Series
2474
PELITA minyak tanah di sudut bilik itu berkelip-kelip, menampakkan dinding papan yang mulai pudar catnya. Di luar, bunyi seruling dari pasukan Home Guard yang berkawal di pekan kecil masih kedengaran samar-samar, menandakan waktu sudah melewati tengah malam.
Minyak cempaka yang hangat di tapak tangan Teratai mengalir lembut, turun ke bahagian yang menjadi simpul tenaga lelaki itu. Gerak jarinya perlahan namun setiap tekanan membawa getar yang mendalam ibarat menyentuh lebih daripada sekadar urat dan kulit.
Seman, bekas pemandu lori getah bagi syarikat Inggeris Barker & Sons, menggenggam kain putih di bawahnya. Nafasnya berat, berselang dengan keluhan yang tertahan.
“Hhh… Teratai… kuat betul tangan kau,” katanya di antara hembusan yang tidak sekata.
“Shh… jangan banyak cakap, bang. Biarkan saja. Ini bahagian paling penting. Kalau terhenti, angin takkan keluar sepenuhnya,” bisik Teratai dekat di telinganya.
Di luar, terdengar bunyi loceng gereja jauh di pekan Batu 14 tanda malam makin dalam. Urutan itu bukan sekadar mengurut tapi seperti satu jampi lama yang menenun sesuatu di dalam tubuh Seman.
“Tenang saja, bang… ikut nafas Teratai,”bersuara lembut tapi bergetar seperti ada kuasa di baliknya.
Seman mengikut. Matanya terpejam rapat. Bau bunga cempaka dan minyak serai bercampur dengan hawa lembap tropika, membuatkan masa terasa kabur.
Teratai menunduk, wajahnya hampir menyentuh kulit Seman. “Kalau abang nak sihat sepenuhnya, jangan lepaskan nafas dulu… tahan sekejap,” bisiknya perlahan.
Jemarinya menekan lagi hujung batang lalu bergetar seirama dengan degup jantung lelaki itu.
Nafas Seman makin berat, suaranya antara desah dan keluhan, tidak jelas antara sakit atau nikmat.
“Ah… sedapnya Teratai… abang tak tahan ni. Abang nak Teratai, boleh?”
Teratai tersenyum kecil. Bola matanya berkilau aneh di bawah cahaya pelita minyak tanah.
“Hihi… nakal abang ni," nadanya menggoda tapi ada bayang dingin di hujung senyum itu.
Rumah pusaka separuh batu dan papan peninggalan itu tiba-tiba hening.
“Bolehlah Teratai. Kak Odah kamu takde. Abang sunyi, sayang,” rayu Seman, mukanya kemerahan. Tangannya mencapai jemari dukun itu. Sentuhan wanita itulah puncanya. Teratai melepaskan genggaman itu lalu berdiri.
Di luar, bunyi kereta Morris Minor pegawai daerah melintas di jalan tanah merah. Dia membuka kebaya satu persatu, gerakannya perlahan seperti menanggalkan rahsia.
Mulutnya mula berkumat-kamit, menyebut sesuatu dalam bahasa lama yang tiada lagi difahami orang zaman British itu. Matanya sesekali melirik ke muka pintu. Di situ, hanya dia nampak bayangan khadamnya yang sedang menunggu bentuk jelmaan.
“Ngantuk ya, sayang? Padahal tadi bukan main rancak,” ujar Seman separuh tersenyum, namun kelopak matanya mulai berat.
Teratai tidak menjawab. Dia berpaling, menanggalkan kebaya rendahnya hingga tinggal korset renda buatan import dari Pulau Pinang dan kain batik Jawa yang berkilat di bawah cahaya pelita.
Beberapa minit kemudian, Seman terbaring diam. Nafasnya panjang dan berat.
“Sekarang giliran kau,” ujar Teratai kepada makhluk yang menjelma menyerupai dirinya. “Tapi jangan hisap darah dia sampai kering. Aku masih perlukan jasadnya untuk malam Jumaat nanti.”
Dia melangkah keluar bilik, kain batiknya berayun perlahan.
***
Cahaya pelita kecil menerangi tikar mengkuang penuh jelaga kemenyan. Bayang tubuh Teratai menari di dinding papan. Di sudut, tergantung potret lama Resident Officer Inggeris.
Di hadapannya tersusun rapi bahan pemujaan berupa seikat rambut perempuan bangsawan dari Ipoh. Dua bilah jarum perak buatan London. Segenggam beras kunyit dan sepotong kain kapan dari Hospital Taiping. Semuanya di atas dulang tembaga yang disapu minyak serai wangi.
Dia mengambil sedikit air dari tempayan kecil. Air campuran bunga cempaka putih dan darah ayam hitam lalu menatap pantulan wajahnya di permukaannya. Wajah itu bukan lagi muda dan mulus tetapi berkerut, matanya merah menyala seperti bara.
“Kalau cinta mereka seerat urat, biar urat itu putus malam ini. Kalau tidur mereka serapat kelambu, biar kelambu itu koyak dalam mimpi…”
Dia menitis air dari tempayan ke kain putih itu. Bau hanyir memenuhi udara, bercampur bau minyak tanah yang makin lemah. Angin dari luar meniup masuk, membawa suara anjing menyalak dan loceng posmen yang jauh.
Teratai terus membaca mantera. Jemarinya memintal rambut perempuan itu dengan dua jarum perak.
“Yang perempuan biar hilang kasih. Yang lelaki biar hilang arah. Bila mereka pandang, biar hati jadi bara…”
“Siaplah untuk esok malam,” katanya, tersenyum nipis.
“Bila bulan naik separuh, aku serahkan pada yang datang menjemput.”
Di luar, bulan separuh sudah pun mula timbul di atas pohon getah cahaya putihnya menimpa papan rumah separuh papan dan batu kolonial yang sudah tua. Di wajah Teratai, pantulan cahaya itu kelihatan seperti seringai hantu.
***
Pagi itu matahari naik perlahan di balik pohon getah yang berbaris lurus seperti askar. Embun masih bergantung di hujung daun pisang dan dari jauh, kedengaran wisel kereta api kecil yang melalui landasan menuju ke Taiping.
Di jalan utama Pekan Batu 14, kedai-kedai papan mula dibuka. Kedai runcit milik Towkay Lim sudah sibuk dengan pelanggan. Orang kampung membeli gula, kopi cap kapal api dan sabun Lux yang baru tiba dari pelabuhan Pulau Pinang.
Di hujung lorong, deruman motosikal BSA milik pegawai polis Inggeris memecah suasana tenang. Dia berhenti di hadapan Balai Polis lama, menanggalkan topi putihnya lalu menyapu peluh di dahi.
“Morning, Sergeant Rahman,” katanya dengan loghat berat.
“Morning, Tuan. Ada laporan. Ada lelaki pengsan di rumah dukun semalam. Pelik sikit cerita dia, Tuan.”
Wallace menyalakan rokok Player’s Navy Cut, menghembuskan asap sambil memandang ke arah bukit.
“Rumah siapa?”
“Rumah Che Teratai, Tuan. Orang kampung panggil dia orang pandai urut tapi ada yang kata, dia tahu ilmu orang lama.”
Wallace mengangkat kening.
“Dukun lagi, eh?” Dia tersenyum nipis.
“You Malays always have your charms and spirits. Let’s take a look.”
Mereka berdua menaiki jip Willys hijau zaitun lalu meninggalkan pekan. Debu merah dari jalan tanah naik berpusar di belakang mereka.
Rumah pusaka itu masih sunyi. Tiada bunyi ayam atau suara orang. Di serambi, Seman masih terbaring. Wajahnya pucat dan urat di lehernya menonjol. Matanya tertutup rapat, seolah tidur nyenyak tapi tubuhnya sejuk seperti baru keluar dari perigi.
Teratai duduk di sisi, berselendang kain batik. Matanya redup, suaranya lembut seperti biasa.
“Tuan, dia datang malam-malam minta diurut. Katanya lenguh sebab kerja angkat tayar lori. Saya cuma tolong,” katanya tenang.
Wallace memeriksa denyutan nadi Seman.
“He’s alive… barely. Cold skin, shallow breath.” Dia berpaling kepada Rahman.
“Hospital Taiping. Sekarang.”
Seman diusung ke jip. Saat roda mula berpusing meninggalkan halaman, Teratai berdiri di ambang pintu. Senyumannya halus tapi matanya memerhati jauh ke arah bukit.
***
Petang itu, di warung Pak Dollah dekat sungai, beberapa orang lelaki berbual sambil menghirup kopi O.
“Dengar kata, Seman tu lumpuh sebelah badan,” ujar Pak Dollah perlahan.
“Lumpuh? Astaghfirullah. Masa aku nampak dia semalam, elok je datang naik basikal. Tapi dia memang suka ke rumah si Teratai tu…,” sahut Mail tukang kebun sekolah.
“Orang tua-tua dah pesan, jangan suka sangat mintak urut dengan dukun. Kadang bukan tangan manusia yang mengurut,” balas yang lain, suaranya hampir berbisik.
Mereka diam sejenak. Hanya kedengaran bunyi kipas siling berdecit dan ayam berkokok dari belakang kedai.
Di luar warung, seekor anjing melolong panjang ke arah bukit tempat rumah Teratai berdiri.
Langit petang itu kelihatan merah jingga seperti terbakar.Teratai sudah menyalakan pelita dan menukar kain batik baru, kebaya berenda halus dari Melaka. Dia membuka jendela, memandang ke arah langit di mana bulan separuh tergantung di awan.
“Dah tiba masa,” bisiknya perlahan. Bayangan khadamnya berdiri di belakang.
Share this novel