MCJKKS BAB 2 : KEJUTAN DI PAGI HARI

Romance Series 2756

SELEPAS insiden pagi itu, Riz Adrian sudah tidak tahan lagi. Ini kali keberapa Snowball menceroboh rumahnya dan membuat kacau. Dia berjanji pada dirinya sendiri untuk menyelesaikan masalah ini hari ini juga. Dengan wajah serius dan hati yang membara, Riz keluar dari rumahnya dan mengetuk pintu rumah jiran sebelah—rumah si gadis penjual bunga yang penuh dengan tanaman hijau menjalar di beranda.


“Assalamualaikum!” Riz mengetuk pintu dengan agak kuat, nadanya penuh kesabaran yang semakin menipis.

Tidak lama kemudian, pintu dibuka, dan Inka Christie muncul dengan wajah ceria seperti biasa, memakai apron kuning berbunga-bunga. Di belakangnya, ada pasu-pasu bunga bersusun rapi.

“Oh, jiran sebelah! Pagi-pagi dah datang. Ada apa, Encik CEO?” Inka menyapa dengan senyuman, sambil memegang kain lap yang masih basah.

Riz memejam mata sejenak, cuba menahan diri daripada meledak.


“Snowball. Kucing kau!”

“Oh, apa dengan Snowball? Dia buat apa-apa ke?”

“Buat apa-apa?” Riz mengulang dengan nada tidak percaya.

“Dia buat macam rumah aku ni taman permainan dia! Lompat atas meja, pecahkan balang gula, dan—” dia berhenti sejenak, teringat insiden kopi. “Dan dia minum kopi aku!”

Inka tertawa kecil, seolah-olah Riz baru sahaja menceritakan jenaka paling lucu.

“Oh, itu saja? Snowball memang macam tu. Dia suka explore tempat baru.”

“Explore?” Riz menjeling, suaranya penuh sindiran. “Itu bukan explore. Itu pencerobohan!”

Inka tersenyum nipis.

“Ala, Encik CEO. Janganlah ambil hati. Snowball cuma kucing, bukan musuh negara. Dia tak sengaja, tahu.”

Riz menghela nafas panjang. Dia cuba menenangkan diri, tetapi kesabarannya sudah berada di hujung tanduk.

“Kalau kucing kau masuk rumah aku lagi, aku akan buat sesuatu yang kau takkan suka.”

Senyuman Inka hilang serta-merta. Dia memandang Riz dengan mata yang membulat, tanda terkejut dan tidak percaya dengan apa yang baru dia dengar.

“Buat sesuatu? Maksud awak apa?”

Riz mengangkat bahu, nadanya dingin.

“Entah. Mungkin aku akan buat laporan ke pihak berkuasa haiwan, atau...” Dia berhenti sejenak, sengaja membiarkan ayatnya tergantung.

Mata Inka menyepet, ekspresinya berubah sepenuhnya. Tangan yang memegang kain lap kini diletakkan di pinggang, menambahkan aura seriusnya.

“Awak ingat ini jenaka?” Inka Christie berkata dengan nada tegas.

Riz Adrian tersentak. Dia tidak menyangka perubahan mendadak itu.

“Aku cuma...”

Inka memotong kata-kata Riz Adrian dengan mencelah terlebih dahulu, matanya merah menahan nyalaan api kemarahannya.

“Awak tak ada hak nak cakap macam tu pasal Snowball. Dia kucing yang baik. Kalau awak tak kacau dia, dia pun tak kacau awak!”

“Dia yang buat kacau rumah aku, bukan sebaliknya!” Riz membalas, kini mula kehilangan kesabaran.

Inka mendengus, dan dalam nada bahasa Inggeris yang sangat lancar, dia berkata,

“Well, maybe if you weren’t such an uptight control freak, you’d realize that this world isn’t just about you, Mr. CEO. Animals have feelings too. And Snowball? He’s part of my family. You harm him, and trust me, you’ll regret it.”

Riz Adrian terdiam. Mulutnya separuh terbuka, matanya membulat. Dia tidak menjangka gadis yang dia anggap gadis kampung biasa itu mampu bercakap bahasa Inggeris dengan begitu fasih, penuh keyakinan, dan... memarahinya dalam nada yang sangat intelektual.

“You... you speak English?” Riz akhirnya bersuara, nadanya penuh keterkejutan.

Inka Christie mendengus kecil, melipat tangannya di dada.

“Of course I do. What, did you think I only sell flowers and talk to cats all day?”

“Well... kind of,” Riz mengaku tanpa sengaja, membuatkan wajah Inka bertambah merah.

“Awak memang melampau!” Inka menjawab dalam bahasa Melayu, kembali kepada nadanya yang biasa. “Hanya sebab saya penjual bunga, awak pandang rendah macam saya tak sekolah tinggi ke?”

“Aku tak—aku tak cakap macam tu!” Riz cuba membela diri, tetapi Inka sudah melangkah masuk ke rumahnya dan menutup pintu dengan kuat, meninggalkan Riz di depan pintu dengan perasaan bercampur-baur.

Dia berdiri di situ selama beberapa saat, cuba mencerna apa yang baru saja berlaku.

“Hebat...,” Riz akhirnya berkata perlahan sambil tersenyum nipis.

“Dia betul-betul... lain daripada yang aku sangka.”

Pagi itu, buat pertama kalinya, Riz merasakan jiran sebelahnya bukan sekadar gadis biasa. Ada sesuatu tentang Inka Christie yang membuatkan dia mahu tahu lebih banyak.

Setelah kejadian pagi itu, Riz Adrian tidak dapat melupakan ketegasan dan kelancaran Inka Christie dalam mematahkan hujahnya, lebih-lebih lagi dalam bahasa Inggeris yang cukup memukau. Namun, ego seorang CEO seperti Riz tidak mungkin membiarkan dirinya kelihatan lemah—terutamanya kepada seorang gadis penjual bunga yang dia anggap biasa-biasa sahaja.

Riz menghempaskan diri ke sofa di ruang tamu. Tangannya memegang telefon berjenama mahal, jemarinya menatal senarai nombor dalam ruang panggilan simpanannya. Dia berhenti di satu nama: Ikmal.

Ikmal, bekas pegawai polis yang kini seorang penyiasat persendirian, merupakan sahabat lama Riz Adrian semasa menuntut di salah sebuah universiti terkemuka di tanah air. Mereka sering bekerjasama, tetapi permintaan Riz kali ini agak luar biasa.

Tanpa menunggu lama, Riz menekan butang dail. Panggilan bersambung hanya selepas beberapa dering.

“Assalamualaikum, Riz. Lama tak dengar cerita. Ada apa pagi-pagi ni?” Ikmal menyapa dengan suara ceria di hujung talian.

“Waalaikumussalam, Mal. Aku perlukan bantuan kau,” Riz terus kepada tujuannya.

Ikmal tertawa kecil. “Bantuan apa kali ni? Nak siasat pesaing perniagaan lagi?”

“Bukan. Aku nak kau siasat... jiran aku.”

“Hah? Jiran kau? Kau ni serius ke, Riz?” Suara Ikmal penuh kehairanan.

“Serius. Nama dia Inka Christie. Aku nak tahu siapa dia sebenarnya.” Riz menyandarkan kepala ke sofa, cuba menahan rasa segan yang tiba-tiba menyelinap.

Ikmal terdiam sejenak sebelum tertawa besar.

“Hahaha! Riz Adrian, CEO hebat, takut dengan jiran dia? Apa cerita ni? Kucing jiran kau curi resipi syarikat ke?”

“Mal, jangan main-main!” Riz menyergah, tetapi Ikmal terus ketawa.

“Okey, okey. Jadi kenapa kau nak tahu pasal jiran kau? Gadis lawa ke?” Ikmal menggoda dengan nada menyakat.

Riz menjeling ke arah tingkap rumah Inka yang kelihatan dari tempatnya duduk. Dia teringat senyuman gadis itu, juga nada tegasnya pagi tadi. Dia mengeluh perlahan.

“Dia... pelik.”

“Pelik macam mana? Ada aura mistik? Keturunan pari-pari?” Ikmal masih bergurau.

“Mal! Aku serius ni.” Riz menarik nafas panjang sebelum menyambung.

“Dia...erm, bahasa Inggeris dia macam pensyarah universiti. Tapi, yang aku tahu dia cuma penjual bunga. Lagi satu dia suka bercakap dengan kucing”

“Ah, aku faham. Kau sangka dia gadis kampung biasa, tapi rupanya lebih dari yang kau jangka. Jadi, ego kau tercalar, dan sekarang kau nak tahu siapa dia sebenarnya? Riz, jangan cepat sangat menilai orang bak kata omputih 'don't judge a book by its cover' ” Ikmal menegakkan hujahnya.

