4

Romance Series 665

"BUKAN alasan sayang. Tapi...sebuah penjelasan. Dia. Marya. Dia yang paksa I datang malam tu..." ujar Ammar Haicarl kian rendah nada suaranya.

Chienta Ellisa terdiam. Bersamaan masa itu, sekeping hati tercariknya mulai membisik bicara.

'Kenapa kau mesti nak percaya lagi? Tak cukup lagi ke penipuan dia selama ini?'

"Tak salah, Chienta jika kau bagi dia satu peluang sedangkan Nabi pun ampunkan umat ni kan kita?" Mindanya pula menyampuk.

'Ya, benar. Tapi kau kena tengok juga apa silap yang dah dilakukan, Chienta Ellisa. Dia selingkuh tahu tak! Tiada perempuan mahukan ini!' Hati membantah.

"Sayang..." Sekali lagi suara mendayu itu memanggil memandangkan tiada langsung jawapan dari pihak Chienta Ellisa.

"Kau yakin Carl benar-benar curang? Kau tak rasa ke kalau-kalau perempuan-perempuan tu semua yang cuba rebut dia dari kau?" Minda serabutnya juga ada alasan.

"Sayang, are you there?" Suara di talian pula menggugah perasaan.

"Please, sayang talk to me. Please give me one more chance. I akan berubah percayalah..."

"Chienta!" Ada suara lain menyapa dari belakang. Chienta Ellisa terpaksa berpaling sambil melambai tangan pada si pemanggil, isyarat tunggu sebentar.

"Chienta, cepat boss baru kita tu nak fail yang kau handle tu sekarang!" gesa si rakan sepasukan menyebabkan bertambah lagi semak dalam kepala otak Chienta Ellisa.

"Carl, stop it. I tak rasa pun ada gunanya lagi I berikan you satu lagi peluang. I nak cepat. I kena masuk kerja sekarang!"

Tap! Telefon terus dimatikan. Chienta Ellisa cepat-cepat membuka langkah sambil menaruh kembali telefon ke dalam tas tangan YSL.

"Kenapa? Confirm si Haicarl yang call kau kan?" tanya Janet seperti dah menebak melalui lukisan yang terlukis di paras jelita bermekap tipis itu.

"I tak expect pun dia akan call time I tengah bekerja," jawab Chienta Ellisa. Mereka berpapasan ke arah pintu lif kaca untuk ke atas. Chienta Ellisa memang dah memegang fail seperti yang diminta.

"You masih berharap pada dia lagi ke? Kalau I...I tak mungkin nak lagi. Bukan sekali dua dia curangi you, Chienta. Jangan terpedaya dengan pujuk rayu dia," ujar Janet ketika kedua mereka dah berada dalam perut lif.

Berdesing telinga Chienta Ellisa mendengar butiran suara Janet yang sentiasa ‘straight to the point’. Namun dia hanya menghela nafas perlahan sambil memandang angka-angka lantai pada skrin lif naik satu persatu.

"Aku… tak tahu, Janet." Suaranya hampir tenggelam.

"Kadang aku rasa macam hati aku ni bodoh sangat. Kadang aku rasa macam… aku cuma penat."

Janet memeluk failnya ke dada, memandang rakan sekerjanya itu dengan sayu.

"Penat tu tandanya you tu, dah terlalu cukup usaha, Chienta. Dah teramat makan hati. Bukan salah you tau tak? Salah orang yang tak tahu hargai."

Ting!

Pintu terbuka. Deretan meja dan bunyi papan kekunci menyambut mereka, bersama bau kopi segar dari pantri namun, langkah kedua gadis dalam suit pejabat itu tiba-tiba terhenti.

Di hadapan berdekatan dekat meja, ketua jabatan baru seorang lelaki tegak berdiri sambil berbual dengan admin.

Bersusuk tubuh tinggi lampai. Berpenampilan kemas dengan kot dan kemeja biru gelap dengan raut serius.

"Hah? Tu boss baru kita?" Janet membesarkan mata.

Chienta Ellisa menelan liur saat lelaki itu berpaling perlahan, seolah menyedari kehadiran seseorang yang sedang memerhatikannya.

Dan ketika pandangan mereka berselisih, jantung Chienta Ellisa seperti berhenti berdetak dua saat.
Janet memandang kiri dan kanan, kemudian berbisik kuat.

"Eh, kenapa dia… macam kenal kau?"

Chienta Ellisa hanya mampu menggenggam fail kuat-kuat. Sebab lelaki itu lelaki yang kini menjadi boss barunya
adalah seseorang yang dia pernah cuba lupakan hampir sepuluh tahun lalu.

Seseorang yang dulu pernah hampir menjadi cinta pertamanya, sebelum Ammar Haicarl wujud dalam hidupnya.

"Encik Daniel Adrian," tegur admin.

"Ini staf kita yang handle projek saya katakan itu. Perkenalkan Cik Chienta Ellisa."

Dan lelaki itu tersenyum tipis. Senyuman yang dah lama hilang dari memorinya kini, kembali mencungkil luka masa lalu.

“Lama kita tak jumpa, Chienta," ujar Daniel hulurkan tangannya. Chienta Ellisa teragak untuk menyambutnya. Memandangkan admin dan Janet sedang memerhati akhirnya dia menyalami tangan itu.

Tersentak. Genggaman itu agak kejap. Cepat-cepat Chienta Ellisa menarik tangan. Dia tidak selesa.

Janet merenung penuh perhatian. Admin saja berbuat muka biasa.

"So, kalau dah tiada apa-apa. From right now, Chienta you berada under Daniel, ya..."

"Hah?" Makin terkedu Chienta Ellisa dibuatnya. Sementara mata anak gadis cina itu kian sepet dengan keterkejutan itu.

Usai berkata demikian lelaki yang mereka gelar 'admin' itu pun berlalu. Daniel Adrian merenung paras ayu milik Chienta Ellisa dengan lama ketika gadis itu menghantar kepergian sang admin dengan tatapan tak puas hatinya.

"You dengan Daniel pernah ada apa-apa, yeah?" bisik Janet. Chienta Ellisa laju berpaling dan Janet tersenyum penuh makna. Dia menagih jawapan.

Chienta Ellisa mengetap bibir cuba mengekalkan wajah neutral walaupun jantungnya masih belum kembali ke ritma normal. Dia menggeleng kecil kepada Janet tetapi, jelas gelengan itu lebih kepada tak tahu nak jawab daripada penafian sebenar.

“Chienta?” suara Daniel tiba-tiba memecah ruang.

Dia dan Janet sama-sama tersentak. Daniel berdiri lebih dekat sekarang. Terlalu dekat sehingga Chienta Ellisa boleh menghidu haruman maskulin yang dulu pernah menjadi bau kegemarannya.

“Boleh saya tengok fail projek tu sekejap?” Nada Daniel tenang dan profesional tapi mata itu, masih mengunci wajahnya seolah membaca setiap perubahan emosi.

Chienta Ellisa cepat-cepat menyerahkan fail.

“Ini, Encik Daniel.”

Sepi dua saat.

“Daniel,” tegur Daniel perlahan.

“Just Daniel. Kita… bukan orang asing.”

Janet yang berdiri di sisi hampir terbatuk-batuk menahan teruja.

“Oh my God…”

Chienta Ellisa segera menjeling tajam pada kawan itu sebelum memaksa senyuman sopan.

“Baik, Enc… Daniel. Fail tu semua lengkap."

Daniel mengangguk sebelum jemarinya membuka helaian pertama.

“Hmm. Awak masih perfecto macam dulu.”

Chienta Ellisa mengecam nada yang penuh maksud tersirat itu. Nada yang dulu membuat hatinya runtuh perlahan-lahan.

“Aku nak pergi pantri jap,” Janet berbisik sambil sengih nakal.

“Tapi please… sambung cerita dekat aku nanti, tau.”

Dia berlalu sambil mengangkat kening tinggi-tinggi.
Sekarang tinggal mereka berdua.

Chienta Ellisa rasa tidak selesa langsung. Tak selesa dengan jarak. Tak selesa dengan memori. Tak selesa dengan cara Daniel memandang dia seakan sedang menilai keretakan dalam dirinya.

“Kalau awak perlukan masa adjust… dengan saya sebagai ketua baru…” kata
Daniel sambil menutup fail itu perlahan dan menatap.

"Saya faham," sambungnya kekal dengan senyuman.

“Saya ok je,” balas Chienta Ellisa cepat-cepat.

“Betul?” Mata Daniel semakin redup tika bertanya.

“Sebab awak nampak… jauh lebih tegang daripada kali terakhir kita jumpa.”

Chienta Ellisa langsung menegakkan bahu.

“Daniel, itu dah lama. Saya tak...”

“Masih marah?” Daniel memotong lembut.

Chienta Ellisa tersentak.
Dia tak sempat membalas kerana telefon dalam tasnya berbunyi. Vibrate yang ringkas tapi cukup untuk buat darahnya terasa naik ke muka.

Ammar Haicarl.

Nama itu terpampang terang di skrin.
Daniel sempat menjeling dan senyuman nipis muncul di hujung bibirnya.

“Masih dengan dia rupanya.” Nada itu bukan sinis. Ia lebih kepada kecewa.

Chienta Ellisa dengan pantas menekan mute, memasukkan telefon kembali sebelum mendongak.

“Itu bukan urusan kerja,” tegasnya.

“Tak,” Daniel mengakui.

“Tapi saya berharap ia bukan urusan hati juga.”

Chienta Ellisa terdiam. Sekali lagi hari ini.
Daniel mengambil semula fail, menyelitnya di bawah lengan.

“Meeting dengan saya pukul dua nanti. Kita bincang projek ni.”

Sebelum dia melangkah pergi, dia sempat berhenti di sisi Chienta Ellisa dan berkata dengan suara yang cukup perlahan hingga hanya mereka berdua dapat dengar.

“Chienta… saya tak datang sini untuk buka luka lama. Tapi kalau luka tu masih berdarah… jangan biar orang yang sama yang buat ia jadi lebih parah.”

Kemudian dia berlalu, meninggalkan Chienta Ellisa termangu di tengah ruang pejabat yang tiba-tiba terasa sempit, panas dan sarat dengan kisah yang belum selesai.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience