ALYA IMAN duduk termenung di sudut bilik, dikelilingi oleh dinding kosong yang terasa seperti kanvas emosi.
Wajahnya keruh, seolah-olah tenggelam dalam lautan memori yang bercampur-aduk. Dalam fikirannya, potongan-potongan gambar seperti filem yang terputus-putus bermain.
Satu senyuman samar, desiran angin dan suara tawa yang sayup. Namun setiap kali dia cuba menggenggam memori itu, ia berubah menjadi bayang-bayang yang kabur.
"Adakah ini nyata? Atau hanya fantasi yang aku ciptakan sendiri?" bisiknya perlahan, nadanya terputus-putus antara keliru dan cemas.
Kadang-kadang, memori itu terasa hidup. Warnanya terang, bunyinya jelas tapi di lain waktu, ia seolah-olah hanya bayangan palsu yang direka oleh fikirannya sendiri.
Gambaran yang paling mengganggunya ialah tangan seseorang yang hampir menyentuh pipinya, namun wajah pemiliknya kekal kabur seperti cermin berembun.
Dia menggenggam erat tangannya sendiri, cuba membezakan antara ingatan dan ilusi tetapi realiti semakin sukar ditentukan. Dunia di sekelilingnya terasa samar, seperti mimpinya sudah mencuri ruang dalam dunia nyata.
"Kalau ini palsu, kenapa rasanya benar?"
Alya Iman menutup matanya rapat, cuba menyusun semula kepingan-kepingan ingatan yang berterabur. Namun semakin dia cuba, semakin kusut fikirannya.
Seolah-olah ada satu suara halus dalam kepalanya yang berbisik...
"Jangan percaya semua yang kau ingat."
Bayangan lelaki itu muncul lagi. Kali ini lebih jelas, dengan senyuman yang menenangkan. Wajahnya seperti seseorang yang dikenali tetapi namanya kekal di hujung lidah Alya Iman dan tak terjangkau.
Dia cuba mengingati suara lelaki itu, kata-katanya tapi semuanya kabur seperti langit mendung yang menanti ribut.
Perasaan dingin merayap di tengkuknya. Alya Iman membuka mata, menghadap pantulan dirinya di cermin di hadapan.
Wajahnya kelihatan asing, meskipun dia tahu itu dirinya. Tapi… adakah dia benar-benar dirinya?
Atau sesuatu berubah dan dia gagal menyedarinya?
"Alya, kau pasti ini ingatan?" Dia terdengar suaranya sendiri, bergema di bilik yang sunyi.
Sejenak, dia rasa seperti sedang berbicara dengan seseorang yang lain. Jiwanya terpecah kepada dua, satu yang percaya kepada ingatan dan satu lagi yang meragui semuanya.
Cuba mencari kehangatan di pantulan dingin. Mata di seberang cermin kelihatan tajam, memandang balik kepadanya dengan pandangan yang tidak lagi dia kenal.
Dia terdengar bisikan lain, kali ini bukan dari dalam fikirannya. Bisikan itu lembut, hampir seperti rahsia yang disampaikan.
"Kau tahu apa yang sebenarnya berlaku, Alya. Jangan cuba melupakan aku."
Alya terkejut, darahnya berderau. Dia berpaling ke sekeliling bilik tapi tiada sesiapa. Sekali lagi, perasaan itu datang antara realiti dan imaginasi, antara kenangan dan rekaan.
"Siapa aku cuba tipu?" tanyanya perlahan.
"Aku sendiri atau semua orang?"
Namun tiada jawapan. Yang tinggal hanyalah kesunyian yang berbisik lebih banyak persoalan.
Alya Iman duduk kaku di tengah bilik kecil itu, tubuhnya terbungkus rapi dalam straightjacket putih yang ketat.
Tali-tali yang menjalar di belakangnya terasa seperti ular yang memerangkapnya dalam keheningan.
Hanya tubuhnya mampu bergerak menggeliat kecil, menggeserkan bahu ke kiri dan kanan namun tanpa tangannya bebas, pergerakan itu tidak membawa apa-apa makna.
Kepalanya terkulai sedikit ke depan tetapi mata meliar dan gelisah, tidak pernah berhenti menjelajah bilik itu.
Cermin besar di dinding memantulkan bayangan dirinya namun pantulan itu bukanlah miliknya.
Dia dapat melihatnya. Dia terlalu yakin ada wajah yang asing. Senyuman yang bengis, mata lelaki itu di sebalik cermin.
"Kau tak boleh lari," suara itu bergema dari dalam fikirannya, tajam dan penuh ejekan.
Alya Iman menggeliat, cuba melarikan tubuhnya dari sesuatu yang tidak dapat disentuh. Nafasnya kencang namun apa pun dia lakukan, suara itu semakin kuat, menguasai ruang fikirannya.
Dia cuba menenangkan dirinya. Memejamkan mata dengan harapan suara itu akan lenyap, tetapi gambaran lelaki itu muncul di belakang kelopak matanya.
Senyumannya semakin lebar. Matanya menikam ke dalam jiwanya seperti pisau.
"Kau tahu apa yang berlaku, Alya. Kau hanya perlu ingat."
"Tidak!" Alya Iman menjerit, tubuhnya bergoncang kuat hingga menumbuk lututnya ke lantai.
Air mata mengalir di pipi. Kepalanya terhentak perlahan ke dinding berspan putih, seolah-olah cuba memaksa ingatan itu keluar dari kepalanya.
Dia menggeliat lebih kuat, mencari kebebasan yang mustahil.
Dia terdengar bunyi langkah kaki di luar pintu. Ia berhenti betul-betul di depan biliknya. Pintu besi itu tidak terbuka tetapi dia tahu, ada seseorang di sana atau mungkin bukan seseorang.
Dia cuba bersandar, mengangkat kepala sedikit untuk menumpukan perhatian dan tiba-tiba, dia melihat bayangan lelaki itu di bawah celah pintu.
"Kau hanya perlu buka pintu itu, Alya. Kita boleh mulakan semula," bisik suara itu, lembut tetapi menusuk.
Alya Iman menggigil, tubuhnya kaku dalam ketakutan.
Tetapi bagaimana dia mahu membuka pintu?
Tangannya terikat dan tubuhnya sendiri tidak lagi berada dalam kawalannya. Cuma satu perkara yang pasti, lelaki itu masih di situ menunggunya.
Dan walau pintu itu kekal tertutup, dia tahu lelaki itu takkan pernah pergi.
Alya Iman bernafas semakin berat. Dadanya turun naik tetapi tidak ada yang dapat dia lakukan, selain menggerakkan tubuhnya perlahan-lahan.
Suara lelaki itu terus berbisik di kepalanya semakin kuat, semakin jelas. Kata-katanya memutar semula memori yang tidak diingini, menghidupkan kembali rasa sakit yang dia cuba lupakan.
"Aku tahu kau masih ingat, Alya. Kau tak boleh sembunyi selama-lamanya."
Dia memejamkan matanya, cuba mengusir suara itu, tetapi sebaliknya dia melihat sesuatu atau lebih kepada sebuah ruang yang gelap dan lembap, penuh dengan bayangan yang bergerak-gerak.
Dalam ruang itu, ada seorang wanita. Wanita itu terbaring di lantai, tubuhnya berlumuran darah. Tangannya memegang sesuatu, sebuah pisau. Tetapi wajah wanita itu…
Itu wajahnya sendiri.
"Tidak!" Alya Iman menjerit lagi, tubuhnya menggoncang kuat dalam straightjacket hampir terjatuh ke sisi.
Namun bayangan itu terus menghantui. Dia melihat dirinya yang lain di dalam visinya, berdiri di sudut bilik sambil memegang pisau yang berlumuran darah. Mata wanita itu menatapnya tajam, penuh dengan kebencian.
"Kau tahu apa yang kau lakukan, Alya," suara itu kini datang dari bayangannya sendiri, yang tiba-tiba tersenyum bengis.
"Aku hanya ingatan. Tapi kau… kau adalah pelaku."
Alya Iman menggeliat lagi, tubuhnya berusaha melepaskan diri dari ikatan yang terasa semakin menekan.
"Itu bukan aku! Aku tak buat apa-apa! Aku tak ingat!" Tetapi bayangan itu hanya ketawa kecil, suaranya penuh ejekan.
Kemudian, bunyi kunci pintu berbunyi. Alya Iman terdiam. Tubuh kaku dan kepala perlahan-lahan berpaling ke arah pintu besi itu.
Ia terbuka sedikit, menampakkan cahaya lampu koridor yang suram. Seorang lelaki melangkah masuk, bayangannya panjang di lantai bilik yang kecil itu.
Dia tidak dapat melihat wajah lelaki itu dengan jelas pada mulanya tetapi langkahnya penuh keyakinan, seperti seseorang yang sudah lama mengenalinya.
Lelaki itu berhenti di hadapan Alya Iman, memandangnya dengan tenang.
"Kita jumpa lagi," katanya, suaranya cukup rendah tetapi cukup untuk membuat darah Alya Iman membeku. Itulah suara dalam fikirannya.
Lelaki itu menunduk sedikit, wajah kini cukup dekat untuk Alya Iman mengenalinya. Wajah lelaki dalam cermin.
Dia tersenyum kecil dan Alya Iman hanya mampu memandang, tubuhnya beku dalam ketakutan.
"Aku tak akan biarkan kau lupakan aku, Alya," kata lelaki itu perlahan, nada suaranya seperti racun yang meresap ke dalam tubuhnya.
Dia berlutut di hadapan Alya, matanya tajam menikam.
"Kerana aku adalah kau. Dan kau adalah aku."
Alya Iman menggigil hebat, nafasnya tersekat. Tidak. Itu tidak mungkin. Tapi setiap kata lelaki itu menusuk seperti kebenaran yang selama ini dia cuba lupakan.
Memori berdarah itu… suara-suara itu… semuanya miliknya.
Dan untuk pertama kalinya, dia mula merasakan kebenaran yang paling menakutkan, dia mungkin bukan mangsa dalam cerita ini. Dia adalah pemangsa.
Share this novel