TERKUMAT-KAMIT bibir Rania ikut menyanyi lagu yang sedang berkumandang seluruh biliknya sambil bersolek di depan cermin. Bunyi muzik dari mini speaker betul-betul buat Rania hanyut dan tak sedar dia ada masa lagi 20 minit saja untuk bersiap jika tidak mahu sampai lambat ke pejabat.
Rania Alea merupakan seorang gadis berusia 28 tahun yang kini bekerja sebagai setiausaha di sebuah syarikat ternama di Kuala Lumpur.
Lebih tepat Rania menjadi setiausaha kepada Raja Noah Zikri iaitu anak kepada salah seorang hartawan terkenal dan peramah iaitu Raja Zikrullah. Beza dengan bapanya, Raja Noah seorang yang tidak mesra alam dan sangat dingin dengan semua orang termasuklah Rania yang merupakan setiausahanya.
Rania tak boleh bayangkan jika dia memiliki teman lelaki seperti bosnya itu? Mesti hidupnya dihantui kebosanan. Sedangkan jadi setiausaha dari pukul 8 pagi hingga 5 petang pun dah buat Rania rasa hidup di pejabatnya seperti dalam gua. Demi cita-citanya dan gaji yang besar buatkan Rania terus bertahan kerja situ.
Ting!
Notifikasi WhatsApp dari cinta hatinya, Danial membuatkan Rania terhenti mengoleskan gincu di bibirnya.’
Danial : Sayang, rindu! Please send gambar kat I. Nak yang seksi tau.
Rasa cinta yang mendalam buatkan Rania jadi gadis bodoh. Asalkan ada kata cinta dan rindu yang meniti di bibir Danial, pasti dia akan menurut permintaan lelaki itu.
Mungkin Rania selama ini kurang rasa kasih sayang dan kerana itu dia takut bakal kehilangan perhatian dari teman lelakinya.
Rania mula posing dan ambil beberapa gambar. Tiga butang kemejanya sengaja dibiarkan terbuka untuk menampakkan pakaian dalamnya yang seksi. Kemudian Rania memilih gambar mana yang lebih bagus untuk hantar kepada Danial.
“Perfect!” ujar Rania saat melihat gambar yang terakhir. Tidak kelihatan terlalu terdedah seksinya dan sedikit kabur.
Pada masa yang sama, Rania menerima WhatsApp dari bosnya. Namun, Rania pilih untuk abaikan dulu.
Rania lemparkan telefon pintarnya ke atas katil dan kembali berdiri di depan cermin setelah mengirim gambar kepada Danial.
Tiba-tiba Rania tersedar sesuatu. Dia menoleh dan melihat telefon pintarnya yang berada di atas katil.
“Aku send kat Danial, kan?” gumam Rania yang sudah separuh panik dan pantas ambil telefon pintarnya.
Sesaat, Rania rasa dunianya bakal huru hara setelah gambar seksinya tadi di hantar pada ‘Grumpy King’ bukan ‘Good Looking.’
Jantung Rania berdegup tidak keruan dan tangannya menggigil bila melihat siapa penerima gambar tersebut.
“No…no…no!” ujarnya dengan panik dan terus memadam gambar tersebut yang ternyata sudah ada tanda dua tick.
“Shit!” Maki Rania entah pada siapa. Wajahnya sudah pucat dan sekarang juga dia mahu rasa pengsan.
Boleh jadi Rania bakal dipecat oleh Raja Noah yang dingin mengalahkan Elsa Frozen itu. Tidak pernah tercalit senyuman pada wajah lelaki itu bila Rania berkelakuan sopan depannya selama bekerja. Rania masih ingat lagi waktu itu dia baru bekerja seminggu. Dia cuba memudahkan kerja bosnya tetapi disalah anggap sebagai penyibuk.
“Tuan, I dah susunkan fail ikut tarikh projek. I think…”
“You think are too much. I tak perlu secretary yang fikir apa-apa untuk I. I perlu you ikut arahan I je,” balas Raja Noah tanpa memandang Rania yang berbaju kurung sopan berdiri di hadapan mejanya dengan niat yang baik.
Sejak itu Rania tidak berani buat apa-apa yang tidak disuruh oleh Raja Noah walau niatnya untuk permudahkan kerja lelaki itu demi tidak menyusahkan diri sendiri.
Tapi sekarang? Rania sendiri dah menyusahkan hidupnya.
“OMG! Rania! Kenapa kau bodoh sangat, ha?” rungut Rania geram sambil menghempuk kepalanya dengan bantal.
Sekarang ini Rania sudah tiada semangat mahu pergi ke kerja. Macam mana dia nak bertentang mata dengan bosnya itu?
“Mana aku nak sorok muka aku ni? Nak resign? Gaji lambat lagi!”
Macam mana kalau Raja Noah sangat marah dengan kelakuannya yang tidak senonoh itu? Tak pasal dia kena pecat. Macam mana dia nak bayar duit keretanya setiap bulan? Belum termasuk lagi nak tanggung perbelanjaan hidupnya.
PUKUL 8 pagi Rania tiba di bangunan yang tersergam indah. Di mana lagi kalau bukan syarikat tempat bekerjanya iaitu King Holding. Dulu Rania pernah rasa jadi manusia paling beruntung sekali dapat bekerja di sini apatah lagi jadi setiausaha Raja Noah yang sangat menjengkelkan hati.
“It’s okay, Rania! Just relaks. Confirm si GK tu tak sempat tengok pun. Kan, kau dah terus delete. Mamat tu bukan jenis suka tengok mesej pun. Calm down! And take it easy!” ujar Rania dalam hati ibarat mantra untuk menenangkan diri.
Lagipun selama ini Raja Noah mana beri respons bila Rania balas mesej arahan kerjanya. Dibiarkan saja double tick. Kadang 1 tick saja. Kalau orang lain rasa sakit hati bila kena blue tick, yang Rania? Rasa macam nak campak telefon saja!
Rania menarik nafasnya dengan panjang saat dia berada di meja kerjanya yang tak jauh dengan pejabat Raja Noah.
Rania terus melabuhkan duduknya dan memulakan pekerjaan dengan menyemak jadual mesyuarat dan temujanji Raja Noah hari ini. Ketika dia sedang ralit dengan kerjanya tiba-tiba telefon pejabat berbunyi. Rania lekas menjawabnya dengan begitu santai.
“Morning, ada apa yang boleh I bantu?”
“Masuk ofis I sekarang!”
Rania terus terdiam dan terpaku seperti patung. Degupan jantungnya mula laju bila terdengar suara Raja Noah dalam talian. Fikiran buruk mula menguasai minda Rania. Dia sangat takut jika Raja Noah mahu berjumpa dengannya kerana hal gambar tadi.
‘Everything is gonna be okay! GK tak sempat tengok!’ gumam Rania dalam hati.
“Baik, tuan,” jawab Rania dengan cepat lalu bangun pergi ke pejabat Raja Noah.
Rania mengetuk pintu sambil berdoa dalam hati agar bosnya tidak panggil disebabkan hal gambar itu.
“Masuk!”
Terdengar suara lelaki dari dalam dan pada masa yang sama Rania menarik nafas berkali-kali sebelum membuka pintu.
Rania menelan liurnya dengan kesat ketika dia memandang Raja Noah yang tampak karisma itu sedang duduk di kerusi sambil memandang pemandangan di luar.
“Ada apa tuan panggil I?” tanya Rania yang berusaha berlagak seperti biasa walau dalam hati sudah berdebar ketakutan.
Perlahan-lahan kerusi itu berpusing menghadap ke arah Rania dan saat itu dia melihat wajah kacak Raja Noah yang menyebalkan itu sesuai dengan gelaran yang Rania berikan iaitu Grumpy King atau singkatannya GK.
Ramai wanita yang tergilakan putera sulung Raja Zikrullah ini tapi seorang pun tidak berpeluang mendekati Raja Noah.
Rania mula rasa panik bila Raja Noah menatap ke arahnya. Sifat selamba dan cerianya hilang entah ke mana kerana kesilapan besar yang telah dilakukannya. Lagi-lagi bila Raja Noah yang bukan jenis memandang orang lebih dari dua minit kini terus memandang tanpa henti.
Kadang Rania terfikir yang Raja Noah ini tak suka perempuan dan bukan lelaki normal bila melihat sikap bosnya itu terhadap dirinya atau pekerja wanita yang lain. Lelaki itu sangat menjaga jarak dengan wanita.
“Kenapa tuan asyik pandang I? Mekap I hari ni nampak buruk ke dari selalu?” tanya Rania yang berusaha mengusir rasa canggung.
‘Selama ni dia bukan pandang aku pun. Mana dia tahu mekap aku hari ni lagi buruk dari semalam ke kelmarin ke.' Sambung Rania dalam hati.
Lelaki yang berusia 34 tahun itu tiba-tiba bangun dari kerusinya. Raja Noah masih memandang Rania dan itu yang buat Rania semakin panik.
‘No…no…no! Jangan sampai dia nak ungkit pasal gambar tu.’
“Today I ada meeting dengan client mana?”
Rania menarik nafas lega dan membalas pandangan Raja Noah yang seperti biasa. Tiada apa yang beza pada raut wajah lelaki itu yang dingin dan lebih-lebih lagi nada suaranya yang kasar seperti selalu.
“Hari ni tuan tak ada meeting dengan client kat luar. Pukul 11 karang tuan ada meeting dengan marketing department. I pergi ambil report untuk rujukan tuan,” ujar Rania lalu bangun dengan segera untuk ambil dokumen yang tersedia butiran mesyuarat sebentar lagi.
Raja Noah tidak menghalang dan hanya memerhati saja langkah Rania yang mula menghilang di pejabatnya.
Rania ambil fail di atas meja.
“Fuh! Selamat…” gumam Rania perlahan sambil mengusap dadanya.
Rania rasa lega kerana Raja Noah hanya memanggilnya disebabkan urusan kerja saja bukan kerana gambar tersebut. Jadi bermakna Raja Noah memang tidak sempat melihat gambarnya.
Namun, Rania tidak tahu yang sekarang Raja Noah sedang tersenyum penuh makna dalam pejabatnya. Raja Noah seperti mengetahui sesuatu tetapi tidak mahu beritahunya.
Share this novel