TIBA masanya Alisa berdiri di hadapan dapur kecil Warung Mi Kari Terangkat Mak Yam dengan wajah penuh ketakutan. Semua bahan yang disediakan Mak Yam tersusun di hadapannya seakan mengejek dirinya yang langsung tidak pernah jejak masuk ke dalam dapur warung maknya.
Dengan keyakinan palsu, Alisa mengacau periuk itu sambil tersenyum bangga. “Ah, mesti sedap punya ni. Bau dah okay dah.”
Pelanggan mula memenuhi warung setelah tutup beberapa hari, masing-masing teruja dan tak sabar nak menikmati mi kari terkenal Mak Yam. Awalnya ramai juga terkejut melihat Alisa yang membuka warung tersebut dan mereka semuanya pakat memuji Alisa yang rajin dan baik hati sanggup ganti Mak Yam meniaga.
Namun, sebaik sahaja mereka mula merasa, wajah pelanggan bertukar pelik. Mereka saling berpandangan tapi tiada yang berani berkata-kata secara terang-terangan.
“Err... Mi kari hari ni rasa unik ya, Lisa,” komen Kak Jah iaitu salah seorang pelanggan tetap dengan suara lembut tetapi ekspresi muka yang sangat jelas menahan rasa terseksa menelan kuah mi kari tersebut.
“Unik tu pujian kan, Kak Jah?” Alisa tersengih tanpa menyedari kepincangan resepinya.
Belum sempat Kak Jah menjawab, seorang lelaki yang sangat dikenali Alisa muncul di pintu warung. Senyuman sinis itu masih jelas di wajahnya, membuatkan hati Alisa mendidih.
“Oh, cik bandar. Baru sehari buka warung dah nak buat pelanggan semua kena cirit-birit, ke?” sindir Kaisar sambil mengambil tempat duduk.
Alisa mengecilkan matanya. "You lagi?"
“Haa, kenapa dengan aku? Kau nak banned aku masuk warung ni ke? Aku regular customer Mak Yam tau. Halau la, nanti aku report kat Mak Yam,” balas Kaisar bersahaja.
Alisa menggenggam dulang yang dipegang dengan geram. Tak mungkin Kaisar yang dimaksudkan oleh mak dia? Kalau ya, memang Alisa takkan biarkan Kaisar dengan mudah cari pasal dengannya.
“Aku nak mi kari semangkuk.” Kaisar buat pesanan dan bila nampak Alisa masih tercegat, terus dia bersuara lagi dan macam biasa, setiap kali Kaisar buka mulut pasti hati Alisa mendidih kemarahan seperti kuah mi kari yang tengah mendidih panas di dapur.
“Cepatlah, aku nak rasa mi kari air tangan cik bandar ni."
Dengan geram, Alisa terus ke dapur dan sediakan semangkuk mi kari lalu hantar di hadapan Kaisar. Lelaki itu mencicip sedikit kuah dengan ekspresi penuh curiga.
“Kau nak buat orang kampung kena darah tinggi ke?” provok Kaisar.
“You cakap apa? Berani you complain mi kari Mak Yam? Lidah you tu yang pelik.”
Kaisar ketawa sinis. “Kau tertumpah garam sebalang ke?”
Alisa terdiam kemudian menelan liur. “Err… terlebih masin ke?” tanya Alisa dengan teragak-agak sebab tadi dia pun tak sedar letak berapa banyak garam akibat kelam kabut bila semua pelanggan muncul serentak sampai dia tak sempat rasa.
Mana taknya, Alisa tukang masak, dia juga tukang ambil pesanan. Tambah lagi sudah berapa hari warung tak buka jadi pelanggan datang serbu macam sebulan tak makan mi kari mak dia. Mana Alisa tak gelabah kalau warung sudah penuh dengan pelanggan tapi dia masih terkial-kial kat dapur. Macam mana mak dia urus selama ini berseorangan?
Kaisar menggeleng kepala sambil tersenyum mengejek, “Aduh, inilah susahnya kalau drama queen masuk dapur.”
"You ni datang nak makan ke nak kritik? Kalau nak kritik, keluar je lah!" Alisa hilang sabar, menuding senduk ke arah Kaisar.
Kaisar tersenyum nakal, "Kalau aku keluar, customer lain pun ikut. Mi kari kau ni buat klinik KK penuh nanti orang beratur ambil ubat darah tinggi.”
Alisa mengeluh kuat. Baru dia nak bersyukur tak buat dapur warung mak dia terbakar tapi lain pula jadi.
Pelanggan-pelanggan lain mula ketawa kecil, menyedari wajah Alisa yang kelihatan sangat serabut. Bukan ada antara mereka tidak kenal Alisa yang pastinya terpaksa menggantikan Mak Yam meniaga.
"Relakslah cik bandar, aku boleh ajar kalau kau nak. Tapi ada syaratnya..." Kaisar sengaja mengusik.
"Apa dia?" Alisa tanya dengan curiga. Bukan niat dia nak minta tolong dari lelaki itu tapi sengaja bagi peluang pada Kaisar untuk terus sakitkan hatinya.
"Kena cakap dulu macam ni. Abang Kaisar yang handsome lagi baik hati, tolong ajar saya masak,” ujar Kaisar sambil tersengih-sengih.
Seronok betul Kaisar dapat mengusik anak dara tunggal Mak Yam seorang ini.
"In your dreams!" Laju Alisa balas.
Kaisar ketawa lagi sambil menikmati wajah merah padam Alisa yang sedang menahan marah.
"Tak apalah, aku bagi peluang kedua. Esok aku datang lagi. Make sure tak tertumpah gula pulak tau," kata Kaisar sebelum bangun dan beredar meninggalkan warung.
Alisa memandang kosong ke arah Kaisar yang sudah keluar. Hatinya mendidih dengan perasaan marah, geram, tetapi peliknya, dia juga tertanya-tanya apakah Kaisar serius dengan tawarannya tadi.
“Nak bagi mamat tu tolong aku? Darah tinggi aku yang naik nanti!” ujar Alisa perlahan.
Kak Jah yang mendengar terus beri semangat pada Alisa.
“Tak apa, Lisa. Hari pertama biasalah. Jangan risau, esok kitorang datang try lagi.”
Alisa tahan malu dan serba salah depan semua pelanggan lalu bersuara dengan lemah.
“Hmm, hari ni punya tak payah bayar. Saya belanja je tapi dengan syarat jangan serik datang warung ni makan mi kari lagi. Saya jamin takkan tertumpah garam ke gula ke.”
Kak Jah menepuk bahu Alisa sampai terkejut Alisa. “Bagus! Jangan putus asa. Kitorang tetap datang support asalkan tak payah bayar kalau kau tak sedap,” ujar Kak Jah sambil ketawa kecil diikuti gelak tawa pelanggan lain.
Alisa buat-buat tersenyum tapi dalam hati dah maki sebakul. ‘Tak guna! Hari pertama dah buat rugi!’
“Ni, Lisa. “Sekali lagi Kak Jah menepuk bahu Alisa. “Kau jangan ambil hati dengan budak Kaisar tu. Dia tu penyeri kampung kita. Kalau dia tak singgah warung mak kau setiap hari, kurang semangkuk mi kari mak kau habis.”
“Setiap hari ke dia datang makan mi kari?” tanya Alisa ingin tahu.
Kak Jah angguk. “Kaisar tu pelanggan tetap Mak Yam. Nasib dia tak main Tik Tok je kalau tak, warung mak kau ni bukan setakat famous dalam kampung je. Mahu jadi viral satu Perak.”
Dalam hati Alisa berbisik, ‘Kenapalah pelanggan tetap mak kena jadi manusia annoying macam si Kaisar tu?’
Alisa menarik nafas panjang. Kalau hari ini sudah cukup mencabar, dia tidak sanggup membayangkan bagaimana pula dengan hari-hari mendatang terutama dengan kehadiran Kaisar yang pasti akan terus menyakitkan hati.
Alisa merenung ke luar, fikirannya bercelaru. Sambil itu, dia membuat janji pada diri sendiri yang dia tidak akan membiarkan lelaki itu menang dengan mudah. Esok, Kaisar akan tahu betapa hebatnya seorang Alisa yang sebenar.
Share this novel