ARMEEL RAYCHAL berdiri tegak di sudut restoran mewah itu, matanya tidak beralih daripada pasangan yang sedang berbual mesra di meja makan tidak jauh daripadanya. Cahaya lampu kristal yang berkilauan tidak mampu mengalihkan perhatiannya. Elyara Maysarrah, gadis yang baru-baru ini membuat jiwanya yang beku kembali bergetar, sedang ketawa kecil bersama seorang lelaki berkot putih. Dr. Joehairy. Nama itu kini terukir sebagai duri dalam hatinya.
Armeel meramas segelas wain di tangannya, menahan diri daripada memecahkan gelas itu. Tangannya bergetar, namun wajahnya tetap tenang. Dia seorang lelaki yang terkenal dengan sikap dingin dan menguasai segalanya, tetapi untuk pertama kalinya, dia merasakan kawalan itu hampir runtuh.
Elyara menoleh sesaat ke arah Armeel. Senyuman tipis yang dia lemparkan ke arah lelaki itu tidak mampu menghapuskan pandangan cemburu di mata Armeel. Dia mengalihkan pandangannya semula kepada Dr. Joehairy, yang kelihatan sangat serasi dengannya malam itu.
“Jadi ini sebab kau tak jawab panggilan aku, Elyara?” gumam Armeel perlahan, suaranya sarat dengan nada sinis.
Seorang pelayan menghampiri untuk bertanya jika dia memerlukan sesuatu, namun Armeel hanya mengangkat tangan, memberi isyarat agar lelaki itu pergi. Pandangannya kembali tertumpu kepada Elyara. Tawa lembut gadis itu dengan lelaki lain seolah-olah mencabar kedudukannya sebagai lelaki yang kini mendambakan perhatian Elyara.
Armeel akhirnya tidak mampu lagi menahan dirinya. Dia melangkah dengan penuh keyakinan, walaupun di dalam hatinya ribuan rasa berperang antara ego, sakit hati, dan rasa ingin memiliki. Setiap langkahnya menggema di lantai marmar restoran mewah, membuat Elyara dan Dr. Joehairy mengangkat kepala serentak.
“Elyara,” sapanya dengan nada rendah tetapi tajam, memotong perbualan mereka. Matanya tajam menikam wajah gadis itu, tetapi senyuman profesional terukir di bibirnya. “I tak sangka akan jumpa you di sini... dengan rakan lama,” katanya, sengaja menekankan dua perkataan terakhir.
Elyara Maysarrah menelan liur, merasa darahnya mendidih seketika. Kehadiran Armeel Raychal di situ membuatkan suasana berubah tegang, seolah-olah ada magnet gelap yang menarik setiap perhatian ke arahnya.
“Encik Armeel,” Elyara akhirnya bersuara, cuba kekal tenang walaupun matanya menangkap sinar cemburu di mata lelaki itu. “Ini Dr. Joehairy, kawan lama saya dari sekolah menengah. Kami jarang bertemu, jadi...”
“I see,” Armeel memotong, matanya kini tertumpu pada Dr. Joehairy yang tersenyum sopan. “Doktor. Rakan lama, ya? Pasti ada banyak cerita lama yang boleh dikongsikan.”
Dr. Joehairy berdiri, menghulurkan tangan kepada Armeel. “Betul, Elyara memang rakan baik saya dulu. Encik...?”
“Armeel Raychal,” jawabnya dingin, tidak menyambut huluran tangan itu. Dia hanya menatap doktor itu dengan pandangan tajam sebelum kembali memandang Elyara.
“I tak tahu you masih menyimpan hubungan baik dengan orang dari masa lalu, Elyara. I selalu fikir you terlalu sibuk untuk itu.”
Nada sindiran itu membuatkan Elyara terdiam. Namun, dia tahu dia tidak boleh membiarkan lelaki itu menguasai keadaan.
“Encik Armeel, ini cuma makan malam biasa. Tak ada sebab untuk encik marah.”
“Marah?” Armeel mendekatkan dirinya, menunduk sedikit sehingga matanya sejajar dengan Elyara. “Siapa kata i marah? I cuma... tertarik dengan pilihan you untuk menghabiskan masa dengan seseorang yang, maaf cakap...mungkin tak setanding dengan orang yang you ada sekarang.”
Dr. Joehairy mengangkat kening, mula menangkap nada tegang antara mereka.
“Encik Armeel, saya rasa awak salah faham. Saya tak ada niat lain kecuali...”
“I tak salah faham apa-apa, doktor,” Armeel memotong lagi, kali ini dengan nada yang lebih tajam. “I cuma ingin memastikan yang Elyara tahu siapa yang lebih memahami dia sekarang.”
Elyara akhirnya berdiri, meletakkan tangannya di dada Armeel untuk menghentikan lelaki itu daripada terus menekan Dr. Joehairy.
“Encik Armeel, cukup!” katanya tegas, walaupun dalam hatinya ada sedikit rasa bersalah kerana membiarkan situasi ini berlaku. “Encik tak perlu buat begini. Dr. Joehairy hanya kawan.”
Armeel menahan diri daripada menepis tangan Elyara, walaupun setiap sentuhan gadis itu membuatkan amarahnya sedikit reda. Dia menarik nafas dalam-dalam, berusaha mengawal emosinya yang sedang bergejolak.
“I tak peduli dia siapa, Elyara. Yang i tahu, i tak suka you terlalu rapat dengan sesiapa selain i,” katanya perlahan tetapi penuh dengan maksud. Matanya yang gelap bersinar dengan ancaman halus.
Elyara menatap lelaki itu, merasa ada bahaya yang terselindung di sebalik kata-kata itu. Namun, jauh di lubuk hati, dia tidak boleh menafikan sesuatu. Api cemburu di mata Armeel Raychal itu membuatkan dia tidak mampu berpaling daripadanya.
Elyara Maysarrah membeku saat tubuh tingginya ditarik kasar oleh Armeel Raychal, menghimpitnya rapat ke dada lelaki itu. Wajahnya yang terkejut tidak mampu bersuara, apatah lagi ketika bibir hangat lelaki itu menyentuh bibirnya tanpa peringatan.
Ciuman itu bukan sekadar tanda kasih. Ia penuh dengan keinginan, penaklukan, dan ancaman. Bibir Armeel bergerak tegas, seolah-olah mahu membuktikan sesuatu yang Elyara tidak pernah bayangkan. Lelaki itu tidak memberikan ruang untuk penolakan, membuatkan Elyara terperangkap di antara emosi terkejut dan marah.
Namun, Elyara tidak akan membiarkan dirinya tunduk begitu saja. Tanpa amaran, dia menggigit bibir Armeel dengan keras sehingga lelaki itu tersentak, melepaskan tautan tersebut sambil menahan sakit. Setitis darah merah meluncur dari bibir lelaki itu, namun pandangan matanya tidak sedikit pun kehilangan ketegasan. Sebaliknya, senyum tipis penuh bahaya muncul di bibirnya yang luka.
“I tak pernah benarkan sesiapa menolak diri i, Elyara,” bisiknya perlahan, nadanya seolah-olah amaran yang menyelinap ke dalam jiwa. Mata hitamnya seperti lautan gelap yang bergelora, membuatkan Elyara rasa sesak nafas.
Elyara memeluk tubuhnya sendiri, cuba melindungi dirinya daripada aura mengancam lelaki itu.
“Awak gila, Encik Armeel! Apa hak Encik Armeel buat saya begini?”
“Hak i?” Armeel mengelap darah di bibirnya dengan ibu jari, matanya tetap terpaku pada Elyara. “Hak i sebagai lelaki yang memutuskan untuk menjadikan you milik mutlak i. I tak peduli apa pun alasan you bersama lelaki itu,” katanya sambil melirik tajam ke arah Dr. Joehairy, “you hanya untuk i.”
Suasana tegang itu disaksikan sepenuhnya oleh Dr. Joehairy yang hanya berdiri sambil menyilangkan tangan. Dia tersenyum sinis, seolah-olah menikmati drama yang terjadi di hadapannya.
“Hmm... nampaknya aku memang tak ada ruang dalam cerita ini,” katanya perlahan tetapi cukup untuk membuatkan Elyara memandangnya. “Armeel Raychal, kau menang. Elyara bukan untuk aku.”
Elyara terpinga-pinga, menoleh ke arah Dr. Joehairy. “Joehairy, jangan... ini bukan seperti yang kau fikirkan!”
Namun lelaki itu hanya menggeleng, senyuman pahit di bibirnya.
“Tak perlu jelaskan, Elyara. Saya cuma rakan sekolah awak. Tapi awak perlu tahu sesuatu sebelum saya pergi.”
Dr. Joehairy melangkah mendekati Elyara, berhenti beberapa langkah dari gadis itu.
“Bapa awak memerlukan pembedahan segera. Kosnya tinggi, Elyara. Sangat tinggi, dan saya tak pasti awak mampu menanggungnya.”
Kata-kata itu membuatkan Elyara terkaku. Air matanya mula mengalir, tanpa dia sedari tubuhnya lemah dan terduduk semula di kerusi. Perasaan malunya terhadap situasi tadi bercampur dengan rasa tertekan memikirkan beban kewangan keluarganya.
“Joehairy, saya...” Elyara cuba bersuara, tetapi suaranya terputus-putus.
Dr. Joehairy menghela nafas, memandang Elyara dengan simpati sebelum kembali ke arah Armeel Raychal.
“Dia perlukan kau lebih daripada apa yang kau fikirkan, Armeel. Jadi kalau kau betul-betul nak miliki dia, pastikan kau tahu apa yang kau lakukan. Elyara bukan sekadar gadis biasa yang boleh kau kendalikan sesuka hati.”
Armeel tidak memberi sebarang respons kepada kata-kata itu, hanya memandang tajam Dr. Joehairy sehingga lelaki itu mengangkat bahu dan beredar meninggalkan mereka berdua. Bunyi pintu restoran yang tertutup bergema, meninggalkan suasana yang dingin dan berat.
Elyara memeluk dirinya sendiri, tangisannya semakin kuat. Armeel memandang gadis itu dengan wajah yang sukar dibaca. Hatinya bergolak antara rasa bersalah dan tekad untuk memilikinya, walau apa cara sekalipun.
Dia melangkah mendekati Elyara, berlutut di hadapannya.
“Dengar sini,” katanya dengan suara yang lebih lembut tetapi masih tegas, “i tak akan biarkan you tanggung semua ini seorang diri. I akan bantu you, Elyara. Tapi dengan satu syarat.”
Elyara mengangkat wajahnya yang basah dengan air mata, memandang lelaki itu dengan pandangan kosong.
“Apa lagi syarat awak, Encik Armeel? Encik Armeel dah musnahkan semuanya...”
“Syaratnya mudah,” bisik Armeel sambil mengusap dagu Elyara dengan lembut tetapi menguasai. “Biarkan i jadi satu-satunya lelaki dalam hidup you. I akan pastikan you tak perlukan sesiapa lagi, termasuk doktor itu.”
Kata-kata itu membuatkan Elyara semakin terperangkap. Di satu sisi, dia tahu Armeel Raychal adalah jurang jalan penuh dengan liku-liku bahaya. Namun di sisi lain, dia memerlukan lelaki itu untuk menyelamatkan keluarganya. Dan di tengah-tengah konflik itu, Elyara sedar, dirinya kini menjadi tawanan dalam permainan hati dan kuasa seorang Armeel Raychal.
Langkah Armeel Raychal tidak lagi sekemas biasanya ketika mereka meninggalkan restoran mewah itu. Tubuh tingginya terhuyung-hayang, dan Elyara Maysarrah segera memegang lengannya untuk mengelakkan lelaki itu terjatuh. Bau wain yang kuat terbit dari nafasnya membuatkan Elyara mengeluh kecil.
“ Encik Armeel, mabuk? Berhenti buat diri encik macam ni,” tegur Elyara, suaranya tegas tetapi terselit nada kebimbangan.
“I tak mabuk,” balas Armeel dengan suara garau yang berat, matanya sedikit kabur tetapi tetap memandang Elyara dengan pandangan tajam. “I boleh uruskan diri i sendiri.”
Elyara mengerling ke arah valet yang sudah sedia dengan kereta mewah lelaki itu. Dia cuba meraih kunci kereta dari tangan Armeel, tetapi lelaki itu menarik tangannya dengan cepat, menggenggam erat kunci tersebut.
“Encik Armeel, biar saya yang drive. Encik tak boleh bawa kereta dalam keadaan macam ni!” Elyara mendesak, suaranya sedikit meninggi.
“Jangan ingkar cakap i, Elyara,” Armeel memotong kasar, nadanya penuh dominasi. Dia melangkah ke tempat duduk pemandu, walaupun langkahnya tidak stabil. “Ini kereta i. Dan, you duduk diam di sebelah.”
“Encik Armeel boleh bahayakan nyawa kita!” Elyara terus memegang pintu kereta, cuba menghalang lelaki itu daripada masuk. Namun, keazaman dan ego lelaki itu terlalu kuat untuk ditewaskan dengan kata-kata.
“I tak perlukan you jadi penyelamat i malam ni. Duduk, Elyara,” kata Armeel dengan dingin, menekankan setiap perkataan seperti arahan mutlak.
Akhirnya, Elyara tidak punya pilihan selain mengalah. Dia masuk ke dalam kereta dengan perasaan berat hati, berdoa agar perjalanan ini tidak membawa bencana. Matanya mencuri pandang ke arah Armeel, yang kini memegang stereng dengan tangan yang sedikit menggigil tetapi tetap cuba kelihatan tenang.
Kereta mewah itu meluncur keluar dari kawasan restoran, masuk ke jalan raya yang lengang. Namun, kelajuan yang tidak stabil membuatkan Elyara semakin gelisah.
“Encik Armeel, perlahan sikit! Tak sedar betapa bahayanya—”
“Senyap, Elyara!” Armeel memotong, nadanya keras tetapi suaranya sedikit serak.
“I tahu apa yang i buat. I tak perlukan ceramah you tentang keselamatan.”
Elyara menggigit bibirnya, cuba menahan diri daripada terus bersuara. Namun, hatinya semakin berdegup kencang apabila kereta mula bergoyang sedikit, memberi isyarat bahawa Armeel tidak sepenuhnya sedar tentang apa yang berlaku.
“ Encik Armeel, tolonglah. Kalau awak tak mahu saya memandu, sekurang-kurangnya berhenti di tepi jalan. Kita boleh panggil teksi atau apa-apa saja,” rayu Elyara.
Namun, seperti biasa Armeel tidak mendengar. Keegoannya terlalu besar untuk mengakui kelemahan, apatah lagi di hadapan Elyara. Matanya menatap lurus ke jalan, tetapi fokusnya semakin goyah.
Dan saat itulah ia terjadi. Sebuah lori besar muncul dari persimpangan jalan, menyalakan lampu tinggi tepat ke arah kereta mereka. Armeel membelokkan stereng dengan tiba-tiba, tetapi gerakan itu terlalu pantas dan kasar.
“Encik Armeel!” Elyara menjerit.
Kereta mewah itu berpusing di atas jalan raya, sebelum terbabas ke arah penghadang besi di tepi jalan. Bunyi dentuman kuat bergema di udara malam, diikuti dengan suara kaca pecah yang melayang-layang seperti serpihan mimpi buruk.
Segalanya berlaku begitu pantas. Elyara hanya mampu menjerit kecil ketika tubuhnya terhentak kuat ke tempat duduk, sementara kepalanya terasa berpusing.
Ketika semuanya berhenti, hanya ada kesunyian yang menakutkan. Bau besi terbakar memenuhi udara, bercampur dengan aroma darah yang menyengat.
Armeel membuka matanya perlahan, kesakitan menjalar ke seluruh tubuhnya. Pandangannya kabur, dan kepalanya terasa berat seolah-olah dihempap batu besar. Deria baunya menangkap sesuatu. Bau gasolin yang kuat menyengat hidungnya. Dengan nafas yang tersekat-sekat, dia cuba mengumpulkan kesedarannya.
“Apa yang berlaku...” Armeel berbisik sendiri, suaranya serak dan hampir tidak kedengaran.
Dia cuba menggerakkan tubuhnya, tetapi setiap otot terasa seperti dihiris sembilu. Tangan kanannya perlahan-lahan menyentuh dahinya, dan dia dapat merasakan kehangatan darah yang mengalir dari luka di situ. Nafasnya semakin berat apabila pandangannya tertumpu pada keadaan sekeliling.
Dan saat itulah dia melihat Elyara. Gadis itu terperosok ke arah cermin hadapan, tubuhnya tidak bergerak. Wajahnya dibasahi darah yang mengalir dari luka di dahinya, bercampur dengan serpihan kaca yang menusuk kulitnya. Rambutnya yang hitam pekat berserabut, melekat pada wajahnya yang pucat.
“Elyara...” suara Armeel terputus-putus, nadanya penuh dengan ketakutan. Dia cuba menghulurkan tangannya ke arah gadis itu, tetapi pergerakannya terbatas.
“Elyara! Bangun!”
Hai, author belanja satu lg chapter...happy reading gaiss..jgn lupa follow and comment ya..
Share this novel
hai cemburu punya pasal, sia-sia je jd mangsa.Dah tahu mabuk nk memandu lg..Armeel, kau ni bawa malang betullah kat Elyara..