ANGIN semilir bertiup tenang, menggoyangkan dedaunan di pohon sehingga menghasilkan desir yang mendamaikan. Burung-burung yang bertenggek di dahan pokok pula galak berkicau, memperdengarkan suara yang berlagu cinta sesama mereka. Di laman rumah yang luas terbentang, Rizal dan Amira melihat ke sekeliling kawasan yang terlihat penuh kehijauan sambil ditemani oleh Shahira. Tidak lama kemudian, Rizal kembali ke dalam rumah dan meninggalkan Amira dan Shahira.
Ketika dua orang perempuan itu berjalan berhampiran kawasan garaj kereta, Tan Sri Hanafi keluar dari rumah dan berjalan dengan tergesa-gesa menuju ke arah kawasan parkir yang tersusun dengan beberapa buah jenis kereta pelbagai model.
"Eh, Papa nak pergi mana? kalut semacam je?" Shahira menegur bapanya yang terlihat sedikit kelam-kabut.
"Papa kena pergi pejabat jap.. ada menteri datang, buat lawatan mengejut.. huh, menyusahkan betul.. Ah, Ira sibuk tak? Boleh tak temankan Papa? Jadi driver Papa hari ni.. Pakcik Razak demam.. Papa tak nak la menyusahkan dia.. biar dia rehat je.." Tan Sri Hanafi meminta bantuan Shahira untuk memandu dan membawanya ke pejabat.
"Papa tak tengok ke? Kan Ira sibuk layan kak Mira ni.." Shahira sengaja ingin memperolokkan bapanya.
"Kalau macam tu takpe la.. Papa drive sendiri je la.."
"Eh, Papa.. nanti la.. Ira pergi sama.. biar Ira je yang pandu kereta.." Shahira segera membalas.
"Ish, budak ni.." Tan Sri Hanafi menggumam geram. Anak gadisnya itu tidak habis-habis menyakatnya. Dia sebenarnya tahu, Shahira adalah anak yang dapat diandalkan. Namun ketika itu, dia juga tidak ingin memaksa anaknya itu untuk menjadi pemandu. Dia lebih suka jika Shahira menemani dan melayani kakak iparnya di rumah.
"Kunci?" Shahira menghulurkan tangan untuk mendapatkan kunci kereta daripada ayahnya. Tan Sri Hanafi segera memberikan kunci kereta kepada anak gadisnya itu.
"Kak, Ira pergi dulu ye..kena jadi driver Papa pulak hari ni.. Kalau akak nak ikut sekali pun, jom la.." Shahira memandang ke arah Amira yang berdiri di sebelahnya.
"Eh, takpe la.. akak duk kat rumah je la.. lagipun abang Riz dan Mama pun ada kat rumah.. Ira pergi la dengan Papa.." Amira tersenyum, menolak pelawaan adik iparnya.
"Baiklah.. Ira pergi dulu.. bye.." Shahira melambai kepada kakak iparnya seraya membuka langkah, menuju ke arah barisan kereta yang tersusun di garaj.
"Eh, Papa bagi kunci vellfire ke ni? Nak bawa Vellfire?" Soal Shahira apabila melihat kunci kereta yang berada di tangannya.
"Entahlah.. Papa asal ambik je tadi.. tak tau kunci kereta mana.. tak peduli la kereta mana pun, cepat kita pergi.. dah lambat ni.." Ujar Tan Sri Hanafi dengan sambil lewa. Dia benar-benar tidak memperhatikan dan tidak mempedulikan jenis kenderaan yang akan dia gunakan. Baginya, semua jenis kenderaan adalah sama sahaja. Asalkan dapat membawa dirinya ke tempat tujuan yang ingin dia capai, itu sudah mencukupi. Malah tidak menghairankan jika lelaki kaya itu bersikap sedemikian. Walau apa pun kereta yang akan digunakan, semua jenis kereta yang berada di rumahnya adalah kereta mewah yang berkualiti tinggi.
Amira hanya memerhatikan Shahira dan Tan Sri Hanafi menaiki kereta mewah milik bapa mentuanya itu. Dia melambaikan tangan dan melihat kenderaan yang di pandu oleh Shahira itu semakin menjauh, meluncur laju meninggalkan perkarangan rumah agam. Setelah kenderaan tersebut hilang daripada pandangan, Amira berpaling badan dan segera menuju ke arah pintu rumah. Dia ingin kembali ke dalam rumah dan menemui suaminya.
Ketika berjalan menghampiri tangga, Amira berpapasan dengan ibu mentuanya, Puan Sri Rohayu. Melihat wajah wanita yang agak dingin itu, Amira merendahkan pandangannya dan melemparkan senyuman. Dia tidak berani untuk bertentangan mata dengan ibu mentuanya itu. Melihatkan ibu mentuanya mengenakan pakaian yang terlihat bergaya, Amira terdetik hati untuk menegur.
"Mama pakai lawa-lawa ni nak pergi mana?"
"Aku nak pergi mana pun, itu bukan urusan kau.. Ah, lain kali jangan panggil aku Mama.. aku bukan Mama kau.." Puan Sri Rohayu membalas dengan kata-kata yang kasar dan tidak menyenangkan untuk didengar. Amira langsung tersentak dan mulai kehilangan kata-kata. Rasa gembira di hatinya tadi saat bersama Shahira kini langsung sirna.
"Ma..maaf.." Amira tertunduk. Perasaan gentar mulai menyelubungi hati.
Melihatkan Amira yang menjadi kaku dan berdiri diam, Puan Sri Rohayu merapatinya dengan perlahan-lahan.
"Kau dah dapat duit tiga juta sebagai balasan sebab jaga Riz selama ni.. sekarang kau tunggu apa lagi?" Puan Sri Rohayu separa berbisik ke telinga Amira. Amira terbungkam. Dia tidak berani mengeluarkan walau sepatah kata. Matanya terus menatap lantai.
"Kau dah dapat apa yang kau nak, sekarang aku nak kau tinggalkan anak aku!.. jangan lagi berharap nak dapat lebih!.. dasar perempuan kampung! Kau tak payah terhegeh-hegeh nak dekat Riz lagi.. kau dan dia tak sama.. sedar diri sikit!" Puan Sri Rohayu mengeraskan suara berbanding sebelumnya. Amira yang ketakutan beberapa kali tersentak sambil memejamkan mata.
"Tapi.. Mira.. sayangkan Riz.." Amira membalas dengan suara yang tersekat dan bergetar.
"Tak payah nak mengarut! Kau campak je sayang kau tu dalam longkang.. Aku tahu.. kau dah lama berangan nak tinggal kat rumah ni kan?... kau nak kikis harta keluarga aku kan?"
"Tak.. Mira tak nak semua tu.. Mira hanya sayangkan Riz dan nak bersama Riz.." Amira mula menangis, tidak dapat bertahan setelah terus ditekan dan dimaki hamun oleh ibu mentuanya sendiri.
"Nampaknya 3 juta masih tak cukup.. cakap, berapa banyak lagi yang kau nak? aku akan bagi.. asalkan kau tinggalkan anak aku.. kau duduk kat sini pun, aku takkan pernah anggap kau sebagai menantu aku tau.." Puan Sri Rohayu menunjal kepala Amira dengan tangannya lalu segera berlalu pergi meninggalkan perempuan tersebut. Langkah kakinya di atur laju menuju ke arah pintu rumah. Amira pula menangis semakin kencang. Perasaannya bercampur diantara takut, sedih dan kecewa.
Tanpa wanita itu sedari, di sebalik dinding, Rizal sedang bersembunyi. Dia yang tadinya kebetulan melalui kawasan tersebut telah mendengar ucapan ibunya kepada Amira. Untuk tahu lebih lanjut mengenai pandangan ibunya terhadap Amira, Rizal sengaja bersembunyi di sebalik dinding agar keberadaanya tidak diketahui. Kini segalanya sudah jelas. Rizal sudah tahu bagaimana sebenarnya penerimaan ibunya terhadap sang isteri. Lelaki itu mengepal kemas tangannya, menahan geram.
'sayang.. maafkan abang..' Rizal bermonolog. Lelaki kemudian tertunduk sambil memejamkan matanya. Bibirnya ketap, menahan rasa geram dan kecewa. Rizal merasa bersalah kerana gagal melindungi isterinya itu. Lebih mengecewakan, yang menyakiti isterinya adalah ibunya sendiri.
Amira kemudian bergegas menaiki anak tangga dan menuju ke lantai atas. Dia segera berlari menuju ke arah biliknya sambil menyeka air mata yang tersisa. Tiba di biliknya, Amira mula melangkah lemah. Dia perlahan-lahan menuju ke arah katil dan menghempaskan punggungnya pada birai katil. Tas tangannya di atas meja di capai dan Amira mengeluarkan sekeping kertas dari tas tangannya itu. Kertas itu adalah cek pemberian bapa mentuanya yang bernilai tiga juta ringgit.
Di saat menatap cek tersebut, kata-kata Puan Sri Rohayu tadi kembali terngiang-ngiang di telinga Amira. Amira kecewa dan sangat sedih. Dia dihina kerana telah menerima cek tersebut. Air matanya kembali mencurah dan menitik keluar sehingga membasahi cek yang berada di pegangan tangannya. Dengan geram, Amira mengoyak dan menggumpal cek tersebut. Cebisan kertas yang sudah menjadi gumpalan itu lalu dilemparkan oleh Amira ke suatu sudut di dalam bilik. Lantas wanita itu menyembamkan wajahnya ke bantal menangis semahunya.
Tidak lama kemudian, Amira terdengar pintu bilik di buka. Dia segera mengesat air matanya. Dia tahu Rizal sudah kembali ke bilik tidur mereka. Dia tidak ingin suaminya itu melihat air matanya yang sudah tumpah. Amira tidak ingin lelaki itu tahu jika ibu mentuanya tidak menerima kehadirannya di sana.
"Sayang, buat apa duk kat bilik?" Rizal menyapa isterinya yang terlihat duduk di atas katil.
"Takde buat apa.. bosan tak tahu nak buat apa kat rumah ni." Amira cuba berdalih. Dia berpura-pura meraup wajahnya dengan kedua telapak tangan, padahal dia sebenarnya ingin menyeka air mata yang masih tersisa pada wajahnya. Wanita itu memaksakan dirinya untuk tersenyum walaupun terlihat kelat. Namun lakonannya itu gagal. Rizal yang tahu keadaan isterinya itu menyedari kegundahan yang ditanggung oleh perempuan tersebut.
"Sayang menangis? Abang minta maaf.. abang.."
"Apa abang cakap ni? Sayang takde apa-apa la.. cuma bosan je.. bang, apa kata kita keluar jalan-jalan?" Amira segera memintas percakapan suaminya. Dia tidak ingin Riza tahu keadaanya yang sedang berdepan dengan masalah ibu lelaki tersebut. Malah bagi Amira, dia sama sekali tidak akan menceritakan hal yang sudah terjadi diantaranya dengan Puan Sri Rohayu. Amira tidak ingin membuatkan hubungan ibu dan anak itu menjadi keruh hanya disebabkan dirinya. Malah bagi Amira, Rizal sebagai seorang anak haruslah patuh kepada ibunya sendiri. Dia tidak ingin menajdi perosak kepada hubungan ibu dan anak itu. Bagaimana pun, Rizal tetaplah seorang anak dan hubungan dengan ibunya sama sekali tidak dapat diputuskan, sedangkan Amira hanyalah orang luar yang terikat dengan hubungan pernikahan. Jika mereka bercerai, hubungan antara mereka juga akan hilang dan terputus.
Melihatkan Amira yang cuba menafikan masalah yang dihadapinya, Rizal juga terpaksa berpura-pura tidak mengetahui apa sebenarnya yang sudah terjadi. Lelaki itu segera mendekati isterinya dengan senyuman lalu mengelus lembut kepala wanita tersebut.
"Jom la kita keluar jalan-jalan.. pergi shopping mall, habiskan duit Papa.." Rizal cuba berjenaka untuk menghiburkan isterinya. Amira seraya tergelak kecil, menepuk lengan suaminya.
Mereka berdua kemudian bersiap-siap untuk keluar bersama. Setelah lebih dua tahun tidak memandu koleksi kereta milik bapanya, Rizal akhirnya memilih untuk memandu sebuah Volkswagen Passat R-Line yang menjadi salah sebuah kereta yang berada di garaj. Kenderaan berwarna hitam itu dipacu laju meninggalkan pekarangan rumah agam Tan Sri Hanafi. Deruman enjin daripada kenderaan tersebut bising membelah jalan, seakan satu ngauman melepaskan geram.
Di sebuah mall, Juana sedang berjalan bersama sahabatnya, Delisha. Walaupun berjalan bergandingan, namun mereka berdua sibuk dengan telefon bimbit masing-masing. Sesekali, Juana meluruskan tangannya yang memegang telefon dan membuat beberapa memek muka untuk berswafoto. Delisha pula terkumat kamit mulutnya, dengan riak wajah yang tidak senang.
"Ish, sakit hati betul aku dengan Eddy ni.. asal outstation je, susah nak contact.." Delisha merungut sendirian. Mendengar ucapan sahabatnya, Juana tersenyum sinis.
"Kau dengar la cakap aku ni Sha.. orang lelaki ni memang tak boleh nak percaya.. katanya outstation, ntah-ntah sibuk dengan perempuan lain." Juana cuba menghasut.
"Dah la.. kau jangan nak mengarut.. aku ni dah la tengah sakit hati.. hari ni aku tak kerja, ingat boleh la keluar dengan Eddy. Tapi pagi tadi dia call kata nak kena pergi outstation pulak. Sebab tu terpaksa ajak kau je la temankan aku hari ni.. Huh!"
"Tapi.. kalau dia pergi cari perempuan lain macam mana?" Juana masih ingin mencucuk jarum, membangkitkan prasangka Delisha terhadap teman lelakinya.
"Eddy tak macam tu la.. aku percayakan dia.. dah la, aku nak pergi toilet dulu jap.." Delisha yang melihat ke arah papan tanda di pusat membeli belah itu segera berjalan menuju ke arah tandas. Juana yang mencebikkan bibir hanya mengangguk kecil. Wanita itu menganggap Delisha yang terlalu mempercayai teman lelakinya itu sebagai satu perbuatan yang tak berasas dan sangat kolot.
Sementara bersendirian di sana, menunggu Delisha kembali, Juana melihat ke sekelilingnya. Wanita itu kemudiannya tersentak apabila melihat keberadaan Rizal di sana bersama seorang perempuan lain. Wanita itu tidak mempedulikan mengenai Amira. Matanya hanya fokus kepada Rizal. Dia segera mendekati lelaki tersebut dengan tergesa-gesa.
"Hai Riz.. you buat apa kat sini? Cari i ke?" Juana menyapa dengan gaya manja yang sengaja dibuat-buat.
Rizal dan Amira terkejut dengan kemunculan wanita itu. Amira segera mengalihkan pandangannya ke sisi dan mula menatap lantai. Dia tahu itu wanita sama yang bergambar dan memeluk Rizal sebelum ini.
"Maaf, aku tak kenal kau.. nama kau pun aku tak tahu.. tolong jangan ganggu aku dan isteri aku." Rizal langsung memberi penegasan. Dia tidak ingin isterinya tersalah sangka mengenai hubungannya dengan wanita tersebut.
"Isteri? Dia isteri you? Riz, please.. jangan main-main.. i tahu you masih marahkan i.. tapi i juga tahu, dalam hati you, you masih sayangkan i.. betul tak?" Juana tanpa rasa malu terus ingin menggoda dan berbaik semula dengan Rizal.
"Huh, kau pekak ke? Jangan ganggu aku dan isteri aku.. Aku tak kenal kau dan aku taknak isteri aku salah faham antara aku dengan kau, faham?!" Rizal membentak dan kembali meneruskan langkah kakinya bersama Amira, meinggalkan Juana di belakang mereka. Amira hanya mendiamkan diri. Dia seakan merasa bersalah kerana menjadi pemisah antara Rizal dan wanita yang menyapa suaminya itu.
"You hanya akan jadi milik i, Riz.." Juana memandang ke arah Rizal dan Amira dengan geram.
Share this novel