BAB 3

Action Series 2151

PETANG sudah berarak senja. Angin yang datang dari bendang hanya membawa bau tanah panas. Tudung lusuh Leha terbuai perlahan, seiring jantungnya yang mula berdegup laju.

Bila kereta hitam besar berhenti depan rumah papan buruk mereka, Leha sudah dapat meneka. Degup hatinya makin tak keruan. Dari cermin dia nampak Tok Penghulu Baharom turun perlahan, kain pelikatnya dipegang supaya tak tersangkut. Kumis tebalnya tersenyum lebih dulu sebelum bibir.

“Assalamualaikum, Leha," laungnya dengan kuat. Ceria kemain mukanya bila dah tiba depan rumah pujaan hati.Leha terus bangkit dari anak tangga.

“Waalaikumussalam, Tok. Jemputlah naik..." Leha bersuara lemah biarpun dicuba juga untuk bertenang.

Tok Penghulu Baharom melangkah perlahan naik ke pangkin, lalu duduk. Wajahnya kelihatan penat sikit tapi matanya tak pernah penat merenung dalam rumah mahu lihat sosok pujaan. Sesekali dia tepuk pahanya, seakan mahu mengatur kata.

“Leha... aku ni tak pandai nak sembunyi-sembunyi. Aku terus-terang. Aku datang ni pasal Hana," ujarnya straight to the point.

Leha hanya diam. Kepalanya tunduk, tangan meramas hujung kain baju.
Tok Penghulu segak itu, bersandar di tiang beranda. Anak matanya tak lepas dari merenung wajah sayu Leha.

“Leha... aku tahu Hana tu muda. Cantik. Memang ramai yang jeling. Tapi kau pun tahu hidup kau dua beranak macam mana, kan? Rumah hampir nak roboh, makan pun tak menentu. Aku ni, Leha... memang dah lama pendam perasaan pada anak kamu tu, dari dia masih sekolah. Aku ni memang ikhlas nak ambik Hana untuk dibuat bini.”

Leha masih diam tapi pandang lama muka yang masih segak bersongkok senget itu. Dadanya naik turun laju. Dia tahu, Tok Penghulu Baharom bukan lelaki bujang. Bukan jua duda tapi seorang suami beristeri tiga.

“Kau jangan takut pasal bini-bini aku. Tiga-tiga tu dah duduk rumah masing-masing, anak pun ramai. Aku ni sunyi, nak cari teman. Kau dengan Hana boleh tinggal rumah aku. Hidup senang, tak payah fikir Tauke Lok lagi," ulas Tok Penghulu Baharom lagi sambil main-main hujung misai A. Galak nya itu.
Leha angkat muka. Matanya mula berkaca.

“Tok... saya takut nanti Hana tak bahagia. Dia baru nak rasa hidup, baru nak berdiri sendiri. Lagipun... Tok dah ada tiga orang isteri...” tepis Leha cuba menolak. Walau semalam dia fikir lain tapi mengenangkan lelaki depan dia ini ada tiga perempuan, buatkan dia terpaksa berfikir semula. Ini tentang masa depan anak tunggalnya itu, Raihana.

Tok Penghulu Baharom tarik nafas panjang. Dia dengan selamba terus pegang tangan Leha yang sedang bersilang di riba. Leha tersentak serta laju mendongak.

“Leha... aku janji aku akan adil. Hana takkan susah. Aku akan bagi rumah lain, kau boleh tinggal sekali. Tak payah duduk rumah buruk ni lagi. Pasal bini-bini aku, tak payah risau. Diorang semua faham hukum. Aku dah cakap elok-elok," ujar Tok Penghulu berusia 50 an tapi masih tampak muda itu.

Leha mula menggigit bibir bawah.

“Tapi Tok... kalau dia taknak? Leha belum bincang sungguh-sungguh lagi ni, sebenarnya..." jawab wanita lewat empat puluhan itu pula. Gusar.

Tok Penghulu Baharom mengusap-usap belakang tangan Leha perlahan untuk tenangkan hati wanita itu sebelum Leha angkat tinggi. Tok Penghulu Baharom tersengih.

“Aku ni lelaki. Dah lama hidup. Aku tau cara nak lembutkan hati perempuan. Pelan-pelan nanti dia sayang juga. Yang penting sekarang kau setuju dulu, kau bagi aku masuk meminang. Lepas tu kita tengok macam mana. Kalau dia dengan aku, sekurang-kurangnya maruah dia terjaga, halal.”

Leha tunduk lagi, air matanya jatuh menitik atas kain. Dalam hati dia bergelut antara nak selamatkan anak dari cengkaman lelaki jahat macam Tauke Lok atau takut Raihana terpenjara dalam rumahtangga yang penuh persaingan. Isteri keempat. Bagaimana nanti anaknya mahu hidup?

“Aku janji Leha... aku akan jaga kau dua beranak. Sampai mati.”

Leha telan air liur payau. Dalam benaknya ligat berputar wajah Raihana. Wajah yang dia lahirkan. Dan dibesarkan penuh susah. Tiba-tiba, dia juga terbayangkan muka miang Tauke Lok dengan tatapan liar dan janji nerakanya.
Dia pejam mata.

“ Tok... beri saya sehari dua. Ini pasal masa depan anak saya.”

Tok Penghulu tersenyum dan anggukkan kepalanya. Jauh dalam hati, dia berharap Leha tak tolak peminangan dia nanti.

“Baiklah. Fikir elok-elok. Aku tak nak paksa. Tapi aku tau kau akan pilih jalan yang paling selamat untuk Hana. Bukan untuk aku untuk dia," ujarnya tak berapa nak ikhlas kerana dia tetap mahukan Raihana.

'Tuhan, inikah saja jalan selamat untuk anak aku?' Hati bertanya. Leha dah tak tahu nak buat apa lagi. Siapa saja nak sanggup bantu mereka orang miskin kecuali bantu dengan pulangan.

***


Sel penjara itu bukan saja sempit pada ruang tapi sempit juga pada nafas. Dinihari begini, lampu lorong luar pun berkelip-kelip malas.

Paan duduk bersila, menghadap dinding kelabu yang retak-retak.
Bibirnya bergerak perlahan, mengalunkan kalimah-kalimah yang tertera dalam mushaf kecil di tangan.

Dengan kulitnya yang sudah keras macam papan lama, saksi betapa hidupnya dulu jauh dari suci.

Bunyi dengkuran sahabat sel sebelah tak menjejas khusyuknya. Malah jeritan ngigau banduan di hujung lorong pun tak mampu mencuri hatinya malam itu. Dia masih tunduk, dahi hampir cecah lutut menahan sendu yang menolak-nolak dari rongga dada.

“Ya Allah… kalau Kau nak jemput aku dalam tembok ini pun, aku pasrah. Asal jangan Kau jemput masa hati aku masih hitam. Kau tahu siapa aku… Kau tahu betapa jijiknya aku...”

Paan dongak perlahan. Sandar belakangnya pada dinding, rasa sejuk batu itu meresap terus ke tulang. Dia pejam mata rapat-rapat tapi gelap itu bukan kosong gelap itu penuh dengan bayang.

Satu persatu wajah muncul.
Ada bibir merah berkilat, tawa manja meleret dan suara halus mengelus telinganya.

“Paan… jangan balik lagi lah, tidur sini. I tak puas lagi…”

Terkadang muncul pula lampu merah biru kelip-kelip, gelas kaca dengan cecair jahanam tumpah atas peha putih.

Paan tergelak perlahan, sinis serta menggeleng pada jahilnya dia. Dia ingat bagaimana jarinya menari-nari atas kulit mulus, bagaimana lengannya menggenggam pinggang ramping.

“Cheers, sayang… malam panjang lagi…” Suara tawa itu merayap naik ke telinga, mencuit nafsu yang entah sudah berapa lama dibunuh di sini.

Paan tunduk semula, telapak tangan naik gosok muka yang rasa panas tiba-tiba.

“Astaghfirullah… dulu aku hidup macam binatang. Berkejar dosa, tak sempat fikir mati…”

Dia tarik nafas panjang, dada kembang seketika sebelum mengempis perlahan. Matanya terbuka semula, menatap dinding kelabu yang tak pernah beri jawapan.

Hari itu senyap luar biasa. Lorong sel hanya berbunyi kunci berderit. Tak ada jeritan banduan lain, tak ada pegawai menengking. Pelik.

Tiba-tiba, pintu selnya terbuka perlahan. Dua pegawai penjara berdiri di situ, seorang yang berpangkat lebih tinggi menahan nafas sejenak sebelum membuka mulut.

“Erfan Naem bin Salim?”

“Ya, saya…” suara Paan tersekat. Dah lama orang tak panggil nama penuh dia.

Pegawai itu menoleh fail biru, kemudian pandang tepat ke mata Paan banduan sel akhir itu.

“Lembaga Pengampunan Negeri dah buat keputusan. Sultan berkenan ringankan hukuman kau. Kau akan dibebaskan dalam masa seminggu… setelah selesaikan prosedur.”

Paan jegilkan matanya. Sungguh sukar untuk dia mempercayainya sebelum kelam-kabut melakukan sujud syukur.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience