BAB 1

Action Series 2151

WARUNG kayu usang itu bagaikan menunggu masa menyembah bumi. Dinding papan sudah banyak renggang. Atap zink berkarat kalau hujan bunyinya macam orang menabuh gendang.

Di situ jugalah Raihana mencari rezeki sejak usia belasan tahun. Bancuh teh tarik buih tinggi, goreng cucur sampai rangup selain layan pelanggan yang datang membawa cerita sama.

Tengah hari itu, panas membahang. Peluh menitis dari tengkuk Raihana namun dada terasa makin sesak. Dari tadi, dia perasan dua tiga motosikal mundar-mandir di jalan hadapan. Enjin sengaja diderum, penunggang pula sengaja melempar senyum sinis setiap kali memandangnya.

Dia mengelap meja perlahan cuba tidak menunjukkan resah. Namun hati sudah tidak keruan.

“Mak, motor mereka datang lagi,” bisiknya, sebaik Leha melangkah keluar membawa bakul berisi pinggan.

Leha hanya menjeling, wajah makin jelas dimamah usia. Kerut di dahi dalam, pandangan kosong.

“Sabar, Hana. Banyakkan doa. Jangan dilayan benda-benda begitu," ujar Leha sedangkan dia juga resah. Resah bila ingat keinginan Tauke Lok pada anaknya. Raihana menggigit bibir, menahan gelisah.

“Kalau mereka naik tangan macam mana, mak? Hana takut…” sahut Raihana bersama wajah hampir berjelaganya itu. Leha diam lama. Sapu peluh di pipi dengan hujung tudung lusuh.

“Kalau tak kerana warung ini, dah lama ajak kau pindah. Tapi mana kita nak pergi, Hana? Ini saja tinggal lepas arwah bapa tiri kau habiskan segalanya…” ulas Leha, kesal.

Hati Raihana makin memberat bila nama itu disebut. Arwah bapa tiri tinggalkan hutang keliling pinggang hingga warung buruk ini hampir kena lelong. Nasib baik Tauke Lok konon ‘baik hati’, lunaskan sedikit hutang, kata mahu tolong. Namun bila bapa tiri meninggal, hutang itu beralih pada mereka. Dan itulah modal Tauke Lok sekarang.

Belum sempat Raihana membalas, enjin motor tiba-tiba mati betul-betul di hadapan warung. Seorang lelaki berjaket kulit turun perlahan, buka topi keledar. Senyum senget terukir bila mata bertemu Raihana.

“Hana… Tauke tanya, bila nak lunas janji? Hutang arwah bapa tiri kau bukan kecik anak tau. Pasar borong dia banyak bayar. Takkan kau nak buat tak reti?”

Raihana menggenggam kain lap di tangan sampai sendinya putih.

“Hutang kami akan bayar, sikit-sikit. Tapi bukan dengan cara kau suruh," sahut Leha pandang muka pemuda itu. Lelaki itu ketawa kecil, pandang dua rakannya yang masih atas motor.

“Jangan keras kepala, Hana. Tauke mahu kau, bukan duit. Mudah. Kau ikut dia baik-baik, hutang habis. Hidup kau dua beranak pun senang," ujar Azhar tak pandang Leha langsung tapi tubuh Raihana.

“Sudahlah, Azhar. Pergi balik cakap sama Tauke. Kami orang susah, jangan ditekan-tekan," ujar Leha jadi wakil si anak. Raihana tetap jadi patung. Azhar mendengus, meludah ke tanah.

“Kalau tak mahu. Jangan menyesal," sahut Azhar tanpa rasa malu ambil karipap setelah cuit pipi Raihana tanpa sempat gadis itu tepis.

Krap! Dikunyah-kunyahnya sebelum press strottle balik. Enjin berderuman. Asap apatah lagi. Bunyi deruman enjin makin menjauh tapi amaran masih terngiang.

Raihana menahan nafas, tangan Leha sudah erat memeluk pinggangnya.

“Mak tak akan biarkan kau jadi galang ganti hutang. Biarlah kita susah macam ini sampai mati," nekad si ibu tua itu lagi lantas memeluk Raihana.

“Mak, Hana tahu Tauke Lok takkan berdiam, kan? Kalau dia tak dapat cara baik, dia akan cari jalan kotor juga. Hana takut...”

Leha menghela nafas panjang kemudian memegang pipi Raihana erat-erat.

“Apa pun jadi, kita jangan serah diri, Hana. Kita cari Tuhan. Biar susah, biar hina di mata orang, asal jangan kita gadai maruah.”

***

“Aku cakap betul ni, Leha,” suara Mak Nab meninggi sedikit. Tangan dia laju mengipas wajah dengan tudung.

“Anak kau tu elok aje kahwin dengan Tok Penghulu. Walau berumur sikit tapi dia tu, senang. Duit berkoyan. Hidup dengan dia kau tu tak payah nak risau, makan pakai si Raihana, tu.”

Mak Timah cepat-cepat menambah, nada separuh berbisik tapi sengaja mahu didengar.

“Daripada duduk tunggu budak-budak motor tu buat onar lagi. Hari tu aku nampak orang Tauke Lok datang ronda rumah kau. Seram aku.”

Leha tunduk, cuba sembunyikan wajah yang merah padam.

“Biar dia tentukan sendiri... Jangan ditekan.”

Mak Jah mengerut kening, menjuih bibir.

“Ish, kau ni Leha.. kau nak tunggu apa lagi? Esok lusa kalau jadi benda tak elok, siapa susah? Kau jugak. Orang kampung ni pun bukan semua boleh tutup mulut.”

Seorang lagi, Mak Bedah, menepuk pahanya kuat.

“Haa, tu lah dia. Bukan kita nak jaga tepi kain orang tapi kita sayang kau, Leha. Sayang Hana tu. Dah lah cantik, jangan jadi cerita dalam surat khabar pulak.”

Leha hanya mampu tersenyum pahit.

“Insya-Allah, kami usaha sendiri dulu. Kalau dah tak terdaya... baru fikir," jawab Leha sedaya-upaya maniskan mukanya.

Suasana seketika jadi sepi, hanya bunyi burung balik sarang berkicau di hujung pokok namun dalam hati Leha, kata-kata mereka menikam dalam. Malam nanti pasti dia susah tidur, mengenang sejauh mana lagi mereka harus bertahan sebelum benar-benar jatuh tersungkur.

Raihana berdiri di belakang dinding dapur yang separuh reput, telinga menangkap jelas segala butir percakapan makcik-makcik bawang di halaman. Nama dia disebut berulang-ulang, setiap kali sebutan itu menusuk macam duri halus, pedih tapi tak berdarah.

Dia genggam cawan kaca hingga jemari rasa kebas. Dalam hati sempat berbisik sendiri.

'Mudah sungguh mulut orang. Hidup mereka tak susah macam hidup aku...'

Dia tarik nafas dalam-dalam, paksa kaki melangkah. Sirap merah dalam jag hampir tumpah sebab tangannya terketar-ketar.

Setibanya di halaman, dia tunduk sedikit, hulurkan dulang.

“Mak Nab, Mak Timah... minum sikit. Panas betul petang ni," ujar Raihana bermanis muka. Leha pandangnya, dia tahu Raihana dengar semuanya.

Mak Nab cepat-cepat ambil gelas, pandang Raihana atas bawah sebelum senyum senget.

“Cantik sungguh budak ni. Sayang kalau tak bertuan. Kalau Tok Penghulu ambil buat bini, aman hidup kau, Hana.”

Mak Timah pula mengerling, ketawa kecil.

“Ha, Leha... untunglah dapat besan orang berduit. Boleh ubah nasib.” Dia pula menambah. Raihana paksa bibir ukir senyum, padahal dada berombak macam nak pecah.

“Hana minta diri dulu... banyak kerja kat dalam.”

Dia cepat-cepat angkat dulang, melangkah masuk semula ke rumah. Sewaktu pintu kayu ditolak, air matanya jatuh juga. Terlalu berat beban yang terpaksa dipikul.

Kalau boleh, dia mahu lari jauh tapi ke mana? Hutang arwah bapa tiri mengejar, geng Tauke Lok memburu, mulut orang kampung pula tak pernah letih berbisik.

Dan malam nanti, entah apa lagi yang menunggu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience