PADANG rumput yang menghijau dan luas terbentang, memukau pandangan Rizal. Dia asyik menikmati pemandangan yang luas, saujana mata memandang. Kini, Rizal berada di padang golf demi mengikuti bapanya. Tadi, Tan Sri Hanafi sudah mengajak anak lelakinya itu dengan sedikit paksaan untuk menemaninya bermain golf. Walaupun Rizal tidak berminat terhadap permainan sukan tersebut, namun Tan Sri Hanafi tetap berkeras untuk anaknya itu menemaninya ke sana. Demi menjaga hati orang tuanya, Rizal terpaksa mengalah dan menuruti permintaan tersebut.
Tidak lama berada di padang, mereka kemudian di datangi oleh seorang lelaki yang seusia dengan Tan Sri Hanafi.
"Awal kau sampai hari ni.. Oh, Riz pun ada sekali.." Tegur Tan Sri Jamali.
"Takde la awal pun.. sama macam biasa je.. kau je yang lambat hari ni.." balas Tan Sri Hanafi dengan perlian terhadap temannya itu.
"Riz pun dah start minat main golf ke?" soal Tan Sri Jamali kepada Rizal.
"Hmm.. puas diajak, dipaksa, baru nak datang.. kalau tak, jangan harap nak nampak muka dia kat sini.." Tan Sri Hanafi yang menjawab seraya lelaki itu melepaskan tawa. Rizal pula hanya tersenyum.
"Riz, tolong Papa.. buat pukulan tee shot.. Papa sakit pinggang, tak boleh pukul kuat-kuat.." Ujar Tan Sri Hanafi terhadap anak lelakinya.
"Hah, Riz mana pandai.. Riz bukan biasa main golf ni.." Rizal menjadi cemas dan cuba untuk menolak permintaan bapanya. Padahal selama ini, dia sama sekali tidak pernah memegang batang pemukul permainan tersebut.
"Takde susah pun.. pukul je.. tu, nampak kat sana tu.. pukul bola golf tu biar sampai kawasan sana.. kalau terus masuk lubang, lagi bagus.. hole in one.. nah, ambil stik ni.. untuk pukulan pertama, pakai stik ni.. yang ni kita panggil driver." Tan Sri Hanafi menyerahkan batang pemukul kepada Rizal sambil memberi sedikit tunjuk ajar kepada anaknya itu.
Rizal mengambil pemukul daripada bapanya dan cuba mendapatkan posisi badan yang betul sebelum membuat pukulan. Dia hanya cuba meniru gaya daripada pemain golf yang pernah dilihatnya sebelum ini. Beberapa kali Rizal menggerakkan pemukul ke arah bola golf, cuba menganggarkan sudut yang tepat untuk dibuat pukulan.
Seketika kemudian, satu pukulan dilepaskan. Bola golf terbang jauh menuju ke sasaran.
"Wow! nice.. kali pertama pukul dah hebat macam tu.. tak nampak macam amatur.. nasib baik tak hole in one je.." Puji Tan Sri Jamali terhadap pukulan yang dibuat oleh Rizal.
"Kalau dah ada bakat macam ni, nanti lain kali boleh la ikut Papa lagi.. kita lawan." Usik Tan Sri Hanafi.
'Tak nak dah aku datang lain kali.. baik aku duk kat rumah je dengan Amira. Bersukan apa kalau macam ni, berpeluh pun tak..' Rizal mengomel di dalam hatinya. Lelaki itu merenung jauh ke tengah padang yang luas terbentang.
'Mira.. macam mana dengan sayang kat rumah? Semoga sayang baik-baik je..'Rizal terus mengelamun, mengingati isterinya yang berada di rumah.
DI rumah agam Tan Sri Hanafi, Amira dengan girang berjalan menuruni anak tangga, menuju ke arah lantai bawah. Dalam fikirannya, dia ingin ke laman rumah untuk menyedut udara segar sambil menikmati pemandangan persekitaran rumah keluarga suaminya itu. Bosan berkurung di dalam bilik, apatah lagi dengan ketiadaan suaminya, Amira merasakan itu adalah pilihan yang terbaik. Malah Shahira yang tadinya keluar disebabkan urusan kerja juga tiada untuk menemaninya di rumah atau pun bersiar-siar.
Pada masa yang sama, Puan Sri Rohayu juga baru tiba di rumah. Dia tadinya keluar untuk bertemu mata dan bersuka ria bersama teman-temannya. Baru sahaja wanita itu masuk ke ruang tamu, dia langsung melihat Amira yang menginjakkan kaki ke lantai bawah setelah menuruni tangga. Amira yang tadinya berhati girang tiba-tiba berubah dan menundukkan pandangan wajahnya saat bertembung dengan ibu mentuanya itu. Dia sedar, kehadirannya di sana amat tidak disenangi oleh wanita tersebut. Amira sedaya upaya untuk mengelak dari bertemu dan tidak membuat sebarang masalah dengan ibu mentuanya itu.
