Bab 1

Romance Series 19217

IZREEN segera berjalan pergi sebaik sahaja selesai menghidangkan minuman di atas meja. Namun bukan arah dapur yang dia tuju, sebaliknya bersembunyi di suatu sudut sebelum mencuri pandang ke arah seseorang.

Dia tidaklah terlalu mengenali lelaki itu. Hanya nama, umur dan pekerjaannya sahaja yang Izreen tahu.

Namanya Zakwan, atau lebih dikenali sebagai Doktor Zakwan. Tubuhnya tegap dan sasa. Paras rupanya pula tampan biar terlihat sedikit berusia. Ya, memang berusia malah jarak umurnya dengan Izreen pun agak-agak dalam 20 tahun.

Asyik memerhati, tak sedar bibir Izreen sedang giat menguntum senyum. Ish, gatal!

"Ehem! Berani intai dari jauh je ke? Tak nak pergi dekat-dekat? Sapa-sapa, belai-belai, tak nak? Maklumlah, dah sah dah kan?"

Terkejut bukan alang kepalang Izreen saat diri disergah oleh seseorang dari belakang. Munculnya entah sejak bila, dia tidak tahu. Ah, kacau je!

Izreen toleh sambil tangan dibawa mengurut dada. "Apa awak ni? Buat orang terkejut tahu tak." Izreen menampar lembut lengan anak saudaranya bersama serautan muka yang masam.

Sarah sah bergelar anak saudara kepada Izreen setelah terlafaznya akad nikah pagi tadi. Wanita muda itu merupakan pelajar sekampus dengan Izreen tetapi usianya pula muda beberapa tahun daripada Izreen. Pun begitu, mereka berdua tetap rapat malah selalu sahaja keluar bersama-sama.

Sarah ketawa ketika Izreen berdecit sebal. Tingkah kalut Izreen itu membuat dia semakin seronok mahu mengusik. "Asyik sangat mengintai suami sendiri, mana taknya. Sergah sikit je pun."

‘Suami?’

Wajah Izreen terasa membahang kepanasan dengan tiba-tiba. Malu.

Ya, lelaki tua itu memang sudah menjadi suaminya. Biarpun saling tidak kenal, saling tidak sayang tetapi hakikatnya mereka berdua adalah pasangan suami isteri. Mahu tanah yang dipijak retak berjuta, awan di langit terjatuh merata sekalipun... eh, macam tak logik pula kan semua tu? Tapi itulah hakikat.

"Saya ke belakang kejap, banyak lagi kerja tak siap tu," ujar Izreen. Menonong dia berjalan menuju ke arah dapur.

"Nak mengelak konon. Tak penat ke? Kalau penat, auntie pergilah rehat. Bilik Uncle Zakwan kat arah situ! Tu, tu!" Sarah mengekek, siap menukar lagi panggilannya terhadap Izreen. Ya lah, mana boleh panggil nama kerana wanita muda itu kini sudah pun menjadi ibu saudaranya.

* * *

"CARI siapa? Cari Reen ke?" Puan Ameena memandang ke arah anak keduanya dengan tatapan tidak berpuas hati. Dia tahu sepasang mata jernih itu sedang mencari siapa, tetapi bukan itu yang dia kisahkan melainkan kata-kata Zakwan sebentar tadi.

Zakwan diam tetapi sempat mengukir senyum. Geli hati pula rasanya memikirkan tingkah kalut Izreen yang sentiasa mahu mengelak daripada bertembung wajah dengannya. Sejak tadi dia belum sempat berbual dengan isterinya itu kerana masing-masing sibuk melayan tetamu yang datang. Ibu dan bapa mentuanya pula berebutan pulang setelah selesai sahaja majlis.

Majlis perkahwinan di antara Zakwan dan Izreen dibuat secara mengejut tanpa dijangka benar. Kedua-dua belah pihak hanya mengambil masa selama seminggu sahaja untuk berbincang, semua itu angkara Puan Ameena sendiri jugalah. Kalut sangat! Risau sangat majlis tak jadi, sudah tak tahan juga mendengar umpatan orang sekeliling.

"Kamu ingat ye. Mummy kahwinkan kamu dengan anak jiran sebelah kita tu, bukan atas dasar kejam atau memaksa. Mummy cuma nak tutup mulut orang yang suka sangat mengata anak mummy ni songsang, tak betul. Mummy dengan daddy malu tahu tak? Tak pasal-pasal budak Izreen yang masih belajar tu pulak yang jadi mangsa. Kamu ni dahlah umur dekat nak senja, bini pun tak ada!"

Zakwan diam, masih mengulum senyum. Apabila difikir-fikirkan balik, tak rugi juga dia menolak jodoh pilihan ibunya itu. Untung badan dan hati sungguh apabila mendapat anak dara. Cantik, sopan, manis, pemalu pula tu!

Zakwan sendiri bukanlah tulen teruna. Dia merupakan seorang duda anak satu. Pernah mendirikan rumah tangga namun berpisah ketika anak mereka baru sahaja berusia tiga tahun.

Puan Ameena menghela nafasnya sekejap. Wajah yang sakan menyinga geram tadi tiba-tiba mengendur sayu. "Lagipun, mummy kesian tengok budak Izreen tu. Ada mak bapak, tapi macam anak yatim piatu. Sibuk dengan keluarga baru. Tengok macam tadi tu, bang... "

Muka Encik Zaim kini dipandang. "Masing-masing nak balik cepat-cepat. Entah tegur Reen pun tak ada agaknya. Kesian Reen."

"Tu lah, yang. Abang pun perasan. Kesian menantu kita tu. Dahlah masih muda, duduk sorang-sorang pulak. Agaknya Tahar dengan Salma tu ingat, duit dan rumah tu je dah cukup untuk Izreen. Bercerai-berai sampai anak sendiri jadi mangsa." Sayu suara Encik Zaim saat dia memuntahkan keluhan. Izreen sudah dianggap seperti cucunya sendiri, tetapi hanya dulu kerana kini Izreen sudahpun menjadi menantunya.

"Samalah macam Zakwan ni!"

Senyuman Zakwan mati, mati saat diri diserang tak sudah oleh jelingan ibunya. Dia tahu, ibunya telah mengaitkan dirinya dengan kata-kata ayahnya tadi.

"Kali ni berapa lama pula?" Encik Zaim kembali menyoal. Biar hati menyetujui kata-kata sang isteri, tersisa juga rasa simpati terhadap nasib anak keduanya itu. Sehari tidak dibebeli memang tidak sah.

"Tak lama, daddy. Tiga tahun lebih je." Tenang Zakwan menjawab. Menjawab sambil ikutan mengukir senyum biarpun tahu jawapannya itu nanti sudah tentu akan membangkitkan kemarahan ibunya.

"Tiga tahun? Tiga tahun tu tak lama kamu kata???" Puan Ameena mengeruhkan wajah. Sungguh, dia tidak puas hati!

"Mummy tak fahamlah dengan perangai kamu ni, Zakwan. Negara sendiri pun tak tertolong, menyibuk pula nak menolong negara orang. Jalankan kerja tu baik-baik sebagai seorang doktor kat Malaysia ni je, sudahlah. Mengejar apa kat tempat yang tengah berperang tu? Kejar bom?"

Zakwan langsung membuang keluhan berat. Kadangkala dia sedih pula dengan pandangan orang seperti ibunya yang selalu berfikiran seperti itu. Entah di mana rasa empatinya terhadap mangsa-mangsa yang sedang berjuang setiap saat untuk mencari nafas di sana. "Mummy cakap apa ni? Membebel tentang kemanusiaan? Tentang nyawa? Keadaan kat sana tak sesenang kat sini, mummy. Kebanyakan wanita, anak-anak kecil yang jadi mangsa," keluh Zakwan perlahan dan sayu.

"Anak kamu sendiri kat sini, macam mana? Merangkak, membesar tanpa kasih sayang ibu bapa? Macam mana tu, Zakwan???"

"Dia elok je duduk dengan babysitter dia tu, mummy. Saya dah sediakan secukupnya untuk dia."

"Secukupnya? Kasih sayang? Cukup tak?" Puan Ameena menyoal dengan nada perlian. "Mummy tahu kamu mampu berikan semuanya pada budak tu, duit bukan masalah buat kamu tapi kasih sayang? Kamu tak mampu! Sampai bila nak buang anak sendiri? Kalau ya pun kamu marahkan mak dia, jangan sampai anak sendiri jadi mangsa! Berdosa, Zakwan! Berdosa!"

"Mummy, baru je semalam saya pergi ke sana jenguk dia. Dia seronok je duduk kat sana. Jahat-jahat saya ni pun, taklah sampai nak benci darah daging sendiri."

Jeda. Puan Ameena hilang kata-kata. Bercakap dengan anak kedua memang sulit, paling degil, paling keras kepala.

"Bila nak bertolak?" Encik Zaim kembali bersuara saat keadaan hening sekejap.

Zakwan tarik nafas dalam-dalam sambil memandang ke arah kedua-dua orang tuanya silih berganti. Jawapan sudah ada, namun terasa berat benar untuk diluahkan. Bukan kerana takut dimarahi, tetapi dia berasa serba salah sahaja.

"Malam ni." Terungkap setelah beberapa detik jeda.

"Malam ni??? Izreen dah tahu ke, Zakwan?" Puan Ameena langsung membuntangkan mata.

Hanya gelengan kecil sahaja yang Zakwan mampu usulkan terhadap pertanyaan garang ibunya itu. Memang Izreen belum tahu. Jangankan untuk memberitahu, menyapa Izreen pun dia tak sempat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience