Bab 2

Romance Series 3474

DUA hari berlalu.

Safira menghela nafas lega sebaik sahaja roda pesawat mencecah landasan KLIA. Pulang ke tanah air selepas bertahun-tahun berada di luar negara terasa amat berbeza kali ini. Ada debar yang aneh berputar dalam dadanya, namun Safira tahu ini semua demi kebaikan masa depan mereka.

Dia pandang keluar tingkap pesawat, wajahnya tenang tetapi dalam hati bersarang sejuta rasa gelisah yang sukar digambarkan.

Setengah jam kemudian, dia sudah berada dalam kereta menuju ke rumah abangnya, Saif, dan kakak iparnya, Naura, yang sedang sarat mengandung. Kereta berhenti di hadapan rumah banglo sederhana tetapi penuh dengan suasana nyaman dan kekeluargaan.

Safira keluar dari kenderaan itu dengan senyuman lebar, cuba membuang jauh-jauh segala kegelisahan yang mengekorinya dari England tadi.

“Safira! Akhirnya kau balik juga!” jerit Naura ceria, melangkah perlahan dengan perutnya yang membesar itu. Saif berdiri di samping isterinya, wajahnya penuh senyuman.

“Rindu sangat kat korang!” Safira segera berlari kecil, memeluk Naura dengan hati-hati sebelum beralih pula memeluk abangnya yang sudah lama tak berjumpa.

“Abang sihat? Kak Naura nampak glowing sangat ni!” usiknya ceria.

Saif tertawa kecil, “Glowing ke? Dia tu kuat makan sekarang, itu yang glowing lebih tu!”

“Eh, awak ni!” Naura mencubit manja lengan Saif. Mereka bertiga ketawa riang, suasana hangat dan penuh kasih sayang menyambut kepulangan Safira.

Namun seketika kemudian, pandangan Naura berubah sedikit serius, matanya melirik ke arah kereta Safira. “Mana hero kecil kita?” soalnya dengan senyuman penuh makna.

Safira tersenyum lembut, mengangguk perlahan. “Dia tidur tadi, kejap ye.” Dia berpaling kembali ke kereta, membuka pintu belakang dan perlahan-lahan mendukung keluar seorang kanak-kanak lelaki kecil yang masih tidur lena dalam dakapannya.

“MasyaAllah, Aydeen dah besar sangat!” ucap Naura perlahan, matanya berkaca penuh rasa terharu.

Saif mendekat, mengusap kepala anak kecil itu dengan penuh kasih sayang. “Anak saudara abang ni dah makin handsome,” ujar Saif bersahaja, tetapi dalam matanya jelas ada kebimbangan yang tak terluah.

Safira diam sejenak, memandang wajah kecil Aydeen yang lena dalam dakapannya. Dia memang seiras ayahnya kan?

“Kadang-kadang bila tengok wajah Aydeen, rasa bersalah sangat sebab rahsiakan kelahiran dia. Tapi…” Safira terhenti, matanya berkaca. Dia tak mampu meneruskan kata-kata.

Naura perlahan memegang bahunya, mengusap dengan lembut. “Kau ada alasan kau sendiri, Safira. Kami semua faham. Kau cuma lindungi hati kau dan anak ni.”

“Tapi sampai bila, kak?” bisik Safira perlahan, emosinya semakin terserlah. “Aku takut satu hari nanti Aydeen tanya siapa ayah dia, aku tak mampu jawab dengan jujur.”

Saif mendengus lembut, memandang jauh ke depan, wajahnya serius. “Sekarang ni, dia dah balik. Kau akan jumpa dia balik. Kau dah sedia untuk hadap semua ni?”

Safira terdiam lama. Dia menarik nafas dalam, cuba mengawal emosi yang bergolak dalam dadanya. “Aku tak tahu abang. Tapi aku dah janji dengan diri sendiri, aku akan kuat untuk Aydeen. Apa pun terjadi nanti, aku akan hadap.”

Naura tersenyum lembut, penuh semangat memberi kekuatan buat Safira. “Kami sentiasa ada dengan kau, Safira. Jangan takut. Apa pun yang jadi, kita hadapi sama-sama.”

Safira memandang Naura dan Saif, senyumannya kembali walaupun kecil.

Ya, dia akan kuat demi Aydeen. Demi masa depan anak kecil yang lahir daripada satu malam yang tak pernah dia jangka akan terjadi. Malam itu, malam yang sepatutnya dilupakan, telah menghadiahkan Safira sesuatu yang paling berharga dalam hidupnya, Aydeen.

Tetapi bagaimana agaknya reaksi Irwansyah jika suatu hari dia mengetahui tentang kewujudan anak mereka?

Safira memeluk Aydeen lebih erat, seolah-olah sedang melindungi si kecil itu dari dunia luar, bahkan daripada ayahnya sendiri…

SEMENTARA Safira memutuskan untuk bermalam di rumah Saif dan Naura, Irwansyah pula menuju ke rumah keluarganya. Dia berhenti sebentar di hadapan pintu besar rumah agam keluarga Eidrees. Irwansyah menarik nafas panjang sebelum melangkah masuk, cuba bersedia mental untuk menghadapi apa saja drama yang pasti akan menantinya.

Belum pun sempat dia membuka mulut, suara Datuk Eidrees yang garang sudah menyambut kepulangannya.

“Wah, tahu pula kau jalan balik rumah, Irwan?” sinis Datuk Eidrees. Matanya tajam memandang anak tunggalnya itu, penuh dengan api amarah yang tertahan.

“Papa,” balas Irwansyah tenang, cuba menenangkan suasana yang sudah terasa panas.

“Tahu pula panggil aku papa? Selama ni kau buat macam aku dah tak wujud! Berapa tahun kau terperuk dekat negara orang putih tu? Sampai tak reti-reti nak balik jenguk datuk kau yang dah nazak ni?!” jerkah Datuk Eidrees, wajahnya merah padam menahan geram.

“Papa, bukan macam tu…” Irwansyah cuba menjelaskan.

“Tutup mulut kau! Anak tak kenang budi! Tak tahu diri! Kau tahu tak betapa susahnya aku nak cover malu keluarga ni sebab perangai kau yang degil tu?” Datuk Eidrees meneruskan jerkahannya, tidak mengendahkan wajah Irwanasyah yang semakin keruh.

“Abang…” Datin Emma muncul, cepat-cepat memegang lengan suaminya, berusaha menenangkan keadaan. “Sudahlah tu, bang. Irwan kan baru sampai, biarlah dia rehat dulu. Kita bincang baik-baik nanti, ya?”

Datuk Eidrees mendengus kasar, merenung tajam wajah isterinya pula. “Ini semua salah awak! Terlalu manjakan sangat budak ni sampai tak reti hormat orang tua! Cuba awak didik dia sikit supaya tahu adab dan tanggungjawab!”

Mata Datin Emma mula berkaca, tetapi dia tetap bertahan. “Bang, Irwan dah besar, dia boleh fikir sendiri. Awak pun janganlah berkasar sangat dengan anak kita sendiri…”

“Oh, awak nak kata saya kurang ajar pula? Bagus, bagus sangatlah tu! Awak tu yang terlalu manjakan anak sampai dia jadi macam ni!”

Irwansyah yang sedari tadi hanya diam, mula rasa serabut. Suara ibu bapanya yang semakin meninggi mencetuskan rasa tidak selesa yang semakin kuat dalam dirinya. Dia menarik nafas dalam-dalam, cuba mengawal emosinya yang makin bergolak.

“Cukup, cukup!” Irwansyah akhirnya meninggikan suara, membuatkan kedua-dua ibu bapanya terpaku seketika. “Saya penat, papa. Mama pun dah, jangan gaduh. Tolonglah, bagi saya ruang sikit.”

Belum sempat Datuk Eidrees membalas, Irwan sudah melangkah pantas ke arah pintu keluar. Dia capai kunci keretanya, tanpa peduli jerkahan papanya yang semakin kuat.

“Irwan! Kau nak ke mana lagi tu? Aku cakap kau duduk rumah malam ni!” jerit Datuk Eidrees.

Irwansyah hanya diam, terus melangkah laju meninggalkan rumah itu, mengabaikan suara papanya yang semakin tenggelam di belakangnya.

LELAKI itu sendiri tak sedar bagaimana keretanya boleh berhenti di hadapan rumah Saif. Dia menggosok matanya yang sedikit letih, seolah-olah baru terjaga daripada mimpi panjang yang melelahkan. Entah sejak bila dia memandu ke sini, fikirannya terasa begitu serabut dengan segala konflik keluarga tadi sehingga dia memandu secara automatik tanpa arah tujuan.

Dia menarik nafas panjang, matanya melirik jam di pergelangan tangan. Jarum jam menunjukkan tepat pukul 10.34 malam. Suasana sunyi di luar, tapi di dalam kediaman Saif, lampu-lampu masih terang benderang, memberikan suasana hangat dan mesra yang boleh dirasai walaupun dari luar.

Pandangan Irwansyah terhenti pada sebuah kereta yang sangat dikenalnya. Jantungnya tiba-tiba berdetak laju. Kereta Safira ada di situ, jelas terpamer betapa dekatnya wanita itu dengannya sekarang.

Irwansyah keluar dari kereta, langkahnya perlahan tetapi pasti menghampiri pagar rumah Saif. Dia berdiri diam, matanya tak lepas memandang jendela yang sedikit terbuka. Lampu ruang tamu yang terang membentuk bayang-bayang beberapa orang di balik langsir, memberikan gambaran suasana dalam rumah yang begitu ceria.

Tiba-tiba, telinganya menangkap suara kecil yang riang dan penuh dengan keceriaan. Suara anak kecil, seorang kanak-kanak lelaki.

“Mummy! Aydeen dekat sini!”

Irwansyah tersentak sedikit mendengar suara itu. Aydeen. Sebuah nama yang begitu indah, lembut, dan sedap didengar. Dia hampir tersenyum mendengar celoteh anak kecil itu. Matanya menangkap gerak-gerik seorang kanak-kanak lelaki yang berlari anak berkaki ayam di halaman depan rumah, dengan tawa riangnya memecah suasana malam yang tenang.

Tapi tiba-tiba, suara Safira kedengaran jelas menyahut dengan penuh kelembutan, sarat kasih sayang yang selama ini tak pernah Irwansyah dengar.

“Aydeen, jangan main jauh-jauh sayang. Nanti mummy susah nak kejar...”

Irwansyah tergamam di tempat dia berdiri. Dadanya tiba-tiba terasa sesak, seolah-olah semua oksigen dalam tubuhnya ditarik keluar sekaligus. Dia menggeleng perlahan, cuba menafikan apa yang baru saja didengarinya.

“Mummy?” bisiknya perlahan, keliru dan terkejut bercampur-baur dalam fikirannya.

“MUMMY?!”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience