Maria Elena bangkit perlahan dari lantai dengan mata yang masih membengkak. Bibirnya digigit menahan marah, pipinya basah dengan air mata yang jatuh tanpa henti. Rambutnya kusut, tubuhnya masih bergetar.
Dia memandang sekeliling bilik itu bilik yang dahulunya menjadi saksi malam-malam mesra antara dia dan Mikael.
Kini semuanya berubah menjadi asing. Bau bilik ini tidak lagi mengingatkannya pada cinta, tetapi pengkhianatan.
“Tak mungkin aku dibuang macam sampah…” katanya perlahan, menggenggam erat jari-jarinya.
Dia berjalan ke arah meja sisi katil, dan membuka satu lagi laci kecil. Terdapat fail nipis di dalamnya, dilabel dengan nama syarikat Mikael.
Maria Elena menyelak satu persatu, sehingga matanya terhenti pada satu helaian bercetak satu slip bank.
Matanya membulat.
Akaun simpanan bersama itu kini tinggal separuh daripada jumlah asal. Duit itu bukan sedikit. Itulah pelaburan hidupnya bersama Mikael. Dan kini, entah ke mana wang itu disalurkan.
“Dia dah mula sorok semua harta aku… dia nak buang aku. Dia nak bagi semua dekat perempuan kampung tu…”
Tangannya mula menggeletar. Tapi dalam hati, tekadnya makin membatu.
Maria berjalan ke almari solek. Melihat wajah sendiri di cermin besar itu, dia hampir tak percaya. Dulu dia wanita anggun, sempurna idaman ramai lelaki.
Sekarang? Dia terlihat lemah, berantakan, tidak terurus.
Dia sapu air mata dari pipinya, dan mengukir senyuman sinis.
“Kalau kau fikir aku akan undur diri semudah itu, Mikael… kau silap besar. Aku akan pastikan Medina tenggelam, sama seperti aku pernah naik kerana kau.”
Saat itu, bunyi pintu kereta kedengaran dari bawah.
Maria tersentak.
Langkah kaki di tangga menghampiri.
Panik, Maria segera mengemas semula laci dan menyusun kembali beberapa pakaian yang dilempar ke lantai. Dia tak mahu jejaknya diketahui.
Pintu bilik terbuka.
“Maria?” suara Mikael kedengaran.
Maria menarik nafas dalam-dalam dan memusingkan tubuh, mempamerkan wajah yang ‘tenang’.
“Sayang…” Maria tersenyum kecil.
“Awal balik?”
Mikael menjeling keadaan bilik.
Walau kelihatan kemas, ada beberapa sudut yang tak sama seperti tadi. Dia tak bodoh. Dia tahu Maria sedang mencari sesuatu.
“Ada orang kacau bilik ni?” soalnya dengan kening terangkat.
Maria ketawa kecil.
“Eh, taklah. I cuma cari fail lama. You tahu kan, I selalu lupa letak kat mana.”
“Fail? Yang mana?” Mikael melangkah masuk dan berdiri tegak di hadapannya.
Maria berpura-pura ceria.
“Dokumen perjanjian lama tu, ingat tak yang masa kita buka simpanan tetap tu?”
Mikael menatap tajam ke wajah isterinya. “Kenapa sekarang baru nak cari?”
Maria cuba mengelak pandangan.
“Saja… I rasa tak tenang. I rasa you makin jauh. You berubah, Mikael.”
Diam. Sunyi.
Mikael menghela nafas berat.
“Maria, banyak benda yang kita tak boleh pusing balik. You pun tahu semua ni dah tak sihat untuk kita berdua.”
“Tapi I masih isteri you!” Maria menjerit, emosinya akhirnya tumpah.
“Dan sebab you isteri I lah, I masih bagi you duduk sini, tapi jangan fikir I akan biarkan you terus rosakkan hidup you sendiri.”
“Medina?!” Maria ketawa mengejek.
“Perempuan yang you rampas dari kampung tu? Perempuan murahan yang jadi model Uncle Bob?!”
Mikael menggenggam tangannya.
Rupanya-rupanya selama ini bakal isterinya ialah model.? Tapi..
“Jangan hina dia. Jangan hina perempuan yang lebih bermaruah dari you.”
“Tengok! Tengok sendiri… you dah tak kisah langsung pasal I. Tapi masa mula-mula kahwin, siapa yang paksa I berlakon jadi bini sempurna? Siapa yang arahkan I dapatkan hati mak you? You yang suruh!”
“Ya. Dan I menyesal…” suara Mikael kendur, namun tajam.
Maria Elena seperti terkena tamparan halus.
Hatinya hancur, tapi egonya lebih kuat dari segalanya.
Dia tahu perkahwinan ini berpijak atas muslihat. Tapi dia tak sangka, lelaki itu akan jatuh cinta dengan perempuan lain.
Senyap menyelubungi bilik.
Mikael berpaling.
“Jaga maruah sendiri, Maria. Kalau I dapat tahu you usik Medina atau keluarga dia… I takkan berdiam.”
Maria mendongak, menahan air mata.
“Satu hari nanti, you akan menyesal tinggalkan I.”
Tanpa menjawab, Mikael Lutfi melangkah keluar dari bilik.
Pintu ditutup perlahan.
Dan Maria, akhirnya rebah ke atas katil. Air matanya gugur lagi. Tetapi kali ini, dia tidak menangis kerana sedih tetapi kerana dendam.
Share this novel