Bab 1

Romance Series 27583

“DATIN, sebenarnya kedatangan saya ini membawa hajat. Anak sedara saya yang mengembala lembu tu berkenankan Durrah. Dia nampak Durrah jemput Datin pulang dari kelas fardu ain di rumah saya minggu lepas,” cerita Hajah Saodah tenang pada teman baiknya itu.

Datin Nora yang baru ingin mendekatkan bibirnya di cawan terus terhenti. Pandangan matanya terarah pada Hajah Saodah. Serba salah sebenarnya hendak menolak hajat Hajah Saodah yang sangat dihormati ini. Namun untuk memadankan Durrah, anak kesayangan yang ditatang bagai minyak yang penuh dengan kemewahan itu rasanya kurang wajar.

“Hajah, sebenarnya Durrah tu sudah ada buah hati. Tunggu masa yang sesuai aje untuk disatukan,” alasan Datin Nora menolak dengan berlapik.

“Oh! Ya ke. Ingatkan masih kosong, tak dapatkan kita berkeluarga ya Datin.”

“Ehhh! Boleh je Hajah, kalau Hajah tidak keberatan. Dato, ehhh saya sebenarnya ada lagi sorang anak dara. Cuma yang ni lasak sikit. Dalilah namanya, baru balik dari Jepun,” cerita Datin Nora.

“Laaa ya ke. Saya ingatkan anak dara Datin ni sorang saja sebab Datin tak pernah cerita pun. Berapa umurnya?” soal Hajah Saodah cerah kembali.

“Kalau tak silap dalam 24 macam itulah. Biarlah saya berterus-terang ya Hajah ya, sebenarnya Dalilah ni anak tiri saya. Anak Dato dengan arwah isteri mudanya dulu. Sejak arwah meninggal, Dalilah ini diperlihara oleh adik Dato yang menguruskan rumah anak yatim di Hulu Langat sana tu,” cerita Datin Nora.

“Emmm… maknanya arwah isteri muda Dato dulu tu sempatlah melahirkan Dato seorang anaklah ya?” soal Hajah Saodah.

Cerita yang diketahui oleh Hajah Saodah sebelum ini tidak pernah melibatkan seorang gadis bernama Dalilah. Apa yang diketahuinya arwah isteri muda Dato Mokhtar seorang gadis Jepun yang baru mengenal erti Islam. Kalau tidak silap arwah meninggal ketika mengetuai ekpedisi pemulihan hutan di hutan simpan di Pahang. Tidak diketahui pula tentang Dalilah.

“Bagaimana orangnya?” soal Hajah Saodah.

“Emmm… rasanya bolehlah membantu anak saudara Hajah itu menguruskan ladang lembu. Diakan memang minat alam sekitar ni semua,” jelas Datin Nora berlapik, namun mengores juga hati kecil Hajah Saodah.

“Kalau saya nak jumpa dia macam mana. Naklah tengok dulu bagaimana rupanya. Adakah seelok Durrah budi pekertinya,” balas Hajah Saodah.

“Alhamdulillah. Anak-anak Dato ni semua yang mendengar kata. Kalau Hajah nak jumpa Dalilah ni Hajah boleh aje ke Rumah Anak Yatim Mahani. Sejak pulang dari Jepun, dia duduk di sana,” jelas Datin Nora

“Kira jadilah dulu ya Datin. Cakap dengan Dato, minggu depan saya bawa rombongan merisik terus meminang terus,” jelas Hajah Saodah.

“Eh! Tak nak tengok orangnya dulu ke Hajah. Nanti tak berkenan pula anak saudara Hajah tu.”

“Insya-Allah, firasat saya kuat menyatakan yang dia pasti akan berkenan.” Senyum Hajah Saodah.

Seronok Datin Nora dapat mengharukan hidup Dalilah walaupun tanpa dirancang. Kehadiran Hajah Saodah yang membawa hajat sangat menggembirakan hatinya. Dalilah pasti tidak akan membantah. Dato Mokhtar pun malas nak dengar dia bising. Pasti semua ini akan berjalan dengan sempurna.

Terseksalah hidup Dalilah bersuamikan si pengembala lembu, belajar sampai ke Jepun pun tidak membawa apa-apa kelebihan pada gadis itu untuk menandingi Durrah anak gadisnya yang punyai kecantikan dan digilai ramai. Pelajaran kurang penting buat Datin Nora, asal anak gadisnya mampu pikat orang kaya itu sudah cukup bagus buat masa depan anaknya kelak. Kerana duit boleh beli segalanya.

“Rasakan kau Dali. Ingat aku senang hati lepaskan kau belajar ke Jepun tu. Tak ke mana pun ijazah kau tu nanti, melainkan ke ceruk dapur rumah kayu di kampung sana… hahaha,” gelak Datin Nora penuh rasa puas hati.

DALAM perjalanan pulang dari rumah Datin Nora, Hajah Saodah terus melencong ke Hulu Langat. Rumah Anak Yatim Mahani menjadi destinasi yang ingin dikunjungi Hajah Saodah. Suasana petang rumah anak yatim ini sungguh riuh dengan semua ahlinya melakukan aktiviti riadah di laman rumah. Ada yang sedang berkebun. Bermain bola dan ada yang duduk bersembang.

Hajah Saodah terus menghampiri sekumpulan lima orang anak muda yang sedang tekun melihat skrin komputer yang terbuka. Pasti ada yang menarik untuk dikongsikan bersama telah Hajah Saodah.

“Di sini ada kerja kosong,” ucap seorang gadis persis peranakan Cina.

“Syarikat Jepun lebih sesuai buat kita, siswazah lulusan Jepun,” sambung seorang lagi.

“Assalamualaikum,” sapa Hajah Saodah mesra.

“Waalaikumsalam,” sahut mereka bersama-sama.

Dalilah bangun bersalam dengan Hajah Saodah. Tetamu di Rumah Anak Yatim Mahani adalah tanggungjawabnya untuk melayan dengan sebaik mungkin. Itu saja cara yang Dalilah boleh lakukan untuk membalas kasih sayang Mahani kepadanya. Warga di rumah anak yatim ini adalah keluarganya dunia akhirat.

Mata Hajah Saodah terus tertancap pada wajah gadis yang bersalaman hormat dengannya. Hatinya terusik dan suka pada sifat gadis di hadapan ini.

Tetamu ini pasti akan membawa berkat pada warga di rumah ini. Terutamanya kepada adik-adik yang sedang berusaha untuk melayakkan diri di Menara Gading.

“Ya, puan,” soal gadis persis peranakan cina itu. Dalilah.

“Saya nak jumpa Puan Mahani. Boleh tunjukkan saya?” Lembut bicara Hajah Saodah.

Dalilah mengangguk. “Saya, Dalilah. Mari saya bawakan mak cik jumpa Mak Su Mahani.”

Hajah Saodah terkejut lantas tersenyum. “Oh! Cantik orangnya,” puji Hajah Saodah pendek.

Dalilah yang mendengar rasa peliklah pulak. Tetamu yang tidak dikenalinya kini tiba-tiba memujinya. Pasti Mahani ada bercerita sesuatu pada tetamu ini kut sebelum ini, telah Dalilah mengambil mudah.

Mahani yang sedang duduk di ruangan membaca terkejut menerima kunjungan tetamu yang tidak dikenalinya. Lebih memeranjatkan lagi tetamu itu menyuarakan hasrat untuk mengenali Dalilah lebih dekat lagi.

“Hajah, saya ni hanya penjaga yang memegang amanah memelihara Dalilah. Soal ini kena diajukan pada papanya Dalilah, Dato Mokhtar. Dia yang berhak membuat keputusan,” balas Mahani ada sedikit keraguan namun terselit juga hati yang berat.

“Saya dari rumah Dato Mokhtarlah ni, Datin yang syorkan saya datang sini untuk melihat Dalilah,” cerita luahan Hajah Saodah.

“Ooo... Datinlah ya.” Fahamlah Mahani rancangan siapa ini. Macam dia tidak tahu apa yang tersurat dan tersirat dalam hati Datin Nora. Tak habis-habis lagi rupanya dendam Datin Nora kepada Dalilahlah ini. Lepas satu satu yang diujinya budak yang tak berdosa itu. Entahlah, lepas ini apa pulak yang ingin dipaksanya.

“Mak Su?” soal Dalilah bila melihat wajah Mahani suram setelah tetamu tadi itu pulang.

“Dali, mari duduk sebelah Mak Su,” panggil Mahani lembut.

“Ada apa?” soal Dalilah yang sudah rasa tidak sedap hati.

“Apa pun terjadi nanti, Mak Su harap Dali mampu menjadi seorang anak yang taat pada orang tua. Mak Su nak Dali lebih sabar dari hari ini. Percayalah dugaan yang Allah berikan itu adalah penguat buat kita untuk terus melangkah dengan lebih berani,” kias Mahani.

“Dali tak fahamlah Mak Su. Apa sebenarnya yang Mak Su maksudkan ni? Cuba Mak Su berterus-terang dengan Dali.” Pelik betul Dalilah dengan sikap ibu saudaranya itu. Adakah ini berkaitan dengan tetamu yang datang tadi. Jelas kelihatan setelah bertemu dengan tetamu itu lain sungguh kelakuan ibu saudaranya ini.

Mahani melepaskan keluhan dengan perlahan. “Soal jodoh Dali. Jika papa tentukan jodoh Dali bagaimana?”

Kata-kata Mahani itu bagaikan sembilu yang menusuk jantung hati Dalilah. Namun dia tidak mampu menolak. Pemintaan Dato Mokhtar tidak pernah sekali pun Dalilah menolak, menerima pemintaan Dato Mokhtar merupakan satu cara untuk Dalilah memperolehi kasih sayang seorang ayah. Tidak mungkin Dalilah mengecewakan Dato Mokhtar. Amanat ibunya untuk sentiasa patuh dengan ayahnya dan sentiasa menjaga ayahnya.

“Kalau sudah ketentuan Allah, Dali terima dengan hati yang terbuka,” jawab Dalilah pasrah. Namun, terdetik juga kenapa tiba-tiba dia mahu dijodohkan sedangkan sebelum ini tiada apa-apa yang pernah dikatakan oleh ayahnya.

“Walaupun Dali tidak pernah berjumpa dengannya. Dali, perkahwinan ini bukan boleh buat main. Kita perempuan ni kahwin biarlah sekali. Baik buruk sebuah perkahwinan itu dimulai dengan kepercayaan Dali. Bukan pasrah menerima ketentuan,” nasihat Mahani. Dirinya juga keliru kenapa dia menasihati Dalilah sebegini mungkin dia tahu apa kesudahannya rancangan ini bila melibatkan kakak iparnya itu, Datin Nora.

Baginya Dalilah seorang gadis yang bijak berfikir. Dalam diam Dalilah mampu meloloskan dirinya untuk mendapat tajaan belajar di Jepun. Dalilah mengikut sikap uminya, seorang saintis Jepun yang bijak. Siapa sangka saintis yang menghabiskan masanya di dalam hutan hujan khatulistiwa boleh memikat Dato Mokhtar seorang taikun pembalakan. Dalilah pasti akan dapat melalui ujian ini dengan baik. Entah-entah dia boleh menolaknya dengan berani.

“Jika papa yang bersuara, Dali terima dengan hati terbuka.” Keputusan Dalilah terluah. Mahani diam menunduk.

KERETA mewah Dato Mokhtar membelok masuk ke pekarangan rumah anak yatim ini. Rindu benar Dato Mokhtar kepada Dalilah, anak bongsunya ini. Sejak Dalilah pulang dari Jepun seminggu yang lalu hanya sekali saja dia bertemu Dalilah, itu pun sekejap.

“Dali,” panggil Dato Mokhtar manja.

“Oh! Papa, buat apa kat sini?” soal Dalilah terkejut yang ketika itu sedang membelek pokok-pokok yang ada di sekitar rumah itu.

“Rindu nak jumpa awek mata sepet papa inilah,” jenaka Dato Mokhtar sambil memeluk bahu Dalilah mesra.

“Papa suka panggil Dali sepet. Tak sukalah,” geram Dalilah yang selalu digelarkan awek mata sepet oleh Dato Mokhtar dari dulu lagi.

“Papa bukan kutuk Dali. Papa cakap benda yang betul. Itulah keistimewaan Dali yang tiada pada anak-anak papa yang lain. Abang Nazim, Nasir dan Kak Durrah semuanya bermata bulat,” peluk Dato Mokhtar memujuk.

“Memanglah sebab kami keluar dari perut yang berbeza.” Dalilah mengingatkan Dato Mokhtar fakta yang sebenar.

“Apa pun semuanya anak papakan! Dahlah tu, papa datang nak tanya tentang tawaran papa untuk uruskan syarikat pembersihan papa tu? Dali sudah fikirkan?” soal Dato Mokhtar mengharap agar Dalilah setuju.

“Pa, Dali ini baru selesai jurusan elektronik bukannya jurusan pembersihan.” Dalilah berusaha untuk tidak berkait langsung dalam pengurusan anak syarikat pembersihan itu.

“Papa tak ada siapa yang boleh diharapkan pun Dali. Abang dan kakak Dali tak berminat langsung dengan syarikat pembersihan itu. Mereka lebih berminat dengan syarikat hartanah papa itu saja. Mama pun sudah suruh papa jual syarikat pembersihan itu,” jelas Dato Mokhtar.

Dalilah menunduk.

Dato Mokthar memegang kedua-dua bahu anaknya itu. Raut wajahnya saling tidak tumpah seperti arwah ibunya. Bijaknya juga diwarisi daripada ibunya. Sungguh dia rindu akan arwah isterinya dan dengan merenung wajah Dalilah, terhapus sedikit rindu itu.

“Papa?” panggil Dalilah. Dia rasa kasihan dengan ayahnya itu. Pasti pening kepala memikirkan siapa yang mahu menguruskan syarikat ayahnya itu.

Ting!

Dia mendapat idea.

“Adakah papa terlalu mendesak anak papa ni?” tanya Dato Mokthar sambil melepaskan pegangan bahu Dalilah.

Dalilah menggeleng. Dia mahu mengeluarkan ideanya ini.

“Atau Dalilah ada pilihan lain? Atau Dalilah boleh buat tawaran untuk papa?” kata Dalilah.

Share this novel

Guest User
2024-04-04 14:51:57 

test_account


NovelPlus Premium

The best ads free experience