SETELAH mengutarakan pendapatnya untuk berniaga sendiri, Rizal semakin bersemangat apabila saranannya itu disokong oleh Amira. Rizal tidak ingin bertangguh. Dia meyakinkan Amira untuk memulakan perniagaan gerai mereka sendiri untuk menjual nasi. Dia tidak ingin isterinya itu terus makan gaji dan bekerja untuk orang lain. Kini sudah sampai masanya mereka bekerja sendiri dengan memulakan perniagaan.
Perniagaan yang bermula secara kecil-kecilan di sebuah gerai itu mendapat sambutan. Semakin hari, pengeluaran bahan jualan semakin ditingkatkan. Setelah beberapa bulan, Rizal mengambil keputusan untuk mereka berpindah pula tapak perniagaan mereka ke sebuah warung bagi memudahkan untuk para pelanggan menikmati makanan mereka di sana. Dengan konsep makan di kedai, hasil jualan mereka terus meningkat dan perniagaan mereka berkembang pesat malah mereka sudah mampu menggajikan beberapa orang pekerja.
Tidak mampu dinafikan, semangat untuk berniaga dalam diri Rizal itu mungkin disebabkan oleh warisan keturunannya. Amira hanya ditugaskan untuk memasak, manakala proses penyediaan bahan dan urusan jual beli sudah diserahkan kepada para pekerja mereka. Rizal pula hanya fokus kepada pengurusan dan pemasaran.
Pada masa yang sama, Rizal masih fokus terhadap aktiviti pertaniannya bagi membekalkan sayur-sayuran yang akan digunakan dalam masakan. Bahkan lelaki itu turut memulakan perternakan ayamnya sendiri bagi mengurangkan kos bagi penyediaan ayam untuk di masak dan dijual di warung walaupun hanya berskala kecil. Setidaknya, mereka tidak sepenuhnya bergantung kepada bekalan ayam yang dibeli untuk menyediakan masakan.
Seiring masa berlalu, setelah setahun berniaga, Rizal memberanikan diri lagi dengan membuat pinjaman kewangan untuk membuka sebuah restoran. Kini perniagaan yang hanya bermula dari sebuah gerai akhirnya telah berpindah ke restoran di pekan. Dengan begitu, perniagaan mereka semakin laris dan semakin dikenali oleh masyarakat tempatan. Pengurusan kewangan yang cekap oleh Rizal membuatkan perniagaan mereka berkembang pesat dalam masa sekejap.
Kini Rizal mula berbangga dengan hasil usaha dia dan isterinya. Lelaki itu berdiri di hadapan restoran sambil tersenyum melihat ke arah premis perniagaan milik dia dan Amira. Di dalam restoran, orang ramai sedang sibuk menikmati makanan mereka dan para pekerja juga kalut untuk melayan pelanggan yang berpusu-pusu. Rizal yang asyik menatap ke arah restoran tidak meyedari Amira yang berjalan mendekatinya.
"Abang.. kenapa duk berdiri kat depan ni? tersenyum sorang-sorang pulak tu.." Amira menegur.
"Oh, abang duk tengok restoran kita ni je.. tak sangka, dalam masa setahun je berniaga, kita dah mampu buka restoran sendiri.." Rizal segera menjawab.
"Alhamdulillah.. rezeki dari Allah.. tapi sayang pun tak sangka, pandai betul abang uruskan perniagaan sampai berkembang macam ni.." Amira membalas.
"Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.. kita hanya berusaha, tapi Allah yang menentukan hasilnya.. sekarang sayang dah tak perlu susah-susah dah.. perniagaan kita pun dah ada pekerja yang uruskan.. nanti sayang dah boleh rehat, duduk kat rumah je dengan Tokma.."
"Taknak la sayang duk terperap dalam rumah.. kena datang jugak kat restoran ni, tengok-tengok.. kot-kot ada masalah.. Abang pun bukan duk lama kat restoran ni.. nanti nak balik jaga kebun lagi, ayam-ayam tu lagi.."
"Laa.. kan kebun dan ayam tu sekejap je.. kena urus waktu pagi dan petang je.. Hmm, pasal restoran ni, abang rasa tak lama lagi, nak buka cawangan la.."
"Eh, nak buka cawangan pulak?"
"Ye la.. selagi kita boleh majukan, usahakan je sampai dapat.. bila dah nak selesai loan tu, nanti kita buat overlap.. kalau nak harapkan simpanan sendiri, lambat la untuk kita berkembang.. kalau nak cepat, nak taknak, kita kena berhutang.. buat loan.. kalau statement bank kita cantik, jaga cash flow, senang sikit nak dapat pinjaman yang lebih besar.. abang target, dalam masa dua tahun lagi, abang nak kita buka tiga cawangan.." Rizal meluahkan pendapatnya.
"Hmm.. abang buat la apa yang terbaik.. sayang pun bukan reti pasal bisnes ni.. setakat memasak tu boleh la.." Amira hanya menuruti pandangan suaminya. Dia yakin semuanya mampu merealisasikan impiannya. Lelaki itu sangat berpandangan jauh. Terkadang, Amira sendiri terlupa jika suaminya itu sudah kehilangan ingatan. Gerak kerja dan pemikiran Rizal dalam membangunkan perniagaan sungguh diluar dugaan.
Sedang mereka berbual di depan restoran itu, tiba-tiba Amira merasakan kepalanya berat dan berpusing-pusing. Tidak semena-mena wanita itu jatuh, namun mujur sahaja dia rebah ke pangkuan Rizal yang sedang berdiri di sebelahnya.
"Sayang, kenapa ni?" Rizal tiba-tiba cemas melihat keadaan isterinya. Tanpa berlengah, dia terus memangku Amira dengan kedua tangannya.
"Tolong.. sayang pening.." Amira berbicara sambil memejamkan mata. Dahi wanita itu berkerutan menahan kepalanya yang semakin memberat.
"Dah, jom kita pergi hospital." Rizal segera menuju ke arah sebuah kereta proton saga yang terletak tidak jauh dari tempatnya berdiri. Kereta itu adalah kenderaan terpakai yang baru dibeli oleh Rizal untuk memudahkan pergerakannya dan Amira. Demi berjimat cermat untuk membesarkan perniagaan mereka, Rizal hanya memilih untuk memiliki sebuah kenderaan yang sederhana. Dia tidak ingin memboroskan wang hanya demi sebuah kenderaan yang dianggapnya sebagai satu liabiliti dalam kewangannya. Asalkan mempunyai sebuah kereta untuk memudahkan pergerakannya sudah dianggap memadai oleh Rizal.
Setelah memasukkan Amira ke perut kereta, Rizal segera menuju ke arah tempat duduk pemandu dan mula memecutkan kenderaanya itu untuk menuju ke hospital.
Baru seketika Rizal meninggalkan kawasan tersebut, sebuah kenderaan pikap, Toyota Hilux pula tiba dan masuk ke petak parkir yang ditinggalkan oleh Rizal. Kemudian seorang lelaki dan perempuan keluar dari kenderaan tersebut. Mereka berjalan beriringan, menuju masuk ke dalam restoran.
"Restoran ni famous kat sini.. padahal baru je bukak.. hari ni saya belanja Cik Ira makan kat sini." Lelaki itu memulakan perbualan dengan gadis disampingnya.
"Makan kat mana pun tak kisah la.. asalkan perut saya kenyang.. tapi kalau tak sedap, siap awak.." Shahira membuka kaca mata hitamnya sambil tersenyum.
"Di jamin sedap.. Cik Ira jangan risau.. dulu owner dia meniaga kat warung.. saya selalu makan kat warung dia dulu.. sekarang dah pindah, buka restoran.."
"Hmm.. kiranya memang sedap la, laku sampai boleh buka restoran.. Eh, dah la.. Saya datang sini nak tengok tapak projek.. bukan nak jalan-jalan cari makan." Shahira membalas. Mereka kemudian mengambil tempat duduk di dalam restoran tersebut dan segera membuat pesanan.
Shahira kini sudah mengambil alih salah sebuah syarikat milik bapanya, Tan Sri Hanafi. Di sebabkan syarikatnya kini sedang melakukan sebuah projek pembangunan taman perumahan di kawasan tersebut, Shahira sendiri yang telah turun padang untuk meninjau tapak projek yang sedang dijalankan.
"Wah, lauk apa ni? Nampak menarik.. saya tak pernah jumpa pun lauk macam ni.." Shahira teruja apabila melihat makanan yang dihidangkan kepadanya.
"Ah, ini la menu special restoran ni.. kat sini je ada.. tempat lain memang takkan jumpa.. sebab tu saya bawa Cik Ira untuk cuba makanan ni.." Lelaki yang menemani Shahira membalas. Dia adalah pengurus kepada projek yang sedang dijalankan dan kini mengambil peluang untuk mendampingi perempuan yang menjawat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dari pejabat pusat itu. Dia perlu berhati-hati dalam melayani pegawai tertinggi itu walaupun Shahira masih seorang gadis muda. Walaupun terlihat sederhana dan lemah lembut, namun ketegasan jelas terpancar dari anak jutawan terbabit, sepadan dengan jawatan yang disandang olehnya.
Tiba-tiba telefon bimbit Shahira berdering. Gadis yang baru mencicip makanannya dengan segera mencapai telefonnya dan menjawab panggilan.
"Hello pa.. ada apa?"
"Ira duk buat apa? Macam mana dengan projek kat sana?" Kedengaran suara Tan Sri Hanafi di sebalik panggilan.
"Baru nak makan.. pengurus projek bawa makan kat restoran kat sini.. Sedap la makanan dia pa.. Ira tak pernah makan makanan macam ni.." Shahira membalas.
"Kalau macam tu, beli je la restoran tu.. senang kalau nak makan lagi lain kali." Tan Sri Hanafi berseloroh sambil melepaskan tawa.
"Ish, papa ni.. ada pulak nak beli.. takkan la nak makan lauk ni je hari-hari.." Shahira mengomel.
"Ah, kat sana ada hotel kita.. Papa dah arrange kan royal suite untuk Ira kat sana.. nanti bagitau je kat pengurus sana bila Ira nak check in.."
"Ishh.. Papa.. Ira sorang-sorang je pun.. cukup ambik bilik biasa je.." Shahira tidak selesa dengan pengaturan bapanya. Gadis itu sememangnya bersikap sederhana dan merendah diri sejak dari kecil. Mungkin kerana dia mewarisi sikap bapanya yang tidak suka bermegah-megah dengan harta kekayaan. Sikapnya itu jauh berbeza dengan abangnya suatu ketika dahulu yang suka bermewah-mewahan sebagaimana ibu mereka.
Di hospital, Rizal resah menantikan hasil pemeriksaan doktor terhadap isterinya. Setelah dipanggil kembali untuk menemui doktor, Rizal bergegas menemui perawat kesihatan tersebut.
"Macam mana dengan isteri saya doktor?"
"Emm.. takde apa-apa.. dia cuma keletihan.. mungkin sebab dia dah mengandung, jadi badan cepat letih.. jadi lepas ni, tolong berikan isteri awak rehat secukupnya.. jangan duk buat kerja berat untuk kesihatan janin." Doktor perempuan menyampaikan hasil laporan pemeriksaan ke atas Amira.
"Mengandung?" Rizal dan Amira sama-sama terkejut.
"Ya.. isteri awak dah mengandung hampir dua bulan.. takkan awak tak tahu?"
Rizal segera berpaling ke arah Amira yang duduk disebelahnya. Amira mula menggigit bibir bawahnya.
"Patut la bulan lepas tak datang period.. saya tak check pulak.." Amira bersuara perlahan sambil tersengih. Doktor tersebut hanya tersenyum sambil menggelengkan kepala.
"Awak mengandung.. saya.. saya.. saya akan jadi ayah.. abang akan jadi ayah?" Rizal yang masih tergamam mulai mengukir senyuman. Amira mengangguk sambil tersenyum lebar. Rizal tanpa dapat menahan dirinya segera memeluk dan mencium Amira di hadapann doktor.
"Kita akan dapat anak.. abang akan jadi ayah.." Rizal terlalu gembira sehingga melupakan keberadaan doktor di hadapannya. Pipi isterinya dikucup berkali-kali.
"Abang, sabarlah.. malu kat doktor." Amira bersuara perlahan sambil menolak Rizal agar menjauhinya. Dia benar-benar malu dengan perlakuan Rizal di hadapan doktor.
"Sabarlah encik.. kita kat hospital sekarang.. nanti tolong jaga isteri encik baik-baik.. biarkan dia banyak berehat dan sentiasa pantau kandungan.. macam yang saya cakap tadi, jangan bagi isteri encik buat kerja berat dan berbahaya.." Doktor tersebut tersenyum simpul melihat kegirangan Rizal sambil menyampaikan saran.
"Maaf doktor.. saya tak dapat kawal diri.. saya terlalu gembira.. terima kasih doktor.." Rizal mula merasa malu setelah merasakan dirinya diperli. Lelaki itu kemudian memimpin tangan isterinya dan mereka mulai berdiri untuk meninggalkan ruangan tersebut. Doktor perempuan yang melihat Rizal bersama Amira itu masih tersenyum sambil menggelengkan kepala. Baginya, dia sudah terbiasa melihat adegan sebegitu selama ini. Begitu ramai pasangan yang sangat teruja dan gembira apabila mengetahui mereka akan menimang cahaya mata yang pertama.
Share this novel
yey, dh nk jd ayah dh si Rizal...ingatan dia mmg x kn sembuh ke...? hihihi..biarlah dia bhgia dulu ngn Amira...
nak lihat rizal bertemu keluarga dia