"Ha, kau pergi mana pulak ni?" Puan Sri Rohayu menegur.
"Takde ke mana-mana.. Mira nak keluar depan rumah je, ambil angin luar.." Amira segera menjawab. Dia tidak berani bertentang mata dengan ibu mentuanya itu.
"Amboi, bukan main nak hidup bersenang lenang.. kerja kau kat rumah ni cuma makan, tidur, berak.. tu je yang kau tahu buat.. malam kau mengangkang.. dua puluh empat jam asyik nak berkepit dengan anak aku.. hari-hari berkurung dalam bilik.. bosan, kau nak shopping, makan angin.. sedap kan, jadi menantu orang kaya.." Puan Sri Rohayu langsung menghamburkan kata-kata yang sangat menyakitkan hati.
"Mama.. Mira bukan.."
"Jangan nak menjawab!.. bukan aku dah pesan, jangan panggil aku Mama.. kau bukan anak aku.. dan aku pun tak anggap kau sebagai menantu aku! sedar diri kau sikit.. dasar perempuan kampung! Asal gagak, berangan nak jadi merak.. besar cita-cita.. Dah! tak payah kau nak bersenang lenang sangat.. orang dah bagi tinggal sini, makan free, cuba kau pakai akal kau tu sikit.. kau takde rasa ke nak bantu kemas rumah ke, sapu sampah ke? ni, kau tengok lantai ni.. kotor, berminyak! tak reti nak bersihkan? ke kau nak suruh aku yang bersihkan? Sekarang kau pergi ambil mop, kau mop lantai ni sampai bersih.." Tengking Puan Sri Rohayu kepada menantunya sambil jari telunjukkan di tunjukkan ke arah lantai.
Amira menundukkan wajah, menahan telinga mendengar makian daripada ibu mentua. Kata-kata yang tidak enak di dengar itu terpaksa di terima dan menusuk ke dalam hati. Amira hampir sahaja menangis setelah dihina dengan kata-kata liar tersebut. Namun dia terpaksa menguatkan hati. Bersabar dengan dugaan yang diberikan kepadanya. Tanpa banyak bicara, Amira segera bergerak untuk mengambil mop dan menuruti arahan ibu mentuanya itu.
"Huh!" Puan Sri Rohayu mendengus kencang.
Melihatkan Amira yang sudah pergi untuk menunaikan tugas yang dia berikan, Puan Sri Rohayu kembali membuka langkah kakinya dan menaiki anak tangga untuk menuju ke lantai atas. Sambil melangkah, bibirnya tersenyum sinis. Terasa sedikit puas hati setelah berjaya mengarah dan merendah-rendahkan menantunya itu.
Amira pula kembali ke sana dengan membawa baldi dan mop. Wanita itu tanpa bertangguh, segera mencuci lantai di kawasan ruang tamu itu. Sambil tangannya ligat membuat kerja, satu keluhan kecil terluah dari mulutnya. Amira sebenarnya tidak kisah untuk mencuci lantai atau melakukan sebarang perkerjaan rumah yang lain. Dia boleh melakukan segalanya dengan senang hati. Namun yang memberat di jiwanya adalah layanan yang dia terima daripada ibu mentuanya sendiri. Entah bagaimana yang harus dia lakukan untuk melunakkan hati wanita tersebut.
Jika harus berpisah dengan Rizal, Amira sendiri tidak sanggup untuk melakukannya. Selama ini, kehidupan mereka sebagai suami isteri sangat bahagia dan tiada sebarang masalah. Walaupun lebih dua tahun mereka hidup dalam kedaifan, namun semua dugaan hidup mereka telah tempuhi bersama dengan tenang dan aman. Kini, walaupun kehidupan mereka terlihat mewah dan dilimpahi wang yang tidak kehabisan, namun kehadiran Puan Sri Rohayu mula menggugat hubungan mereka. Di tambah lagi dengan munculnya Juana, Amira semakin merasa tertekan. Namun wanita itu masih menguatkan hatinya. Dia tetap menyimpan harapan agar segala pancaroba itu akan segera berlalu dan hubungannya dengan Rizal akan tetap utuh.
Sedang Amira membersihkan lantai, Shahira yang baru pulang dan masuk ke dalam rumah terkejut melihat perbuatan kakak iparnya itu.
“Akak! Kenapa akak mop lantai tu?”
Melihat kehadiran Shahira, Amira hanya tersenyum sambil meneruskan kerja yang ditugaskan oleh Puan Sri Rohayu kepadanya itu.
“Akak, dah la.. tak payah duk mop lantai tu.. tu bukan kerja akak..” Shahira cuba menghentikan Amira. Batang mop di tangan kakak iparnya itu segera di rampas dan di masukkan ke dalam baldi.
“Lantai tu kotor.. akak tolong mop je..” Amira memberi alasan tanpa mengatakan dengan jujur jika perbuatannya itu adalah arahan daripada ibu mentuanya.
“Kat rumah ni ada ramai pembantu.. akak suruh je la pembantu rumah yang buat.. akak jangan duk buat kerja rumah macam ni..” Shahira masih menegah perbuatan kakak iparnya.
“Ala.. akak dah biasa pun buat kerja rumah macam ni.. duduk saja kat rumah ni pun, akak bosan la, tak buat apa-apa..”
“Kalau akak nak buat semua kerja ni, habis tu pembantu rumah nak buat apa? Akak kalau bosan, ajak je abang Riz keluar jalan-jalan.. pergi shopping.. tak pun ajak je Ira.”
“Abang Riz dah keluar dengan Papa.. Ira pun kerja.. tak nak la akak ganggu..”
“Ish, lain kali akak bagitau je Ira.. Ira temankan akak.. pasal kerja Ira, akak tak payah risau. Ira boleh je tinggalkan bila-bila masa.. kerja tu ramai lagi pekerja lain boleh uruskan.. Ira pergi pejabat pun, ambil syarat je.. kalau tak pergi pun takde apa-apa.. akak tengok je la Papa.. hari-hari duk kat rumah je.. Jarang-jarang je dia pergi ke pejabat.. Kalau dia keluar rumah tu, selain main golf, mesti ada mesyuarat atau urusan penting dengan menteri atau VVIP..” ujar Shahira bagi meyakinkan Amira.
Shahira kemudian memanggil pembantu rumah untuk meneruskan kerja yang dilakukan oleh Amira sebentar tadi. Amira pula terdiam sambil menundukkan pandangan. dia mula berfikir, kehidupan sebagai orang kaya itu sangat menyenangkan. Mereka sudah bebas untuk keluar bekerja atau pun tidak. Segala urusan pekerjaan mereka sudah pun di uruskan oleh kakitangan yang dilantik. Namun segala kesenangan yang diraih oleh keluarga Tan Sri Hanafi sudah pasti bermula dengan perit jerih lelaki itu bekerja suatu ketika dahulu. Tiada kejayaan yang akan datang dengan tiba-tiba.
Berdasarkan pengetahuan Amira melalui penceritaan Shahira sebelumnya, Tan Sri Hanafi itu sangat bekerja keras tidak kira siang mahupun malam. Lelaki itu sangat fokus dan gila bekerja sehingga jarang ada masa untuk bersama keluarganya. Di sebabkan itu, Shahira banyak menghabiskan masanya bersama orang gajian dan Rizal pula sering bersama ibu mereka. Setelah mencapai matlamatnya dalam membina empayar perniagaannya sendiri, barulah Tan Sri Hanafi mula mengambil masa untuk berehat dan ingin bersama keluarga. Namun ketika itu, anak-anaknya juga sudah pun dewasa.
Amira agak tersentuh dengan pengorbanan bapa mentuanya demi memberikan kesenangan untuk keluarganya. Mungkin disebabkan itu, Tan Sri Hanafi sekarang ingin Rizal dan Shahira tetap tinggal bersamanya di rumah agam tersebut. Walaupun anak-anaknya sudah dewasa, namun cuma sekaranglah lelaki itu mempunyai peluang untuk bersama keluarganya setelah sekian lama berjuang membina empayar konglomeratnya. Namun itu jugalah punca yang menyebabkan Amira menjadi dilema. Walaupun gembira bersama suami, adik ipar dan bapa mentuanya, namun Amira merasa terancam oleh ibu mentuanya sendiri.
Fikirnya, tidak mungkin untuk dia memaksa Rizal meninggalkan keluarganya. Namun Amira pula yang terpaksa makan hati dengan layanan yang diterima. Dalam diam, terdetik di dalam minda wanita itu, mungkin jalan terbaik yang dia ada hanyalah berpisah dengan Rizal demi kebahagiaan keluarga tersebut. Ibu mentuanya tidak lagi akan sakit hati terhadapnya dan Rizal pula pasti akan bahagia bersama Juana. Hal itu merupakan jalan yang lebih baik daripada dia terus bertahan di sana. Setidaknya hatinya sendiri yang akan merana. Itu jauh lebih baik daripada menyakiti hati dan perasaan orang lain dengan kehadirannya. Kalau pun berpisah dengan suami, lama-kelamaan, lukanya pasti akan sembuh jua.
Share this novel
Alahai...jgnlah mengalah Amira...pertahankan rumah tangga awk tu ngn Rizal