Bab 4 - Little incident

Romance Series 29011

‘I takkan pecat you, malah, I offer untuk, naikkan pangkat you sebagai isteri I. What do you say?’

MATA Diane membulat sempurna, begitu besar sehingga hampir terasa bola matanya mahu terkeluar dari soket. Nafasnya terhenti di tengah dada. Dunia seolah berhenti berputar untuk memberi ruang kepada keterkejutan itu.

Apa yang baru dia dengar… mustahil.

Tidak. Tidak mungkin.

Dalam hati Diane menjerit. Wajah tenang lelaki itu, yang selama ini kelihatan begitu berdisiplin dan luhur, kini tampak seperti topeng. Topeng yang menutupi sesuatu yang jauh lebih gelap, jauh lebih berbahaya daripada yang pernah dia bayangkan.

Dia kelihatan suci, tapi hatinya… busuk.

Diane menelan liur, tubuhnya kaku.

Aku tak sangka dia sekejam ni. Hanya kerana satu salah faham kecil… dia sanggup gunakan situasi ni untuk menekan aku?

TANPA diundang, bayangan-bayangan lama terlintas di kepala. Pandangan Syed Arrasy yang selalu mengekori dari jauh, kehadirannya di parkir setiap kali dia pulang lewat, tatapan dingin yang tak pernah dijawab dengan kata-kata.

Dan sekarang… dia memaksa perkahwinan?

Ya Tuhan.
Jantung Diane berdegup kencang, bagai mahu memecahkan dada.

Jangan-jangan… dia memang rancang semua ni? Dari mula?

Tangan Diane menggigil di pangkuan, matanya tak berani lagi memandang lelaki itu.
Dia tunduk, seolah-olah menyorok daripada pandangan yang tajam dan penuh kuasa itu. Suara hatinya bersimpang-siur, panik bercampur jijik, ketakutan bercampur amarah.

Namun bibirnya terkunci. Dia tak mampu bersuara. Tak mampu berbuat apa-apa.

Kerana setiap inci ruang itu terasa dikuasai oleh aura lelaki di hadapannya, dan kata ‘kahwin’ yang baru keluar dari mulut Syed Arrasy terus bergema dalam kepalanya seperti mantra jahat.

Menikahinya?

Tidak.

Tidak mungkin.

Hell. No!

KRIIING… Kriiing…

Bunyi deringan telefon tiba-tiba memecah kesunyian yang menjerut leher Diane sejak tadi. Jantungnya yang sedari tadi berdentum kini terhenti sejenak, deringan itu seperti cahaya dari langit bagi jiwa yang hampir rebah.

Syed Arrasy menghela nafas perlahan, mengeluarkan telefon mahal dari poket sutnya. “Ya, Mama,” suaranya lembut kali ini, nada yang jauh berbeza daripada dingin mengancam yang Diane dengar sebentar tadi.

Lelaki itu bangun dan melangkah ke arah dinding kaca luas, curtain wall yang menampakkan panorama kota di bawah. Cahaya pagi memantul di permukaan kaca, menyorot bayang tubuhnya yang tinggi dan tegap. Sekilas, pemandangan itu boleh saja tampak menenangkan… kalau bukan kerana lelaki itu sebenarnya iblis berwajah malaikat.

Diane menelan liur kasar.

Matanya berkelip dua kali, jantungnya kembali berdegup, tapi kali ini dengan harapan kecil yang baru muncul.

Ini peluang aku!

Dengan gerak perlahan, dia mula bangun dari sofa. Kakinya berjinjit, langkahnya selembut kucing yang mencuri ayam jiran.

Dia bergerak pelan-pelan ke arah pintu.
Satu langkah.
Dua langkah.
Syed Arrasy masih berbicara di telefon, membelakanginya sepenuhnya.

Ya Allah, tolonglah aku kali ni… hanya sekali ni je aku minta bantuan.

Diane menahan nafas, tangannya hampir menyentuh tombol pintu.

Dan tiba-tiba…

“Miss Diane.”

Suara itu. Rendah, dalam, dan tepat di belakangnya.

Diane kaku. Perlahan dia berpaling, dan ya, lelaki itu kini sudah menghadapnya. Pandangannya tajam, menusuk seperti pisau yang baru diangkat dari api.

“Hehehe…” Diane ketawa kecil, jelas ketawa orang yang sudah tak tahu nak hidup atau mati. “Err… izin keluar dulu ya, Tuan. Nak… eh, nak cari udara segar. Bye bye!”

Dan tanpa sempat berfikir, Diane terus berpusing dan lari.

Kasut tumit tingginya mengetuk lantai marmar seperti deruman gendang perang. Nafasnya tercungap-cungap, rambutnya terurai sedikit, tapi dia tak peduli. Yang penting: keluar. Dari. Situ. Sekarang.

Namun langkahnya baru beberapa meter.

“Diane!”

Suara lelaki itu mengaum, diikuti langkah cepat menghentam lantai.

Dia menoleh sedikit, dan hampir menjerit. Syed Arrasy bergerak terlalu cepat, jauh lebih pantas daripada yang logik. Lelaki itu seperti bayang yang mengekori tanpa suara.

Diane cuba melajukan langkah, hampir terjatuh, dan dapat merasakan hembusan angin di belakang pinggangnya, tanda tangan lelaki itu sudah hampir mencecahnya.

Tapi nasib menyebelahi Diane kali ini.

BAM!

Pintu ditarik dan dibanting kuat, hampir mengenai muka Syed Arrasy yang cuma selangkah di belakangnya.

Diane sendiri terkejut dengan kekuatannya, tapi dia tak berhenti untuk memikirkannya. Dia terus berlari, kasutnya hampir terlucut, namun dia tak menoleh lagi.

DALAM beberapa saat, hanya tinggal gema langkahnya yang hilang di koridor.

Syed Arrasy berdiri di depan pintu, bahunya naik turun perlahan. Tangan kanannya menggenggam erat hingga buku jarinya memutih, rahangnya mengetap.

Wajahnya tidak menunjukkan kemarahan yang biasa, sebaliknya sesuatu yang jauh lebih berbahaya.

Dia menunduk sedikit, suara rendahnya bergema di ruang pejabat itu.

“Kau fikir kau boleh lari daripada aku…”

“ISH… beginilah nasib aku agaknya.”

Diane mengeluh panjang, berjalan lesu di kaki lima sambil menendang batu kecil yang malang melantun ke tepi jalan. Langkahnya perlahan, bahunya jatuh, dan wajahnya jelas menunjukkan trauma daripada apa yang baru berlaku di pejabat tadi.

Selepas adegan kejar-mengejar yang memalukan itu, Diane langsung melarikan diri dari bangunan syarikat tanpa toleh ke belakang.

Kalau dia kena pecat sebab ponteng hari ni pun bagus. Biarlah. Sekurang-kurangnya dia tak perlu lagi berdepan dengan lelaki gila bernama Syed Arrasy Irfan.

Lelaki tu, my God...

Dia bukan sekadar misteri, dia seperti lautan dalam yang menyembunyikan ribuan makhluk mengerikan di dasarnya. Dari luar nampak tenang, tapi sekali kau terjatuh, habislah kau ditarik arusnya sampai tak jumpa darat.

“Kenapa entah Mr. Boss beria nak kahwin dengan aku?” rungut Diane separuh berbisik sambil memegang dagu. “Aku bukan cantik pun. Orang kata muka aku biasa-biasa… malah ada yang terus terang kata aku ni jenis yang susah nak naik rating kalau masuk drama.”

Dia berhenti di tepi jalan, memandang refleksi dirinya di kaca kedai.

“Badan aku…” Dia memerhati dari atas ke bawah, keningnya berkerut. Tanpa segan, dia menepuk perlahan bahagian belakang tubuhnya. “Hmm… ok lah kot. Tak ada yang rosak. Tapi bukanlah sampai tahap body goals pun.”

Dia mengerut lagi.
“Atau… jangan-jangan sebab ni?” Dia menepuk lagi, lebih perlahan kali ini lalu mendesah.

“Eh tapi, Puan Leya tu jauh lagi padat dari aku. Kalau nak ikut logik, dalam ofis tu ramai je yang lebih montok. Kenapa aku juga yang jadi mangsa pilihan hati?”

Mulutnya tak berhenti membebel, seperti sedang bertengkar dengan takdir sendiri.

Ketika pandangannya menangkap papan tanda mini market, matanya bersinar kecil. “Ah, hausnya… minum dulu lah. Mungkin teh ais boleh tolong tenangkan otak yang dah separuh terbakar ni.”

SELEPAS membeli minuman, Diane melangkah keluar dari mini market dengan sebotol teh ais di tangan. Dia duduk di bangku panjang di hadapan kedai, menarik nafas panjang dan meneguk minuman itu perlahan-lahan.

Ais di dalam botol berbunyi halus, menyejukkan sedikit dada yang masih sesak. Tapi fikirannya? Tetap kusut.

Kenapa entah Tuan Syed Arrasy tu nak sangat kahwin dengan aku?

Apa dia tak ada kerja lain? Atau dia memang suka seksa hidup orang?

Diane mengeluh kecil, menunduk. Namun sejurus kemudian matanya tertarik pada sesuatu yang berkilat di seberang jalan.

Sebuah kereta hitam mewah baru sahaja berhenti di hadapan mini market itu. Catnya berkilau seperti kaca, refleksi langit petang meluncur lembut di atas permukaannya.

“Ya ampun… cantiknya.” Diane bersuara kecil, matanya membulat penuh minat. “Siapa pun pemilik kereta tu, semoga dia jodoh aku. Amin. Tapi tolonglah, pastikan dia bujang, kaya, dan belum ada tunang.”

Dia ketawa kecil sendiri. Hidungnya terangkat sedikit, langkahnya ringan bila dia menghampiri kereta itu.

Kereta pun dah tampan. Pasti tuannya pun segak. Tak mungkin kereta sekacak ni dipandu lelaki biasa.

Diane kini berdiri di sisi kereta, dan tanpa segan, dia menunduk sedikit, memerhati refleksi dirinya di permukaan pintu yang berkilat seperti cermin.

“Hmm…” bibirnya terangkat ke senyum kecil. “Aku ni boleh tahan jugak, sebenarnya. Bahagian depan ok, pinggang masih ada bentuk… err…” Dia berpusing sedikit, menjeling dari sudut lain. “Hah. Daging-daging pun elok tersusun. Tak adalah teruk sangat.”

Dia ketawa kecil, mengangkat bahu. “Hehe… aku ni seksi juga rupanya. Cuma tak ada orang yang nampak potensi.”

Kemudian dia terdiam seketika, memerhati wajahnya sendiri.

“Eh, tapi bibir aku ni pucatnya. Patutlah nampak lesu macam spesis sayur seminggu tak disiram.”

Tangannya segera menyelongkar beg tangan dengan penuh gaya panik kecil. “Mana lipstik aku, mana…”

Beberapa saat kemudian dia mengeluarkan sebatang lipstik merah. “Ha, ni dia. Penyelamat maruah wanita.”

Dia menyapu lipstik itu perlahan. Selepas itu, dia mencebik ke arah refleksi di kaca kereta.

“Muahhh~” katanya sambil melayangkan ciuman udara pada refleksi sendiri. “Masih tak cukup merah,” tambahnya, lalu menyapu sekali lagi.

Dia tersenyum puas, sehinggalah tiba-tiba bunyi mekanikal halus kedengaran.

Klik.

Kaca tingkap kereta itu perlahan-lahan menurun.

Dan di sebalik cermin gelap yang kini terbuka separuh, muncul wajah Syed Arrasy Irfan.

Doa aku tadi, nak minta cancel boleh?

Aku tarik balik, aku tarik balik! Aku tak nak jodoh dengan dia! Jauhkan aku daripada lelaki tu, ya Allah!

Pipi Diane sudah merah padam, bukan kerana marah, tapi kerana malu yang membakar sampai ke ubun-ubun.

Dia masih terasa hangatnya pipi sendiri, bayangan refleksinya di pintu kereta, gaya dia flying kiss tadi… oh tidak, dia mahu lenyap terus dari muka bumi.

Diane menelan liur dengan susah payah, matanya bergerak cepat mencari jalan keluar. Lari. Sekarang. Sebelum dia buka mulut.

DAN tanpa fikir panjang, Diane berpaling, melangkah pantas menjauh dari situ, berharap angin petang boleh sembunyikan kehinaannya sebentar.

Tapi dia lupa satu perkara.

Lelaki itu bukan jenis yang mudah dilepasi.

Belum sempat dia menjarakkan diri sepenuhnya, tangan dingin dan kuat itu tiba-tiba menyambar pergelangan tangannya.

Cukup kuat.

Satu sentapan kasar menariknya ke belakang. Tubuh Diane terhentak ringan sebelum terayun ke hadapan, momentum itu membuatnya terdorong terus ke arah Syed Arrasy.

“Aaah…!”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience