PERTEMUAN sebentar tadi mungkin berjalan lancar bagi Haris. Namun tidak bagi Dara. Dia dapat rasakan dirinya bukanlah pilihan mama Haris. Dia itu hanya pilihan Haris semata-mata. Biarpun layanan Tuan Habib sangat baik, tetap juga dia menerima layanan dingin daripada mama Haris. Senyuman yang diberikan mama Haris juga, lebih kepada demi menjaga air muka di depan keluarga.
Selesai sesi santapan dan beramah mesra sekadar meleangkapkan acara pertemuan, Dara dikejutkan dengan permintaan mama Haris yang ingin berjumpa denganya. Berdua. Tanpa Haris.
Haris orang paling risau bila mamanya berkeras ingin bertemu Dara. Biar pun dia juga sebenarnya gugup, namun dia cuba bersikap positif. Dia juga pegang ayat yang disebut Atiya. Mama mereka mahukan yang terbaik untuk anak-anak mereka.
“Awak tunggu saya dalam kereta, Haris. Saya okey.” Dara yang menamatkan ketegangan di antara dua beranak ini. Barulah dia nampak Haris angkat kaki. Apa yang dia nampak, langkah Haris itu berat untuk meninggalkan diri berdua dengan mamanya.
“Dah lama kenal dengan Haris?” Mama Haris tidak tunggu lama untuk bertanya.
Dara yang sibuk memerhati Haris dari belakang, menoleh.
“Baru tiga bulan.” Bohong Dara. Dia main tembak saja. Haris pun tidak memberi sebarang skrip ketika berdepan dengan mamanya.
“Haris pun cakap macam tu…”
Dara merasa sedikit lega bila tembakkan dia mengena. Ini kerana, awal-awal lagi Haris sudah berpesan. Dara perlu lulus apa jua cara untuk menjadi calon isterinya Haris. Jika tidak, rancangan mereka esok hanya mimpi semata-mata. Gara-gara ugutan Haris itu jugalah Dara cuba sehabis baik untuk menjadi yang terbaik di mata mama Haris.
“Dara tahu tak sebelum ni Haris pernah bertunang?”
Soalan ini seolah-olah menjerut leher Dara. Sejujurnya, dia hanya tahu Haris punya bekas tunang. Jangan ditanya perihal kemelut yang melanda sehingga mereka putus tunang. Dia memang tidak tahu menahu hal yang itu. Dan bukan sikap dia sejak dari dulu lagi untuk menjaga tepi kain orang.
“Umairah tu bagus orangnya.”
Pujian mama Haris itu jelas-jelas menunjukkan Umairah itu masih berada di hati mama Haris. Boleh jadi juga mama Haris itu mengharapkan Umairah yang datang hari ini.
“Pekerjaan dia bagus.”
Maknanya, aspek pekerjaan juga menjadi senarai yang dititik beratkan mama Haris. Padanlah semasa makan tadi mama Haris sibuk bertanya apa pekerjaannya Dara. Mujur ada Atiya yang membantunya menjawab soalan tersebut. Sempat lagi Atiya menitip pujian ke atas dirinya dalam menjalankan tugas. Dapat Dara rasakan Tuan Habib juga berpihak kepadanya bila lelaki separuh abad itu merasakan Dara merupakan calon yang tepat. Hanya mama Haris yang tidak berkata apa.
Apa yang Dara nampak, cebikan di mata tua itu.
Kalau dah mama Haris memberi pujian melambunh kepada Umairah, sudah tentu Umairah itu mempunyai kerjaya jauh lebih hebat daripada Dara.
“Umairah itu ada segala-galanya. Dia mewarisi perniagaan orang tuanya dia usia muda, dan perniagaan mereka semakin maju.”
Dara memberi senyuman tipis. Nampak gayanya, hanya Haris yang berjaya move on. Haris lupa untuk heret mamanya sekali meraih kejayaan move on. Buktinya, sejak dari tadi mama Haris asyik berzikir nama Umairah.
“Memang Umairah tu salah.”
Jadi dalam hubungan mereka, Umairah yang telah melakukan kesilapan? Timbul soalan dibenak fikiran Dara.
“Tapi, Haris boleh berikan peluang ke dua buat Umairah. Tak semua manusia sempurna. Dan Umairah pun dah menyesal.”
Jangan mama Haris saja yang berkata begitu. Dara juga sudah menasihati Haris perkara yang sama. Memaafkan itu akan mendamaikan seseorang. Tetapi semua nasihat dia tidak membuahkan hasil. Disebabkan kegagalan tersebutlah, dia sedar dirinya tidak layak untuk menasihati sebagai insan yang tiada hubungan rapat.
“Saya sebenarnya, lebih suka Umairah. Mungkin kegagalan hubungan mereka berpunca dariada saya yang mendidik Haris. Cinta Haris pada kerjanya melebihi segala-galanya sehingga dia mengabaikan Umairah.”
Sepasang mata Dara tidak pandai mengerdip lagi. Terang-terangan mama Haris memberi jawapan kurang memuaskan hatinya. Mama Haris menolak mentah-mentah dirinya kerana masih merasakan Umairah itu lebih layak.
Dara cuba menggali semua kesabaran dia. Berhadapan dengan mama Haris, sama seperti dia berhadapan dengan Haris sebenarnya. Apa yang boleh dia rumuskan, kedua-duanya mempunyai personaliti yang sama.
“Puan…Saya datang hanya sebagai calon. Bukan sebagai isteri Haris. Jelas di sini, saya datang setelah memenuhi semua kriteria calon-calon isteri Haris. Jadi, saya juga berhak meraih peluang sama seperti Umairah. Jika saya gagal ke semua ujian-ujian puan yang inginkan terbaik untuk Haris, saya akan undur diri. Saya mungkin bukan yang terbaik, namun saya bakal usaha untuk jadi yang terbaik.”
Dara tahu, bahasa dia mungkin kedengaran kurang menyenangkan. Namun, dia rasa mama Haris itu perlu bersikap adil juga. Ini baru kali pertama mereka berjumpa. Belum ada sesi-sesi yang merumitkan. Dirinya juga belum disuruh untuk menyediakan masakan untuk kenduri, belum diuji membersihkan seluruh rumah mama Haris yang sepatutnya memerlukan dua ke tiga orang pembantu untuk menyiapkan dalam satu hari. Dia pun belum di bawa untuk berjumpa teman-teman mama Haris untuk melihat kemampuannya bergaul dengan orang tua yang berpangkat datin-datin.
Sangat sulit untuk Dara membaca renungan mama Haris. Apa yang mampu dia katakan, wanita ini nampak tergamam.
Dara merapatkan jurang mereka. Senyuman masih utuh dibibirnya biarpun senyuman dia masih belum dibalas.
“Saya tak rasa cinta pertama Haris itu kerjayanya. Dia masih mampu meluangkan masa bertanya keadaan saya jika ada masa terluang. Malah, Haris sanggup berkejar-kejar untuk kami makan bersama. Haris melayani saya selayaknya seorang wanita tanpa melampaui batas.”
Tidak tahu dari mana Dara mendapat semua ayat-ayat tersebut. Apa yang dia tahu, dia memilih untuk jujur.
“Biarpun Haris itu tidak kaya dengan budi bahasa, perilaku dia sangat kaya dengan sikap budimannya. Jadi, Puan seharusnya berbangga. Haris itu hasil didikan puan yang sangat berjaya.” Dara meraih tangan kanan mama Haris lalu di bawa rapat ke bibirnya. Satu perubahan positif bila mama Haris merelakan. Tidak seperti mula-mula dia sampai ke sini. Huluran mama Haris itu lebih kepada terpaksa.
“Saya pergi dulu. Takut Haris mula syak yang bukan-bukan.” Pamit Dara. Dia dapat rasakan Haris itu pastinya sudah panas punggung. Buktinya, beg tangan dia tidak henti-henti bergegar. Siapa lagi kalau bukan Haris punya angkara.
Baru tiga langkah, suara mama Haris menahannya.
“Dara!”
Lantas Dara menoleh. Seraut wajah yang belum di mamah usia itu Dara tatap. Lama dia menunggu wanita itu membuka mulut.
“Boleh Dara pastikan Haris selalu balik ke sini?”
Senyuman Dara mendahului. Ibu mana yang tidak mahu anaknya kerap pulang ke rumah. Mungkin salah faham yang berlaku di antara mereka berdua yang menyebabkan Haris itu lebih banyak menghabiskan masa di tempat kerjanya.
“InsyaAllah, puan…”
Dara diperlihatkan buat kali pertamanya senyuman wanita itu. Panjang helaannya nafasnya. Dia bukan saja perlu berpihak pada Haris. Dia juga perlu berpihak kepada mama Haris yang mengharapkan dirinya untuk menjadi punca mereka berbaik semula.
“Lamanya!”
Ayat pertama yang sampai ke pendengaran Dara sebaik dia menarik tali pinggang keledar. Satu perkara baharu yang Dara tahu lagi tentang Haris. Kesabaran Haris itu senipis kulit bawang jika melibatkan mamanya.
“Apa yang awak bincangkan dengan mama? Mama saya itu cerewet orangnya Dara. Dan perkara paling penting, kalau awak salah cakap, awak akan gagal menjadi isteri saya Awal-awal kalau awak dah gagal, tak ada gunanya rancangan seterusnya. Semuanya akan tetap temui kegagalan.”
Sikit pun Dara tidak bersuara. Dia hanya tegakkan pandangan. Dia tidak tahu pula, Haris itu kalau dah kalut, percakapannya juga ikut kalut.
“Dara, saya tengah cakap dengan awak!” Haris belum berniat untuk tinggalkan perkarangan rumahnya. Dia masih menanti Dara membuka mulut.
“Dah malam, Haris…Cepat hantar saya balik. Mak saya dah lama tunggu.” Ikutkan hatinya, boleh saja dia memandu sendiri. Tetapi Haris itu berkeras tetap mahu menghantarnya pulang biarpun menggunakan kereta miliknya sendiri.
Kata Haris, sudah lewat malam. Bahaya untuk Dara memandu sendirian.
“Awak sedang uji kesabaran saya, huh?”
Dara menoleh. Suruh hantar balik pun boleh dikira menguji kesabaran Haris? Kata siapa?
“Saya tak ada hak untuk uji kesabaran awak, Haris.”
Dara diperdengarkan rengusan Haris. Biarlah Haris itu mahu marah sekali pun, Dara tetap dengan pendiriannya. Dia pun malas mahu membuka cerita perihal perbualan dia bersama mama Haris. Dia takut dengan penerimaan Haris nanti.
“Saya ada seribu cara untuk buatkan mama saya buka mulut kalau awak tak nak cerita.”
Di dalam kegelapan, Dara dapat melihat kemarahan Haris itu semakin menjadi-jadi. Buktinya, lelaki ini sengaja menolak tombol gear keretanya dengan cara paling kasar. Sedangkan Dara pun tidak pernah berkasar dengan kebal kuning miliknya.
Tubuh Dara tersentak sedikit ke belakang bila Haris mengundur secara mendadak. Semakin Dara tidak faham dengan sikap Haris yang marahkan hanya kerana perkara remeh temeh.
“Besar kemungkinan mama tak sukakan awak, Dara. Tapi…Saya sedang berusaha untuk mama sukakan awak melebihi mama sukakan Umairah.”
Sepuluh minit membisu, Haris itu buka mulut. Masih dengan cerita yang sama.
“Setakat usaha sebelah pihak, sukar untuk membuahkan hasil. Saya juga perlu berusaha, Haris. Barulah hasilnya menguntungkan ke dua-dua belah pihak.” Ini pendapat Dara.
Tak perlu Dara menoleh. Dia sendiri dapat mengagak dirinya menjadi tumpuan Haris. Ekor matanya dapat menangkap pergerakkan lelaki itu yang mengerling kepadanya.
“It’s that you, Dara?” Tanya Haris kurang percaya. Bukankah sebelum-sebelum ini Dara cukup pantang bila dia menyebut perkataan isteri. Dara itu pastinya melenting tak bertempat.
Jangan cakap Dara hanya berlakon semata-mata inginkan kerjasama mereka peroleh kejayaan dan kemudiannya Dara lupakan hasrat Haris yang ingin memperisterikannya.
“Selepas awak berjaya menemukan siapa Emir sebenarnya, jangan pernah mimpi saya akan batalkan hasrat saya untuk memperisterikan awak. Itu merupakan niat utama saya."
Sepi. Dara belum ada niat ingin menyampuk. Pilihan dia adalah diam. ltu lebih baik.
"Berkali-kali saya tekankan...Saya tak pernah halang apa pun perasaan awak pada Emir. Saya hanya akan menjadi penghalang setelah saya berjaya menjadi suami awak. Ketika itu, awak dalam proses bercinta dengan saya. Bercinta selepas kahwin.”
Sesak nafas Dara buat seketika. Haris itu kalau cerita bab-bab alam rumah tangga, bikin seluruh bulu romanya merinding! Bahkan, cara penyampaian Haris itu sarat dengan ketegasan. Malah terselit juga ugutan!
Dara betulkan duduk.
Dia hairan. Kenapa Haris itu sungguh-sungguh ingin memperisterikan dia? Sedangkan, Haris sendiri tahu. Sejak dari awal lagi, hati Dara bukan milik lelaki ini. Hati Dara sudah jatuh ke tangan orang yang salah.
“Saya tak tahu apa yang saya rasa sekarang ni…” Dara bersuara dalam payah.
Ketawa sinis Haris itu terlebih dahulu menyapa.
“Hanya perasan awak saja, Dara. Awak kan selalu mempunyai imaginasi yang tinggi.”
Jelingan Dara singgah sekilas.
“Apa yang saya rasa, saya ni sebenarnya tiket untuk awak melepaskan diri daripada Umairah. Bukannya atas dasar suka. Betul tak?”
Kali ini, jawapan balas Haris sungguh luar biasa. Lelaki ini memaut steering kuat ke bahu jalan dan berhenti mendadak.
“Ulang balik apa awak cakap tadi. Lebih-lebih lagi ayat yang terakhir. Sebab saya punya masalah pendengaran sekarang, semakin teruk. Tiada ubat untuk mengubati masalah saya yang satu ni.”
Dara bungkam. Dia cuba mengingat kembali ayat-ayat yang baru saja dia sebut. Sialnya, ayat yang berada di fikirannya seperti tidak sama dengan apa yang baru dikatakan. Bibirnya masih bergerak-gerak mahu menyebut ayat yang ingin didengari Haris buat kali ke duanya.
Share this novel