DCS 3 ~ TUDUH

Romance Series 18396

"Kak Cahya! Jagakan Tania boleh? Hari ni dia demam. Tak pergi tadika. Yana pulak kena keluar ni dah lambat," kata Riyana seusai turun tangga. Kelam-kabut dia meluru pada Cahya yang sedang buat kerja di dapur.

"Demam? Yalah. Tania kat mana?" tanya Cahya.

"Ada kat bilik tu. Dia tidur lagi."

"Dah bagi ubat ke belum?"

Riyana mendecit nipis.

"Yana tak bagi lagi. Alah, nanti baiklah tu. Demam sikit je pun. Okeylah, Yana pergi. Dah lambat ni!" Meluru Riyana melangkah pergi.

"Yana! Yana!" panggil Cahya namun hanya disapa keluh sendiri.

"Ish, dia tinggalkan aje budak tu? Kesiannya, Tania. Macam mana dia boleh demam tiba-tiba pulak ni?" bebel Cahya seorang diri. Lekas dia habiskan kerja di dapur ini untuk naik ke atas jenguk Tania.

Cahya letak dulang kecil berisi semangkuk bubur dan segelas air yang ditatang tadi ke atas meja sisi. Dia renung Tania yang tidak berapa lena seraya belakang tangan Cahya tala ke atas dahi anak kecil itu.

"Panas lagi," gumam Cahya.

"Tania... Tania... Bangun, sayang. Mak long bawa bubur. Kita makan dulu jom." Cahya kejutkan Tania. Dia juga perlu suapkan Tania ubat.

Terpisat-pisat Tania buka mata. Cahya bantu dudukkan Tania.

"Mak long suapkan bubur, ya? Lepas tu, kita makan ubat."

Tania sekadar mengangguk. Sesekali kedengaran rengekan manja dari mulut Tania kerana tidak sedap badan.

"Tania dah taknak," kata Tania sambil menggeleng.

"Sikit lagi?"

"Taknak." Tania tetap menolak untuk habiskan bubur depan matanya itu.

"Okey, kita makan ubat. Lepas tu, Tania rehat. Biar cepat baik."

"Tania nak mama..."

"Mama work, sayang. Kejap lagi mama balik, okey?" jawab Cahya walhal dia juga tidak tahu 'kejap lagi' dalam kamus hidup Riyana itu entah bilakah masanya kerana adik iparnya itu pulangnya tidak menentu.

Cahya tinggalkan Tania dengan rasa kasihan. Ibu ayahnya bercerai. Mamanya pula seakan tidak endah pada anak. Sehingga kini, Cahya tidak tahu kerja apa yang dibuat oleh Riyana. Adakala, keluar siang. Adakala, keluar malam. Malah pernah juga bermalam di luar.

"Cahya!! Cahyaaa!!!"

Cahya kelam-kabut turun tangga sebaik sahaja telinganya menangkap gema dari pekikan Puan Syanti.

"Kenapa, mummy?" Gelabah juga bila ibu mentuanya terjerit-jerit begitu. Risau kalau-kalau terjadi sebarang kecelakaan yang tidak diingini.

"Kau bau tak busuk ni?! Hah?!Pergi tengok Saidah tu! Mesti orang tua tu yang berak! Kau pergi tengok sekarang! Sekarang!" tempik Puan Syanti sambil menekup hidungnya dengan tapak tangan. Tidak tahan, busuk.

Cahya melangkah laju ke dapur lalu ke bahagian sudut katil Aunty Saidah. Tanpa buang masa, Puan Syanti turut ikut jejak langkah Cahya.

Mahu terjojol keluar biji mata Puan Syanti saat Cahya buka selimut wanita itu.

"Ya Allah, bocor ke?! Hish, kau ni Saidah menyusahkan betullah! Busuk macam ni! Kau tu dahlah tak boleh nak uruskan diri sendiri. Menyusahkan orang pulak! Dah cacat pun, hidup kau bukan main lama eh!" jerkah Puan Syanti dari jauh. Pampers pakai buang yang dipakai adiknya itu ditenung tajam menikam.

"Mummy! Tak baiklah mummy cakap macam ni," ujar Cahya. Terkejut dengan kata-kata ibu mentuanya yang tiada sebarang lapik itu.

"Eh, dahlah. Kau bersihkan orang tua ni! Aku taknak sebab si cacat ni busuk pulak satu rumah! Pergi, pergi cepat, pergi!" bentak Puan Syanti penuh geram. Tidak tertahan dengan bau najis yang tengah menusuk rongga hidungnya. Mahu muntah!

Cahya tarik nafas dalam-dalam seusai Puan Syanti beredar. Begitulah, dia hanya mampu pekakkan telinga jika Puan Syanti itu dalam mood amarah.

"Aunty Saidah dah bocor ni. Maafkan Cahya sebab lambat tengok aunty. Kita mandi terus, okey?" Cahya bergegas pula menguruskan Aunty Saidah yang terlantar. Dia ambil pakaian dan cadar baru serta beberapa barang keperluan dari rak di sisi katil.

***

Riyana pulang agak lewat malam ini. Masuk-masuk sahaja dalam bilik, nampak Tania menangis sambil pegang perutnya atas katil.

"Tania..."

"Mama..."

"Eh, kenapa ni?" Riyana mendekat dan usap wajah juga rambut anak kecil itu.

"Ergh... Tsk..."

"Kenapa, Tania? Cakap, sakit kat mana?" soal Riyana tidak keruan.

"Perut..."

Riyana raba dahi Tania. Masih hangat. Warna tubuh anaknya juga tampak kemerahan bak udang bakar. Dalam kelam-kabut berfikir, Riyana terpandang meja soleknya. Dia capai sekotak kecil susu yang sudah terbuka itu.

"Tania ada minum susu ni ke? Tania yang buka?" Kotak susu yang masih berstraw itu digawangkan pada Tania.

Tania mengangguk.

Mahu terlepas jantung Riyana daripada tangkainya. Dia buang kotak susu yang hampir kosong itu ke dalam tong sampah bawah meja. Susu itu basi. Tamat tempoh dah lama tapi Riyana terlupa untuk buang terus. Tanpa sedar, dia tinggalkan sahaja atas meja dengan sangkaan bahawa tiada sesiapa yang akan usik.

"Jom, kita pergi klinik!"

Riyana rapikan Tania dan panggil Puan Syanti untuk menemani memandangkan sudah lewat malam. Mereka perlu bergegas ke klinik yang terdekat untuk dapatkan ubat.

***

"Yadd!! Cahyaa!! Turun kejap! Turunnn!!"

Pekikan suara yang tiada henti dari ruang tamu tengah malam begini menyentakkan Riyad dan Cahya dalam kamar mereka. Sikit masa sahaja lagi mereka sudah boleh dibuai lena. Namun, terus terganggu dek suara wanita separuh usia itu.

"Kenapa dengan mummy tu, abang?" Cahya sudah tegakkan tubuh dari pembaringan. Dia ikat rambutnya yang terurai.

"Entah. Jomlah turun kejap." Laju Riyad sarung kain pelikatnya sebelum dia keluar bilik bersama Cahya.

"Hah! Sini kau, Cahya!" jerkah Puan Syanti selepas susuk menantunya terpacak depan muka.

Terkebil-kebil Cahya pandang ibu mentuanya, Riyana dan Tania yang baru pulang dari luar.

"Mummy, kenapa ni? Malam-malam bising macam ni. Malulah jiran semua dengar," keluh Riyad.

"Kau tanya... Kau tanya bini kau ni apa yang dia dah bagi makan kat cucu aku? Hah? Sampai keracunan, demam? Nasib baik mummy dengan Yana bawak dia pergi klinik tau tadi! Kalau tak, entah jadi apa entahlah kat cucu aku ni," rungut Puan Syanti sambil terjeling-jeling tidak puas hati.

Riyana dan Tania hanya menyepi tidak berkutik di sisi orang tua itu.

"Ta... Tania ke? Tapi... petang tadi demam dia macam dah kebah," soal Cahya takut-takut.

Bibir Puan Syanti terherot sinis.

"Yalah, Tanialah. Aku ada cucu lain lagi ke dalam rumah ni? Kau, kalau tak reti jaga budak tak payah jaga. Patutlah pun sampai sekarang ni Tuhan tu bagi kau mandul, Cahya!"

"Mummy!" Terbuntang Riyad sedut nafas. Tidak percaya Puan Syanti sanggup berkata begini depan Cahya. Cukuplah perkataan kejam itu hanya menerpa cuping telinganya sahaja, bukan Cahya.

Kesat Cahya telan air liur. Macam nak pecah dada dia tahan bahang segan depan semua orang.

"Mummy dengan Yana patut bersyukur tau sebab Cahya ada untuk tengok-tengokkan Tania. Tak mungkinlah Cahya nak apa-apa kan Tania. Tak logiklah, mummy," bela Riyad.

"Kalau dia tak apa-apakan si Tania ni, macam mana pulak budak ni boleh sakit perut? Hah? Kau kan yang suap dia makan siang tadi?" Puan Syanti makin galak menuduh.

Cahya telan air liur.

"Cahya... cuma bagi Tania makan bubur je hari ni mummy," jawab Cahya tidak keruan. Terbit rasa bersalah meski dia sendiri tidak tahu apa salahnya sehingga Tania boleh jatuh sakit.

Puan Syanti sengih sinis.

"Entah racun apa entah dia letak dalam tu, buat-buat tak tahu pulak..." gumam Puan Syanti namun kata-katanya tetap jelas terpacul keluar.

"Sudah, mummy. Cahya takkan buat benda mengarut."

Riyad palingkan wajah pada Riyana pula.

"Yana, kau dah tau anak kau tak sihat tak boleh ke kau ambil cuti? Jagalah Tania tu. Tak adalah mummy tuduh Kak Cahya yang bukan-bukan macam ni," ujar Riyad pada adiknya. Eh, dia pula yang panas dengan sikap Riyana.

Riyana mencebik sebal.

"Senanglah abang cakap. Abang Yad dengan Kak Cahya mana pernah ada anak. Tak payah nak acah tahu semua bendalah. Tolong jaga pun nak berkira!" Riyana merengus nipis.

Terus Riyana tarik tangan Tania lantas naik ke bilik. Anaknya perlukan rehat dan ketenangan.

"Maafkan Cahya, mummy," ucap Cahya tenggelam timbul. Entah Puan Syanti itu dengar atau tidak.

"Aku taknak dengarlah maaf kau tu. Hei, dalam keturunan aku ni tak ada yang mandul tahu. Kalau mandul sekalipun tidak disimpannya lama-lama buat bini. Tak ada guna," sindir Puan Syanti. Menyala-nyala pula api bencinya pada Cahya.

Itulah, bila dah keluar satu kesalahan mulalah salah-salah dari zaman tok kaduk yang lain turut keluar.

"Apa ni, mummy?" Riyad tidak puas hati.

"Apa? Aku cakap pasal Cahya, bini kau yang tak reti nak mengandung ni!"

"Cukup, mummy! Yad tak suka mummy cakap macam ni. Jom, sayang!" Riyad tarik tangan Cahya agar membuntuti langkahnya. Tiada guna terus tadah telinga pada benda yang menyakitkan hati.

Puan Syanti ketap gigi. Bola matanya tajam merenung bayang Riyad dan Cahya yang sudah berlalu pergi.

"Huh. Sikit-sikit nak menangkan bini dia tu. Aku rasa Yad ni dah kena jampi agaknya. Entah mandrem apa yang budak tu dah guna-gunakan anak aku tak tahulah. Sampai sayang sangat nak tinggalkan bini dia yang mandul tu!" bebel Puan Syanti tanpa sudah.

Riyad hambur keluh berat. Cahya yang menonong baringkan diri ke atas katil itu direnung dengan rasa bersalah. Cahya sangat lembut, mudah terasa juga mudah pendam segalanya. Jika tidak bijak ditebak, tidak akan ada sesiapa yang tahu keadaan hati isterinya itu.

Kata-kata Puan Syanti tadi cukup untuk buat sekeping hati Cahya tergores.

Dari belakang, Riyad peluk pinggang Cahya. Sambil memejamkan mata, rambut Cahya dicium lama. Hanya degup jantung dua insan dan esak tangis dari Cahya yang menjadi halwa telinga. Beberapa minit Riyad dan Cahya dalam keadaan begitu.

"Maafkan mummy, sayang. Jangan ambil hati dengan kata-kata mummy. Mummy mesti tak maksudkan macam tu," pujuk Riyad untuk memecahkan hening.

"Tsk... Tsk..."

"I love you... Abang selalu ada untuk sayang..." Riyad kekal memujuk meski Cahya tidak beri sebarang respon.

Cahya pusingkan tubuh sambil genggam tangan Riyad. Dengan linangan air mata yang sudah tidak deras dia pandang wajah Riyad.

"Maafkan sayang, abang. Sayang tak dapat nak bagi abang zuriat. Kenapa... tsk... abang masih setia dengan sayang? Kenapa... tsk... abang tak cari...?" Belum sempat Cahya menghabiskan ayatnya, bibirnya ditekup dengan ibu jari Riyad yang menyinggah lembut.

"Abang sayangkan Cahya. Tak mungkin abang akan tinggalkan sayang hanya disebabkan tak ada zuriat atau disebabkan kata-kata mummy. Dah, abaikan semua. Sayang ada abang, kan? Cukuplah kita rasa bahagia berdua." Riyad usap kepala Cahya. Elus lembut air mata Cahya. Mahu terus memujuk gundah hati isterinya.

Cahya mengangguk. Tubuh Riyad dia peluk rapat. Janji manis yang Riyad tabur dalam tiap pujukannya itu dipahat kekal dalam hati. Hati ini terus tenang dan sentiasa ditenangkan oleh sang suami tanpa culas.

Ah, Cahya mohon agar rasa bahagia ini tidak akan pernah terhenti waktu!

"I love you, abang."

"Hm, macam itulah sayang abang. Dah tak sedih, kan? Kalau sedih lagi alamatnya abang tak jadi outstationlah lusa ni. Abang tak boleh keluar rumah tanpa senyuman sayang. Nanti abang tak cukup bateri. Kalau tiba-tiba masa seminar nanti abang sasau lepas tu pengsan macam mana?"

Cahya tertawa kecil. Dia tepuk manja dada Riyad sekali.

"Apalah abang ni! Mengada!"

"Mestilah, mengada dengan isteri sendiri tak boleh?"

Cahya ukir senyum lebar. Diabaikan sahaja soalan Riyad. Dakapan mereka yang erat antara satu sama lain itu sudah cukup untuk menjawab persoalan yang sengaja.

Liku yang tertiti sudah cukup merobek hati,
Jika liku yang mendatang kelak lebih menguji, ampuhkah duhai hati?

Kalau sasau perempuan lain, elok mati teruslah Yad. Jemput follow dan komen ya gais!

Share this novel

Erna Md Nordin
2024-11-30 14:52:36 

Done...buat msa ni belum hidu lg bau² curang tu...Riyad jgn mcm² k...


NovelPlus Premium

The best ads free experience