TERSENYUM-SENYUM Jay membaca mesej daripada kekasih hatinya, Mirul. Sudahlah handsome, bijak, romantik, penyayang, berduit… hahaha. Tertawa hati Jay dengan apa yang dia ada sekarang. Bahagia betul hidupnya. Baru bercinta, bagaimana sudah berkahwin nanti. Pasti lagi bahagia.
Tok! Tok! Tok!
Tingkap kereta diketuk dari luar, tersentak Jay dibuatnya. Cermin kereta diturunkan.
“Kenapa kau tak robohkan je kereta aku ni?” Bengang Jay dibuatnya.
Sab bagai mencari sesuatu. “Tadi ada bawak hammer. Tertinggal pulak,” balas Sab dengan sinis. “Aku beria lambai kau kat sini. Kau tak datang-datang. Tu member kita tu dah dapat ubat penenang dah.”
“Seriuslah doktor bagi?” tanya Jay terkejut.
Sab geleng. “Taklah. Ubat lain. Ke depan sikit, aku pergi papah dia ke sini.”
Jay akur dan terus mendekati pintu klinik. Kelihatan Sab memimpin Ode ke kereta. Sebaik saja masuk ke dalam kereta suasana jadi sunyi. Jay memandang Ode yang duduk di belakang sambil memejamkan matanya. Kelihatan sungguh tidak bermaya.
“Drive jelah Jay. Aku tak mati lagi.” Tiba-tiba Ode bersuara. Terkejut Jay dibuatnya.
PINTU bilik Sab ditutup rapat. Sab melangkah keluar melihat Jay yang sedang mengambil angin di balkoni rumah. Memang menjadi kegemaran mereka bertiga untuk bersidai di balkoni bila waktu malam. Tapi kini mungkin berdua…
“Ode memang dalam bilik je ke dari tadi?” Sapaan Sab menyentak Jay. Jay terus menyimpan telefonnya ke poket seluar.
Jay angkat bahu. “Aku dari tadi kat luar ni. Tengok dia balik dari klinik tadi memang tak keluar bilik. Dah pesan jangan kunci pintu. Aku check tak kunci pun,” balas Jay yang turut risau dengan keadaan kawannya.
Keluhan dilepaskan Sab. “Kesian weh dekat dia. Dia bukan ada sesiapa dah…”
“Dia ada kita. Dia ada aku, dia ada kau,” sampuk Jay membetulkan kenyataan.
“Kau macam tak tahu orang bercinta pulak. Perempuan kalau dah cintakan seseorang, hidup dia semua untuk laki tu tau,” kata Sab.
“Tapi, bukan aku.”
Berdecit mulut Sab. “Kau lain. Kau datang dari keluarga yang menyokong kau. Bak kata orang atau tak jauh bagi mata Ode kau punya hidup yang sempurna.”
Jay menunduk. Ada benar jugak kerana Ode datang dari keluarga yang berpecah sehingga sekarang dia tidak tahu siapa keluarga kandungnya dan dari mana asalnya. Ya, hidupnya lebih baik daripada Ode.
“Kita tak boleh biarkan dia macam tu. Aku, aku memang takkan bagi lelaki keparat tu jatuhkan Ode sesenang tu. Aku akan susahkan hidup laki tu. Bagi harapan lepas tu kau rasa Ode tu tak bagus, kau tinggalkan dia.” Amarah Jay memuncak.
Pantang dia kalau ada sesiapa menyentuh sahabat-sahabat baiknya. Sab tersenyum, dia suka dengan Jay. Jay lain. Jay sangat berkarisma, bijak, berpendirian, berani dan tak akan menyerah.
Jay menggeleng dan masuk ke dalam rumah. Sab seperti terkejut lantas mengekori Jay dari belakang. “Kau nak ke mana?”
“Jom jumpa Ode. Aku nak kita lawan, kita bangkit lawan rasa ni. Aku tahu aku tengah bahagia sekarang, tapi aku tak nak kawan aku kat dalam tu bergelumang terlalu lama,” bebel Jay.
Sab menahan tangan Jay. Memberhentikan langkah Jay.
“Secara lembut, okey?”
Jay senyum dan angguk.
Pintu bilik Ode diketuk dari luar tapi tiada sahutan. Jay membuka pintu.
“Ode?”
Suasana sunyi dan gelap. Jay pandang Sab dan Sab angkat bahu tanda tidak tahu nak buat apa.
“Kau tak nyahut aku bukak lampu,” ugut Jay.
Masih sunyi.
“Tidur kut,” bisik Sab.
“Orang putus cinta mana boleh tidur.” Sab menjeling Jay. Perli dialah tu. Jay memang pandai memberi kata-kata yang membuatkan seseorang itu terdiam.
Pap!
Suis lampu dibuka. Ode ternyata sedang duduk di katil sambil menunduk. Luruh hati kedua-dua sahabat yang melihat itu.
“Sorry Ode. Aku panggil kau tak nyahut.”
Sunyi.
Sab dan Jay melangkah masuk dan terus duduk mengapit Ode. Di kiri Sab dan di kanan Jay. Ode masih menunduk.
“Aku ni tak bernasib baik betullah. Aku sayang dia weh. Sangat-sangat… Bila dia pergi tu rasa tak bernafas. Bukan aku nak rasa macam ni tapi entah… macam ni ke rasa bila putus cinta?” Pertanyaan Ode hanya dibiarkan sepi.
Membiarkan Ode meluah rasa.
“Dah seminggu aku macam ni. Lembik tak bermaya. Aku kadang-kadang akan rasa okey, tapi bila… kenangan tu datang. Rindu tu datang. Betul-betul buat aku hilang punca bernafas.” Ode berhenti dan menarik nafas.
“Bila balik dari klinik tadi, aku terfikir sesuatu tentang apa doktor tu cakap kat aku. Dalam dunia ni, tak ada sorang pun layak untuk buat kita rasa sedih berlamaan. Lagi-lagi kalau orang tu sakitkan kita,” kata Ode sambil kesat air mata yang mengalir.
Sab dan Jay mengangguk, bersetuju dengan kenyataan itu. Jay mencapai jari-jemari Ode.
“Berapa doktor tu charge kau tadi?” tanya Jay dengan nada perlahan.
Ode mengerutkan wajah. “120 ringgit.”
Jay mengangguk. “Mahal jugak.”
“Bolehlah tu. Harga biasa je sekali ubat,” bangkang Sab.
“Modal dapat ayat tu free je weh kat Internet. Tak pun beli buku puisi 25 ringgit. Acah doktor tu,” kata Jay saja menyeri suasana.
Sab dan Ode tergelak dan menolak Jay.
“Bodoh!” Ode meluah.
“Siapa bodoh? Zul tu yang bodoh. Kawan aku ni cantik, bijak, body 34, 29, 38 macam ni dia tak nak. Dialah bodoh,” kata Jay dengan menyampah.
Ode buat muka. “Sorry atas ni 36 okey. Bermaruah sikit.” Ode menambah perisa.
“Bila putus cinta memang atas tu auto besar eh?” tambah Sab.
Terus pecah gelak mereka bertiga. Ode menarik dua sahabatnya itu berpelukan.
“Terima kasih untuk seminggu ni. Sebab bagi aku ruang untuk deal dengan rasa ni dan sanggup buat apa saja untuk aku. Aku tak hilang sesiapa pun.”
Jay mengangguk. “Si bodoh tu yang hilang kau. Ode.”
“BETUL ke korang tak nak ikut aku ke Langkawi?” tanya Jay buat ke sekian kalinya. Kali ini dia akan bercuti dengan kawan-kawan Mirul, kekasih hatinya. Di sana mereka berjumpa dengan kawan-kawan Mirul yang sudah berumah tangga di sana dan mempunyai chalet mereka sendiri.
Ode menggeleng laju. “Langkawi banned for now!”
Jay angguk faham.
“Outstation. Melaka jelah,” balas Sab.
“Oh, Melaka jadilah…” Hampa sedikit hati Jay. Dia sebenarnya mahukan sesiapa untuk menemaninya kerana dia tidak berkenan sangat dengan kawan-kawan Mirul.
“Nak ikut kau boleh?” Ode bertanya dengan semangat. Sab senyum dan mengangguk.
“Mana aci…” rungut Jay.
“Kitorang Kelab Jejelita ni nak have fun berdua tanpa lelaki,” balas Sab sengaja nak sakitkan hati Jay.
Jay buat muka. “Kelab Jejelik adalah.”
“Bilik confirm asing kan korang?” tanya Sab kepada Jay.
“Kau apa hal?” Bengang pulak Jay dengan soalan tu. Manakala Ode sudah tergelak memahami maksud Sab.
Sab tergelak kecil. “Tanya je itu pun salah ke?”
“Kalau dia nak sangat sebilik dengan aku, aku ajak dia berlari ke pantai lalu teriakku, jomlah kahwin kat sempadan,” balas Jay sambil membahan dirinya sendiri.
Ode pandang Jay. “Jaga diri.”
SAB yang sedang memandu memandang sekilas Ode yang duduk di sebelahnya memandang pemandangan di luar. Lagu yang bermain di corong radio bagaikan membuai perasaan Sab dan Ode ketika itu.
Yang tulus ikhlas
Ingin sekali sekala dirinya dibalas
Walau hanya dengan dakapan di angin lalu
Yang selalu memberi
Ingin sekali sekala jadi penerima
Cukup dengan salam dan manis doa
“Kau nak tahu tak, lagu ni buat aku rasa tenang sikitlah bila kenangkan kisah lama aku. Mungkin kisah kita tak sama, tapi kita antara yang terluka.” Sab buka mulut memecah sepi kereta.
“Bila dah putus dengan Asyraf aku banyak belajar benda jugak. Dalam hal ni, aku yang banyak memberi, aku yang banyak berkorban. Tak pernah sekali dia nak mengalah. Aku biarkan aku terluka. Kesian kat aku weh. Aku kesian gila kat diri sendiri. Dan, saat tu aku kata kat diri sendiri…”
Sab terdiam bila lirik lagu yang dinyanyikan itu tepat pada apa yang ingin dia sampaikan.
Kini kau bersayap, pergilah terbang
Rentaslah langit cita cita mu
Harap nanti kita 'kan bertemu
“SAYANG…” panggil Mirul dan menepuk lembut bahu Jay yang sedang termenung membuang pandang di tepi laut. Ramai orang yang berehat dan menikmati pemandangan yang dihidangkan di hadapan mereka.
Pantai Cenang siapa saja yang tidak tahu tempat popular ini. “Pukul berapa malam ni kita dinner dengan dorang semua?”
Mereka berdua berjalan beriringan sambil berpegangan tangan. “Lepas maghrib. Ni dorang tengah prepare barang-barang untuk barbeku malam ni.”
“Kita tak payah tolong apa-apa ke?” tanya Jay risau.
Mirul gelengkan kepala. “Rina dengan Mizi yang uruskan sebab tu tempat dorangkan. Yang lain pun entah mana dah hilang ni. Dah 6.45 kan. Nak gerak tak?”
Jay mengeluh. Geram.
“Kenapa? Apa yang tak puas hati lagi ni?” tanya Mirul.
“Kenapa bagitahu I last minute yang girlfriend Man dengan Zaki tak join? Kalau I tahu, I pun tak nak join. Awkward tahu tak. Lagi-lagi dengan perangai pelik kawan-kawan you ni,” bebel Jay. Manakan tidak bila di airport baru bagitahu yang Jue dan Aqish tidak jadi join percutian ini.
Mirul peluk bahu Jay dari tepi. “I kan ada sayang. Kalau sayang takut I boleh teman sayang malam ni.” Renungan Mirul sangat sesuatu.
Jay tunjuk muka menyampah. “Ajak kahwin asyik ngelat. Benda share bilik laju je ajak…” Perlahan suara Jay tapi masih boleh didengari oleh Mirul.
“Lagipun kan Rina ada. Zuha pun malam ni join,” tambah Mirul lagi.
Jay mengeluh lagi. Entah kenapa dia bersetuju dengan percutian ini. Kalaulah keluarga dia mengetahui yang dia satu-satunya perempuan di sini, habis dia. Dia memandang Mirul dari tepi, dia mahu habiskan masa dengan lelaki yang dia sayangi ini. Namun, dia merasakan makin dia mengenali lelaki ini makin dia tidak faham.
Tangan Mirul ditarik. Dan langkah Mirul terhenti. “Kenapa ni?”
“You masih sayangkan I kan, Mirul?”
“Apa punya soalanlah tanya I ni. Jomlah cepat jalan nanti dah maghrib pulak,” kata Mirul dan meninggalkan Jay di belakang.
Geram. “Malam ni lepas makan I ada nak cakap dengan you. Kalau kat KL tu susah benar nak ajak bincang atau borak. I rasa entahlah, I rasa you makin jauh Mirul.”
Mirul buat tak tahu. “Bila I ada masa dengan you and ajak bercuti macam ni. You tak ada rasa ke ni effort I?”
Jay berhenti. Entah kenapa dia tidak mampu melawan.
MIRUL pandang Man dan Zaki yang tergelak-gelak memandang Mirul. “Korang ni pahal?”
Zaki pandang Man. “Kaulah cakap dengan dia…”
“Ni mesti benda tu kan. Tak payahlah Jay tahu mati aku nanti. Dia budak baiklah. Lagipun, dia asyik dah ajak aku kahwin dah ni,” kata Mirul.
Man duduk sebelah Mirul. “Takkanlah tak ada rasa-rasa nak buat. Aku tahu orang kerja kapal macam kau ni. Hmm, takkanlah tak ‘makan’ ikan darat macam tu?”
Mirul tak senang duduk. “Dia report kita semua mati tau.”
“La, lagipun kau memang nak kahwin dengan dia kan? Kalau dah kena ‘barang’ tu dia tak perasanlah berapa kali kena tala. Ke kau nak simpan sorang?” tanya Zaki.
Lama Mirul diam. Zaki dan Man berpandangan lagi.
“Kau ada perempuan lain ke?” Tergelak besar Zaki.
“Aku bagi dia ‘high’ sikit je okey?” pujuk Man. Tidak tahu macam mana nak menolak.
“Buat rasa-rasa,” sampuk Man. Gelak Man dan Zaki bersatu dan memberi keyakinan kepada Mirul.
MALAM itu tenang dan sangat mendamaikan. Mirul tersenyum melihat Jay yang sangat cantik malam ini dengan pakaian ringkasnya. Nampak seksi di mata Mirul.
Cawan di tangan dipandang sekilas.
“Sayang.”
Jay memandang Mirul. Cawan di tangan Mirul disambut Jay. “Untuk I ke?”
Mirul mengangguk.
Terus saja Jay meneguk air itu. Mirul seperti terkaku dan terus saja duduk di sebelah Jay.
“Tenang tempat ni,” kata Jay perlahan.
“Hmm,” balas Mirul.
Suasana sepi antara mereka. Jay lepaskan keluhan dan memandang sekilas Mirul. Ada beribu persoalan di pundaknya dan ada beribu perkataan ingin dicoretkan.
“Kenapa you ajak I ke sini ya?”
“Untuk spend masa dengan I dalam masa yang sama bonding dengan kawan-kawan I,” jawab Mirul sambil mengawal gentar di dada.
Jay mengangguk. “Apa jadi dengan kita ni Mirul?”
“Jadi apa?”
“You tak rasa ke kita hambar? And you makin menjauh?” tanya Jay lagi.
Mirul gelengkan kepala. “Ni I dah dekat ni sayang. You banyak sangat fikir. Kita pun dah lama bersama kan. I harap you faham I lah.”
“Sebab dah lama bersamalah I asyik tanya apa next step,” kata Jay sambil menghirup air di dalam cawan itu lagi.
Tenang Mirul melihat air yang diminum oleh Jay. “I nak tenang-tenang and enjoy dengan you kat sini je tau. Bukan nak hadap soalan-soalan you. Nanti I fikirkanlah semua tu. Jangan risaulah,” balas Mirul dengan perlahan.
“Nak enjoy dengan I tapi ada kawan-kawan…” Kepala Jay tiba-tiba terasa seperti mengantuk. Mungkin kerana dia tidak cukup rehat.
Mirul pegang muka Jay. “Kenapa ni sayang?”
Jay menggeleng. “I penatlah. Nak tidur. Mengantuk sangat ni.”
“Jom I hantar you ke bilik.” Mirul menarik tangan Jay dan memeluk bahu Jay dari tepi. Sambil itu dia mencium kepala Jay dari tepi. Jay seperti tidak boleh menolak kerana yang dia fikir, betapa mengantuknya dia.
Pintu biliknya dibuka dan Jay terus masuk dan baring ke tilamnya. Jay melihat Mirul sempat mencium dahinya dan keluar dari biliknya. Selepas itu, Jay terus tertidur.
KREK…
Pintu bilik Jay dibuka. Debaran dan dengusan nafas lelaki itu kedengaran. “Buat rasa-rasa… sombong sangat kan.”
Pintu bilik ditutup dan dikunci.
Share this novel