DENTING jam dinding di pejabat mewah Armeel Raychal berirama perlahan, tetapi ia cukup untuk memberi tekanan kepada sesiapa sahaja yang berada di dalam bilik itu. Armeel duduk di kerusi kulit hitamnya, jari-jemarinya mengetuk permukaan meja kaca sambil memerhatikan fail perjanjian di hadapannya. Wajahnya yang tampan, tetapi dingin, menjadi tanda tanya bagi ramai orang. Hatinya yang keras seperti batu adalah bualan di kalangan kakitangannya.
“Encik Armeel, saya sudah menyusun jadual untuk hari ini. Ada satu lagi mesyuarat dengan lembaga pengarah,” ujar Elena, setiausahanya yang berdiri dengan rapi di tepi meja.
Armeel hanya mengangguk tanpa mengalihkan pandangan dari dokumen itu.
“Pastikan semua berjalan lancar. Saya tidak mahu sebarang masalah.”
Namun, hari itu bukan seperti hari-hari biasa. Sebuah panggilan telefon dari rumah agamnya mengubah segala-galanya.
“Tuan Armeel, ada pereka landskap baru yang tiba di rumah untuk perbincangan projek taman belakang. Nama dia Elyara Maysarrah,” suara pembantu rumahnya, Pak Harun, kedengaran di hujung talian.
Armeel mengerutkan dahi. Dia hampir lupa tentang projek itu, satu usaha kecilnya untuk mencipta ruang peribadi yang damai di tengah-tengah huru-hara kehidupannya.
“Baiklah, saya akan pulang sebentar untuk melihat perkembangan itu,” balas Armeel dengan nada malas.
***
Elyara Maysarrah berdiri di tengah-tengah taman belakang rumah agam itu. Rambutnya diikat sederhana, dan dia mengenakan pakaian kasual yang memudahkannya bergerak. Matanya yang bercahaya memerhati setiap sudut kawasan, tangannya memegang lakaran awal yang dibuat dengan penuh teliti.
“Kawasan ini memerlukan sesuatu yang lebih… hidup,” bisiknya pada diri sendiri.
“Dan apa yang membuatkan you fikir taman i ni tidak cukup hidup?” Suara berat tiba-tiba menyapa, membuatkan Elyara tersentak.
Dia berpaling, dan di situ berdiri seorang lelaki dengan aura yang mendominasi seluruh kawasan. Armeel Raychal. Pandangan matanya tajam seperti helang, seolah-olah membaca setiap gerak-geri Elyara.
“Encik Armeel, saya–”
“I tidak mahu alasan,” potong Armeel, melangkah mendekat. “I mahukan hasil.”
Elyara menarik nafas dalam, menenangkan dirinya.
“Kalau begitu, beri saya peluang untuk membuktikan kemampuan saya. Saya tidak datang ke sini untuk memberi alasan, tetapi untuk mencipta sesuatu yang boleh membahagiakan hati encik.”
Armeel terdiam, sedikit terganggu dengan keberanian wanita itu. Namun, dia tidak menunjukkan reaksinya.
“Kita lihat sejauh mana you mampu bertahan,” katanya dingin sebelum melangkah pergi.
Elyara hanya memandangnya dengan pandangan yang tidak dapat diduga. Dia tahu lelaki itu bukan seperti pelanggan biasa. Tapi dia juga tahu, dia bukan wanita yang mudah menyerah.
Elyara Maysarrah memandang belakang Armeel Rychal yang melangkah menjauhi taman belakang rumah agam itu. Setiap langkah lelaki itu seolah-olah membawa aura tegas yang sukar ditebak, membuatkan Elyara terfikir sejenak.
“Betapa dinginnya dia,” bisik hati kecilnya, namun dia segera memusatkan perhatian kepada lakaran di tangannya.
Taman itu, dengan dedaunan yang merimbun dan angin sepoi-sepoi, menjadi kanvas sempurna untuk imaginasi Elyara. Jarinya lincah bergerak, menghasilkan garis-garis yang memvisualkan taman yang penuh dengan kehidupan – bunga-bunga liar, air pancut kecil yang mengalir lembut, dan lampu-lampu taman yang memancarkan kehangatan di malam hari.
Hanyut dalam kreativiti, Elyara lupa waktu. Dia membetulkan posisi tubuhnya, berlutut di tanah sambil memegang lakaran dengan penuh teliti. Namun, langkah-langkah berat yang menghampiri tidak disedarinya sehingga suara yang dalam dan menggoda kembali menyapanya.
“You ni selalu bekerja dengan begitu… fokus?”
Elyara terperanjat. Lakaran di tangannya hampir terlepas, dan dia terhuyung-hayang ketika cuba berdiri. Tetapi sebelum tubuhnya sempat jatuh ke tanah, lengan kekar Armeel Rychal pantas menangkapnya.
Segala-galanya terasa berhenti seketika.
Elyara terkaku, memandang ke dalam mata lelaki itu yang bersinar seperti permata gelap. Nafasnya tersekat-sekat, tidak tahu bagaimana hendak beraksi. Lengan Armeel terasa hangat dan kukuh, mendukungnya seolah-olah dia adalah sesuatu yang berharga.
“You, tak apa-apa?” tanya Armeel, nadanya tenang tetapi penuh dengan keprihatinan yang tak dijangka.
“Ya… ya, saya okey,” Elyara tergagap, cuba melepaskan diri, tetapi jarak mereka terlalu dekat. Bau maskulin lelaki itu menyerbu deria baunya, membuatkan dia kehilangan kata-kata.
Namun, apa yang mengejutkan Elyara lebih mendalam lagi, Armeel bagai tidak mahu melepaskan pegangannya. Sebaliknya, lelaki itu memandangnya dengan pandangan yang aneh, seperti ada sesuatu di dalam dirinya yang bergolak, cuba memahami apa yang dia rasa saat itu.
“I rasa you perlu berhati-hati,” ujar Armeel akhirnya, suaranya sedikit serak. “Taman ini mungkin menjadi tempat kerja you, tetapi ia juga boleh menjadi perangkap.”
Elyara tersenyum kecil, cuba menyembunyikan debaran di dadanya.
“Terima kasih atas amaran itu… dan juga kerana menyelamatkan saya.”
“Bukan masalah besar,” jawab Armeel, melepasnya perlahan. Tapi ketika dia melangkah ke belakang, ada sesuatu dalam pandangannya yang tetap melekat pada Elyara. Seolah-olah ada rahsia yang belum terungkap antara mereka.
Ketika Elyara kembali ke lakarannya, jantungnya masih berdegup kencang. Pertemuan yang tidak diduga itu tidak hanya meninggalkan jejak pada tubuhnya, tetapi juga pada hatinya. Sementara itu, Armeel melangkah pergi sekali lagi, namun bayangan senyuman Elyara yang polos dan tawa kecilnya terus menghantui fikirannya.
Dalam suasana yang tenang itu, bunga-bunga liar yang dilakar Elyara kini terasa seperti lambang perasaan yang mula tumbuh antara mereka, meskipun mereka sendiri masih tidak mahu mengakuinya.
Di hening waktu yang semakin berarak petang, mentari mulai condong ke barat, meninggalkan cahaya keemasan yang menyapu lembut taman belakang rumah agam itu. Elyara Maysarrah masih setia duduk di bangku kayu jati di bawah pohon rendang, memerhati lakarannya yang hampir selesai. Angin petang menyentuh lembut wajahnya, membawa aroma bunga melur dan rumput yang baru disiram.
"Minum dulu, Cik Elyara. Mak bawakan sedikit kudapan," suara lembut seorang wanita tua menyentaknya dari lamunan. Elyara mendongak, melihat Mak Embun, pembantu rumah yang sudah lama berkhidmat di rumah agam itu, menghidangkan segelas teh panas dan piring berisi kuih talam seri muka yang kelihatan menggoda.
"Terima kasih, Mak Embun," ucap Elyara dengan senyuman manis, nadanya lembut penuh sopan, persis perempuan Melayu terakhir. Dia mengambil gelas itu dengan kedua-dua tangan, menyedut sedikit teh yang mengepulkan aroma harum.
"Tehnya sedap. Sama seperti dulu."
Mak Embun tersenyum, matanya yang berusia namun penuh kebijaksanaan memandang Elyara dengan rasa senang.
"Mak gembira Cik Elyara masih ingat. Rumah ini sudah lama sunyi. Kedatangan Cik Elyara membawa seri. Tuan muda pun tampak lebih ceria sejak Cik Elyara di sini."
Kata-kata itu membuat Elyara tertawa kecil, namun pipinya memerah sedikit.
"Mak Embun pandai bergurau. Saya hanya tetamu di sini."
Namun, mata Elyara tidak dapat berbohong. Sepanjang perbualan, pandangannya melilau ke kiri dan kanan, mencari sesuatu atau mungkin seseorang. Jiwanya sedikit resah, seolah-olah menunggu kehadiran seseorang yang kini menjadi pusat dunianya.
Mak Embun menangkap tingkah itu dengan mudah. Bibirnya tersenyum penuh makna, dan dia menyentuh bahu Elyara perlahan.
"Tuan muda selalunya ada di bilik bacaan pada waktu begini. Mungkin dia sedang sibuk dengan urusan."
Elyara tersentak, wajahnya berubah malu kerana tingkahnya yang tanpa sedar begitu ketara.
"Oh, saya hanya... melihat taman ini. Cantik sungguh bunga-bunganya," alasan Elyara sambil menundukkan kepala, cuba mengalih perhatian.
Mak Embun hanya tertawa kecil, suaranya penuh kasih seperti seorang ibu.
"Taman ini memang sentiasa cantik, tapi Cik Elyara nampaknya mencari sesuatu yang lebih daripada itu, kan?"
Mendengar kata-kata itu, Elyara segera meminta diri, berdiri sambil membawa lakarannya yang masih belum siap sepenuhnya.
"Saya... saya nak masuk dulu, Mak Embun. Terima kasih untuk teh dan kuih tadi."
Mak Embun hanya mengangguk, namun senyumannya masih terukir, memerhati langkah Elyara yang tergesa-gesa menuju ke pintu belakang.
"Ah, budak muda zaman sekarang. Pandai menafikan hati sendiri," bisik Mak Embun sendirian, mengemaskan dulang yang sudah kosong.
Elyara melangkah perlahan ke dalam rumah, namun debaran di hatinya tidak dapat dikawal. Hatinya yang tenang mula terusik, dan setiap langkah yang diambilnya bagaikan membawa dirinya lebih dekat kepada satu kebenaran yang masih dia takutkan, perasaan yang kian tumbuh untuk lelaki bernama Armeel Rychal.
Malam mulai merangkak perlahan, suasana di rumah agam itu semakin sepi, hanya ditemani deruan angin yang sesekali mengusap langsir. Elyara Maysarrah berdiri di ruang tamu, mengemas lakaran dan peralatan seninya yang terletak kemas di atas sofa milik Armeel Rychal. Sekali lagi, dia memandang sekeliling, memastikan tiada yang tertinggal sebelum bersedia untuk pulang.
Namun, suara berat yang menyapa dari belakangnya hampir membuatkan jantung Elyara gugur ke lantai.
"You ni, selalu tergesa-gesa nak balik. Tak takut keluar malam-malam macam ni?" Suara Armeel kedengaran santai, namun ada nada perintah di hujung katanya.
Elyara memalingkan badan, matanya membulat sedikit.
"Encik Armeel! Saya dah lama bagi tahu saya nak balik. Hari pun dah lewat..." katanya separuh tergagap.
Armeel tersenyum kecil, menyandarkan tubuhnya pada bingkai pintu dengan gaya santai namun penuh karisma.
"Lambat sikit pun tak apa. Lagipun, you ada apa-apa yang nak dikejar ke?" tanyanya, seolah-olah sengaja mahu menggoda.
Elyara menggenggam beg tangannya erat, cuba menyembunyikan perasaan yang bergejolak.
"Tak ada apa-apa. Cuma, saya tak selesa keluar terlalu malam." Dia melirik jam di pergelangan tangannya, memberi isyarat jelas bahawa waktu sudah tidak berpihak kepadanya.
Armeel mengangkat kening, menyedari tingkah gadis itu.
"You takut apa sebenarnya? I ada di sini, boleh hantarkan kalau you risau," katanya dengan nada lembut yang hampir membuatkan Elyara hilang kata-kata.
"Tak perlu, terima kasih. Saya dah tempah pemandu e-hailing. Lagipun, rumah saya tak jauh." Elyara cuba mengelak, melangkah ke arah pintu.
Namun, Armeel tidak berganjak. Dia mengajukan pelbagai soalan kecil, dari perihal lakarannya hinggalah tentang aktiviti hariannya, membuatkan Elyara berasa seperti lelaki itu sengaja menunda masa. Hatinya mula gusar, namun dia tetap melayan setiap pertanyaan dengan sopan, walaupun dalam hatinya hanya mahu segera keluar dari situ.
"Kalau macam tu, jangan tanya soalan lagi. Terima kasih untuk hari ini, Encik Armeel." Elyara akhirnya bersuara, mengangguk hormat sebelum melangkah keluar dengan langkah cepat.
Armeel memerhatikan Elyara pergi, senyuman kecil terukir di bibirnya. Dia membiarkan gadis itu melangkah jauh sedikit sebelum mengambil kunci keretanya. Tanpa sebarang bunyi, dia mula mengekorinya dari jauh.
Elyara yang tidak sedar dirinya diawasi, berjalan dengan hati-hati di jalan yang sedikit lengang. Malam yang semakin gelap membuatkan dia mempercepatkan langkah. Setiap kali bayangannya melintas di bawah lampu jalan, hatinya berasa sedikit lega.
Di dalam kereta yang bergerak perlahan, Armeel memastikan jaraknya tidak terlalu dekat agar tidak mencetuskan syak wasangka. Matanya tajam memerhati setiap gerak-geri Elyara, memastikan dia tidak diganggu sepanjang perjalanan.
Setibanya Elyara di kediamannya, dia menghela nafas lega. Sempat dia memandang sekeliling sebelum melangkah masuk ke rumahnya. Namun, tanpa dia ketahui, sepasang mata dari jauh sedang memastikan dia benar-benar selamat.
"Baiklah, Elyara. Kalau itu yang membuatkan you rasa tenang," bisik Armeel pada dirinya sendiri sebelum memutar stereng untuk meninggalkan kawasan itu, meninggalkan satu perasaan hangat yang sukar diterjemahkan dengan kata-kata.
***
"Lambat kau balik, Yara. Dari mana?" soal Anissa lembut.
Elyara menghampiri rakan serumahnya lalu melabuhkan punggung di sofa. Tangan si rakan digenggam erat. Senyuman terukir.
"Amboi senyum sampai ke telinga. Kau jumpa prince charming ke? Aku bukannya apa risau je, kau mana pernah balik lambat macam ni, kita ni anak dara," tegur Anissa lembut.
"Maafkan aku tau, Nissa. Aku nak call kau tadi, phone aku pulak low battery. Aku pergi rumah orang kaya kat simpang atas tu. Rumah Mak Embun kerja tu."
"Oo...rumah VIP tu? Kau jalan kaki balik tadi, Yara?"
"Yalah, kereta aku kan kat bengkel, rosak..tapi Tuan CEO tu nak hantar aku balik tadi, aku yang tolak."
Mendengar kata si teman baik, merangkap teman sepermainannya di kampung, Anissa terus melopong.
"Tuan CEO? Anak pasangan VIP tu ke?"
Anissa menghambur pertanyaan bagaikan peluru berpandu.
"Err, Nissa..aku masuk dululah. Nak mandi."
Elyara Maysarrah segera melarikan dirinya ke bilik tidur. Malas mahu menjawab segala pertanyaan Anissa yang dianggap sebagai menambahkan kusut di kepalanya. Mungkin suatu hari nanti dia akan berkongsi juga cerita itu, namun tidak sekarang.
Tubuh yang sudah kepenatan harus disegarkan semula. Mengingati dirinya yang masih belum menunaikan perintah sang Pencipta, lekas dia membersihkan diri dan mengangkat wuduk, seterusnya menunaikan solat Isyak. Usai melaksanakan tanggungjawab itu, terdengar pintu biliknya diketuk.
"Masuklah, Nissa.. aku baru habis solat."
Elyara Maysarrah menanggalkan telekungnya, lalu dilipat dan digantungkan di tempat penyidai yang terdapat di sebelah almari pakaiannya.
"Sorry...aku kacau, kau dah makan ke Yara?"
"Kenapa, kau lapar ke, Nissa? Aku dah kenyang kat rumah orang kaya tu tadi, kau tahu jelah Mak Embun..macam-macam dia hidang," Elyara kuntum senyum.
"Taklah, aku baru je bedal mi segera tadi. Sekarang, aku tak leh tidur...jom borak dulu."
"Nak cerita apa?"
"Pasal.. Tuan CEO, kau jumpa tadi!"
Assalamualaikum dan hai semua... satu lagi buah tangan drpd author...harap diterima baik..happy reading semua.
Share this novel