Riz mengerutkan dahi.

“Aku cuma nak pastikan aku tak tersalah sangka, itu saja.”

Ikmal terkekeh.

“Baiklah, aku akan siasat. Tapi kau kena bayar aku makan malam di restoran mewah yang selalu kau lepak tu.” Ikmal tersengih di hujung talian.

“Deal.” Riz tersenyum tipis, lega kerana Ikmal bersetuju.

***

Ikmal tiba di rumah Riz Adrian dengan sebuah fail tebal di tangan beberapa hari kemudian. Senyuman nakal terpamer di wajahnya, membuatkan Riz menjadi rasa tidak sabar.

“Jadi, apa yang kau dapat?” Riz bertanya sambil mempelawa Ikmal duduk dengan jari telunjuknya lurus di hala ke kerusi di hadapannya.

Ikmal meletakkan fail itu di atas meja.

“Aku tak sangka akan jumpa cerita macam ni. Riz, jiran kau bukan calang-calang orang.”

Riz memandang Ikmal dengan mata penuh minat, tetapi cuba mengekalkan ekspresi dinginnya.

“Inka Christie, 27 tahun. Pemilik kedai bunga yang terkenal di media sosial. Dia ada ijazah dalam bidang Seni Rekaan dari universiti terkenal di luar negara. Pernah bekerja sebagai pereka landskap di syarikat antarabangsa sebelum balik ke Malaysia untuk buka bisnes sendiri.”

Riz terdiam. Fakta itu jauh daripada sangkaannya.

“Dia juga aktif dalam aktiviti kebajikan. Selalu buat projek tanam pokok percuma. Oh, dan satu lagi—dia pernah muncul dalam majalah dekorasi rumah sebagai salah seorang wanita paling inspirasi tahun lepas.”

Riz mengerutkan dahi.

“Dah tu, kenapa dia jadi penjual bunga kalau dia boleh buat lebih dari itu?”

Ikmal mengangkat bahu.

“Mungkin dia suka hidup sederhana. Tapi, Riz, aku rasa kau kena lebih berhati-hati dengan dia.”

“Kenapa?” Riz bertanya, nadanya penuh ingin tahu.

Ikmal tersenyum lebar sebelum menjawab,

“Sebab, berdasarkan apa yang aku baca, dia bukan jenis orang yang mudah tunduk pada lelaki sombong macam kau.”

Riz terpaku. Satu perasaan aneh menyelinap ke dalam hatinya—antara kekaguman, rasa tercabar, dan sedikit takut.

“Tengok muka kau! Aku tahu kau dah jatuh hati, bro,” Ikmal mengusik sambil ketawa besar.

“Diamlah, Mal.” Riz melemparkan pandangan ke luar tingkap, ke arah rumah Inka.

Dalam hati, dia tahu satu perkara—Inka Christie bukan sekadar jiran biasa, dan mungkin dia baru sahaja membuka pintu kepada sesuatu yang akan mengubah hidupnya selama-lamanya.

***

Malam itu, Riz Adrian duduk di ruang tamu sambil meneliti laporan kewangan syarikatnya. Sejak insiden pagi tadi, fikirannya tak berhenti memikirkan Snowball, si kucing putih yang menjadi penyebab huru-hara dalam hidupnya. Namun, dia cuba memusatkan perhatian pada kerjanya.

Tiba-tiba, bunyi halus seperti sesuatu melompat terdengar dari dapur. Riz mengerutkan dahi. Tidak. Bukan lagi.

Dia berjalan perlahan-lahan ke arah dapur, cuba menangkap penyebab bunyi itu. Lampu dapur dinyalakan, dan di situlah dia melihatnya.


“Kau lagi?!” Riz menjerit kecil. Snowball, si kucing putih, sedang duduk di atas kaunter dapur, menjilat susu dari gelas yang tertumpah.

Kali ini, Riz sudah hilang sabar sepenuhnya.


“Keluar! Hey, monster berbulu keluar dari rumah aku sekarang, sebelum aku panggang kau hidup-hidup!” Riz cuba mengejar Snowball, tetapi kucing itu melompat dari kaunter ke atas peti sejuk, mengelak dengan mudah.

Riz mengeluh panjang. Dia cuba menangkap kucing itu sekali lagi, tetapi dalam proses itu, Snowball menjatuhkan tin biskut, membuat kekacauan di seluruh dapur. Riz yang tidak dapat menahan rasa marah cuba memanjat kerusi untuk menangkap Snowball.

Namun, tidak sampai beberapa saat, sesuatu terjadi. Hidung Riz mula terasa gatal, dan dia bersin kuat.

“Hachoo! Hachoo!”

Dia mengusap hidungnya, tetapi gatal itu semakin menjadi-jadi. Matanya mula berair, kulitnya mula memerah, dan nafasnya terasa sesak.

“Alahan... Alahan aku...” Riz terbatuk, bersandar ke dinding dapur sambil mencuba bernafas dengan normal. Snowball, yang kini sudah melompat keluar melalui tingkap dapur, meninggalkan Riz dalam keadaan kacau.

Beberapa jam kemudian, Riz mendapati dirinya terbaring di katil hospital. Alat bantuan pernafasan dipasang pada wajahnya, dan jururawat sibuk mencatat bacaan tekanan darahnya.

Dia memandang siling putih dengan rasa tak percaya. Bagaimana dia boleh berakhir di sini hanya kerana seekor kucing?

Ketika dia sedang termenung, pintu biliknya terbuka, dan seseorang melangkah masuk. Riz memandang, dan wajahnya berubah masam apabila menyedari siapa yang datang.

“Inka Christie,” dia berkata dengan nada lemah.

“Awak?” Inka berkata dengan nada terkejut sambil mendekati katilnya. “Apa yang berlaku? Saya dengar dari jiran sebelah, ambulan datang ke rumah awak.”

Riz menjeling tajam tepat ke arah gadis yang masih kerisauan di hadapannya.

“Apa lagi? Kucing kau tu lah. Snowball tu penyebabnya. Aku kena alahan teruk sebab dia!”

Inka menutup mulutnya, menahan ketawa.

“Awak masuk hospital sebab Snowball? Awak... awak jangan nak buat lawaklah Mr CEO, ni bukan masa yang tepat nak buat cerita komedi!”

“Ini tak lucu, Inka!” Riz membetulkan alat bantu pernafasannya dengan wajah serius. Sedikit menjerit. Gemertak giginya berlaga menahan amarah. Kalau ikutkan amarahnya dah lama Inka dikunyahnya.

“Kau tahu aku alah pada kucing, tapi kau biarkan dia terus menceroboh rumah aku.”

Kali ini suara sedikit mengendur bagai meraih simpati pabila terpandang perubahan air wajah gadis jelita di hadapannya itu. Terkejut, mungkin!

Inka berhenti ketawa dan memandang Riz dengan serius.

“Saya minta maaf kalau Snowball betul-betul menyusahkan awak. Tapi... awak tak pernah cuba cari jalan penyelesaian yang baik. Kenapa tak bercakap elok-elok dengan saya?”

Riz diam. Dia sebenarnya tak tahu bagaimana mahu membalas kata-kata itu.

Inka menyambung, kali ini dengan nada lembut.

“Riz, saya akan pastikan Snowball takkan masuk rumah awak lagi. Tapi, boleh tak kita mulakan semula? Sebagai jiran yang baik?”

Riz memandang Inka dengan pandangan aneh. Gadis itu benar-benar luar biasa—meskipun dialah yang sepatutnya marah, dia masih datang dengan niat baik.

“Baiklah,” Riz akhirnya berkata, walaupun suaranya penuh ragu. “Tapi kalau dia datang lagi...”

“Dia takkan datang lagi, saya janji,” Inka memotong dengan senyuman kecil.

Riz hanya mampu mengangguk, tetapi dalam hati, dia tahu Snowball bukan sekadar kucing biasa. Kucing itu ada cara tersendiri untuk muncul semula—dan mungkin, bukan hanya Snowball yang akan terus mengganggu ketenteraman hidupnya. Inka Christie, dengan segala keunikannya, juga mula menjadi pusat perhatian dalam dunia Riz Adrian yang biasanya sunyi.

Hihihi...lawak tak? CEO kekwat kalah ngan seekor kucing..?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience