Bab 13

Romance Series 11562

JARI jemari Amira bergerak pantas di atas papan kekunci komputer. Dia fokus melakukan kerja untuk memindahkan data ke dalam sistem komputer. Tadi, dia sudah merasa lega kerana berjaya menyiapkan laporan projek yang diberikan kepadanya. Setelah menyerahkan laporan tersebut, gadis itu segera menyambung tugasnya seperti biasa.

Tidak lama kemudian, Ridwan yang merupakan ketua pembantu tadbir mendatangi Amira. Wajah lelaki itu terlihat agak kusut dan muram.

"Amira, Encik Ikmal minta awak datang ke pejabatnya dengan segera." Ridwan menyampaikan pesanan.

"Eh, ada apa Encik Ridwan?" Amira tertanya-tanya tujuan dirinya dipanggil.

"Entahlah.. awak pergi je dulu.. saya rasa, ada masalah dengan laporan kewangan yang awak buat.. saya sendiri dah check laporan awak tu.. kerja awak kemas. Tapi macam ada yang tak kena.." Ridwan memberi penjelasan.

"Ada yang tak kena?" Amira semakin pelik. Padahal dia sudah lakukan semuanya dengan teliti dan sebaik mungkin.

"Saya pun tak tahu.. awak pergi jumpa Encik Ikmal dulu."

"Emm, baiklah." Amira segera bangkit berdiri dari kerusinya meninggalkan kerja yang sedang dilakukan. Ridwan turut bergerak untuk kembali ke biliknya. Pada masa yang sama, Liza yang mendengar perbualan mereka itu mula tersenyum sinis. Wanita itu seolah-olah sudah mengetahui apa yang telah terjadi.

Amira yang tiba di bilik Ikmal, langsung mengetuk pintu dan masuk ke dalam bilik.

"Encik Ikmal nak jumpa saya?" Amira bersuara.

"Hmm.. awak yang buat laporan kewangan pasal projek Taman Rinda?" Ikmal bertanya. Lelaki itu segera mendapatkan laporan hasil kerja Amira dan membentangkannya di atas meja.

"Ya, saya.."

"Awak tengok ni.. dalam laporan awak ni, hanya ada 4.2 juta.. sedangkan syarikat dah keluarkan bajet sebanyak 5 juta.. mana lagi 800 ribu tu? Takkan buat laporan untuk projek kecil macam ni pun awak boleh buat silap?" Ikmal bertanya dengan nada suara yang kasar.

"Saya.. saya tak tahu.. saya buat laporan tu ikut dokumen yang ada je.." Amira cuba memberi penjelasan.

"Macam mana boleh tak tahu? Sepatutnya awak la yang jaga dan uruskan semua dokumen tu!"

"Tapi.. saya.. hanya kerani baru.. masih dalam pelatihan.." Amira semakin tergagap.

"Dalam pelatihan? habis tu kenapa awak memandai buat laporan ni? Lapar nak perhatian?!" Ikmal menengking.

"Saya.. saya.."

"Dah! tak payah nak beralasan! Saya tak peduli awak baru kerja ke, dah lama kerja ke.. sekarang saya nak awak betulkan balik semua laporan kewangan ni! Kalau tak, awak kena bertanggung jawab penuh atas kehilangan wang syarikat!" Ikmal mendesak.

"Tapi.. penyediaan dokumen tu semua bukan bawah tanggung jawab saya.. saya hanya buat laporan berdasarkan dokumen yang ada.. saya pun di beri tugasan dan dokumen tu dari Liza." Amira masih ingin membela diri.

"Sudah! Jangan nak salahkan orang lain atas kecuaian awak.. saya tak kira, macam mana sekali pun, awak kena betulkan laporan ni. Dapatkan kembali semua dokumen berkaitan dengan betul. Selagi saya tak approve laporan projek ni, semua tanggung jawab awak yang kena tanggung sendiri."

"Kenapa saya nak kena bertanggung jawab untuk urusan yang bukan bidang tugas saya? Yang sediakan dokumen sepatutnya pengurus projek. Saya hanya kerani yang buat laporan kewangan berdasarkan dokumen yang diberikan je." Amira tetap mempertahankan diri.

"Kalau awak tak boleh selesaikan, sila berhenti kerja! kehilangan 800ribu tu nanti syarikat akan tuntut dari awak! Awak pergi sekarang!"

"Mana boleh macam tu.." Amira hampir menangis.

"Pergi!" Ikmal menjerit dengan kuat. Amira tersentak. Gadis itu segera berpaling tubuh dan berjalan keluar dari bilik.

Amira kembali ke meja kerjanya. Dia termenung jauh. Gadis itu benar-benar bingung. Entah kenapa dia pula dipertanggung jawab di atas kerja yang bukan menjadi tugasannya. Dari laporan kewangan yang dia sediakan, memang jelas terdapat kekurangan sebagaimana yang diperkatakan oleh Ikmal. Namun dia hanya membuat kerjanya berdasarkan dokumen yang diserahkan oleh Liza kepadanya. Proses mengumpulkan semua dokumen bukanlah menjadi tanggung jawab dirinya.

Amira mulai khawatir apabila mengingatkan ugutan Ikmal terhadapnya. Jika dia tidak menyelesaikan masalah tersebut, dia pasti akan dipersalahkan dan harus menangunggkan ganti rugi. Entah dari mana dia mampu mendapatkan wang sebanyak itu. Jika dia mengumpulkan simpanan dari gajinya untuk seumur hidup pun, belum tentu akan dapat menghasilkan wang sebanyak itu.

Amira semakin buntu. Gadis yang sudah tidak dapat menahan emosinya itu lantas menangis dan membenamkan wajahnya ke meja. Bahunya terjungkit turun naik, beriringan dengan suara esakan.

Tidak jauh dari Amira, Liza pula menjeling sambil tersenyum puas. Walaupun tidak mendengar dialog antara Amira dan Ikmal tadi, namun wanita itu sudah tahu apa yang sudah terjadi. Dia yakin Amira sudah dipersalahkan kerana kesalahan dalam laporan kewangan yang dibuat. Liza tahu segala-galanya kerana dia adalah dalang sebenar kepada masalah tersebut. Sebelum menyerahkan dokumen yang diperlukan kepada Amira, Liza terlebih dahulu sudah membuang beberapa dokumen. Dia sengaja ingin mempersulitkan Amir adan berharap agar Amira segera meninggalkan syarikat di mana mereka bekerja.

DI sisi lain, Rizal pula masih kemurungan. Dia masih termenung memikirkan kesalahan dan dosanya dalam menindas orang sebelum ini. Sejak semalam, perkara itu mengganggu fikirannya. Setiap kali selesai solat, dia akan berdoa memohon keampunan. Namun dia juga sedar, kesalahannya kepada manusia lain, tidak akan terhapus selagi dia tidak meminta maaf kepada mereka. Tetapi untuk mencari satu persatu orang yang pernah dia sakiti, itu adalah mustahil sama sekali. Dia sekarang terlempar jauh dari kota tempat asalnya. Malah dia sendiri sudah lupa, entah siapa yang pernah dia hina.

Lelaki itu terus termenung sehingga lewat petang. Tamat waktu bekerja, dia masih termenung berhampiran anak tangga di depan bangunan. Kemudian Amira pula muncul. Gadis itu sudah bersiap sedia untuk pulang. Namun Amira mula merasa aneh apabila melihat Rizal yang sedang termenung sendirian.

"Rizal, kenapa termenung kat sini?" Amira menyapa.

"Oh, Mira.. takde apa.." Rizal tersedar dari lamunan apabila disapa.

"Dah lama awak tak termenung macam ni.. ni mesti ada masalah kan? apa masalahnya? burger awak berjalan baik?" Amira cuba mengorek masalah yang membelenggu fikiran Rizal.

"Takde apa lah.. saya cuma terkenangkan masa lalu je.. dulu saya jahat.." Rizal cuba memberi penerangan. Namun Amira pula hanya tersenyum. Pada pandangannya, Rizal adalah seorang lelaki yang baik. Ucapan lelaki terlihat merendah diri malah masih mengatakan jika dirinya itu jahat. Sedangkan Amira tidak pernah melihat Rizal bertindak sebagai seorang yang jahat.

"Semua orang pun pernah buat jahat.. takde manusia yang terlepas dari buat dosa melainkan para nabi.. Nabi-nabi tu semua maksum, terlepas dari dosa. Kalau mereka buat salah pun, Allah langsung akan tegur dan nabi-nabi segera bertaubat.. kita sebagai manusia biasa ni, buat salah ke, buat dosa ke, kita akan tanggung sendiri, melainkan kita bertaubat." Amira cuba menenangkan perasaan Rizal.

"Eh, kenapa mata awak merah? Awak menangis ke?" Rizal menyedari keadaan Amira.

"Emm, taklah.. mata saya.. masuk habuk tadi.." Amira cuba berdalih.

"Mira, jangan nak tipu saya.. awak menangis kan? kenapa? Apa yang dah berlaku?" Rizal tetap mendesak. Dia tidak ingin gadis sebaik Amira ditindas. Dia sendiri sudah merasai bagaimana perasaan ketika menindas dan ditindas oleh orang lain. Mendengar kata-kata Rizal, Amira terdiam. Dia terharu dengan keprihatinan lelaki itu terhadapnya. Baginya, Rizal adalah seorang lelaki yang mudah memahami dan suka membantu.

Setelah berfikir sejenak, Amira mula menceritakan apa yang telah berlaku terhadapnya di pejabat. Dia terpaksa juga meluahkan perasaan yang terbuku di dalam hatinya kepada seseorang. Kini, Rizal adalah kawan yang tepat untuk dia berkongsi rasa. Dia tidak akan berselindung lagi terhadap Rizal. Bagaimana pun, keluhan yang terpendam dalam hatinya tetap perlu diluahkan. Gadis polos sepertinya tidak mampu untuk menanggung beban sebegitu sendirian. Lagi pula, Rizal juga telah membantunya sebelum ini. Fikir Amira, mungkin Rizal akan ada jalan untuk membantunya menyelesaikan masalah terbarunya ini.

"Hmm.. setakat laporan kewangan je.. tapi projek tu dah selesai kan?" Rizal bersuara setelah mendengar keseluruhan cerita daripada Amira.

"Saya pun tak pasti sangat.. Rasanya projek pembinaan dah selesai.. Cuma tinggal kerja-kerja kecil, kerja pembersihan je.. saya mana la tahu pasal urusan projek. Saya cuma ditugaskan untuk buat laporan kewangan je." Amira membalas.

"Itulah.. pengumpulan dokumen tu bukan kerja awak.. kalau data tak betul, dokumen tak cukup, maknanya ada penyelewengan.." Rizal mengeluarkan pendapat.

"Maksud awak macam mana? Sekarang ni saya risau.. Encik Ikmal nak suruh saya bertanggung jawab. Kalau tak boleh selesaikan kehilangan 800 ribu tu, saya yang kena ganti.. tak masuk akal langsung. Dah hampir sejuta! mana saya nak cekau cari duit sebanyak tu. lagipun itu bukan kesalahan saya."

"Tak payah risau la.. dia saja nak gertak awak je tu.. kalau ikut hukum pun, memang jelas tu bukan salah awak. Lagipun projek tu dah selesai.. maknanya takde pun 800 ribu tu hilang.. Kalau betul ada hilang pun, itu mesti dari ketirisan, ada pecah amanah." Rizal menguatkan kepercayaan Amira.

"Pecah amanah?" Amira sedikit bingung.

"Ya.. kalau betul 800ribu tu hilang, maknanya ada yang mencuri, masuk poket sendiri..itu dah jadi satu jenayah.. Menggelapkan wang syarikat.. kalau takde, maknanya hanya ada dokumen yang hilang."

"Jadi macam mana nak selesaikan?" Amira masih dirundung kerisauan.

"Awak tak payah risau.. semua projek mesti ada hitam putih, jadual pergerakan, rencana dari awal hingga akhir.. proses pembelian barang, proses pembinaan, upah pekerja, ambil alih tanah, semua tu direkodkan. Kita boleh check balik."

"Itu saya tahu la.. tapi macam mana nak dapatkan balik kalau ada dokumen yang hilang?"

"Hmm.. awak ada simpan lagi semua dokumen tu?" Rizal bertanya.

"Ini.. saya kena bawa balik la semua ni untuk check semula.. nanti saya kena betulkan balik laporan kewangan tu. Terpaksa la saya buat kat rumah.. kalau nak tunggu buat kat pejabat esok, takut tak sempat.." Amira menunjukkan beberapa fail di tangannya.

"Baguslah.. macam mana dengan kertas kerja untuk projek tu? Saya nak semua yang berkaitan dengan projek tu ada.. baru kita boleh cari kat mana berlaku kesalahan." Rizal mulai bersemangat. Dia tekad untuk membantu Amira keluar daripada krisis yang dihadapi oleh gadis tersebut.

"Kertas kerja projek ada kat pejabat.. saya tak ambil.. saya cuma ambil dokumen melibatkan kewangan je."

"Pergi ambil semuanya.. semua yang berkenaan dengan projek tu awak ambil, termasuk kertas kerja dan jadual progess.. saya nak tengok semua. Senarai nama pegawai dan pekerja yang terlibat pun, awak ambil je." Rizal memberi arahan. Amira hanya mengangguk tanda memahami.

Mereka berdua kembali masuk ke dalam pejabat. Amira berusaha mengumpulkan semua catatan dan dokumen yang berhubungan dengan projek yang dimaksudkan. Setelah semuanya dikumpulkan di meja kerja Amira, gadis itu sedikit tercengang.

"Banyak fail-fail ni.. macam mana saya nak bawak balik? Saya bawak motor je.. motor ego tu bukan ada ruang nak bawak semua fail ni." Amira menggaru-garu kepala.

"Biar saya bawak separuh.. awak separuh.. kita pergi rumah awak. Malam ni kita start kaji balik satu persatu, kat mana berlaku ketirisan dalam projek ni." Rizal tersenyum. Lelaki itu sedikit geli hati apabila melihat riak wajah Amira yang kebingungan sebentar tadi setelah melihat timbunan fail di atas mejanya.

"Tapi, takkan awak tak buka lagi gerai burger awak sebab nak tolong saya." Amira sedikit ragu dan serba salah. Dia sebenarnya tidak ingin menyusahkan Rizal. Dia tahu lelaki itu akan meninggalkan perniagaan burgernya buat kesekian kali hanya untuk membantu dirinya.

"Jangan duk fikir sangat pasal burger saya.. kalau saya tinggal sehari dua pun, baru berapa je saya tak dapat untung.. kalau nak dibandingkan dengan masalah awak ni, hampir satu juta ringgit wang syarikat hilang." Rizal memberi penerangan.

"Tapi ini bukan masalah awak.. saya serba salah la.. tak pasal-pasal saya dah menyusahkan awak." Amira meluahkan rasa yang bermain di fikirannya.

"Kita kan kawan.. sebagai kawan, dah jadi tanggung jawab saya untuk bantu awak." Rizal mengulangi ayat sama yang pernah diucapkan oleh Amira kepadanya. Amira benar-benar terharu. Dia menatap senyuman ikhlas yang terbit di wajah Rizal.

Pada masa yang sama, Rizal bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan isu mengenai masalah laporan kewangan yang dihadapi oleh Amira. Bagaimana pun, syarikat tersebut adalah salah satu daripada anak syarikat milik bapanya dan bakal bertukar tangan kepadanya suatu hari nanti. Dia sama sekali tidak akan membiarkan sebarang penyelewengan berlaku di dalam syarikat tersebut. Jika hal tersebut tidak dibendung, bukan sahaja Amira yang akan dipersalahkan, malah wang milik keluarganya turut dicuri.

Share this novel

Mythic 20 Ronaldojr7
2025-01-27 17:59:32 

kita tgk liza mcm mna rasanya akan jatuh k tanah jgk

Erna Md Nordin
2025-01-27 15:30:50 

Dah syarikat bapak dia, mmglah dia risau, Amira..sbb tu Riz beria-ia nk tlg.. hihihi..


NovelPlus Premium

The best ads free experience