22 Tangisan Del

Family Series 57531

Muncung berdepa-depa bibir Amirul ketika melihat Deila muncul di kedai runcit memandu kereta single cab Rhett. Kemain jelingan tajam siap pakej bibir terbiut-biut ketika membantu Deila menurunkan barangan kedai runcit dari trunk kereta.

“Amboi… siap berpinjam-pinjam kereta korang sekarang ni ya!” Amirul perli sambil tendang tayar kereta Rhett. Puas hati dia. Rasa macam dia sedang tendang lelaki bandar itu!

“Dah kebetulan saya ke bandar, apa salahnya saya pinjam kereta Rhett dan pajak barangan untuk kedai runcit ni? Dah, kau jangan banyak bunyi. Angkat barang-barang ni cepat!”

Amirul mencebik. Dia masih tak puas hati dengan jawapan yang Deila berikan. Hampir je dia buang kotak besar yang sedang dia dukung ke tanah.

“Cepatlah, banyak lagi barang nak angkat ni!” Semakin bengkak hati ditempelak oleh Deila. Amirul jalan sambil tendang tanah berbatu di hadapan dia. Berterbangan habuk naik ke udara.

“Mirul!” Deila menjerit berang. Amirul melajukan langkah sambil hentak-hentak kaki. Tergeleng Deila melihat. Perangai mengalahkan budak!

Deila mengajak Amirul mengemaskan stok barangan runcit secepat mungkin kerana dia perlu balik awal. Opah mendesak mahu ke rumah Pak Senin yang terletak di hujung kampung. Buat majlis sempena anaknya balik katanya. Opah tak mahu ketinggalan. Siap berjanji dengan nenek Jiah. Mahu tak mahu dia terpaksa hantar. Boleh terburai tulang tua dua best friend tu kalau dibiarkan berjalan kaki ke rumah Pak Senin.

Selepas menutup kedai, Deila tergesa-gesa pulang. Tidak mahu terlambat nanti berjela bebelan opah. Ketika sampai di halaman rumah, opah sudah menunggu di pangkin depan rumah bersama nenek Jiah.

“Wah, untunglah jadi cucu Puteh tu kan Del, dah bawa kereta besar kau sekarang.” Puji nenek Jiah.

“Del pinjam je nek, kebetulan dah ke bandar jadi Del terus beli barangan kedai runcit Del. Rhett pinjamkan kereta ni.” Dah naik jenuh dah sebenarnya dia terangkan kepada penduduk kampung. Tapi tula, tetap juga dia diaju soalan yang sama.

“Dah, jom gerak. Nanti kita lambat.” Ajak opah lalu bingkas berdiri. Deila hanya menurut tanpa banyak soal.

“Anak si Senin datang bawa bakal menantu untuk Senin tu kan?” Dalam perjalanan, opah dan nenek Jiah rancak berbual.

“Eya, saya dengar macam tula. Sebab tu besar hati saya nak datang. Isteri pertama anak si Senin tu meninggal kan? Saya dengar bakal isteri dia ni pun janda kematian laki. Memang sepadanlah.”

Deila menjeling opah. Kurang senang dengan kata-kata opah.

“Janganlah cakap macam tu opah. Jodoh, ajal maut tu semua kan di tangan Tuhan.” Deila menyampuk.

“Kau ni, opah tak kata pun semua tu aturan manusia. Opah cuma kata mereka berdua sepadan kan? Dua-dua kematian pasangan.” Tempelak opah. Deila terus terdiam. Malas mahu berbalah, dia tumpukan perhatian pada pemanduan.

Selepas menarik hand brake, Deila keluar dan membukakan pintu untuk opah dan nenek Jiah.

“Saya datang jam tujuh untuk ambil opah dan nenek Jiah nanti.” Pesan Deila sebelum bergegas pergi. Opah dan nenek Jiah beriringan masuk ke dalam rumah Senin.

Seorang wanita pertengahan tiga puluhan datang menyalami mereka berdua. Opah mengerut kening. Tak pernah dia lihat wanita itu sebelum ini.

“Saya bakal isteri Sharizal.” Perkenal wanita itu dengan ramah.

“Oh, inilah bakal menantu Senin.” Nenek Jiah dan opah manggut-manggut sambil tersengih-sengih meneliti wanita itu dari atas ke bawah.

“Anak ni siapa nama?” Tanya opah, masih dengan sengih lebar di wajah.

“Nama saya Siti Mariam. Biasa dipanggil Siti je.” Sambil tersenyum mesra, wanita itu menjawab.

“Oh ya, boleh saya tanya. Siapa wanita yang hantar nenek berdua tadi?” Sambung Siti Mariam itu lagi.

“Oh, itulah Del, cucu opah.” Dengan bangga opah memberitahu.

“Del? Deila Araferro ke?”

Opah mengangguk laju. Wanita itu merenung opah agak lama sebelum mengangguk.

Seperti yang dijanjikan, Deila datang menjemput opah dan nenek Jiah tepat pada pukul tujuh malam. Selepas makan malam dan mengemas dapur, Deila memeriksa bilik opah sebentar. Melihat opah sudah tertidur dengan nyenyaknya, barulah Deila menapak naik ke biliknya.

Saat yang paling tidak digemari oleh Deila sejak akhir-akhir ini. Setiap kali malam menjelang, rindunya pada sang suami mendera jiwa. Sampai ke saat itu, dia masih tertanya-tanya siapakah gerangan wanita yang memanggil suaminya dengan perkataan sayang itu.

Deila menarik laci meja di sisi katil, mengeluarkan sebentuk cincin emas polos lalu ditenungnya dengan mendalam. Cincin pernikahan mereka, dia memang tidak berani pakai. Hanya disimpan di dalam bilik.

Tipulah kalau tiada keinginan mahu menghubungi Rhett, melepaskan kerinduan yang semakin sarat dan paling penting, dia mahukan kepastian mengenai siapa wanita misteri itu. Tapi, dia belum punya kekuatan. Takut hati bakal terluka. Macam-macam dalam fikiran. Deila mengeluh. Dia tidak mengemari waktu malam sejak akhir-akhir ini kerana terlalu sukar mahu pujuk diri untuk tidur.

Keesokan harinya, Deila datang lebih awal berbanding Amirul di kedai runcit. Sehingga dia selesai membersihkan kedai, kelibat Amirul tak muncul-muncul. Hesy, takkan masih berlanjutan rajuk Amirul ni? Deila kerut bibir sambil meninjau ke luar kedai.

Sehingga matahari tegak di atas kepala, Amirul tak muncul-muncul. Kedai runcit juga tak dikunjungi walau seorang pelanggan pun sejak dibuka pagi tadi. Deila termangu-mangu di kaunter. Apa berlaku di kampung mereka? Mengapa tiada pelanggan hari ini? Sedang gigih berfikir, Deila dengar bunyi motorsikal menghampiri. Dia bingkas bangun. Pasti Amirul!

Amirul membuka topi kaledar. Wajah tampan itu terlihat suram. Deila memandang hairan.

“Kenapa dengan kau, Mirul? Ada masalah ke?” Amirul melintas di depan Deila tanpa menyahut. Laju Deila mengejar di belakang.

“Mirul, kenapa ni?”

Amirul mematikan langkah lalu berpaling memandang Deila.

“Kenapa kau sanggup buat macam tu, Del? Kau… dah jauh berubah. Bukan seperti Deila Araferro yang saya kenal sebelum ni.”

Deila tergamam. Walau pun dia masih tidak faham, entah mengapa dia mulai rasa cemas dan gelisah seolah ada perkara buruk bakal berlaku.

“Apa maksud kau, Mirul?”

Amirul tersenyum sinis lalu menggeleng.

“Satu kampung tengah heboh sekarang pasal kau, Del. Tak payahlah kau terus berpura-pura depan saya. Tujuan saya datang ni cuma nak beritahu kau yang saya nak ambil balik duit yang saya laburkan untuk kedai runcit ni. Saya tarik diri dan tak nak jadi rakan kongsi kau lagi.”

Terkejut Deila dengar. Dia pandang Amirul tidak mengerti.

“Apa maksud kau, Mirul?” Hanya soalan yang sama Deila ulang-ulang ajukan kerana dia masih tidak faham apa sebenarnya yang berlaku.

“Kau masih mahu teruskan penipuan kau depan saya ke hah? Mentang-mentang saya belajar tak setinggi kau, dengan mudah kau boleh perbodohkan saya, macam tu kan? Dahlah Del, saya tak kuasa nak cakap dengan kau lagi. Lebih baik saya menjauhkan diri.”

“Mirul, serius saya tak faham apa sebenarnya yang berlaku!” Deila membentak kerana kesabaran sudah menipis dengan sikap Amirul yang tidak mahu berterus terang itu.

“Selamat tinggal, Deila!”

Melihat Amirul mahu melangkah pergi, dengan pantas Deila menyambar lengan Amirul.

“Mirul! Apa semua ni?!”

“Lepaskan tangan kau Del. Kau tu dah jadi isteri orang!”

Cengkaman Deila mendadak terlepas. Terkejut, Deila undur setapak lalu mencekup mulut.

“K… kau… macam mana kau tahu?”

“Satu kampung dah tahu, Deila. Bakal menantu pak Senin yang beritahu. Dia kata dia yang bawa kau dan Rhett pergi nikah di Siam. Serius Del, saya benar-benar tak sangka kau sanggup buat semua tu.”

Satu kampung dah tahu? Bebola mata berkaca. Betullah kata pepatah. Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya pasti akan jatuh ke tanah juga. Cuma, yang Deila tak duga perkahwinannya akan ketahuan secepat itu.

“Duit saya kau boleh bayar bila-bila masa apabila duit kau dah cukup. Selamat tinggal Deila!”

Hanya air mata mengiringi pemergian Amirul. Persahabatan mereka selama bertahun-tahun hancur musnah sekelip mata! Deila menggeleng, berusaha menahan tangisan dari pecah. Kalau satu kampung dah tahu… opah! Ya Allah, opah!!!

Deila kelam kabut menutup kedai dan bergegas balik.

“Opah!” Deila menjerit sebaik sahaja keluar dari perut kereta.

Langkah mati di ambang pintu bila lihat opah duduk termenung di sofa rotan. Merenung jauh ke luar tingkap rumah. Deila mengesat air mata lalu melangkah satu-satu menghampiri ooah.

“Opah…” Deila memanggil sayu. Opah langsung tak menoleh.

“Sekarang baru opah faham mengapa Rhet minta semua dokumen kau. Katanya nak buat salinan supaya senang kalau suatu hari kau perlu bantuan si Puteh tu. Rupanya Rhett tipu opah.” Deila duduk bersimpuh di depan opah, cuba memaut tangan opah namun opah tepis dengan kasar.

“Opah, maafkan Del, opah. Del salah! Del patut dihukum tapi tolong jangan benci Del, opah. Del cuma punya opah seorang di dunia ni.” Tangisan Deila pecah bila opah melayannya dengan dingin.

“Kenapa Del? Kau tahu yang Puteh tu mahukan kau sebagai cucu dia, bukan isteri kepada cucu dia. Kau tak ambil pengajaran ke atas apa yang berlaku kepada ibu kau?”

“Del cintakan Rhett, opah…”

“Cinta? Ibu kau juga cintakan bapa si Rhett tu. Tengok apa jadi pada ibu kau, Deila! Keluarga itu punya segalanya. Punya wang, punya kuasa untuk buat apa saja. Kau ada apa, Del? Opah hantar kau belajar tinggi-tinggi supaya kau boleh guna otak kau tu dengan baik. Ternyata kau juga pilih untuk jadi senasib dengan ibu kau.”

Deila memeluk kaki opah dan menangis semahunya di kaki tua itu.

“Ampunkan Del, opah…”

“Opah kecewa dengan kau, Deila! Sekarang nak bebel pun dah tak guna, semuanya dah jadi. Opah cuma harap opah pergi cepat. Opah tak sanggup melihat penderitaan kau, Del. Cukuplah opah lihat penderitaan ibu kau.”

Deila meraung bila opah bingkas bangun. Kaki opah dipeluk erat. Tidak mahu opah pergi. Dia cuma ada opah. Kalau opah juga pergi, pada siapa dia harus bersandar?

“Opah! Jangan macam ni opah. Del sayangkan opah!”

“Lepaskan kaki opah, Del!”

“Tak nak, opah! Del tak boleh kehilangan opah. Tolong jangan buat Del macam ni, opah. Del salah, Del minta ampun dari opah. Tolong jangan tinggalkan Del.”

“Deila! Lepaskan opah, sekarang!”

“Opah, tolong jangan macam ni opah… opah!!!”

Tak semena-mena, tubuh opah melorot ke bawah. Deila menjerit terkejut lalu menyambut sebatang tubuh kurus opah. Ketakutan menyerang bila lihat mata opah terkatup rapat.

“Opah! Opahhh!!! Jangan macam ni, opah! Opahhh!!!” Air mata mencurah jatuh seperti hujan lebat. Tubuh opah digoncang bersama raungan pedih Deila.

sesak nafas bila dah masuk bab² konflik ni huhu

Share this novel

Hawani Hashim
2024-03-07 02:09:55 

Del ni lurus sangat budaknya harap belajar jer pandai harap Del xprangnant betul Del ckp opah tu opah puteh tu garang dan sombong

norsila
2024-03-07 01:31:14 

aduh..kantoi cepat sgt..spatutnya siti amanah tk cmpur tngan kes nikah ni...kn dah buat bala kat dell huuu..kesian del..si suami lak..nk nikah lagi..aduh..nasib dell samo dgn ibunya ...aduhhh..

mermaid
2024-03-06 13:47:08 

pleaseeee lah bg del bahagia


NovelPlus Premium

The best ads free experience