BAB 4

Romance Series 5829

DAHLIA berdiri tegak. Tertib dan patuh mendengar semua maklumat dan arahan yang dibacakan kepadanya oleh seorang pegawai dari Bahagian Sumber Manusia.

“Awak akan bertugas di bawah arahan dan seliaan Tuan CEO kami iaitu Tengku Hayder Al-Wakeel. Awak kena panggil dia Tengku. Hormat dia sebagai bos awak. Jangan banyak tanya atau cakap. Patuh semua arahan dia. Dia tak suka terlewat walau seminit pun. So, sebelum nak bertolak ke mana-mana awak kena prepare dan ready dengan alamat ke tempat yang ingin dituju.”

Dahlia mengangguk-angguk faham.

“Baik, puan.”

Taklah susah mana pun kerja ni. Insya-Allah dia yakin boleh lakukan.

Tika itu nama bos barunya yang disebut oleh pegawai HR menyapa fikiran Dahlia.

‘Tengku Hayder Al-Wakeel’.

Agaknya bagaimana rupa bos baharunya itu? Muda? Tampan? Kaya? Bergaya?

Oh, bab kaya tu sudah tentulah. CEO di syarikat ternama ini kot! Mustahil tak kaya. Tapi, muda, tampan dan bergaya tu belum pasti. Kejap lagi dia tengok.

Tiba-tiba fikiran Dahlia melayang pula teringatkan seorang lelaki muda yang memaki hamunnya di restoran tempoh hari.

Hah, mamat tu nama Tengku juga. Tapi, Tengku-rak! Celaka. Sebab lelaki itulah tak pasal-pasal dia kena jadi ‘driver’ hari ni.

“Ini uniform awak. Dan ini kunci Rolls Royce. Kereta ada parking di aras basement. Awak boleh pergi tengok-tengok dulu kereta tu dan bawa ke depan lobi. Pukul 10 kejap lagi awak kena standby untuk pandu Tuan CEO ke mesyuarat. Ingat! Jangan lewat seminit pun. Okey, selamat bekerja Dahlia.”

Pegawai HR itu berlalu pergi meninggalkan Dahlia yang masih termanggu-manggu sendirian. Uniform yang masih berlipat di dalam plastik serta kunci Rolls Royce dipandang.

‘Haish, boleh ke aku pandu kereta mewah ni??’ Dahlia berdesis kerisauan.

Takpe-takpe, kejap lagi dia tengok kat Youtube macam mana nak pandu Rolls Royce. Alah, semua kereta pun sama je kan. Tekan minyak jalan, tekan brek berhenti. Gitu!

TEPAT pukul 10 pagi, Dahlia sudah siap bersedia di sisi kereta mewah Rolls Royce yang diparkir betul-betul di depan pintu lobi Menara Al-Wakeel.

Sambil membetulkan kemeja uniform pemandu yang tersarung di tubuh serta topi yang dipakai di kepala, sesekali pandangan Dahlia tertoleh-toleh ke dalam. Tak sabar ingin melihat bos baharunya muncul. Dalam waktu yang sama dia tetap rasa berdebar ingin berhadapan dengan lelaki itu nanti.

Adakah lelaki itu garang? Bengis? Atau tampan dan punya aura serta karismatik yang memukau pandangan?

Tak kisahlah. Apa yang penting dia akan cuba jalankan tugas ini dengan sebaiknya. Kerana ini sahaja punca mata pencariannya buat masa sekarang.

“Dahlia boleh! Go-go-go! Keep it up! Don’t give up!” Dahlia menepuk-nepuk tapak tangan bagai memberi semangat buat dirinya sendiri.

Ting!

Bunyi pintu lif VIP yang berlabuh di aras lobi kedengaran. Sebentar kemudian kelihatan sosok Tengku Hayder yang melangkah penuh segak bergaya persis watak hero di dalam slot drama korporat. Dia menuju ke pintu utama.

Di arah bertentangan Dahlia sedang melihat dari jauh kelibat batang tubuh lelaki itu. Hah, inilah agaknya Tuan CEO bos baharunya. Dahlia teruja. Pandangannya fokus melihat setiap derap langkah lelaki tampan itu.

‘Ya Rabbi, handsome nya! Tuan CEO kaya ni memang bergaya penuh aura dan karisma. Macam model iklan pewangi BOSS!’

Bagaimana pun, saat wajah tampan yang sedang dipandang itu semakin mendekat, Dahlia rasa darahnya membeku. Kaku.

Adakah ini lelaki yang bergelar bos baharunya? Tengku Hayder Al-Wakeel?

Err...bukankah ini juga lelaki yang ditemuinya di restoran tempoh hari?? Tekak Dahlia hampir tercekik. Erk. Tidak!

“Encik Teng—?!”

Tika itu pandangan Tengku Hayder bertembung dengan Dahlia. Serta-merta langkah yang sedang diatur terhenti. Riak mukanya terus bertukar tegang. Bola matanya membuntang.

“KAU?!”

Mereka sama-sama terpaku selama beberapa saat. Dahlia sudah tak keruan saat mengetahui siapa gerangan lelaki yang bergelar bos baharunya. Aduh! Apa malang sangat nasib kau ni Dahlia? Arh!

“Kau waitress yang tumpahkan kopi kat baju aku hari tu kan?!” Suara Tengku Hayder meninggi bersama biji mata yang dijegil memandang Dahlia penuh geram dan marah.

Dahlia apa lagi. Cepat-cepat dia sarungkan cermin mata hitam yang terselit di kolar kemeja uniform, konon nak ‘cover’ mukanya agar tidak dikenali mamat ini.

“Eh, taklah. Encik Tengku salah orang. Saya driver profesional. Kalau Encik Tengku nak kopi, kenalah cari Starbucks.” Selamba Dahlia berkata. Ayat yang spontan keluar dari mulutnya.

Kata-kata Dahlia buatkan Tengku Hayder berdesis sinis. “Driver profesional huh? Syarikat ni dah gila agaknya hire kau. Dari waitress restoran ke pemandu peribadi? Kau tahu bawa kereta ke?! Bawa dulang pun tak betul. Habis tumpah kopi kat baju aku. Nanti kau bawa kereta silap-silap masuk ke parit!”

Dahlia mula rasa mukanya berbahang bagai disimbah air panas. Grrr. Gigi diketap rapat. Sikit je lagi tangannya ringan nak naik tumbuk ke pipi mamat ni. Tapi, berusaha ditahan kemarahan daripada meletus. Sementelah mengingatkan lelaki ini adalah bosnya. Kang dipecat nak kena cari kerja baru lagi!

“Encik Tengku jangan risau. Saya driver terlatih. Semua jenis kereta saya boleh bawa. Cuma kereta api dan kereta kebal je saya belum pernah bawa. Insya-Allah takkan jatuh ke dalam parit.” Dahlia sengih di hujungnya.

Loyar buruk pula perempuan ni! Tengku Hayder merenung tajam ke wajah Dahlia.

“Kau ni memang tak tahu malu kan. Hari tu kau berani lawan cakap aku. Sekarang nak kerja dengan aku pulak. Memang muka tebal macam tembok!”

Dahlia menahan geram dengan sindiran pedas lelaki itu. Tajam dan menyakitkan hati. Memanglah mukanya tak tahu malu. Sebab terdesak perlukan pekerjaan. Ingat dia nak sangat ke kerja dengan mamat sombong nak mampus ni! Lalu sengaja dibalas semula sindiran Tengku Hayder.

“Orang kata rezeki jangan ditolak, Encik Tengku. Lagipun, siapa sangka kan kopi yang tertumpah hari tu rupanya tiket loteri untuk saya dapat ‘upgrade’ diri. Dari waitress biasa terus lompat naik pangkat jadi Pemandu Peribadi CEO. Hebat kot!” kata Dahlia sambil menjungkit kening bangga. Kononnya tidak terkesan dengan sindiran tadi.

Tengku Hayder mendengus nafasnya kasar. Pandai menjawab pula perempuan ni. ‘Aku cakap sepuluh, dia balas lima puluh patah’!

“Hebat memang hebat. Hebat buat hidup aku kacau-bilau! Aku tak setuju kau jadi driver aku. Nanti aku arahkan HR terminate kau!”

Dahlia merenung muka berapi Tengku Hayder. ‘Dia nak berhentikan aku? Aduh, kerja apa pula aku nak cari lepas ni?’

Walaupun tidak suka dan benci Tengku Hayder, tapi dalam keadaan mendesak begini Dahlia rasakan dia harus mempertahankan pekerjaan yang ada.

“Encik Tengku, apa kata kita sambung bergaduh nanti? Sebab kalau kita tak gerak sekarang, nanti Encik Tengku akan lambat ke mesyuarat. Tadi saya diberitahu oleh pegawai HR yang Encik Tengku tak suka lewat walau seminit.” Dahlia menghentikan konfrontasi mereka.

Seraya mata Tengku Hayder terarah ke Patek Phillipe di pergelangan tangan kirinya. Memang benar jika mereka tidak keluar sekarang pasti akan terlewat tiba di sana nanti.

Lantas dipandang semula ke wajah Dahlia. Mahu tidak mahu dia harus gunakan khidmat gadis ini untuk menghantarnya ke lokasi mesyuarat hari ini.

“Hmm. Dah, kita pergi sekarang!” Tengku Hayder memberi arahan.

Dahlia dengan pantas memulakan tugasannya. Membukakan pintu penumpang belakang kenderaan untuk encik bos.

“Jemput masuk, Encik Tengku yang saya hormati,” ucap Dahlia terselit nada menyindir.

Tengku Hayder terus masuk ke tempat duduk belakang. Dahlia menutup pintu dan menuju ke ruang pemanduan.

Di kerusi belakang, Tengku Hayder memerhati pantulan wajah Dahlia yang dapat dilihat melalui cermin pandang belakang. Jujur dia tidak sukakan gadis ini. Apatah lagi saat terkenangkan momen pertemuan pertama mereka yang cukup ‘bermakna’ tempoh hari. Lalu sebaris ayat sinis berbaur sindiran sekali lagi keluar dari bibirnya.

“Apa-apa pun, kau ni tetap malapetaka dalam hidup aku. Jangan harap kau akan kerja lama dengan aku!”

Dahlia di kerusi pemandu mengetap bibir. Dalam hati sedang berperang dengan segala bentuk rasa. Ikutkan hati memang nak berhenti terus dari jadi ‘kuli’ mamat ni. Tapi saat teringatkan wajah ibu dan adiknya di kampung, dia tarik nafas panjang. Cuba berfikiran positif dan bertahan. Tak ingin kalah dengan provokasi Tengku Hayder yang egois.

“Kalau saya malapetaka, Encik Tengku pula bencana alam. Sama-sama lah kita ‘bekerjasama’ nanti, ya?” Dahlia membalas semula sinis dan selamba.

Muka Tengku Hayder terus berubah tona seakan terbakar. ‘Tengok tu dia menjawab lagi. Perempuan ni memang nak kena!’

“Tunggu apa lagi? Dah, jalan!” Tengku Hayder melaung arahan dari tempat duduk belakang.

“Baik, Encik Tengku!”

Dahlia dengan segera memutar stereng lalu memandu keluar kereta mewah itu keluar dari bangunan Menara Al-Wakeel. Berdesup kenderaan tersebut meluncur di jalanraya.

Harap-harap selamatlah mereka tiba ke destinasi seterusnya. Jangan terjatuh ke dalam parit seperti kata Tengku Hayder tadi sudahlah!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience