Bab 15

Romance Series 11562

"APA?! Rizal dah berhenti kerja?!" Tan Sri Hanafi bersuara keras. Dia terkejut dengan berita yang baru diterimanya dari panggilan telefon. Lelaki itu kini sedang bercakap dengan Jamal yang baru sahaja menghubunginya.

"Ya Tan Sri.. dengar cerita, dia berhenti selepas bergaduh dengan salah seorang pengurus kat sini." Kedengaran suara Jamal di sebalik panggilan. Tan Sri Hanafi pula menggeleng-gelengkan kepala. Kecewa dengan tindakan anak lelakinya.

"Tapi saya juga terima khabar, dia bergaduh sebab nak lindungi seorang pekerja perempuan.. budak perempuan tu kerani yang baru kerja jugak kat sini.. masih dalam tempoh pelatihan.. dengar kata, pengurus tu cuba mencabul.. Saya dah ambil tindakan. Pengurus tu pun saya dah pecat serta merta dari syarikat."

"Baiklah.. kalau macam tu takpe lah.. nanti saya sendiri akan hubungi Rizal." Tan Sri Hanafi mengeluh. Lelaki itu segera menamatkan panggilan telefonnya bersama Jamal. Langkah kaki Tan Sri Hanafi bergerak lemah, menuju ke arah sofa. Dia kemudian menjatuhkan punggungnya ke sofa. Tokoh korporat yang berjaya itu terlihat sedang memikirkan sesuatu.

"Riz.. apa yang dah berlaku sebenarnya? kau berhenti kerja.. sebab bergaduh.. tapi kau selamatkan seorang perempuan dari di cabul.." Tan Sri Hanafi berbicara sendirian. Dia sebenarnya tidak hairan jika anaknya itu akan berhenti kerja atau bergaduh kerana dia mengenali perangai angkuh dan sombong anak lelakinya itu.

Selama ini, dia juga meragui jika Rizal mampu untuk bertahan selama bekerja di sana jika dinilai dari sikap anaknya itu. Namun apabila mengetahui punca yang menyebabkan Rizal bergaduh, Tan Sri Hanafi menjadi hairan. Rizal yang bergaduh kerana melindungi maruah seorang perempuan itu kedengaran satu sikap yang baik. Namun Tan Sri Hanafi langsung tidak menjangkakan anaknya itu akan bersikap baik sebegitu. Padahal dari awal, lelaki itu risau jika Rizal adalah lelaki yang akan mencabul kehormatan wanita, namun kini keadaan sudah berbalik.

"Riz.. apakah kau dah berubah?... atau punca pergaduhan tu, kau saja nak jadikan alasan untuk lepaskan kemarahan kau?" Tan Sri Hanafi masih tertanya-tanya sendirian.

Seketika kemudian, lelaki kaya itu melihat ke arah telefon pintar di tangannya. Dia segera menyentuh skrin telefon untuk membuat panggilan. Tan Sri Hanafi ingin mendengar sendiri penjelasan Rizal daripada mulut anaknya itu sendiri. Namun setelah membuat panggilan, sambungan tidak berjaya dilakukan. Berkali-kali Tan Sri Hanafi cuba untuk menghubungi Rizal namun tetap gagal.

"Ish, kenapa pulak dengan budak ni? kenapa call asyik tak masuk? telefon dia takde line ke?" sungut Tan Sri Hanafi.

PADA masa yang sama, Rizal pula kelihatan termenung sendirian di sebuah warung. Telefonnya yang diletakkan di atas meja ditatap dengan penuh rasa kecewa. Tiba-tiba Amira muncul dan duduk dikerusi yang berhadapan dengan Rizal.

"Kenapa termenung ni?" Amira menegur Rizal yang terlihat diam menatap telefon.

"Huh, telefon saya ni.. tadi jatuh.. terus rosak." Rizal membalas seraya melepaskan keluhan.

"Laa.. kesian pulak kat awak." Amira menyuarakan rasa prihatin.

"Hmm, biar la.. lagipun saya bukan ada nak contact sesiapa dah.. nanti ada duit, boleh la beli telefon baru."

"Family awak macam mana? awak tak berhubung dengan diorang ke?" Amira mula tertanya-tanya mengenai keluarga Rizal. Selama perkenalan mereka, lelaki itu sama sekali tidak pernah bercerita mengenai keluarganya. Dia hanya tahu Rizal adalah seorang perantau yang mencari kerja di sana, namun langsung tidak tahu mengenai asal-usul lelaki tersebut.

"Family?.. Huh.." Rizal mengeluh.

"Eh, kenapa? awak ada masalah dengan keluarga awak ke?"

"Emm... entahlah.. tapi rasanya keluarga saya pun dah tak nak terima saya.. saya anak yang tak guna.. selama ni pun hanya tahu menyusahkan orang tua je.. Kalau saya kembali sekarang pun, mesti kena halau." Rizal membuat andaiannya sendiri. Dia tahu, tindakan dia berhenti kerja pasti sudah diketahui oleh bapanya.

Orang tua tersebut pasti akan marah besar dan tidak akan menerima Rizal kembali. Sedangkan perjanjian mereka sebelum ini, Rizal haruslah bertahan kerja di sana selama enam bulan. Tidak di sangka, dirinya hanya mampu berada di sana selama hampir tiga minggu sahaja. Rizal tahu dia sudah mengecewakan orang tuanya. Malah bapanya pasti tidak akan menyerahkan empayar konglomerat miliknya itu kepada Rizal. Rizal sama sekali telah gagal dalam ujian yang diberikan.

"Eh, tak baik cakap macam tu.. orang tua mana yang tak sayangkan anaknya.. kalau ada salah faham, awak masih boleh perbaiki.. jangan rosakkan hubungan dengan orang tua." Amira memberikan nasihat. Pada pandangannya, Rizal adalah seorang lelaki yang baik. Mustahil jika lelaki itu dibuang oleh keluarganya sendiri. Jika terdapat masalah, pastilah ada salah faham antara Rizal dan keluarganya.

"Emm.. entahlah.. mungkin diorang tak bencikan saya.. cuma tak nak dah terima saya, sebab selama ni saya memang di anggap anak yang menyusahkan.. lagipun, setelah kehilangan kerja ni, saya memang akan dianggap anak yang gagal.."

"Ish, awak ni.. hilang kerja tu, tak bermakna awak tak berguna.. mungkin rezeki awak kat tempat lain.. nanti boleh je kita cari kerja kat tempat lain sama-sama.. sekarang, saya pun macam awak jugak.. dah takde kerja. Nanti dah dapat kerja baru, awak kirim la duit kat keluarga awak tu." Amira masih berusaha memujuk, menyenangkan hati Rizal.

Namun gadis itu telah tersalah anggap. Dia berfikir, mungkin Rizal yang telah kehilangan pekerjaan itu sudah tidak mampu menafkahi keluarganya. Tak mustahil jika Rizal itu adalah tulang belakang keluarga dan bertannggung jawab untuk menyediakan keperluan keluarganya. Di sebabkan kehilangan pekerjaan, wajarlah Rizal mula menyalahkan dirinya sendiri dan kecewa, lantas menganggap dirinya adalah anak yang gagal dalam membantu orang tuanya.

"Eh, dah la.. cepat la order makan.. saya dah lapar ni.. awak kata nak belanja kan?" Rizal segera mengubah topik perbualan. Dia tidak ingin terus berfikir mengenai kemarahan Tan Sri Hanafi terhadapnya.

"Ye la.. kali ni je saya belanja tau.. lain kali awak pulak yang belanja. sebab saya dah takde kerja sekarang ni.. tapi awak masih ada lagi perniagaan burger tu.." Amira berseloroh.

"Oh, lusa hari jadi awak kan? Okey, lusa saya belanja awak makan steak." Rizal memberikan janji.

"Eh, tak payah la membazir.. awak tu dah la tak kerja sekarang.. berjimat cermat la sikit." Amira ingin menolak. Namun di dalam hatinya, perasaan gadis itu mula berbunga-bunga. Dia gembira apabila Rizal mengingati tarikh ulang tahun kelahirannya malah lelaki itu sudah menyatakan keinginan untuk menyambut ulang tahun tersebut bersama-sama. Tanpa sedar, Amira sebenarnya sudah tertarik dengan Rizal yang dianggapnya sebagai teman yang baik bahkan dia sangat selesa setiap kali bersama lelaki tersebut.

"Ala, bukan mahal pun steak tu.. dengan jual burger pun masih mampu la saya bayarkan.. tapi jangan la order wagyu.. kalau nak makan wagyu, saya jual dengan gerai burger sekali pun masih tak mampu nak bayar." Rizal ketawa dan turut diikuti oleh Amira.

Rizal kemudian terkenangkan dirinya suatu ketika dahulu. Jika dahulu, hanya daging wagyu sahaja yang menjadi pilihannya. Namun kini, dia sudah tidak memiliki kemampuan untuk merasakan keenakan daging tersebut. Tetapi kali ini Rizal tidak mengeluh lagi. Walaupun nanti dia hanya akan makan daging biasa, namun setidaknya dia akan bersama Amira untuk merayakan ulang tahun kelahiran gadis tersebut. Dapat bersama gadis itu sahaja sudah cukup membahagiakan buat Rizal.

Kini Rizal menatap wajah Amira yang sedang duduk bertentangan wajah dengannya di meja makan. Gadis itu sedang sibuk membuat pesanan makanan kepada pekerja di warung. Rizal semakin ralit. Wajah Amira terlihat sangat cantik pada penglihatannya. Berbeza sama sekali ketika mereka mula-mula bertemu suatu ketika dahulu. Dulu, Rizal merasakan Amira itu cuma berparas sederhana sahaja. Namun kini, pandangannya mula merasakan Amira adalah gadis paling cantik yang pernah dia kenali. Padahal rupa paras gadis itu langsung tiada sebarang perubahan. Rizal sendiri mulai bingung dengan pemikirannya.

'Ah, apa yang aku fikir ni? Rizal.. jangan fikir yang bukan-bukan..' Rizal bermonolog di dalam hati.

'Tapi.. Amira memang betul-betul berbeza.. padahal muka dia nampak sama je.. aku rasa, dulu dia tak secantik ni.. tapi sekarang, kenapa dia nampak sangat cantik? Malah lebih cantik dari Juana..' Rizal semakin hanyut dalam lamunan. Wajah lembut Amira dirasakan sangat mempesona dan jika boleh, dia sama sekali tidak ingin mengerdipkan mata apatah lagi untuk menoleh ke arah lain. Setiap detik dia melihat Amira, hatinya terasa tenang dan bahagia.

DI rumah agam Tan Sri Hanafi, Puan Sri Rohayu berjalan tergesa-gesa menuju ke arah suaminya. Riak wajah wanita itu terlihat cemas.

"Bang.. kenapa saya call Riz tak dapat? dah berpuluh kali saya cuba tapi masih tak dapat-dapat.." Puan Sri Rohayu mengeluh kepada suaminya.

Tan Sri Hanafi pula hanya mendiamkan diri sambil terus membaca majalah mengenai ekonomi. Dia tidak memberitahu jika dia sebenarnya sudah blok nombor telefon Rizal pada telefon isterinya itu.

"Bang, saya bercakap dengan awak ni.. kenapa saya call Riz tak boleh? saya risau la keadaan dia.." Puan Sri Rohayu terus mengganggu suaminya.

"Dah tu, awak nak saya buat macam mana?" Tan Sri Hanafi mula bersuara.

"Awak cuba la call dia jugak.. mana tahu, kalau awak call tu dapat.."

"Saya pun dah baru je lepas cuba call dia.. memang tak dapat.. dah berbelas kali saya cuba call.. mesej pun tak berbalas.. mungkin tempat dia takde line kot.. nanti dia nampak ada misscall tu, dia call la balik.." Tan Sri Hanafi menjelaskan kepada isterinya.

"Ish, tak senang la saya macam ni.. dah tiga minggu tak dengar khabar dia.. saya risau tau.. entah ada makan minum tak dia kat sana.. entah-entah dia sakit, duk kat hospital.. takde sapa yang uruskan.." Puan Sri Rohayu meluahkan rasa kerisauan.

"Hishh, awak ni.. mulut tu jaga sikit.. jangan duk sebut yang bukan-bukan.. entah-entah si Riz tu dalam perjalanan balik ke sini.. sebab tu call tak dapat. Nanti sampai la tu dia kat rumah ni." Tan Sri Hanafi menegur.

"Riz nak balik sini ke?" Puan Sri Rohayu menjadi teruja apabila mendengar ucapan suaminya.

"Dah tu, dia nak kemana lagi? Tadi Jamal dah call abang.. katanya si Riz tu dah berhenti kerja.. baru tiga minggu dah tak tahan.. dia bergaduh dengan pengurus kat sana.. dah tak kerja tu, nanti dia balik la ke sini.. menghabiskan beras kat sini pulak."

"Riz dah berhenti kerja? Kenapa pulak dia bergaduh?... alahai.. awak pun, jangan la duk cakap macam tu.. menghabiskan beras apanya.. buruk baik dia pun, dia tetap anak kita.." Puan Sri Rohayu membalas.

"Sebab dia anak kita la saya jaga dia, bagi makan minum kat dia.. bagi apa saja yang dia nak.. itu yang dia jadi perangai pelik tak macam anak orang lain tu.. hmm..entahlah.. saya pun tak tahu dah nak ubah dia macam mana.. kalau dah bagi dia hidup susah pun tak jalan, tak tahu la cara macam mana lagi nak guna.." Tan Sri Hanafi sedikit mengeluh. Dia benar-benar buntu untuk mengubah sikap anak sulungnya itu. Namun seketika kemudian, lelaki itu melanjutkan ucapannya.

"Tapi... saya rasa Riz sekarang pun dah sedikit berbeza.. macam dah ada perubahan sikit.." Dahi Tan Sri Hanafi berkerut seribu. Majalah yang berada di tangannya lantas ditutup.

"Riz ada perubahan? apa maksud abang?"

"Jamal bagitau abang tadi, Riz sendiri yang berhenti.. dia yang hantar surat resign kat HR.. bukan dibuang kerja.. dia berhenti pun selepas dia bergaduh dengan seorang pengurus.. katanya Riz pukul pengurus tu sebab dia nak lindungi seorang perempuan. Awak tak rasa pelik ke? Dia sendiri yang resign, selepas memukul pengurus.. maknanya Riz dah sedar dia perlu bertanggung jawab dengan kejadian yang dah berlaku.. jadi dia ambil keputusan untuk berhenti sebab dia dah pukul pegawai atasan. Yang lebih peliknya, Riz pukul tu sebab untuk lindungi seorang perempuan.. saya tak rasa tu sikap sebenar Riz sebelum ni.. kenapa dia beria-ia nak tolong orang lain? Kalau kata dia yang cabul perempuan, mungkin saya lebih percaya.."

"Hishh, awak ni.. jadi anak awak tu jahat sangat ke? sampai awak fikir dia nak cabul orang sesuka hati?" Marah Puan Sri Rohayu.

"Hmm, sebelum ni pun memang dah banyak kes pasal dia yang saya dengar.. awak tak payah nak pertahankan sangat anak awak tu.. awak bukan tahu, naik bernanah dah telinga saya selama ni duk dengar orang bagitau, Riz tu pukul orang, cabul orang, bawak perempuan masuk hotel, mabuk! Tapi kali ni Riz memang berbeza.. tak tahu sama ada dia betul-betul dah berubah.. atau perempuan yang dia tolong selamatkan tu, ada apa-apa dengan dia.. mungkin je dia pukul pengurus tu sebab perempuan tu girl friend dia ke.. Riz memang takkan biarkan orang lain usik barang dia.. apa lagi kalau girl friend." Tan Sri Hanafi memberi pendapat. Hati lelaki itu masih tertanya-tanya.

Share this novel

Ombak
2025-01-29 21:01:19 

truskan update.. suka baca penulisan tuan


NovelPlus Premium

The best ads free experience