KERETANYA laju meluncur jalan raya pada jam 3.23 pagi. Kerja apa saja yang kena pergi ambil bos waktu malam begini?
Pemandu?
Dia lebih daripada pemandu.
Ingin saja dia abaikan panggilan telefon daripada pelayan bar di sana yang selalu melayani bosnya itu. Dasar anak manja, jauh daripada emak bapak. Macam nilah jadinya. Aku pun jauh daripada emak bapak tapi taklah macam ni.
Tak pakai bedung kut masa bayi.
Keluhan demi keluhan Maira lepaskan. Ya, dia tidak rela kerja lebih masa untuk malam ini. Dia tidak mahu turun dari katil pun tadi. Ini semua punca, punca Tuan Fahad mabuk kat kelab malam.
Brek keretanya ditarik. Dengan wajah tanpa rela dan wajah tebalkan mukanya dia masuk ke dalam kelab malam itu. Muzik yang macam nak pecah gegendang telinga dia abaikan matanya mencari wajah yang dia mahu tumbuk saja.
Tuan Fahad.
Muzik yang kuat itu membuatkan dia sesak nafas, bauan rokok dan alkohol benar-benar buat dia tidak selesa. Maira yang memakai hoodie berwarna oren dan menutup kepalanya juga berseluar jean.
Dari jauh seseorang memerhatikan Maira sambil menggeleng kasihan dengan gadis ini. Pemilik kelab malam SunnyZ, Mike.
“Maira!” laung Mike yang berdekatan di situ, namun harus memanggil dengan kuat.
Maira melangkah menuju ke arah Mike.
“Datang jugak ha dia.”
“Mana tenuk tu?” tanya Maira dengan geram. Lantaklah, kalau Mike nak bagitahu bosnya dengan gelaran yang diberikan ini.
Tergelak Mike dengan gelaran yang diberikan oleh Maira. Gadis ini saja yang langsung tidak terhibur dengan muzik di kelab malamnya dan langsung bekerja tanpa perasaan. “Ada kat dalam bilik biasa dialah. Ada orang nak hantar, tapi dia nak kau jemput jugak.”
Maira berdecit geram. “Ya, aku kan mak dia.”
Berdekat Mike dibuatnya dengan wajah cemberut Maira itu membuatkan Maira terlalu comel. “Bodohlah kau.”
“Tak pernah orang jadi pembantu peribadi macam ni tau. Cuti dah lama apply, tapi sibuk nak kacau. Padahal sign kontrak ada waktu kerja. Ni dah macam 24 jam,” rungut Maira kepada Mike.
Mike mengangguk faham. “Kau tu bukan takat P.A dia je, tapi dah macam penyelamat dia kalau dia ada masalah. Semuanya kau tolong selesaikan.”
“Oh, ya. Selain jadi mak dia, aku dah jadi superman untuk dia. Cuma tak pakai spender kat luar je ni,” jawab Maira bengang sambil melawak.
Terkekeh Mike dibuatnya. “Kau kalau merungut macam ni, mehlah kerja dekat sini. Banyak jawatan kosong.”
Maira menjeling. Terus je Maira menyuruh Mike menunjukkan jalan. Apabila sampai saja di depan bilik itu, pintu dibuka dan terus ada satu bauan yang tidak disukai oleh Maira. Kelihatan Tuan Fahad sudah terbaring di bawah sofa. Manakala, banyak botol minuman keras di atas meja.
“Bila minum ni memang jadi auto bodoh eh?” tanya Maira kepada Mike dengan perlian.
Mike hanya tergelak saja dengan apa yang dikatakan oleh Maira. Bila melihat keadaan Fahad sebegitu terus saja Mike memanggil dua orang lelaki pembantu di kelab malam untuk membantu Maira mengangkat Fahad.
“Don’t touch me, idiot. Aku nak Maira. Mana dia?” kata Fahad dengan marahnya.
Maira buat muka menyampah. “Saya kat sini. Tapi, saya takkan angkat bos. Biar dorang angkat.”
Tersenyum Fahad memandang Maira. “Hanya awak, Maira… Hanya awak je yang saya akan dengar cakap. Bukan orang lain.”
Mike dan Maira saling berpandangan.
“Sorrylah Maira. Ni pun side effect mabuk. Dia boleh jadi pemuisi lepas ni. Kau je yang boleh tolong dia tenang sikit.” Mike kenyitkan matanya.
Maira hanya mengangguk kecil. Walau berapa kali dia menghamun, mengeluh dan putus asa, dia sampai sudah terbiasa dengan semua ini. Lihatlah, dia boleh berkawan pula dengan Mike pemilik kelab malam di kota raya ini.
Maira mengambil barang-barang peribadi Fahad. “Bos, jom balik!”
Sampai saja di kereta, dua orang pembantu itu membaringkan Tuan Fahad di kerusi belakang.
“Mike, nanti aku suruh driver Tuan Fahad ambil kereta. Sorry sebab susahkan kau and thanks sebab tolong, “ ucap Maira dan terus masuk ke dalam kereta.
Mike mengangguk dan tersenyum. “Hati-hati drive. See you soon.”
Jelingan tajam diberikan kepada Mike dan terus saja Mike ketawa dengan kuat. Pasti wanita itu menyumpahnya tanpa henti dalam hati. Suka dia melihat gelagat Maira yang bersahaja dan perenggus itu.
Dari jauh MIke menghantar pandangan kereta yang dipandu oleh Maira itu meninggalkan kelab malamnya. “Maira, Maira… apalah nasib kau terjebak dengan Fahad tu.”
KEHENINGAN di dalam kereta betul-betul membuatkan malam itu terasa lebih sunyi. Namun, ada yang riuh iaitu dalam kepala dan hatinya yang sedang menyumpah Fahad. Matanya dilirikkan ke belakang dan dia melihat Fahad sedang bersandar lemah sambil terdengar dengkuran halus.
“Suka hati je call aku masa tengah cuti. Tuan Fahad ni fikir aku ni apa agaknya?” bebel Maira yang langsung tidak dapat menahan perasaannya.
“My… Maira…” Tiba-tiba kedengaran suara Fahad menyahut dengan memanggil nama Maira. Matanya masih terpejam.
“Ya, sayalah. Sayalah Maira yang menjadi sebut-sebutan di bibir Tuan Fahad. Walaupun sedang bercuti masih berlari terkejarkan Tuan Fahad,” dengus Maira tanpa memandang ke arah Tuan Fahad.
Tuan Fahad tersengih. “Kau je yang aku percaya, Maira.”
Share this novel