“JOM balik kampung,” ajak Fahri sambil menghulurkan air mineral kepada Jay.
Lama Jay diam. “Bila?”
“Minggu ni. Jumaat ni.” Fahri memandang seketika ke arah Jay.
“Rizal pun balik jugak, kan?” tanya Jay lagi.
Fahri mengangguk. “Kau nak balik dengan aku atau kau nak dengan Rizal?”
Berkerut dahi Jay. Macam dia tak ada pilihan lain je. Dia nak balik sendiri. “Balik sendiri sebab senang urus masa sendiri. Jumpa sana jelah.”
“Jadi kau setuju jelah kan?” tanya Fahri sambil tunak memandang Jay. Dia akan memaksa Jay dalam diam untuk menerima rancangannya.
“Bagi aku fikir dulu boleh? Kau yang tiba-tiba muncul, dengan aku yang baru putus cinta… serabutlah semua ni,” luah Jay. Dia belum lagi sempat untuk meraung sedas dua. Kini sudah duduk di sebelah lelaki yang tiba-tiba ajaknya balik ke kampung.
Dan, kahwin.
Ya. Lelaki ini ajak dia berkahwin.
“Kau nak tahu tak orang cakap nak sihat cepat daripada putus cinta ni kau kena cari seseorang untuk kau rebound. So, aku depan mata kau. Aku rela jadi rebound untuk kau. Lagipun, kau mesti tak nak jadi single lama-lama kan? Aku faham perangai kau. Risau jadi single,” kata Fahri yang mengambil kesempatan terhadap ruang yang ada.
Geram betul Jay dengan Fahri yang sentiasa tahu kelemahannya. “Tapi kan… maksudnya betullah kau dari dulu syok dengan aku kan?”
Fahri terus bangun sambil membetulkan jaket pada badannya. Cermin mata gelap dipakai dan terus saja dia berjalan meninggalkan Jay yang terpinga-pinga.
MATA Jay hanya memandang pusingan kipas di atas kepalanya. Pusingan kipas itu langsung tidak mengganggu pemandangannya. Kepalanya ligat memikirkan dirinya tanpa Mirul.
Hidupnya bagaikan kosong sedikit. Kenangan bersama Mirul asyik bermain di fikirannya. Tetapi, kini ada bayangan lain yang datang dalam fikirannya.
Fahri Quzairi.
Lelaki ini adalah abang angkat kepada adik lelakinya, Rizal. Semasa kecil Jay dan Rizal dipisahkan kerana kematian seluruh ahli keluarganya. Dia tinggal bersama nenek dan emak saudaranya, mak lang.
Manakala adik dia diambil oleh jabatan kebajikan kerana ada keluarga yang boleh menjaga adiknya yang kecil ketika itu. Dan, di situlah dia mengetahui adiknya dijaga oleh keluarga Fahri.
Dia tidak pernah suka kenangan masa kecilnya. Namun, sekurangnya adik dia dapat kehidupan yang lebih baik.
“I akan jaga you. I takkan bagi you hidup dalam trauma dan kurang kasih sayang.” Suara Mirul kedengaran ketika dia dan Mirul sedang hangat bercinta.
“Otak kau! Penipu punya jantan!” kata Jay selepas tersedar daripada lamunan cerita lamanya.
“Arghhh!!! Kenapa aku pun tak bernasib baik dalam hal ni?”
Jay benamkan mukanya pada bantal. Dia tidak tahu perasaannya ketika ini, mungkin dia banyak sakit hati daripada bersedih. Sakit hati terhadap layanan Mirul kepadanya sehingga membawa kepada tawar hati.
Lagi serabut si Fahri ajak dia kahwin.
Rebound.
Rebound adalah di mana seseorang yang putus cinta terus mendapatkan pengganti untuk merawat hatinya yang sakit. Ia juga untuk melupakan rasa sakit atau kesepian dari perpisahan sebelumnya. Hubungan ini sering kali tidak didasari cinta yang tulus, tetapi untuk memenuhi emosi seseorang itu.
Tok! Tok! Tok!
Jay kejung bila terdengar pintu biliknya dipulas.
“Jay?” panggil Sab.
Sunyi.
Jay tidak mahu menyahut.
