ruang tamu. Tubuh suaminya yang tidak berbaju digoncang kuat.
"Abang, tengok ni. Cepat!"
Amzar berpaling dan mencapai alat yang ada di tangan isterinya. Bagaikan dirasuk, Amzar bingkas bangun.Wajah isterinya ditenung dengan riak wajah terkejut. Hatinya kian dibalut resah. Takut dan pada masa sama teruja.
"Betul ke Nora? Nora tak mainkan abang?"
Nora mengangguk dan tersenyum lebar. Air mata kegembiraan mengalir membasahi pipi tanpa suara.
Amzar memeluk Nora erat dan ketawa besar. Sesekali dia menjerit dan menggoncang tubuh Nora seakan tidak percaya. Mereka akan jadi ibu dan ayah.
"Isteri abang mengandung? Isteri abang mengandung anak abang... Anak kita! Terima kasih, sayang. Terima kasih. Syukur, Alhamdulillah.”
~
"Puan Nora. Puan Nora!"
"Ya saya. Datang!"
Nora bangun dan masuk ke dalam ruang bilik itu dengan perasaan berdebar-debar. Hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaannya saat ini.
"Semoga semuanya dalam keadaan baik."
.
.
Menu malam yang ringkas namun penuh dengan kasih sayang dalam rumah ini. Nasi kosong dengan sup ayam. Sup ayam yang cukup berbeza dari sebelumnya. Sup ayam yang penuh dengan kasih sayang suami ke isterinya.
"Makan lebih sikit, biar anak kita sihat."
Amzar menceduk sup dan diletak ke pinggan Nora.
“Abang, abang rasa-rasa... abang nak anak lelaki ke perempuan?”
"Abang nak dua-dua boleh?"
"Abang!"
Amzar ketawa kecil melihat isterinya mencebek. "Abang gurau jea Nora. Abang tak kisah asalkan dia sihat cukup buat abang happy. Abang nak dia cantik macam Nora dan handsome macam abang."
Mulutnya ditekup apabila nyaris tersembur mendengar cerita Amzar. "Bila abang beli baju tu? Tak bagitahu saya pun."
Amzar menoleh ke arah ampai yang ada di tepi pintu dengan senyuman meleret.
"Tadi. Abang tengok comel sebab tu abang beli. Abang tengah ada duit sikit. Kena beli dari sekarang sayang nanti tak gaduh barang anak kita tak cukup."
Nora mengangguk faham.
"Tapi abang, bukan ke tu baju baby girl?"
"Eh, ya ke? Orang kedai tu bagitahu abang boleh jea pakai girl ke boy. Betul ke ni sayang?"
Nora mengangguk dan tersengih. Wajah suaminya benar-benar pelik saat ini buat Nora terhibur.a
"Dah beli, tak apa la abang. Boleh jea pakai nanti. Abang ni mesti nak baby girl sebenarnya kan...tak nak mengaku dengan saya."
"Malu pula abang dengan Nora. Abang sebenarnya nak anak kita ada mata macam Nora. Nanti bila dia pandang abang, abang akan sentiasa ingat Nora."
Nora menepuk bahu suaminya kasar. Senyuman masih lagi tidak lekang di bibirnya terasa gembira. Gembira suaminya sentiasa menghiburkannya.
"Sayang, happy anniversary."
Nora terdiam melihat Amzar meletakkan sepotong kek entah dari mana di hadapannya.
"Abang! Apa ni?"
"Sayang tengok ni apa?"
"Eee... suka tau buat saya terkejut."
Nora memeluk suaminya dengan perasaan teruja dan terharu. Sungguh dia tidak menyangka suaminya akan buat kejutan untuknya.
"Abang bazir duit beli ni buat apa?"
"Bazir untuk sayang, tak salah. Sayang dah bagi hadiah anniversary paling berharga dalam hidup abang. Apa salahnya abang bagi ni ke sayang." Cincin di atas kek diambil dan disarung ke jari manis Nora.
"Terima kasih abang, saya hargai sangat. Mesti lama abang kumpul duit nak beli."
Amzar hanya tersenyum melihat isterinya gembira.
.
.
Jam menunjukkan 12.30pagi. Amzar bangun perlahan dan mengambil sehelai kertas nota di tepi beg isterinya. Wajah Nora ditenung sekejap sebelum mula diconteng.
Nama Anak Lelaki. Adam Iman.
Nama Anak Perempuan. Nurhana.
"Abang janji Nora, abang akan buat semua untuk Nora dan anak kita. Abang akan berusaha jaga anugerah yang Allah bagi dengan penuh rasa tanggungjawab. Abang tak akan jadi lelaki yang buat Nora dan anak malu ada abang sebagai abah dan suami."
Amzar melipat kertas tu dan diselit bawah beg Nora. Telefon bimbit dicapai dan beralih duduk di tepi pintu. Skrin telefon ditunjal perlahan. Ada nama yang tertera di skrin itu. Senyuman terbentuk tanpa sengaja.
"Aril," bisik batin Amzar.
Nafasnya ditarik dalam-dalam. Benaknya hampir pecah memikirkan hal ini. Amzar membaca baris ayat itu.
“Ril dah fikir masak-masak. Ril akan pilih Am jadi suami cina buta Ril. Tapi syarat saya cuma satu. Am kena jujur dengan isteri Am. Ril tak nak nanti dituduh perosak rumah tangga Am," ucap Amzar perlahan.
Keseimbangan emosi Amzar mula tergugat malam ini. Mesej ini seakan memcabar kewibawaannya sebagai lelaki.
“Aku nak jawab apa," keluh Amzar perlahan.
Kepalanya didongak memandang siling. Sungguh dirinya terasa tersepit. Selang beberapa detik Amzar memandang skrin telefon dan tersenyum sendirian.
"Am setuju dengan keputusan Ril tapi tolong bagi Am ruang dulu pujuk isteri saya. Ril tahu yang dia baru mengandung. Emosi dia tak stabil lagi buat masa ni." Ringan dan pantas jarinya menekan anak panah sebagai membalas soalan tadi.
"Kerja gila ke apa aku buat ni!"
Amzar mengeluh panjang. Telefon digenggam kemas. Tanpa sedar malam ini kasih ke isterinya yang selama ini dipupuk dengan doa dan sabar mula retak tanpa bunyi.
Share this novel