Panik melanda, dia segera menarik Kesha ke tepi. Mereka membongkok sedikit, berbisik dengan penuh terdesak.
“Kesha! Apa kau buat ni?! Kau dah hilang akal ke?”
“A… Aku… Aku geram dengan Rosa tu! Jadi aku balaslah, nak buat dia diam! Aku tak sengaja nak tarik lelaki tu, tapi badan aku ni macam tak boleh tahan. Geram sangat!”
“Kau ni… MALU lah aku! Kalau lelaki tu cakap dia tak kenal aku, lagilah Rosa gelak!” Amiza menekan kepalanya sendiri. “Ish! Aku nak minta maaf kat lelaki tu!”
Amiza segera berpaling dan melangkah ke arah lelaki itu untuk menjelaskan semuanya. Dia menarik nafas dalam, bersedia untuk meminta maaf.
“Err, ma–”
Tetapi sebelum sempat dia membuka mulut…
“Amiza, awak habis pukul berapa hari ni?”
‘Hah?!’
Amiza membeku.
Tiga saat…
Lima saat…
Sepuluh saat berlalu dalam kebingungan.
Matanya menatap lelaki itu, cuba mencari logik dalam situasi ini.
Lelaki itu memandangnya tenang. Seolah-olah ini perkara biasa. Seolah-olah dia memang kenal Amiza.
Dan kemudian lelaki itu bertanya lagi.
“Amiza? Saya tanya ni, awak habis pukul berapa?”
Amiza tersentak dari kejutan. “Ah… erm… Sa-satu. Pukul satu tengah hari…”
‘Kenapa aku jawab?!’
Lelaki itu mengangguk, melihat jam tangannya.
“Ada lagi setengah jam. Nanti dah siap, call saya. Saya ambil awak. Kita pergi lunch sama.”
“C-call?? Tapi…”
Amiza terkebil-kebil, tidak tahu apa yang sedang berlaku.
Dan lebih menakutkan… siapa lelaki ini sebenarnya?!
“Oh ya, tadi ada kawan saya nak tempah 500 biji cupcake untuk birthday party anak dia.”
Lelaki itu berkata dengan nada tenang sambil menghulurkan sekeping kertas kecil kepada Amiza. “Ini nombor telefon dia. Nanti awak call dia, ya?”
Amiza membeku.
‘500 biji cupcake?!’
Mulutnya ternganga sekali lagi, otaknya cuba memahami situasi yang baru sahaja berlaku. ‘Apa lelaki ni buat? Apa dia cakap? APA JADI NI?!’
“Amiza?” Suara lelaki itu kembali menariknya ke dunia nyata. “Awak dengar tak?”
“Aa… ya… s-saya dengar…” Suaranya tergagap tanpa sedar.
Lelaki itu tersenyum. Senyuman yang terlalu santai untuk keadaan yang semerbak dengan kejutan ini. “Baik, saya balik ofis dulu. Nanti dah siap semua, call saya, ya?”
Dan dengan itu, dia berpaling dan berjalan pergi.
Meninggalkan Amiza, Kesha, Rosa, dan rakan-rakannya terpaku di tempat masing-masing.
Hampir seminit tiada siapa yang bersuara.
Mata Rosa masih terkebil-kebil, manakala kawan-kawannya kelihatan seperti baru disergah hantu.
Akhirnya, Kesha berdehem, memecah kebisuan.
“Ha! Kan aku dah cakap! Tu lah dia teman lelaki Amiza, merangkap tunang dia. Kau tak percaya lagi?”
Rosa menelan air liur. Mukanya sukar untuk digambarkan, antara terkejut, geram, dan mungkin sedikit cemburu.
“Haha, bukan kau cakap nak buka baju ke tadi?” sindir Kesha lagi, mengingatkan Rosa pada cabarannya sendiri.
Rosa menjeling tajam. “Huh! Aku tak percaya seratus peratus lagi. Tapi…” Dia merapatkan muka ke arah Amiza, mata mencurigakan. “Aku akan siasat benda ni.”
Tapi sebelum Amiza sempat berkata apa-apa, rakan-rakan Rosa sudah menariknya pergi ke meja mereka.
Hanya selepas Rosa benar-benar beredar, Amiza melepaskan nafas yang entah bila ditahannya.
Dia berpaling seratus peratus kepada Kesha.
“KESHA! APA KAU DAH BUAT NI?!”
Kesha tersenyum selamba. “Buat apa? Aku dah selamatkan kau, kan?”
“SELAMATKAN APA?!” Amiza menekan suara, takut-takut Rosa masih mendengar. “SIAPA LELAKI TU?!”
“Entah. Mana aku tahu.” Kesha mengangkat bahu. “Aku nampak dia keluar tandas tadi. Nampak hensem, dengan baju kot lagi. Aku tangkap jelah.”
Amiza menekup mukanya. ‘Ya Allah. Tolonglah.’
“Tapi aku tak sangka pulak dia pun ikut ‘berlakon’ sekali,” sambung Kesha dengan nada kagum. “Baik betul dia, kan?”
Amiza menjatuhkan tangannya dengan penuh kecewa. “Baik kepala hotak kau! Mana kau tahu dia baik? Mana tahu dia ni orang jahat! Nak ambil kesempatan dekat perempuan macam kita ni!”
Kesha menjulingkan matanya. “Ish kau ni, tak baik buruk sangka. Kau tengoklah baju dia pakai tu. Smart je, pakai kot lagi. Orang jahat mana ada pakai baju smart macam tu.”
“KESHA! ORANG JAHAT SEMUA PAKAI BAJU MACAM TU LA!”
“Hah?” Kesha terpinga. “Mana kau tahu?”
“Dalam movie James Bond! Semua orang jahat pakai baju kot, kemas, smart macam tu!”
Kesha tergelak besar. “Hahahaha! Kau ni tengok sangat movie macam tu lah! Ish, aku yakin dia bukan orang jahat.”
Amiza hanya mampu menatap Kesha dengan ekspresi kosong.
Tidak sangka autanya kali ini telah menarik seorang pelakon lelaki tambahan ke dalam dramanya.
“Miza, nanti kau call lah dia.”
“Hah? Call apa pulak?” Amiza menatap Kesha dengan muka tak percaya. “Aku mana ada nombor dia!”
Kesha menjeling sebelum dengan selamba menarik sekeping kertas kecil dari tangan Amiza dan melambainya di depan muka sahabatnya itu.
“Ni ha, nombor telefon dia.”
Amiza terkebil-kebil. “T-tapi… tadi dia cakap ni nombor kawan dia…”
Kesha mengeluh panjang, seolah-olah tidak percaya betapa perlahan pemahaman Amiza kali ini. “Aduh… slownya kawan aku ni. Mana taknya si Rosa tu suka buli kau.” Dia mengetuk perlahan kepala Amiza dengan kertas itu. “Ini nombor dia. Dia saja je kata nombor telefon kawan dia.”
“...Hah?” Amiza masih dalam keadaan keliru. Otaknya belum dapat memproses apa yang Kesha cuba sampaikan.
Kesha menghela nafas panjang, sabar sudah mula menipis.
“Miza.” Dia meletakkan kedua-dua tangannya pada bahu Amiza, memandangnya dengan serius. “Kau percaya je cakap aku. Ini nombor telefon dia. Nanti pukul satu, kau call dia. Dia ajak kau makan tu.”
Amiza menelan air liur.
“A… Kesha! Kenapa pulak aku nak pergi makan dengan dia?”
Kesha menjulingkan mata, geram dengan soalan Amiza yang bagi dia sepatutnya dah ada jawapan.
“Habis tu? Takkan aku pulak?” Dia bersilang tangan di dada. “Dia panggil kau, kan? Lagipun, kalau kau jumpa dia, bolehlah kau cakap terima kasih sebab dah ‘selamatkan’ kau tadi.”
Senyuman nakal mula terukir di wajah Kesha sebelum dia mengenyit mata ke arah Amiza.
Amiza terdiam.
Melihat nombor telefon di tangannya, hati kecilnya mula rasa tak tentu arah.
Siapa sebenarnya lelaki itu?
Dan kenapa dia ‘bermain’ dalam drama gila ni seolah-olah dia memang watak utama yang sebenar?
Share this novel