“Jay” panggil Ode pulak.
Sepi.
Keluhan perlahan dilepaskan Jay tidak mahu nampak lemah di mata rakan-rakannya. Terkadang ada rasa malu kerana dia dulu begitu yakin jodohnya dengan Mirul dan selalu menjadi antara penasihat paling bagus antara mereka. Dan, dia terlalu yakin dengan perasaan Mirul terhadapnya.
Padan muka aku.
“Bukak pintu ni. Kalau aku pecahkan, kau jugak yang kena cari tukang pintu sebab kalau suruh aku, aku memang akan bertangguh je so pintu kau akan sentiasa terbukak. Senang kitorang nak terjah masuk,” ugut Sab dengan serius.
Jay hanya memandang pintu biliknya dan dia nampak ada bayang-bayang kaki di depan pintu biliknya.
Sepi.
“Ode, kau ambil hammer dalam bilik aku kejap. Ada yang besar tu. Sekali hempuk ni ada sikitlah gegar kondo ni,” kata Sab di luar dan disambut oleh Ode.
“Takut kawan kita ni dah mampus kat dalam. Kang berulat jenazah dia.”
Setan punya kawan. Jay terus bangun dan membuka pintu.
Sab tersenyum. “Haaa… ada pun.”
Ode patah balik dan berdiri di depan pintu masuk bilik Jay bersama Sab.
Jay gosok mata pura-pura baru bangun daripada tidur. “Aku tidurlah.”
“Orang putus cinta mana boleh tidur.” Ayat Sab itu sangat menyakitkan hati Jay. Manakan tidak kena pulang paku buah keras. Ode terus tergelak.
Sab pandang Jay yang memandangnya dengan bengang. “Apa? 1 sama eh.”
“Korang nak apa?” tanya Jay malas dan terus berbaring.
“Bosanlah kau tak ada kat depan. Selalunya ada je lawak bangang kau. Bukak TV tengok cerita lawak pun tak dapat selevel kau,” kata Sab yang sengaja mahu mencipta suasana ceria.
“Kau fikir aku channel cerita lawak kau ke?”
“Dah tu?” balas Sab.
“Subscribelah dulu.” Terus meletus ketawa mereka bertiga.
Bila ketawa mula reda Sab senyum pandang Jay. “Sakit tak?”
Jay mula bergenang air mata. Hatinya sangat sakit. Perutnya jadi sebu.
Ode yang mendengar terus meleleh air mata. Sab sapu kasar air mata Ode. “Bukan time kau dah. Ni time Jay putus cinta. Kau punya time dah habis.”
“Setan.” Jay membalas.
“Bagi aku 3 hari je. 3 hari untuk aku deal dengan perasaan sedih ni. Bagi aku ruang dan masa okey. Lagipun aku dah apply cuti. Isnin depan aku kerja macam biasa,” balas Jay sambil memandang Ode dan Sab.
Ode dan Sab berpandangan dan mengangguk.
“Pastikan jangan buat benda bodoh tau. Aku dan Ode dah bersukur dah dapat sambung duduk kat rumah ni lagi. Mana nak cari sewa murah macam ni, tempat strategik, tuan rumah lawa walaupun baru putus cinta…” kata Sab dan mendapat sambutan ketawa daripada Ode dan Jay.
“Berambus sekarang dari bilik aku!” kata Jay dan dia sangat bersyukur mempunyai 2 orang sahabat yang sangat baik dengannya.
Langkah Sab terhenti dan memandang Jay. “Rumah sebelah yang kosong ni dah ada penyewa dah. Ode yang nampak siang tadi. Handsome katanya. Mungkin kau boleh cuci mata dengan selak langsir sikit sebab bilik utama korang boleh saling nampak. Untunglah cuci mata.”
Jay menjeling dengan membuat gaya suruh keluar dari bilik. Sebaik saja pintu bilik ditutup. Jay bangun dan mengintai dari cermin biliknya. Ternyata benar, bilik itu sudah berlampu.
PAPAN tanda dan pintu gerbang yang menunjukkan nama kampungnya membuatkan hatinya sedikit terusik. Pelbagai kenangan dilaluinya ketika meningkat dewasa dan di sini jugalah dia mengenali Mirul.
Argh! Mirul lagi. Stresnya aku…
Puput Wangi.
Itu adalah nama kampungnya kerana bauan bunga-bunga yang menyambut kedatangan sesiapa yang masuk dari pintu gerbang itu. Bauan wangi bunga-bunga menyambut setiap yang hadir.
Tin!
Terkejut Jay lantas dia melihat siapa yang membunyikan hon kepadanya. Ternyata sebuah motosikal berkuasa tinggi. “Siapa mamat poyo ni?”
Perlahan lelaki itu menaikan visornya. “Tangan kat mana? Bawak kereta melilau.”
Fahri.
Terus saja Jay mendengus. “Sorry. Jalanlah dulu.”
“Kau jalan dulu. Biar aku jaga kau. Bukan betul kau ni,” kata Fahri dan menutup visornya semula dan menunggu Jay menggerakkan kereta sehinggalah masuk ke lorong rumah neneknya.
Sebaik saja sampai, dia terus keluar dari keretanya mencari bayang opahnya. Kelihatan seorang wanita tua sedang mengupas bawang di luar rumah berdekatan dengan dapur.
“Assalammualaikum, opah.”
Tersenyum Nek Temah melihat cucunya. Terus saja mereka berpeluk dan opahnya mencium-cium wajahnya. “Tak sangka nak kahwin dah cucu opah ni. Tak cakap awal-awal.”
Berkerut dahi Jay. Siapa yang cakap dengan opah yang dia mahu kahwin?
“Untunglah balik sekali-sekala. Lepas tu, dah nak kahwin dah. Jangan lupa jasa kitorang besarkan kau ya. Duit bulanan tu hantar bagi lebih sikit,” sampuk mak langnya pula.
Lagi buat Jay terpinga-pinga. Ke Fahri dah buat pengumuman?
LAMBAT pula mamat ni keluar dari masjid. Dia sudah menunggu di tepi selekoh rumah banglo Fahri. Ya, Fahri anak orang kaya kerana bapanya seorang jurutera dan emaknya pula seorang pegawai kerajaan.
“Hai…”
Terkejut Jay dengan sapaan seseorang yang begitu hampir dengan telinganya. Terus saja dia menjauhi mulut berbau itu.
Jamil.
Saudaranya, anak kepada mak langnya.
“Kau apa hal. Sibuklah,” marah Jay dan tercari-cari bayang Fahri. Dalam hati berdoa agar Fahri cepat datang.
“Berlagak eh kau. Mentang-mentang nak kahwin dengan Fahri. Kemain ya kau. Ingat sikit, kau ni bekas aku.” Tergelak Jamil sengaja buat Jay marah-marah.
Pap!
Wajah Jamil disepak kuat oleh Jay. “Eh, bodoh! Kau tu pencabul! Pengecut! Sorok belakang mak kau je. Eh, aku benci kau seumur hidup aku. Aku bukan bekas kaulah, sial!”
Jay terus emosi kerana dia geli bila teringat Jamil yang pernah memeluknya dan mencium pipinya ketika dia baru saja berumur 14 tahun. Dia yang kematian emak dan abahnya dan hidup dengan opahnya, namun Jamil yang selalu datang ke rumah sering cuba melakukan benda tidak baik kepadanya.
“Kurang ajar punya perempuan!” Jamil mahu menampar Jay namun dia terhurung ke hadapan dan terus jatuh ke jalan.
Entah kenapa Jay merasakan dia di dalam pelukan seseorang. Matanya dicelik semula dan benar Fahri di sebelahnya sedang melindunginya.
Sap!
Perut Jamil disepak tidak berapa kuat cukup untuk memberi peringatan. “Aku dah pesan kan jangan pandang Jay. Mahupun bersuara dengan dia apatah lagi nak sentuh.”
Jamil yang ketakutan terus melarikan dirinya.
“Buat apa kat sini?” tanya Fahri dengan nada tegasnya.
Takut pula Jay ketika ini. Liurnya ditelan. “Kau dah bagitahu semua orang ke kita nak kahwin?”
Fahri kerutkan wajahnya dan memandang keliling. “Ya. Aku dah jumpa opah kau. Tadi ni pun aku singgah rumah opah kau. Kita kahwin esok.”
“Hah?” Jay hilang kata-kata. Lelaki ini memang nak bawak dia pergi perang ke?
“Kau nak bawak aku pergi perang ke? Ke kau takut mati awal ni?” tanya Jay yang sememangnya mengetahui lelaki di hadapannya ini adalah seorang tentera.
Fahri tergelak kecil. “Sebab perang dah habislah aku nak kahwin.”
Jay rasa macam nak gila. Eh, betullah lelaki ni boleh buat dia hilang rasa sakit putus cinta sebab memikirkan hal gila ini.
“Kita buat yang wajib je. Aku tolong kau, kau tolong aku. Okey?” kata Fahri dengan suara yang lembut.
“Aku tak faham.”
Keluhan dilepaskan Fahri. “Jom, aku ambil kereta kejap. Yang kau ni pun rajin jalan kaki. Bahaya tahu tak.”
Sebaik saja Fahri mengambil kereta, mereka menuju ke pantai yang berdekatan dengan kampung mereka. Kedua-duanya menyandarkan punggung pada bonet depan kereta.
“Aku dah pencen jadi askar. Maksudnya aku pencen awal sebab… adalah sebabnya. Sekarang ni, aku tolong business kawan aku buat security, bodyguard semua tu kat KL. Tapi kau fahamlah umi aku. Umi agak kecewa aku pencen awal jadi tentera. So, umi nak aku duduk kampung je. Tapi aku tak nak. Aku nak kerja. Aku nak buat apa yang aku suka. Cuma bukan dalam tentera lagi. So, aku kena ada reason yang kuat. Dan aku nampak kau. Kau duduk kat KL, kerja kat KL.”
Fahri pandang Jay yang tekun mendengar.
“Jadi, aku cakap dengan umi aku dengan kau nak kahwin. Lagipun aku nak jaga kau kat KL dan kau kerja kat KL. Bila aku cakap macam ni umi suruh aku kahwin cepat. Buat yang wajib. Kau tahukan umi macam mana? Cable kiri kanan. Kau kahwin je dengan aku. Aku janji aku akan jaga kau. Aku layan kau dengan baik. Lagipun, kau mesti tak nak rasa sakit putus cinta kan? Aku ada. Aku sanggup jadi tempat kau alihkan rasa kecewa tu,” jelas Fahri dengan penuh pengharapan.
Jay diam lama. Dia pandang Fahri. Tidak sangka lelaki yang disukai ramai anak dara dalam kampung ini sedang mengajaknya kahwin.
“Okey.”
“AKU terima nikahnya, Puspa Jasmine binti Kadir dengan mas kahwin 300 ringgit tunai.”
Ruang itu sunyi seketika.
“Sah! Alhamdulillah.”
Fahri terus memandang Jay yang sedang mengesat air matanya. Perkahwinan mereka seperti perkahwinan yang sudah dirancang atau mungkin seperti nikah koboi. Tapi, apa yang bermain di fikiran Jay.
Dia hanya mahu diselamatkan.
“TERUSKAN je. Please, jangan lepaskan!”
Gadis itu mengikut rentak permainan yang dipancu oleh nafsu.
“Kau suka ke?”
Kepala gadis itu mengangguk. Kedua-dua matanya sayu. Bibir lelaki itu mengucup semua tempat pada badan dan wajah gadis itu, bukankah mereka sudah halal bersama. Sehinggalah di tempat yang paling sensitif.
Lelaki itu tersenyum nakal dan kembali membetulkan posisinya.
“Pertama kali kan?”
Kepala gadis itu mengangguk dan geram. “Cubalah kalau tak percaya. Habis tu kau?”
Tersenyum sengit lelaki itu. Tubuh tegap dengan paras wajah yang tampan dan suara yang serak itu menatapnya.
Entah kenapa sang gadis tiba-tiba saja mahu terkencing dan terus saja dia tersentak bangun. Rupanya dia keseorangan di atas katilnya. Dengan nafas yang mencungap.
“Ah… mimpi… Apa punya mimpi ni…”
Jay kerutkan wajahnya. “Kalau ni mimpi. Maksudnya aku tak kahwin lagilah kan?”
“Siapa kata?”
Share this novel