BAB 2 - SAMAN

Romance Series 243117

RANIA duduk bersimpuh di tepi kubur Iqbal. Lama dia termenung di situ. Sehingga tidak sedar, matahari sudah tegak di kepala. Sudah tiga tahun Iqbal meninggalkannya. Rindunya dia pada arwah Iqbal, tidak pernah pudar. Batu nisan diusap lembut. Senyuman tipis terukir di bibir.

“Awak, esok saya akan ke Putrajaya. Saya dah ditukarkan ke sana. Lepas ni, saya akan jarang datang ke kubur awak. Tapi... kalau saya cuti, Insya-Allah saya akan ke sini ya, jenguk awak.” Air matanya perlahan-lahan mengalir di tubir matanya.

Rania bangun dari atas tanah tersebut. Baju kurung yang dipakainya dikibas-kibas, supaya tanah tidak melekat pada baju kurungnya. Sebelum dia berlalu meninggalkan kawasan perkuburan tersebut, sempat lagi dia mengerling sejenak ke arah kubur arwah tunangnya itu. Air mata diseka. Selepas ini, dia tidak dapat datang seperti selalu.

Selamat tinggal Iqbal... gumamnya.

Dua hari lagi, Rania akan melaporkan dirinya di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya.

“Nia...” panggil satu suara dari arah belakang.

Rania berhenti. Dia melihat wanita tersebut. Siapa lagi kalau bukan Puan Imah. Iaitu ibu kepada arwah Iqbal.

“Eh, ibu. Buat apa dekat sini?” Rania menyalami tangan wanita itu.

“Ibu datang sini kejap, nak ziarah kubur Iqbal. Ibu tahu, Nia mesti akan ke sini, kan? Sebelum Nia berangkat ke Putrajaya esok?”

“Ha'ah. Esok Nia dah nak berangkat ke Putrajaya.” Rania tersenyum tipis.

“Tiga tahun Iqbal pergi. Ibu tengok sampai ke hari ini Nia, masih setia dengan arwah Iqbal. Yang dah pergi tu, biarlah pergi. Nia kena teruskan kehidupan Nia. Carilah pengganti Iqbal Nia...”

Rania melepaskan keluhan berat. “Entahlah ibu. Susah nak lupakan Iqbal. Nia kenal Iqbal masa kami sama-sama di Pulapol. Berapa tahun kami kenal, bercinta. Dan selapas tu bertunang. Tahu-tahu aje, dia dah tinggalkan Nia...”

Puan Imah mengusap bahu Rania perlahan. “Ibu sentiasa berdoa, semoga Nia bertemu jodoh, dengan lelaki yang dapat bahagiakan Nia. Walaupun Nia tak dapat jadi menantu ibu, tetapi ibu dah anggap Nia macam anak ibu sendiri.”

Rania terus memeluk erat tubuh Puan Imah. Dia benar-benar sedih saat mendengar kata-kata dari mulut wanita itu. Kenapalah kau pergi dulu Iqbal? Kalau tidak, pasti kita dah hidup bahagia sekarang ini.

 

 
RANIA menunggang motosikal jenis Yamaha R25. Dia lebih selesa menunggang motosikal ke tempat kerja, dari memandu kereta.

Tepat pukul 7 pagi Rania tiba di Ibu Pejabat Daerah Putrajaya. Bunyi ngauman enjin motosikalnya telah menarik perhatian beberapa anggota di luar pejabat. Beberapa anggota yang ada di situ, ada yang memandang, dan ada juga yang berbisik sesama sendiri. Mungkin kerana tidak pernah melihat dirinya di situ.

Setelah memarkirkan motosikalnya, topi kaledar terus sahaja dibuka. Rambutnya yang separas bahu dirapikan. Rania tidak mahu dirinya kelihatan tidak terurus. Lebih-lebih lagi, ini adalah hari pertama dia di sini. Usai mengunci motosikalnya, Rania terus menuju ke lobi.

“Ya puan?” ucap anggota yang bertugas di situ.”

“Er, nak tanya. Cawangan D7 dekat mana?”soal Rania sambil melemparkan senyuman yang paling manis.”

“Oh, Cawangan D7 dekat tingkat 7.”

