Pagi itu, matahari belum meninggi saat Medina Atalia sudah bangun dari katil. Mikael masih terlentang lena di sisi, nafasnya teratur dan wajahnya damai.
Medina sempat menatap lama suaminya yang kini menjadi pelindung, walau hatinya tahu perlindungan itu mungkin tak cukup bila badai datang menyerang dari arah yang tak dijangka.
Dia bangkit perlahan, mengenakan jubah tidur dan menuruni anak tangga menuju ke dapur.
Langkahnya tenang, tapi fikiran penuh waspada.
Seolah-olah naluri seorang wanita sudah memberi isyarat bahawa sesuatu sedang mengintai dari celah bayang-bayang.
Bencana itu tak lagi jauh.
Ia sedang merayap perlahan, mungkin datang dari Maria Elena, atau lebih menakutkan... Qalam.
Qalam lelaki misteri yang pernah menyelamatkannya, kini semakin sukar dibaca.
Motifnya kabur, niatnya samar.
Dia pernah menjadi pelindung, tapi kini seperti bayang yang mengekori tanpa suara, dan menunggu waktu untuk menyerang.
Di dapur, Medina mula memotong bawang dan sayur untuk sarapan pagi. Bunyi desiran pisau mengena papan pemotong menenangkan fikirannya.
Telur dadar, sambal tumis, nasi lemak semuanya disediakan dengan rapi.
Tangannya bekerja seperti biasa, tetapi hatinya tidak pernah merasa benar-benar selamat.
Tiba-tiba, telefon bimbitnya berbunyi. Ada pesanan WhatsApp masuk daripada nombor tanpa nama.
“Jangan terlalu selesa dalam rumah itu. Dia belum selesai menuntut. – Q”
Dada Medina berombak. Dia menutup telefon serta-merta dan meletakkannya di sisi sinki. Jari-jarinya menggigil sedikit.
Bukan kerana takut, tetapi kerana kecewa.lelaki itu masih belum pergi.
Masih belum melepaskan masa lalu yang sepatutnya ditinggalkan.
Langkah kaki Mikael bergema dari tangga. Dia muncul di dapur, rambut masih kusut, berkemeja-T putih dan berseluar pendek tidur.
“Wangi dapur kita pagi ni,” puji Mikael sambil memeluk Medina dari belakang.
Medina paksa senyum.
“Abang mandi dulu, ya. Sarapan hampir siap.”
Mikael mencium kepala isterinya.
“Terima kasih, sayang.”
Namun dalam senyum itu, Medina menyembunyikan gelora yang tak mahu dia kongsikan. Dia tak mahu Mikael tahu.
Belum.
Belum sekarang.
Di luar rumah, sebuah kereta hitam berhenti seketika tidak jauh dari pagar.
Seorang lelaki berbaju jaket kulit dan bersarung tangan hitam berdiri di tepi jalan, memandang rumah mewah itu dengan pandangan dingin.
Dia bercakap sendiri perlahan.
"Medina… kau tak boleh lari selamanya. Dan mereka akan tahu siapa aku, bila masa itu sampai."
Lelaki itu Qalam melangkah semula ke dalam kereta dan berlalu pergi.
Biarpun tak meninggalkan jejak, kehadirannya sudah cukup membuat dunia Medina kembali goyah.
Comment lah kalau lalu di fyp korang bye.. ;)
Share this novel