Sebaik sahaja kata-kata itu keluar, cengkaman di lehernya terlepas. Tubuhnya jatuh ke lantai dengan hentakan kasar, lututnya terhentak kuat, menyebabkan kesakitan yang menjalar ke seluruh badan. Batuknya terputus-putus, tangan pantas memegang lehernya yang masih terasa perit akibat tekanan tadi.
Tengku Eidlan berdiri di atasnya, memandang ke bawah tanpa sebarang ekspresi.
“Kenapa tak cakap awal-awal? Ingatkan kau betul-betul nak mati di tangan aku malam ni juga.”
Dato' Danial menelan liur, masih berusaha mengatur pernafasannya. "T-Tak, Tengku! Sepatutnya aku terus bagi pada kau. Maaf! B-Boleh kau lepaskan aku sebelum orang salah faham? Aku tak nak diorang fikir kau yang bersalah."
Bohong.
Bukan reputasi Tengku Eidlan yang Dato' Danial bimbangkan. Dia lebih risau tentang maruahnya sendiri. Dia tidak mahu para tetamu melihat bagaimana dia hampir mati dicekik, di rumahnya sendiri, di tengah-tengah majlis yang dia anjurkan.
Tengku Eidlan mendengus kecil sebelum melangkah ke belakang. “Cepat.” Dengan begitu mudah, dia melepaskan lelaki itu, seolah-olah nyawa Dato' Danial tidak lebih dari sesuatu yang boleh dikawal mengikut kehendaknya.
Mengabaikan pandangan tetamu yang masih terpaku ke arah mereka, Tengku Eidlan membetulkan kotnya yang sedikit berkedut. "Aku nak merokok. Kat mana ada tempat yang sunyi, aku nak bertenang sikit sementara tunggu kau."
Dato' Danial masih cuba menenangkan dirinya sebelum menjawab, suaranya bergetar. "Taman dah ditutup untuk tetamu, jadi tak ada orang kat sana. Tapi... anak aku nak cakap dengan kau sekejap. Kalau kau boleh luangkan masa dengan dia, aku hargai sangat."
Tengku Eidlan menghentikan langkahnya, menoleh dengan pandangan sinis. “Kau ingat aku ni tahi bintang ke Dato’?”
Dato' Danial berkedip beberapa kali, jelas bingung. “Tahi bintang? Aku tak faham, Tengku. Apa maksudnya?”
Tengku Eidlan menghela nafas panjang, seakan-akan keletihan dengan kebodohan yang dipersembahkan di hadapannya. "Itulah aku tanya. Kau ingat aku senang-senang je nak tunaikan hajat kau suka hati? Dah. Jangan buang masa aku. Pergi ambil apa yang kau janji nak bagi."
Dato' Danial tergesa-gesa mengangguk, tubuhnya masih menggigil. “Y-Ya, Tengku.”
Tanpa berkata lebih lanjut, dia bergegas pergi, meninggalkan Tengku Eidlan yang kini berdiri sendirian di tengah-tengah dewan yang masih dikuasai keheningan.
Tengku Eidlan tidak berkata apa-apa lagi. Dia hanya memerhatikan Dato' Danial berlalu pergi, wajahnya tetap tanpa ekspresi. Namun, dalam fikirannya, satu keputusan telah dibuat, ini kali terakhir dia akan menurut arahan Raja untuk mengunjungi rumah orang seperti Dato' Danial Ghaffar.
Lelaki itu tidak lebih daripada seorang yang suka mengambil kesempatan, mempergunakan namanya untuk menarik perhatian para tetamu.
Dan sekarang, dia mahu menolak anak perempuannya pula ke dalam perangkap ini?
Menjengkelkan.
Sebelum ada sesiapa yang berani mendekatinya, sebelum para ibu mengambil kesempatan untuk memperkenalkan anak gadis mereka kepadanya, Tengku Eidlan melangkah pergi. Dia memilih satu arah secara rawak, berharap ia akan membawanya ke taman.
Ini kali pertama dia menjejakkan kaki ke rumah Dato’ Danial, dan dia benar-benar berharap ini juga yang terakhir.
Ketika dia berjalan, telinganya menangkap suara bisikan halus di belakangnya.
“Ikut dia.”
Dia tidak menoleh. Dia tidak perlu menoleh.
Sebaliknya, dengan gerakan santai, dia menarik keluar sebatang cerut dari poket kotnya. Jemarinya menggulung-gulung batang cerut itu di antara jari sebelum meletakkannya di bibir.
Udara malam yang sejuk menyambutnya sebaik sahaja dia melangkah keluar dari rumah besar itu. Angin dingin menerpa kulitnya, seolah-olah cuba menghalangnya daripada terus berada di luar.
Namun, Tengku Eidlan tidak peduli.
Udara malam menusuk hingga ke tulang, angin sejuk menyapu perlahan di antara kepulan asap cerut yang terapung di udara. Namun bagi Tengku Eidlan, kesejukan ini lebih baik daripada kehangatan dewan yang penuh dengan tatapan menginginkannya, mata-mata gadis muda yang memandangnya seolah-olah dia adalah hadiah yang perlu dimenangi.
Dia berdiri di tepi tangga marmar, memejam mata seketika, menikmati ketenangan yang jarang dia temui dalam majlis seperti ini. Nafasnya perlahan, tangan kanannya menyeluk poket, sementara tangan kirinya mengangkat cerut ke bibir.
"Brr… patut bawa dua lapis kot tadi."
Suara gumamannya tenggelam dalam kesunyian malam.
Namun sebelum dia sempat menikmati saat-saat damai itu, gerakan di hujung anak tangga menarik perhatiannya.
Seorang wanita muda.
Langkahnya tergesa-gesa. Tubuhnya dibalut dengan kot nipis yang jelas tidak cukup untuk menahan kesejukan.
"Ehem, kot tu… tak tipis sangat ke Aleena?"
Nada suaranya tenang, tetapi cukup untuk membuat gadis itu terhenti serta-merta. Tubuhnya sedikit mengejang, seolah-olah baru menyedari dia tidak bersendirian.
“Majlis kat dalam.”
Aleena bersuara, namun tidak berpaling.
Tengku Eidlan tersenyum kecil sebelum menghembuskan asap cerutnya ke udara. "Tahu. Kenapa kau nampak gelisah sangat? Ingat aku tak tahu siapa kau? Siapa lagi yang pakai topeng dalam rumah Dato’ ni kalau bukan Aleena, anak perempuan yang kononnya disumpah?"
Aleena diam. Keheningan menggantung di antara mereka sebelum akhirnya dia bersuara, suaranya hampir berbisik.
“Kau takut kat aku?”
Tengku Eidlan menghembuskan nafas kecil, seperti mendengar sesuatu yang tidak masuk akal. "Tak. Banyak lagi benda yang lebih seram dalam hidup ni, saya. Buat apa aku nak takut dengan topeng kau?”
Dia menghembuskan lagi asap ke udara, membiarkan bau tembakau memenuhi ruang di antara mereka.
Aleena berkerut. "Rokok… membunuh.”
Tengku Eidlan tersenyum sinis. "Baguslah. Sekurang-kurangnya cepat sikit aku mati."
Nada bersahaja itu membuat Aleena menelan liur. Lelaki ini… seolah-olah tidak peduli apa yang akan terjadi kepadanya.
"Kau pula? Takut kat aku?"
Aleena masih tidak berpaling. "Aku tak tahu siapa kau."
"Betul juga. Aku Eidlan Hamzah. Panggil je Eidlan."
Dia melihat Aleena kaku seketika sebelum akhirnya gadis itu berpaling sedikit, menatapnya.
"Tengku?" Matanya sedikit membesar, nada suaranya berubah. Dia tidak pernah menyangka lelaki ini benar-benar berada di sini. Selama ini, dia fikir bapanya hanya menipu. "Dengar kata kau nak kahwin. Jadi sebab tu ke kau datang sini? Kau nak jumpa adik aku?”
Tengku Eidlan mendongak sedikit, matanya penuh dengan sindiran. "Daripada jumpa adik kau, baik aku mati je terus. Jangan ambil hati."
Aleena terdiam, namun ada senyuman halus di sebalik topengnya.
“Tak, Aleena. Tak ada seorang perempuan dalam rumah ni yang akan jadi isteri aku. Diorang semua cuma patung yang ikut arahan mak bapak diorang.”
Aleena masih diam, seolah-olah memikirkan sesuatu.
"Kalau… perempuan yang di luar rumah?" Aleena tiba-tiba bertanya. "Kalau aku minta kau kahwin dengan aku, macam mana?”
Dia sendiri tidak tahu dari mana keberanian itu muncul. Namun, saat ini, dia melihat satu peluang, satu cara untuk keluar dari rumah ini.
Tengku Eidlan mengangkat kening, meneliti gadis itu dengan penuh minat.
"Kau kena faham sesuatu Aleena. Aku tak pernah berminat untuk kahwin pun, tapi entah macam mana cerita tu boleh tersebar,” kata Tengku Eidlan sambil menghisap cerutnya lagi. “Lagipun, kalau aku kahwin dengan kau, kau akan terjebak dalam perkahwinan tanpa rasa cinta,” sambungnya lagi dengan tenang.
"Kalau aku cakap yang… aku tak perlukan cinta kau?"
Kata-kata itu membuat Tengku Eidlan ketawa kecil, suara garau itu bergema perlahan di dalam dinginnya malam. "Tak ada jaminan kau takkan berharap cinta tu nanti, Aleena."
Perkahwinan zaman sekarang jarang dimulakan dengan cinta. Tetapi lambat-laun, seseorang pasti akan jatuh ke dalamnya, sama ada mereka mahu atau tidak.
Namun Aleena tetap tenang. "Kalau… kita buat perjanjian?"
Tengku Eidlan menatap gadis itu dengan penuh perhatian. Dia melihat sesuatu di dalam diri Aleena… dia terdesak
Ya. Aleena memang terdesak, dan dia sanggup melakukan apa sahaja, termasuk menggunakan Tengku Eidlan sebagai jalan keluar dari rumah bapanya.
Share this novel