Bab 2

Romance Series 39307

SUASANA awal pagi di rumah kediaman Encik Idris dan Puan Hanim agak sunyi seperti hari-hari biasa walaupun semua isi rumah sudah bangun dan sedang berkumpul di meja makan.

Bau nasi lemak dan kuih-muih yang tersusun di atas meja terlihat begitu menyelerakan sekali. Tetapi, Erisha hanya melirik semua makanan dengan riak tidak berminat. Situasi di meja makan langsung berubah sepi ketika Erisha tiba di meja makan.

Puan Hanim dan Encik Idris saling berpandangan sesama sendiri melihat Erisha yang memakai jaket hoodie bergambar kartun dan seluar jeans longgar melangkah menghampiri mereka sambil membetulkan beg galas di belakangnya dengan riak wajah bersahaja. Gerak-gerinya menunjukkan dia sedang terburu-buru mengejar masa.

"Risha pergi dulu, bu," kata Erisha seraya menyalami Puan Hanim.

Puan Hanim lantas mengeluh kecil. "Kenapa kelam-kabut sangat ni, Sha? Kalau ya pun nak pergi, sekurang-kurangnya, sarapanlah dulu."

“Risha kejar masa ni, bu. Ada kelas pukul dua petang nanti," balasnya sambil mencapai kuih cekodok pisang di pinggan Edry lalu disumbat ke mulutnya, lantas dia beralih kepada Encik Idris dan menghulurkan tangannya kepada lelaki yang sedang memandangnya dengan pandangan serius itu.

Encik Idris menggeleng sambil mendengus. "Baru kahwin semalam dah nak balik ke kampus ke? Paling tak pun, tunggulah suami Risha tu dulu. Semalam dia cakap nak hantar mama dan papa dia balik ke hotel, sekali tak datang-datang. Mungkin letih sangat kut. Tapi, Datuk Fazli ada cakap semalam yang dia orang akan datang ke sini nak bersarapan dengan kita."

Perkataan suami yang terpacul daripada mulut Encik Idris membuatkan Erisha hampir tersedak cekodok yang belum lumat dalam mulutnya. Suami? Aku ada suami? Oh, ya! Lelaki berlagak lagi angkuh yang bersumpah hendak menghukumnya semalam itu adalah suaminya. Hampir sahaja dia terlupa. Tetapi, menunggu suaminya? Itu tidak mungkin! Dia tahu tidak mungkin lelaki itu akan datang dan dia juga tidak berharap langsung. Dia lebih berharap agar dia tiada kaitan dengan lelaki itu sama sekali.

Erisha membetulkan tudung bawal bercorak bunga di kepalanya, lalu dengan muka selamba dia mencapai cawan milik Edry dan menghirupnya. "Risha takda masa nak tunggu. Lagipun, Risha balik ni sepatutnya nak tengok Kak Rina kahwin, bukan untuk dipaksa kahwin. Risha tak nak terlepas kelas. Dah penghujung final sem dah ni. Sepatutnya Risha kena fokus pada study dan tak nak stress pasal hal lain."

Puan Hanim dan Encik Idris saling berpandangan dengan riak serba salah pada wajah masing-masing, sedar bahawa kata-kata anak bongsu mereka tadi itu berupa perlian dan sindiran yang ditujukan kepada mereka dan juga kata-kata yang menunjukkan ketidakpuasan hati.

Kalau bukan kerana desakan Datuk Fazli dan Datin Maherah yang tidak mahu majlis dibatalkan atas alasan maruah, mereka sebenarnya mahu membatalkan sahaja majlis yang sudah dirancang dan tersedia rapi itu.

Semalam, mereka sendiri nampak kemarahan dan ketidakpuasan hati yang terpancar pada raut wajah menantu mereka sama seperti anak mereka. Ya, mereka nampak! Tetapi, mereka sendiri menjadi mangsa keadaan yang disebabkan oleh anak kedua mereka yang entah ke mana. Hanya perkataan maaf kerana terpaksa pergi sahaja nota yang ditinggalkan oleh anak mereka itu.

"Okeylah, Risha gerak dulu. Risha tak bawa kereta sebab tayar botak. Risha naik bas je," kata Erisha, lalu giliran Edry pula disalam.

"Hebat betul adik abang ni. Baru semalam nikah, hari ni dah buat haluan sendiri," kata Edry sambil mengunyah makanan dalam mulutnya. Padahal, bukannya dia tidak tahu situasi perkahwinan yang terpaksa dihadapi oleh adiknya yang 'sengal' itu.

Erisha menjeling tajam sambil mencebik. "Jaga tepi pinggan abang sendiri je!"

"Nak jaga tepi pinggan abang sendiri pun susah. Tak sempat nak defend cekodok abang, orang tu laju je rembat tadi," balas Edry selamba.

"Abang! Hisy!" Erisha memusingkan bola mata sebelum dia mengorak langkah pergi dari situ.

Semua ahli keluarga yang ada di meja makan itu hanya mampu memerhati Erisha melangkah pergi.

- - - -

ERISHA melangkah masuk ke dalam rumah sewanya dengan langkah perlahan menuju ke sofa ruang tamu. Beg galasnya kemudian diletak kasar di tepi sofa sebelum dia menghenyakkan punggungnya. Tubuhnya disandar lemah, kepalanya didongakkan merenung siling untuk menenangkan fikirannya, tetapi fikirannya malah terasa semakin sesak.

"Eh, Sha! Bila lagi kau sampai?"

Erisha melepaskan keluhan panjang. Tanpa perlu melihat, dia tahu siapa pemilik suara tadi. "Baru je," jawabnya malas. "Mana yang lain?" soalnya sebelum dia menoleh sekilas memandang Fizah yang baru sahaja melabuhkan punggung di sebelahnya.

"Rita balik ke rumah family dia sekejap ambil barang. Nani pula keluar dengan kakak dia pergi beli bahan untuk projek dia." Dahi Fizah langsung berkerut saat dia terpandang jari-jemari Erisha yang berinai pekat. "Ni... kau yang kahwin ke, kakak kau yang kahwin? Bukan main merah menyala lagi inai kat jari tu," soalnya disusuli dengan tawa kecil. Niatnya sekadar hendak bergurau.

"Aku yang kahwin."

Terkekeh Fizah ketawa mendengarkan jawapan yang terpacul daripada mulut Erisha. "Untunglah takda angin takda ribut tiba-tiba kahwin. Meloponglah semua peminat-peminat kau tu!"

Erisha lantas menegakkan tubuhnya dan menatap wajah Fizah dengan muka seriusnya yang tampak lesu. "Aku tak bergurau, Zah."

Serta-merta tawa wanita berkaca mata itu terhenti. Agak lama dia mengamati wajah Erisha sambil memicingkan mata sebelum dia menekup mulutnya. Matanya terbeliak, terkejut selepas dia mengesan tiada unsur-unsur gurauan pada riak wajah sahabatnya. Baru dia perasan mata Erisha sembab dan bengkak seperti tidak cukup tidur atau banyak menangis.

"Seriuslah!"

Erisha mengangguk lemah, lalu dia bersandar semula seperti tadi.

"Dengan siapa? Weh! sampai hati kau tak jemput aku kau kahwin!" Suara Fizah kedengaran seperti berjauh hati, tetapi dia masih dalam proses menghadam berita yang baru diterimanya sebentar tadi.

Sahabat yang dia kenali selama hampir empat tahun yang sering menjadi teman setia berkongsi suka dan duka berkahwin tanpa memberitahunya langsung? Sekecil-kecil cerita pun dikongsi, tetapi mengapa hal sebesar ini wanita itu tidak memberitahunya langsung? Sampai hati!

"Macam mana aku nak jemput kalau aku jadi pengantin last minute?" Erisha diam seketika sebelum dia mendongak dan menekup muka. "Ah, benci!"

"Apa sebenarnya dah jadi? Kau kena kahwin paksa ke? Jangan cakap yang kau ganti tempat kakak kau pula?" teka Fizah, lebih kepada membuat pernyataan.

"Memang itupun yang berlaku," balas Erisha dengan suara perlahan.

"Hah?!"

Erisha menegakkan semula duduknya, lalu dia melepaskan keluhan berat sebelum dia menceritakan hal sebenar kepada sahabat baiknya itu.

"Gila, betul-betul gila! Aku tak nak cakap bukan-bukan pasal family kau, tapi aku nak cakap juga! Kejam betul dia orang buat kau macam tu, Sha! Suami kau tu pula, apasal kau pula yang kena tanggung hukuman? Bukan salah kau pun!" Fizah mengomel geram menghamburkan ketidakpuasan hatinya.

"Nak buat macam mana lagi? Benda dah pun jadi."

"Apa kau nak buat lepas ni?"

Erisha menjongketkan bahu dan keningnya serentak. "Aku teruskan hidup macam biasa ajelah. Ni last sem, kan? Aku fokus dulu dengan study, lepas dah habis study nanti, aku nak pergi jauh dari semua orang."