“Oh okay Hairul. Terima kasih.” Rania merenung tag nama di dada baju anggota tersebut, yang tertulis Hairul.”

“Sama-sama puan.”

Tanpa menunggu lagi, kaki terus diayun menuju ke pintu lif. Kebetulan ada seorang anggota berdiri di belakangnya, turut mahu bersama-sama menaiki lif.

Zafran merenung Rania. Tidak pernah lagi dia melihat pegawai wanita yang berambut separas bahu di IPD ini. Zafran terus teringatkan tentang pertukaran pegawai wanita pada hari ini.

“Er... Inspektor Rania, kan?” tegur Zafran.

Rania berpusing sambil merenung lelaki yang ada di belakangnya. “Ya saya,” jawab Rania sambil tersenyum manis.

Zafran benar-benar terpana melihat wajah Rania. Jantungnya turut berdegup dengan kencang. Kenapa dengannya? Tiba-tiba sahaja jantungnya boleh berdegup laju? Seakan ada satu perasaan yang muncul waktu ini.

“Saya Koperal Zafran. Saya dapat tahu dari ASP Mazlan tentang pertukaran puan dari IPD Skudai Johor.”

“Oh, Koperal Zafran. Selamat berkenalan.”

“Selamat berkenalan puan. Mari puan, lif dah sampai.”

Rania menganggukkan kepalanya. Setibanya mereka berdua di tingkat 7, Zafran terus memperkenalkan Rania pada anggota yang lain. Masing-masing menyambut baik kedatangan Rania di situ.

Rania berharap dengan pertukarannya di sini, dapat melupakan kenangannya bersama Iqbal. Kalau tidak, setiap hari dia akan teringatkan arwah tunangnya itu. Sehinggakan ke hari ini, dia masih tidak dapat melupakan kejadian pahit itu.

 

“CANTIKKAN Puan Rania tu. Manis aje aku tengok dia tu,” ujar Hadi.

Zafran merenung Hadi.

“Yup cantik. Itu tak dinafikan. Tapikan, aku ada dengar yang dia pernah bertunang dulu. And then tunang dia meninggal, disebabkan ditembak dengan ketua kongsi gelap. Kau ingat tak, kes tiga tahun lepas?” ujar Zafran.

“Oh, kes yang polis kena tembak tiga tahun lepas? Eh, aku ingat kes tu. Weh, seriuslah? Itu tunang dia?”

Dari jauh kelihatan Rania sedang berjalan menuju ke arah mereka berdua.

“Dah, diam-diam. Jangan cakap apa-apa. Dia datang tu.” Zafran menghalang Hadi, daripada bercakap lagi.

Hadi tersentak. Dia terus mendiamkan dirinya.

Tidak lama itu, Rania menghampiri mereka berdua. “Koperal Zafran, tengah hari ini, awak ikut saya pergi ke Bukit Aman.”

“Baik puan,” jawab Zafran.

Rania tersenyum, sambil berlalu pergi.

Mata Zafran pula, tidak lepas memandang Rania saat ini. Kenapa hatinya membuak-buak saat merenung wanita itu? Adakah ini dikatakan cinta pandang pertama?

“Hoi Zaf! Kau dah kenapa? Renung dia macam nak telan.”

“Aku rasakan, aku macam dah terpikat dengan dialah.”

Hadi menutup mulut menahan ketawanya. “Kau cakap apa ni?”

“Aku seriuslah. Aku bukan main-main. Memang aku dah terpikat dengan dia.”

“Tak adalah. Aku rasa macam, tak sesuailah kau dengan dia. Kau tu pangkat apa. Dia tu pula pangkat apa.”

“Apa masalahnya? Pangkat aje pun. Takkan itu pun nak ada beza taraf. Dahlah, malas aku nak cakap dengan kau ni. Buang masa aku.” Zafran terus bangun dari kerusi. Bercakap dengan Hadi, buat dirinya lagi sakit hati. Bukannya mahu menyokong, malah memerli pula.

 

ZAFRAN memandu kereta peronda menuju ke Bukit Aman. Rania pula termenung jauh, merenung jalan raya di hadapannnya.

“Puan dah makan ke?” Zafran memecah kesunyian.

“Ha? Belum lagi.”

“Dekat Putrajaya ada satu restoran sedap tau? Lagipun ini kali pertama puan di Putrajaya, saya boleh bawa ke tempat makan yang sedap-sedap.”

“Oh iya ke? Sedap sangat ke?”

“Memang sedap. Macam-macam jenis masakan ada. Ada masakan kampung, masakan barat, ala chinese punya masakan pun ada. Kalau puan nak pergi, balik kerja nanti kita pergi nak?” Zafran mencuba nasib untuk mengorat Rania. Manalah tahu, ada jodohnya dengan Rania?

“Balik kerja ni? Alah sorry lah Zafran. Saya balik kerja ni nak kemas rumah saya, sebabnya saya baru pindah semalam. Tak berkemas lagi rumah tu.”

“Oh iya ke? Kalau puan nak, saya boleh tolong?”

“Eh tak payahlah. Tak banyak barang pun. Saya datang ke sini pun just bawa dua beg aje. Nasib baiklah rumah tu memang fully furnished.”

Zafran mula berasa hampa. Baru sahaja dia mahu merapatkan hubungannya dengan wanita itu.

“So, esok bolehlah kut kalau nak ke restoran tu. Nak juga rasa, macam mana rasa masakan tu. Sedap sangat ke?”

Hati Zafran mula berbunga-bunga. “Baiklah, esok saya bawa puan ke sana. Saya guarantee, confirm sedap.”

Rania hanya mengangguk kecil.

 

MOTOSIKAL yang ditunggang Rania berhenti di hadapan lampu isyarat. Pada ketika ini, jalan begitu sesak. Mungkin kerana jam sudah menunjukkan pukul 5 petang.

Entah bagaimana, ada sebuah kereta memandu dengan begitu bahaya, sambil melanggar lampu isyarat. Padahal lampu isyarat tersebut sudah pun bertukar menjadi merah.

Rania mula berasa berang melihatnya. Dengan pantas dia memulas minyak motosikalnya, lalu mengejar kereta yang melanggar lampu isyarat tadi.

Dengan pantas motosikal yang ditunggang Rania, dapat memintas kereta tersebut. Pemandu yang memandu kereta tersebut terus sahaja berhenti secara mengejut. Mungkin kerana terkejut melihatnya.

Rania mematikan enjin motosikalnya. Dia mahu melihat, siapakah pemandu yang melanggar lampu isyarat tadi.

Pada saat ini Rayqal sudah menyumpah seranah. Siapalah yang tiba-tiba memintas keretanya?

“Stupid! Aku ni dahlah lambat,” bebel Rayqal. Dia benar-benar berasa marah.

Rania turun dari motosikalnya, lalu menghampiri ke arah kereta tersebut. Topi kaledarnya dibuka.

Berderau darah Rayqal, saat melihat wajah wanita tersebut. Jantungnya pula berdegup dengan kencang.

Why her? Gumamnya.

Tok! Tok!

Cermin kereta diketuk dari luar.

“Buka tingkap ni,” arah Rania.

Damn it! Minah gila! Jerit hati kecil Rayqal.

Rania meninjau-ninjau pemandu di dalam kereta tersebut. Yang pastinya pemandu tersebut adalah lelaki. Dengan cermin kereta yang begitu gelap, langsung tidak mengikut aturan yang diberikan oleh JPJ.

“Saya ulang lagi sekali. Turunkan cermin kereta ni!” suara Rania sedikit keras.

“Minah gila ni dari dulu tak berubah-ubah,” omel Rayqal.

Cermin kereta terus sahaja diturunkan. Tergamam Rania melihat Rayqal di hadapannya. Mana mungkin wajah lelaki itu dilupainya.

“Rayqal?” ucap Rania perlahan. Sudah 14 tahun, dia tidak berjumpa dengan lelaki itu.

“Eh minah gila, kau apahal tahan kereta aku?”

“Kau panggil aku minah gila?”

“Ya. Kau tu memang minah gila. Dari dulu sampai sekarang tak berubah-ubah perangai. Kenapalah aku mesti jumpa kau dekat sini?”

“Aku pun tak inginlah, nak jumpa kau dekat sini!”

“Habis tu, asal kau tahan kereta aku? Kau ada hutang dengan aku ke?”

“Kau pandu laju kau tahu tak! Bahayakan orang lain.”

“So, apa kena mengena dengan kau? Kau polis? JPJ? Trafik? Ada aku langgar kau ke? Rasanya tak ada tadi.” Rayqal menjeling Rania. Sungguh dia tidak sangka, 14 tahun tidak bersua muka, tetapi dipertemukan dengan cara begini pula.

Rania merenung pakaian yang dipakai Rayqal. Kelihatan baju chef yang dipakai lelaki itu.

“Kau kelam kabut bawa laju tadi, sebab nak masak ke? Nak sembelih ayam, kambing? Tak pun kau nak tumbuk cili ke?” perli Rania.

“Eh minah gila, suka hati akulah nak bawa laju ke apa. Kau tak ada hak nak tahan aku macam ni.”

“Aku tak ada hak?”

Tidak sampai beberapa minit, muncul seorang anggota trafik, yang kebetulan lalu di kawasan itu.

Rania terus menahan anggota trafik tersebut supaya berhenti di tepi. Setelah itu, anggota trafik terus menuju ke arahnya.

“Ya ada apa cik?”

“Lans koperal Hidayat, tolong ambil details pemandu ni. Dia dah memandu laju, dan membahayakan orang lain,” ujar Rania, sambil melihat tag nama di dada baju anggota trafik tersebut.

“Cik ni siapa? Ada bukti ke cik nampak dia memandu laju?” soal anggota trafik itu pula.

Rania menunjukkan kad kuasanya pada anggota trafik tersebut. Anggota tersebut mengangguk.

“Maaf encik, saya terpaksa saman encik,” kata anggota trafik tersebut kepada Rayqal.

“Eh, kenapa pula? Saya tak buat salah pun.” Rayqal terkejut.

“Ha, jangan lupa, check lesen dengan roadtax. Mana tahu dah tamat tempoh? Sebab sibuk nak memasakkan?” Rania sempat lagi memerli.

Rayqal masih tidak mengerti.

Anggota trafik tersebut mengangguk. “Maaf encik. Minta IC lesen.”

“Eh tuan, janganlah macam ni. Jangan saman saya. Tuan percaya ke dengan kata-kata minah gila ni?”

“Ha, Lans Koperal. Masukkan sekali dalam saman tu, pemandu mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota polis.”

“Baik puan.” Anggota tersebut menulis di dalam kertas saman yang dipegangnya.

“Oi minah gila, bila masa pula aku keluarkan kata kesat dekat tuan ni?” marah Rayqal.

“Kamu panggil dia minah gila? Kamu tahu ke dia ni siapa? Dia ni pegawai polis,” ujar anggota tersebut.

Ha? Minah gila ni pegawai polis? Tergamam Rayqal saat ini.

“Okeylah, saya pergi dulu. Kamu jangan dengar rayuan dia ni, kalau dia merayu dekat kamu. Yang penting saman aje. Tak payah nak kesian-kesian,” kata Rania.

Anggota trafik tersebut mengangguk.

Rayqal menahan marah. Dia benar-benar berasa geram dengan sikap Rania yang langsung tidak berubah daripada dulu lagi. Kalau boleh, perempuan itu selalu sahaja mahu menang.

Rania memakai semula topi kaledarnya. Sempat dia memberikan satu lambaian kepada Rayqal, sebelum dia berlalu pergi dari situ.

“Eh, apasal aku boleh jumpa dia balik ni! Tak guna betul!” jerit Rayqal tanpa sedar dia masih berdepan dengan anggota trafik di hadapannya.

“Apa? Jumpa saya ke? Cakap saya tak guna?” Anggota tersebut menyampuk.

“Eh tak-tak, bukan tuan. Saya cakap orang lain. Er, tuan. Boleh tak kita bincang tepi?”

“Kamu nak rasuah saya ke?”

“Eh... bukan-bukan, ni saya nak bagi voucher makan dekat restoran saya.”

“Rasuahlah juga tu. Dah, bagi IC kamu.”

“Ha, yalah...” Lemah sahaja suara Rayqal, saat mengeluarkan kad pengenalannya.

Jangan bagi aku jumpa kau lagi minah gila! Jerit hati kecil Rayqal. Tak pasal-pasal dia disaman disebabkan wanita itu.

Novel ini UC ya. Terima kasih.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience