Rumah sewa Sufian sempit, panas, dan takde water heater. Tapi housemate dia, Danial, relaks je.
Danial ni pelik sikit—bila mandi, dia tak pernah guna baldi yang memang dah ada di bilik mandi. Dia akan bawa baldi sendiri, baldi buruk kaler kelabu luntur, yang berlubang kat tepi-tepi, yang dia selalu berkeras nak guna jugak.
“Baldi ni sentimental,” kata Danial semasa Sufian bertanya pasal kenapa kau pakai baldi buruk tu?
“Arwah tok aku punya. Dulu dia guna buat rendam kaki jenazah.”
Sufian gelak-gelak. Ingatkan Danial saja mahu bergurau. Tapi malam tu, tiba-tiba je dia terdengar bunyi pelik…
“Plup… plup… plup…”
Macam air menitik, tapi berirama, macam degupan jantung. Bila dia intai bilik air, Danial tengah mandi—tapi air tak keluar dari shower. Air tu keluar dari dalam baldi tu. Sendiri. Macam ada paip dalam baldi tu.
°°°°°
Esoknya, lantai bilik air ada kesan air hitam berlendir, tapi Sufian tak peduli.
“Biasalah… sisa."
Tapi Sufian mula perasan something...
Baju Danial makin lusuh, kulit makin pucat, mata dia makin ke dalam.
Tapi baldi tu—makin bersih. Macam disental pada setiap malam.
°°°°°
Suatu malam, tiba-tiba je blackout. Masa tu lah Sufian terdengar bunyi seretan bahan plastik dari dalam rumah.
"Krkk… krkkk… plup."
Dia buka torchlight phone dia. Tak nampak sesiapa. Tapi dalam bilik air, baldi tu berada kat tengah lantai. Penuh air. Tapi dalam air tu, ada bayang muka.
Bukan muka Sufian. Tapi muka perempuan tua. Matanya terbalik. Mulutnya pula terkoyak sehingga ke telinga.
°°°°°
Sufian terus campak baldi tu keluar rumah. Tapi esok pagi, baldi tu berada di atas katil dia. Dan ada nota tulisan tangan atas dinding, dengan air hitam:
“Kau dah tengok… sekarang kau kena jaga giliran.”
Sufian baran. Terus saja dia mencari Danial. Sewaktu itu, dia melihat Danial sedang duduk di meja belajarnya. Kepala tunduk. Khusyuk betul, Sufian tak jadi nak marah.
"Jangan letak baldi buruk kau tu atas katil aku..."
°°°°°
Danial hilang esoknya. Baldi tu kekal kat rumah. Bau hanyir tak hilang.
Dan malam-malam, Sufian mula mendengar suara dari dalam baldi tu. Suara bisikan, macam suara perempuan nyanyi sedang menyanyikan lagu lama.
“Basuh aku… rendam aku… dan kau akan ingat semula siapa kau sebenarnya…”
°°°°°
Sekarang?
Sufian dah tak keluar rumah.
Dia mandi 5 kali sehari. Dan bila orang tanya kenapa air rumah takde pun dia okay je, Sufian hanya tersenyum.
"Ni baldi arwah tok aku punya, sentimental."
°°°°°
Share this novel