"Kau rasa kau boleh lari macam tu je ke? Family kau mesti akan cari kau. Hm, lagi satu... macam mana dengan Rafiq? Weh! Bertahun-tahun dia berharap kat kau tau! Mesti dia kecewa kalau dia tahu crush dia dah kahwin."

Rafiq? Erisha spontan mengetap bibir selepas nama itu menerpa gegendang telinganya. Bukannya dia tidak tahu bahawa lelaki itu telah lama menyimpan perasaan terhadapnya.

"Biar jelah dia. Aku simpan jelah dulu. Boleh buat spare di kemudian hari. Nak madukan dia, tak boleh pula," seloroh Erisha disusuli dengan tawa kecil. Tawa yang dipaksa. Lantas, dia meraih beg galasnya seraya berdiri. "Aku masuk bilik dulu, nak rest sekejap. Beberapa malam ni aku tak cukup tidur. Pukul satu nanti, kau kejutkan aku tau! Aku tumpang kereta kau pergi kelas. Aku tinggal kereta aku kat kampung." Tanpa menunggu balasan, Erisha segera mengayun langkah menuju ke biliknya.

- - - -

"ESOK Zaq terbang pergi bercuti. Zaq pergi seorang je. Kalau ikutkan, dah tak ada mood dah nak pergi bercuti, tapi alang-alang dah ambil cuti dua minggu dan dah bayar pakej percutian tu, baik pergi je."

Serentak pasangan suami isteri berusia pertengahan lima puluhan tahun itu saling berpandangan sebelum kedua-duanya serentak menggeleng dan mengeluh selepas mendengar kata-kata anak lelaki mereka sebentar tadi.

"Kenapa Zaq nak pergi bercuti seorang diri tak bawa isteri? Percutian Zaq ni sepatutnya honeymoon, kan?" soal Datin Maherah dengan kerutan di dahi.

"Dah kenapa nak bawa dia pula? Orang tu masih budak lagi, ma. Masih belajar lagi. Biar jelah dia fokus dengan study dia tu. Mama dan papa pun tahukan, kalau bukan sebab Zaq fikir pasal maruah keluarga hari tu, ingat Zaq nak ke kahwin dengan budak tu?"

"Budak apanya dah umur nak masuk 24 tahun, Zaq? Mama dulu kahwin dengan papa masa umur 20 tahun tau. Sedangkan umur 18 tahun pun dah boleh berkeluarga, inikan pula..."

"It's a different story, ma. Mama kahwin dengan papa dulu sebab cinta, kan?" Laju Zaq Zaeden memintas percakapan ibunya dengan lagak dingin.

Datin Maherah melirik suaminya sekilas sebelum dia melepaskan keluhan dan memandang semula anaknya. "Belajarlah terima Erisha tu sebagai isteri Zaq. Takkan sampai bila-bila Zaq tak nak sebumbung dengan dia? Cinta boleh dipupuk. Mama tengok Risha tu, sedap je mata memandang. Tak kalah cantik dengan kakak dia. Lemah lembut je dia bercakap dengan mama masa hari nikah tu."

"Ni bukan soal cantik atau lemah lembut, ma. Senang cakap, cinta tak boleh ditukar ganti. Apa-apapun, esok Zaq akan pergi bercuti seorang," balas Zaq Zaeden seraya berdiri, lalu dia segera beredar dari meja makan meninggalkan sarapannya yang masih banyak berbaki di dalam pinggan. Langkah kakinya dipercepatkan menuju ke biliknya yang terletak di tingkat atas. Tidak sanggup lagi dia terus menadah telinganya mendengar nama orang yang dibencinya disebut-sebut.

"Eh, eh, budak nikan!" Datin Maherah bingkas berdiri dan berniat hendak mengejar anak lelakinya itu, namun Datuk Fazli dengan pantas menahan isterinya.

"Awak nak pergi ke mana tu?"

"Saya belum habis bercakap lagi dengan budak tu, bang. Risau pula kalau dia tiba-tiba ceraikan si Risha tu. Takkanlah baru kahwin terus cerai," jawab Datin Maherah dengan muka risau.

"Biarkan je dulu. Bagi dia masa. Abang dah pesan kat dia, kalau dia bubar perkahwinan, abang akan tarik balik syarikat solar tu dan abang takkan wariskan sesen pun kat dia."

Mendengarkan kata-kata suaminya, Datin Maherah melepaskan satu keluhan panjang. Rasa serba salah, tetapi dalam masa yang sama, dia sebenarnya berharap agar anaknya itu akan mampu menerima perkahwinannya dengan hati yang terbuka sama ada cepat atau lambat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience