Bab 5

Romance Series 59840

LIMA hari berlalu. Rizal berkeliaran di kawasan bandar. Lelaki itu mempamerkan riak wajah yang keresahan. Berkali-kali dia cuba menghubungi ibu dan ayahnya namun masih gagal. Rizal sudah hampir gila memikirkan keadaan dirinya. Wang yang diberikan oleh bapanya sebelum ini sudah kehabisan. Kini dia sudah tidak mempunyai wang untuk mendapatkan makanan. Walaupun sudah diberi peringatan oleh Tan Sri Hanafi sebelum ini mengenai wang belanjanya, namun Rizal masih sukar untuk mengawal dirinya daripada boros. Sebagai seorang anak yang membesar dalam keadaan mewah dan suka membazir, sikap pemboros seakan sudah melekat di jiwanya. Padahal Rizal sudah meyakini dirinya sudah pun berjimat cermat berbanding kebiasaannya, namun wang yang diberikan oleh bapanya sebelum ini tetap tidak mencukupi.

Hakikatnya, walaupun sudah tidak mengunjungi kelab malam dan berfoya-foya, namun Rizal masih mendapatkan makanan untuk dirinya di restoran mewah. Malah dia juga turut berbelanja membeli barangan yang tidak penting untuk menghiasi kediamannya. Anak orang kaya itu jelas masih gagal untuk menguruskan kewangannya dengan betul, mengikut kemampuan.

"Pa.. jawab la telefon tu!" Rizal mengeluh buat sekian kalinya apabila panggilan telefon masih tidak dijawab oleh bapanya.

"Huh, mati kebulur la aku kalau macam ni.. tak guna punya orang tua." Rizal merungut. Dia kemudian cuba menghubungi kekasihnya, Juana. Namun tetap juga gagal. Tidak ingin menyerah, Rizal cuba pula untuk mengubungi teman-temannya. Mereka semua anak orang kaya. Pasti akan ada yang akan menolongnya dan memberikan Rizal wang untuk dipinjam. Rizal berjaya menghubungi teman-temannya. Namun dia hampa apabila tiada seorang pun yang sudi membantunya. Masing-masing dari sahabatnya memberikan pelbagai alasan untuk mengelak daripada membantu Rizal.

"Tak guna punya member! masa aku susah macam ni, sorang pun tak boleh nak tolong! Padahal bukannya korang takde duit! Celaka!" Rizal mula menyumpah seranah dan memaki para sahabatnya. Padahal selama ini mereka berteman baik. Namun kini tiada seorang pun yang sudi untuk membantunya.

Rizal membuka dompetnya. Wangnya masih tersisa lebih kurang 100 ringgit. Mungkin itu hanya cukup sekadar untuk dia makan sekali sahaja lagi. Selama ini, dia tidak pernah memiliki wang sedikit seperti itu di dalam dompetnya. Malah sebelum ini, dia juga memiliki beberapa kad kredit yang diberikan oleh ayahnya. Namun semua kadnya itu semuanya sudah ditarik semula oleh bapanya itu. Kini dia hanya memiliki sekeping kad bank yang juga berfungsi sebagai kad debit. Namun wang di dalam akaun banknya itu sudah habis dikeluarkan oleh Rizal sebelum ini.

Perut Rizal mula berkeroncong. Pada hari tersebut, dia belum menjamah sebarang makanan lagi. Fikirnya, kali ini dia benar-benar perlu berjimat cermat. Namun dengan jumlah wang yang dimilikinya sekarang, entah bagaimana dia dapat bertahan hidup untuk tiga minggu lagi sebelum dia menerima gaji. Rizal mulai menyesal. Kini dia mula meyakini, bapanya sangat serius ketika berkata mengenai wang sara hidupnya. Tiada lagi wang sehingga dia menerima gaji daripada pekerjaannya sendiri.  Padahal dia turut berencana untuk meminjam wang daripada teman-temannya terlebih dahulu. Namun sekarang dia sedar, teman-temannya selama ini hanya akan hadir ketika dia senang dan dilimpahi wang. Sekarang, ketika dia sedang terpuruk dalam kesempitan, tiada seorang pun daripada teman-temannya yang sanggup membantu. Padahal mereka semua adalah orang berada dan kaya raya.

Lelaki itu kembali merayau di sekitar pekan. Dia mula berkira-kira untuk masuk ke restoran bagi mengisi perutnya yang kelaparan. Kadang-kala, dia melihat juga ke arah gerai di tepi jalan yang menyajikan pelbagai jenis makanan. Rizal teragak-agak untuk membeli makanan dari gerai ditepi jalan. Walaupun harga makanan yang ditawarkan sangat murah, namun Rizal merasa jijik untuk makan dari gerai jalanan kerana menganggap gerai jualan sebegitu sangat kotor dan tidak terjamin tahap kebersihannya. Sepanjang hayatnya, dia sama sekali tidak pernah mendapatkan makanan dari gerai atau warung kecil di tepi jalan. Kini lelaki tersebut masih menahan laparnya sambil memegang perut. Di hadapannya terdapat sebuah kedai yang menjual barangan basah dan keperluan, namun langsung tidak diendahkan oleh Rizal. Seketika kemudian, seorang gadis keluar daripada kedai tersebut sambil membimbit beg plastik yang sarat berisi bahan mentah untuk memasak.

"Eh, Rizal.. awak buat apa kat sini?" Amira menyapa. Rizal sedikit terperanjat dengan sapaan tersebut lantas berpaling ke arah belakang.

"Ah, Mira.. saya.. takde buat apa.. saja ronda-ronda, nak tahu pasal pekan ni.. saya masih tak biasa dengan pekan ni." Rizal segera menjawab.

"Awak bukan asal dari sini?" Amira mula ingin tahu.

"Oh, bukan.. saya asal KL.. baru je datang sini minggu lepas.. sebab kena kerja la. Awak pulak buat apa kat sini?"

'Hmm, pelik.. datang sini jauh-jauh dari KL, semata-mata nak kerja jadi cleaner? Takkan kat KL tu dah takde kerja cleaner yang kosong?' Amira bermonolog di dalam hatinya. Dia mula merasa aneh dengan penghijrahan Rizal ke sana. Namun sedetik kemudian, gadis itu segera membuang prasangka yang bermain di dalam fikirannya. Dia sama sekali tidak ingin mendidik dirinya menjadi terbiasa dengan sikap buruk tersebut. Bersangka-sangka terhadap orang lain adalah perbuatan terkutuk.

"Emm, saya datang kedai ni cari barang dapur sikit.. masak sendiri je buat makan. Dapat berjimat sikit dari duk makan kat kedai." Amira menjawab pertanyaan Rizal kepadanya sambil menunjukkan beg plastik yang berada di genggaman tangannya.

"Oh.." Rizal hanya mengangguk mendengar jawapan daripada Amira.

"Eh, awak sakit perut ke? dari tadi saya tengok awak duk pegang perut tu.."Amira menyedari tingkah laku Rizal yang terlihat aneh.

"Tak..bukan sakit perut.. sebenarnya saya tak makan apa-apa lagi hari ni.." Rizal menjawab dengan jujur.

"Laa.. dah pukul berapa ni? sampai sekarang masih tak makan lagi.."

"Saya.. takde duit.." Rizal tidak malu untuk berterus terang. Dia sendiri tidak tahu entah kenapa dia harus berkata jujur terhadap gadis di depannya itu. Padahal dia baru sahaja bertemu gadis itu beberapa kali. Itu pun terhad hanya di pejabat sahaja memandangkan mereka bekerja di syarikat yang sama walaupun berbeza bidang pekerjaan. Rizal bingung. Sedangkan selama ini dia sama sekali malu untuk mengatakan jika dia tidak mempunyai wang. Ayat tersebut tidak pernah muncul dalam kamus hidupnya selama ini. Mendengar jawapan Rizal, Amira terdiam sejenak. Dia mula merasa kasihan terhadap lelaki yang menjadi perantau di tempat asing itu.

'Hmm.. tak pelik la kalau dia takde duit.. dia datang merantau dari jauh.. dah la baru mula kerja.. kerja pun sebagai cleaner je..' getus hati Amira. Gadis itu kemudian memandang ke arah sebuah warung makan yang tidak jauh dari tempat mereka berdiri.

"Dah, jom la kita makan kat warung tu dulu.. saya belanja awak.." Amira yang bersimpati cuba untuk menolong. Namun Rizal pula tiba-tiba terpinga-pinga.

"Hah, makan kat warung tu? Rizal ragu-ragu untuk menerima ajakan Amira. Namun apabila memikirkan perutnya yang sudah rancak berkeroncong, dia sudah tidak mampu untuk terus bertahan. Mahu atau tidak, dia terpaksa mengikuti Amira yang sudah bergerak menuju ke arah warung yang dimaksudkan.

'Makanan kuli macam tu dia ajak aku makan? tempat orang miskin..  dah la tempat kotor.. jual harga murah tu, mesti tak sedap, tak berkhasiat..' Rizal mengomel di dalam hatinya. Dia masih tidak sedar jika dirinya sekarang juga sudah menjadi orang miskin bertaraf kuli sebagaimana yang dia rendahkan.

Setelah tiba di warung, Amira segera membuat pesanan. Rizal hanya berdiam diri dan hanya menuruti apa sahaja pesanan yang dibuat oleh Amira kepada pekerja di warung makan tersebut. Tidak lama menunggu, pesanan mereka pun tiba. Nasi putih berlaukkan ayam goreng berserta kari ikan. Menu yang ringkas namun terlihat menggiurkan. Amira segera membaca doa sebelum menyuapkan makanan ke mulutnya. Namun Rizal pula masih terdiam kaku, tidak menjamah makanan yang terhidang di depannya.

"Kenapa tak makan lagi? cubalah.. warung ni famous tau kat sini.. kari ikan dia memang surr.." Amira mempelawa. Namun Rizal masih teragak-agak untuk menyentuh makanan. Matanya masih melilau ke sekeliling arah dan melihat kebersihan di warung yang terlihat usang itu.

"Selamat ke makan makanan kat sini? Entah-entah sakit perut pulak lepas ni.." Rizal masih tidak mampu membuang tanggapan buruknya terhadap warung jalanan walaupun lauk pauk di hadapannya sudah membuatkan dirinya kecur liur.

"Saya dah bertahun duk makan kat warung ni.. elok je sampai sekarang.. belum ada lagi kes yang saya dengar, orang sakit perut ke apa lepas makan kat sini.. cubalah makan dulu.." Amira berusaha meyakini lelaki di hadapannya itu. Rizal yang sudah hampir kebuluran tiada pilihan. Jari Jemarinya mula menggaul nasi yang sudah dicucuri dengan kuah kari di depan matanya itu. Setelah melakukan suapan pertama ke mulutnya, Rizal langsung terbeliak.

"Wah, sedapnya.." Rizal mula makan dengan gelojoh. Dia langsung tidak menyangka akan merasai makanan selazat itu di tepi jalan. Bahkan selama berkunjung ke restoran mewah selama ini, dia belum pernah merasakan makanan yang lazat seperti itu. Amira hanya tersenyum melihat Rizal mengunyah makanannya dengan penuh selera. Hanya dalam beberapa minit, Rizal sudah pun menghabiskan nasi di pinggannya. Lelaki itu benar-benar kelaparan, apatah lagi makanan yang disajikan begitu memikat seleranya.

"Boleh tambah tak?" Rizal tersengih. Dia belum puas menikmati hidangan yang lazat itu.

"Tambah la.. takpe, hari ni saya belanja.. Haa.. dah ketagihkan? kan saya dah cakap, nasi kat warung ni sedap.." Amira tertawa kecil melihat tingkah laku Rizal. Gadis itu kemudian memanggil pekerja di warung tersebut untuk meminta nasi tambah.

"Tak sangka kedai buruk macam ni, tapi makanan dia sedap betul." Rizal bersuara perlahan.

"Ish, tak baik cakap macam tu.. sebab tu jangan nilai sesuatu tu dari luaran.. orang putih cakap, don't judge the book by its cover. kalau orang india cakap, anne inne poringge.yallaa.." Amira sengaja ingin bercanda. Namun Rizal pula tercengang.

"Awak pandai cakap tamil ke?" Rizal ingin tahu.

"Mana la saya tahu.. saya cakap main bedal je.." Amira tertawa. Rizal yang merasa dirinya sudah tertipu dengan gurauan Amira turut tersenyum lebar sambil menggelengkan kepala.

Tiba-tiba terdetik di hati Rizal. Ini adalah kali pertama dia merasa senang sejak dia berpetualang, menjejakkan kaki ke sana. Dia menatap Amira yang duduk berhadapan dengannya di meja makan. Gadis itu tak kalah cantiknya. Senyumannya sangat manis dan menawan. Malah yang paling menyenangkan, gadis itu sangat baik hati.

Dia bahkan baru sahaja mengenali Rizal. Namun sikapnya yang ceria dan suka membantu membuatkan Rizal tersentuh.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience