Bab 4 - Game starts!

Romance Series 5730

“PROVE it, then…”

Langkah Tengku Rayyan terhenti. Senyum nipis terbentuk di hujung bibirnya. Dia condong sedikit, wajahnya mendekat, cukup dekat sehingga hujung hidung mereka hampir bersentuh. Nafas panasnya menyapa kulit Yasmeen, membuat gadis itu untuk sekelip mata terasa kaku.

Tengku Rayyan tidak berundur. Malah dia merendahkan wajahnya lebih dekat lagi, seolah-olah bila-bila masa sahaja bibirnya akan meraih bibir Yasmeen.

Saat itu, Yasmeen sempat menarik nafas pendek, panik kecil yang dia sendiri cuba sembunyikan, tapi terlalu jelas di mata lelaki itu.

Namun ciuman itu tidak pernah singgah.

Sebaliknya, Tengku Rayyan mengangkat kepalanya semula, ketawa kecil, sinis, bergaung rendah di antara mereka. “Hah… macam tu pun kau dah nampak gelabah, Yasmeen. Jadi siapa yang sebenarnya takut, hmm?”

Dia berpaling, meninggalkan Yasmeen terpaku di situ, dengan wajahnya yang masih hangat oleh sesuatu yang tidak sepatutnya dia rasa.

Dan Tengku Rayyan, sambil melangkah menjauh masih membawa senyum sinis di bibirnya. Namun dalam diam, dia sendiri sedang tenangkan hati yang berdebar tak tentu hala.

“Enough, wife. You belong to me now. Ikut aku balik, atau aku sendiri yang akan heret kau. Guna kaki tu selagi boleh, atau aku ‘hukum’ kau sampai tak boleh berjalan.”

“I hate you, Rayyan!” Yasmeen protes.

“Thanks, I hate you too.” Tengku Rayyan tak nak kalah. “Dah aku tak nak dengar apa-apa lagi. Kalau tak, aku gam mulut kau.”

“KITA sarapan dulu.”

Tanpa menunggu Yasmeen memberi reaksi, Tengku Rayyan terus melangkah ke meja makan di dalam kamar hotel. Hidangan yang sudah tersedia sejak tadi disentuhnya dengan santai, seolah-olah mereka tidak baru sahaja berdebat hebat beberapa minit yang lalu.

Yasmeen menghela nafas panjang. Kesalnya jelas terlukis pada wajah, tapi pada akhirnya dia tetap juga menuruti. Perutnya pun menuntut hak. Jadi, dia ikut duduk, walau dalam hati berkecamuk dengan rasa meluat.

Mereka makan dalam senyap. Tiada bicara, tiada pandangan yang bertaut. Hanya bunyi sudu dan garpu beradu dengan pinggan yang kedengaran. Seakan-akan mereka bukan pasangan suami isteri, tetapi dua orang asing yang kebetulan duduk di meja sama.

Usai makan, Tengku Rayyan bangkit lebih dulu. Langkahnya tegap, penuh wibawa, seolah-olah dunia ini miliknya. Yasmeen tidak ada pilihan selain menurut dari belakang.

Dari luar, mereka mungkin kelihatan seperti pasangan pengantin baru yang baru menghabiskan malam penuh romantik di kamar suite mewah. Namun hakikatnya, tiada aura cinta, tiada bayangan mesra.

Jika ada yang melihat dari jauh, pasti menyangka Yasmeen hanyalah seorang hamba… yang setia mengekori tuannya.

SEBAIK sahaja mereka berdua sampai di kediaman milik Tengku Rayyan, lelaki terus menghala ke koridor sayap kanan. Pintu sebuah bilik dikuaknya, dan tanpa drama dia menoleh sekilas.

“Bilik kau sini.” Nada datar. Sejuk macam lantai marmar.

Yasmeen jenguk dalam, luas, bersih, rapi. Bukan bilik utama, tapi cukup selesa untuk orang yang tak dijemput hati. Dia angguk kecil, melangkah masuk, mata menyapu sudut demi sudut. Berapa lama aku kena ‘parkir’ di zon buangan ni agaknya ya?

“Pakaian yang selayaknya untuk wife aku ada dalam almari,” tambah tengku Rayyan, tiba-tiba.

Langkah Yasmeen mati serta-merta. Dia pusing, mata mengecil.

“Oh? Maksudnya baju aku sekarang tak layak lah?” Tangan sudah bersilang di dada, kening terangkat, sassy mode: on.

Tengku Rayyan pandang tanpa riak. “Aku tak cakap macam tu pun. Tapi kalau kau terasa, elok jugak...”

“Kepala lutut kau la,” gumam Yasmeen cukup kuat untuk sampai. Dia menjeling almari, kemudian kembali memanah lelaki itu. “Kalau nak sindir, bagi memo awal. Biar aku gelak siap-siap.”

“Perasan. Ingat aku ni penganggur ke? Ada masa nak membahan kau?”

“Cakap elok sikit ya. Kau tu yang suruh bos aku pecat aku tadi. Pandai-pandai je guna kuasa veto suami nak buat aku hilang kerja, lepas tu nak perli-perli.”

“Perangai kau ni Yasmeen, macam cicak tahu tak? Masuk rumah orang memekak. Lama-lama buat taik la tu…” Tengku Rayyan tak beragak nak mencemuh depan-depan, tak ada lapik tak ada santun.

“Rayyan, kau tu–”

“Dah, aku tak nak dengar kau memekak lagi. Kalau tak, kau tidur dekat balkoni je!” Tengku Rayyan mematikan topik, berpaling dengan tenang menuju bilik utama, langkah panjang, aura CEO of Annoying.

Yasmeen mencedok pandang pada belakangnya yang makin hilang di koridor.

“Nama macam syurga, perangai macam dari neraka,” desisnya, separuh marah, separuh… letih menghadapi ego bangsawan.

“Ada ke dia samakan aku dengan cicak? Biadab!” Dia pusing semula ke bilik, menolak badan ke atas tilam, belum sempat tenggelam, telefon dalam beg berbunyi nyaring.

Dia capai, buka. Keningnya terus berkerut. Mesej satu baris, tajam macam pisau roti yang tak guna untuk roti pun.

[Jangan besar kepala. Bila Rachel balik, kau takkan jadi isteri lagi. Kau cuma pengganti.]

Yasmeen senyum nipis, senyum yang langsung tak mesra.

“Comelnya ugutan murah,” bisiknya. “Hantar lagi. Biar aku buat koleksi.”

Telefon dicampak ke tepi.

Yasmeen mendengus sinis. Mesej itu terasa seperti satu tamparan yang murah, tapi tetap cuba menyakitkan. Betapa yakinnya keluarga Rachel… konon Tengku Rayyan akan berlapang dada menerima anak mereka semula selepas dikhianati begitu sahaja?

Dia ketawa kecil, hambar. Andai mereka fikir maruah lelaki seperti Tengku Rayyan boleh dijual beli semudah itu, mereka silap besar. Luka yang ditinggalkan Rachel bukan sekadar parut kecil. Ia calar yang dalam, dan Yasmeen tahu, bukan senang untuk dipadam.

Pun begitu, Yasmeen sendiri tidak pernah meletakkan harapan pada pernikahan ini. Segalanya terlalu mendadak, terlalu dipaksa, tanpa cinta, tanpa pilihan. Tapi hatinya tetap hairan, apa benar mereka fikir Tengku Rayyan akan melupakan pengkhianatan hanya kerana Rachel muncul semula di pintu rumah?

Seketika, fikirannya melayang jauh… bukan pada Tengku Rayyan, bukan pada Rachel, tetapi pada lelaki yang pernah dia cintai dengan sepenuh jiwa. Suami pertamanya.

Suami yang hanya sempat dia panggil “abang” selama tiga hari.

Tiga hari, sebelum maut merenggutnya dengan kejam.

Kenangan itu menikam. Mereka pernah bercita-cita mahu berhijrah ke luar negara, memulakan hidup baru di bumi asing, membina masa depan yang penuh warna. Tetapi semua itu hancur dalam sekelip mata. Cuma angan-angan yang berkubur bersama jasad lelaki itu.

Dan sejak itu, Yasmeen sering dipandang serong. Label ‘pembawa sial’ digantung di lehernya tanpa belas.

Dia menghela nafas panjang. Adakah sejarah akan berulang? Adakah sekali lagi aku akan hilang lelaki yang aku sandarkan harapan, hanya kerana takdir tak pernah berpihak padaku?

DIAM-diam, Yasmeen menempah kenderaan e-hailing tanpa pengetahuan Tengku Rayyan. Dia bosan, dia mahu jalan-jalan ambil angin dan dia malas mahu fikir tentang suami baharunya buat masa sekarang…

Tapi…

TOK! Tok! Tok!

Ketukan di pintu membuat Yasmeen terhenti.

Dengan malas, dia bangkit lalu membuka pintu. Tengku Rayyan berdiri di situ, wajahnya masih dengan ekspresi datar yang menyebalkan.

“Ada apa?” soalnya, nada malas bercampur hairan.

“Telefon kau,” jawab Tengku Rayyan pendek.

Dahi Yasmeen berkerut. “Buat apa?”

“Telefon kau.” Kali ini suaranya lebih tegas, seperti arahan, bukan permintaan.

Yasmeen mencebik. Aneh betul manusia ni. Namun, daripada terus bertekak, dia capai telefon dari dalam beg dan hulurkan kepadanya.

Tengku Rayyan ambil tanpa riak. Jemarinya lincah menaip sesuatu di skrin sebelum mengembalikannya semula.

“Kalau ada apa-apa, hubungi aku terus,” katanya, ringkas.

Yasmeen melirik telefon itu. Kontak barunya sudah tersimpan, Tengku Rayyan. Dia hanya angguk kecil, malas mahu panjang-panjang.

“Aku nak keluar.”

“Pergi mana?” soal Yasmeen spontan, rasa ingin tahunya menolak keluar sebelum sempat ditapis.

“Ada urusan penting.”

“Aku boleh ikut? Duduk dalam kereta pun tak apa…” pinta Yasmeen, suaranya separuh mengharap. Dari pagi dia sudah bosan terkurung.

Tengku Rayyan menoleh, matanya dingin. “Aku tak suka urusan aku diganggu.”

Yasmeen muncungkan bibir, kedua-dua tangan bersilang di dada. “Jadi aku nak buat apa kat sini? Bosan tahu!”

Tengku Rayyan menjawab selamba, nadanya seolah mencabar. “Jadi pembantu saja di rumah ni. Pasal gaji, aku bayar lima kali ganda daripada gaji kau sekarang.”

Mata Yasmeen terbeliak. “Jadi… kau anggap aku pembantu rumah?” Nada suaranya meninggi, menahan marah yang mula mendidih.

Tengku Rayyan hanya angkat bahu, tenang. “Aku cuma bagi solusi. Biar kau tak bosan.”

Yasmeen mendecit, sakit hati. “Solusi kepala otak kau!”

Belum sempat dia sambung, Tengku Rayyan sudah bersuara lagi, tajam.

“Kau bebas nak buat apa pun dalam rumah ni. Tapi ingat…” dia berhenti sejenak, matanya menikam, “…jangan sesekali masuk bilik peribadi aku.”

“Tak ingin...”

DING!

Bunyi notifikasi daripada aplikasi e-hailing berbunyi, menandakan yang kereta Yasmeen tempah dah tiba. Dan itu serta-merta buat Tengku Rayyan tercengang.

“Kau pulak nak pergi mana?” soalnya, jelas kurang senang. Dia belum habis cakap pun lagi, Yasmeen tiba-tiba nak blah?

“Hmph! Tak payah tahu. Kau pun tak nak bawa aku, biar aku keluar sendiri je.” Yasmeen menjelir lidah sebelum melarikan diri ke pintu.

“Yasmeen, aku tak habis cakap dengan kau lagi. Yasmeen!!!” Tengku Rayyan cuba mara, nak menangkap Yasmeen.

Tapi wanita genit itu lebih laju mendesup keluar, buat rasa geramnya menggunung. “Jangan degil! Jangan sampai aku ikat kaki kau Yasmeen!”

Yasmeen buat tak tahu, sebaliknya terus melarikan diri ke pintu utama. Escape!

Pandai-pandailah nanti dia deal dengan mamat sombong tu kemudian…

“Tak guna…”

Di belakang, Tengku Rayyan masih mengejar. Entah kenapa dia kejar, walhal dia dah janji dengan diri sendiri yang dia tak nak ambil peduli dengan Yasmeen. Tapi sekarang ni lain pulak jadinya…

Yasmeen hampir melompat masuk ke dalam kenderaan yang ditempahnya. “Cepat encik, drive. Drive sebelum jerung tu sampai sini!”

Dan kenderaan itu mula bergerak, bersama Yasmeen yang menjelir pada Tengku Rayyan di tingkap kenderaan tersebut. “Bye, Mr. Jerung!”

Wajah Tengku Rayyan dan memerah macam tomato, geram. “Yasmeen!!! Jaga kau!”

Dan sepantas kilat, dia masuk kereta sendiri. “Kau nak main dengan aku ya? Sumpah, aku buat kau menyesal kalau aku dapat tangkap kau nanti. Tunggu…”

Enjin keretanya meraung. Bibirnya meleret senyum sinis.

“Yasmeen Medina, game starts!”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience