Bab 46

Romance Series 59840

DUA hari berlalu. Amira masih merayau-rayau di sekitar kota tanpa arah tujuan. Dia sendiri kebingungan. Niatnya, dia ingin pulang ke kampung halaman dan hidup bersama ibu dan neneknya. Namun jangankan untuk mencari cara pulang, bahkan untuk mendapatkan sesuap makanan pun dia sangat kesulitan. Dirinya kini hanya sehelai sepinggang, berlegar-legar di kota metropolitan. Disebabkan terlalu lapar dan risaukan keadaan janin dalam kandungannya, wanita itu bahkan sanggup mengutip sisa makanan dari tong sampah untuk mengalas perutnya. Hidupnya kini tak ubah seperti orang gila yang bergelandangan. Di sebabkan berbaring dan tidur di lantai, pakaiannya juga sudah mulai comot dan kotor.

Malam semakin larut. Amira mula mengintai-intai tempat yang sesuai untuk dirinya tidur, melepaskan kelelahan yang menguasai diri. Selama bergelandangan, wanita itu cuba untuk mengelak daripada berada di tempat tumpuan orang ramai. Dia khawatir jika keberadaannya akan diketahui oleh keluarga Tan Sri Hanafi. Wanita itu yakin, bapa mentuanya itu pasti sudah mengarahkan orang untuk mencarinya di seluruh kawasan kota raya tersebut. Dia nekad. Dia sama sekali tidak ingin kembali ke rumah keluarga suaminya itu dan berhadapan sekali lagi dengan ibu mentuanya.

Setelah lama berjalan, Amira melalui sebuah kawasan perumahan dan melihat keberadaan sebuah surau. Dia segera menuju ke surau tersebut. Hajatnya, dia ingin membersihkan diri dan bersolat di sana. Dia juga berniat untuk tidur di sana agar keselamatannya lebih terjamin. Masuk ke pekarangan surau, Amira langsung menuju ke arah tandas dan mula mandi dan membersihkan dirinya di sana. Selesai mandi, dia ingin masuk ke ruang solat surau berkenaan, namun hajatnya itu tidak kesampaian. Pintu surau sudah pun berkunci. Wanita itu mengeluh kecil.

Amira melihat ke arah sekeliling surau. Mahu atau tidak, dia terpaksa solat di bahagian beranda surau tersebut. Cuma itu sahaja ruang bersih yang ada untuk dia bersolat. Di sebabkan tidak mempunyai mukenah, dia hanya menunaikan solat dengan mengenakan pakaian yang dipakainya sahaja. Baginya, pakaian yang dikenakannya itu sudah pun cukup menutup aurat wanitanya. Menunaikan ibadat tersebut, yang paling penting adalah menutup aurat, dan auratnya selama ini juga telah terjaga dan tertutup dengan elok melalui pemakaian pakaian sehariannya. Pemakaian telekung bukanlah satu kewajipan dalam bersolat melainkan menutup aurat dengan sempurna.

Selesai bersolat, Amira membaringkan badannya ke lantai. Niatnya, dia ingin tidur di sana sehingga menjelang subuh. Fikir wanita itu, usai solat subuh, barulah dia akan kembali berjalan untuk mencari cara pulang ke kampung halamannya. Mungkin juga ketika subuh nanti, akan ada di antara para jemaah di sana yang sudi untuk membantunya.

Baru sahaja Amira memejamkan matanya, tiba-tiba dia dikejutkan dengan bunyi derapan tapak kaki. Dia yang berjaga-jaga untuk memastikan keselamatan dirinya segera mencelikkan kembali matanya dan bangkit dari pembaringan.

"Woi, kau buat apa kat sini?" Kedengaran suara sergahan seorang lelaki yang berada di dalam gelap. Lelaki yang berusia emas itu berjalan mendekati Amira yang duduk di beranda surau.

"Sa..saya.. saya tumpang tidur kat sini.." Amira menjawab dalam ketakutan. Dia risau jika dirinya diapa-apakan lelaki tersebut.

"Tidur? kau ingat ni hotel ke, jadi tempat untuk kau tidur sesuka hati.." Lelaki tua itu membalas.

"Saya takde tempat nak berehat.. jadi saya duduk je kat surau ni.. malam ni je.." Amira menjawab sambil menagih simpati. Dia berharap hajatnya untuk berehat di sana tidak terganggu.

"Kau nak tidur, pergi tempat lain.. bukan kat sini.. sini tempat orang sembahyang.. bukan tempat tidur.. dah, pergi.. pergi dari sini.. aku tak nak orang datang sesuka hati, nak berehat, nak tidur kat sini.. nanti kotor pulak surau ni.. lagipun, kalau hilang barang-barang kat surau ni, kau nak ganti ke? entah-entah, kau pun datang nak pecahkan tabung surau ni.. zaman sekarang, bukan boleh percaya.. lelaki ke perempuan, sama je.."

"Astaghfirullah alazim.. tak baik pakcik tuduh saya macam tu.. saya datang pun sebab singgah solat tadi.. alang-alang dah duk kat sini, saya nak tumpang tidur je la, sampai subuh nanti.. lepas solat subuh nanti saya pergi la.." Amira cuba mempertahankan diri dari tuduhan tidak berasas lelaki tua tersebut.

"Ah, kau cakap pandai la.. dah.. kalau kau nak tidur, pergi tempat lain.. jangan tidur sini.. pergi, pergi.."

"Ini kan rumah Allah.. harta wakaf.. sesiapa pun boleh datang, boleh berehat.. tak jadi salah pun.. rumah Allah ni bukan jadi tempat untuk sembahyang je.." Amira memberikan hujah agar dirinya dibenarkan untuk bermalam di sana.

"Hah, kau nak mengajar aku pulak?.. takde..takde.. memang ni rumah Allah.. tapi aku yang jaga.. aku yang bertanggung jawab kat surau ni.. kalau aku kata tak boleh, maknanya tak boleh.. kau pergi sekarang.. kalau tak aku report polis, kata kau datang menceroboh, nak mencuri kat surau ni.." kata lelaki tersebut dengan angkuh.

"Astaghfirullah alazim... sampai macam tu sekali pakcik berburuk sangka.. tak pe la kalau macam tu.. saya pergi je la dari sini.." Amira mengucap panjang melihat ulah lelaki tersebut. Wanita itu menggelengkan kepala beberapa kali, tidak sangka akan bertemu dengan manusia berhati batu dan sangat angkuh sebegitu. Kelakuannya tidak ubah seperti surau tersebut adalah menjadi hak miliknya.

"Aku bukan nak buruk sangka.. aku cuma berjaga-jaga.. dah banyak tempat lain aku dengar, kes pencuri datang mencuri di surau, pecah tabung, curi barang.. aku tak nak surau kat rumah aku ni pun jadi macam tu.. kalau kau nak tidur, banyak lagi tempat lain kau boleh pergi.." Lelaki tua itu tetap berkeras.

Amira yang tidak ingin terus bertekak dan mengeruhkan keadaan segera bangkit berdiri dan menuruni anak tangga surau. Satu keluhan terluah dari mulutnya. Padahal dirinya sudah benar-benar keletihan dan mengantuk. Sekarang dia kembali bingung. Entah kemana dia harus berehat dan tidur pada malam tersebut. Dengan berat hati, dia melangkah pergi,meninggalkan pekarangan surau tersebut.

Lelaki tua itu pula hanya menatap Amira yang berlalu pergi dari arah belakang dengan pandangan mata yang tajam. Bibirnya sedikit terjuih dengan riak wajah yang masam. Setelah Amira berjalan semakin jauh, lelaki itu menggelengkan kepala seraya mendengus.

"Huh, perempuan jenis apa macam ni.. merayap tengah malam buta.." lelaki tua itu menghamburkan cercaan tanpa sebarang soal selidik. Pada pandangannya, Amira itu pasti salah seorang anak muda yang bermasalah. Fikirnya, anak muda yang tidak berada di rumah pada waktu tengah malam sebegitu sudah pasti berpelesiran untuk mencari keseronokan dan meninggalkan ibu bapanya di rumah.

Setelah beberapa puluh minit berjalan meninggalkan surau, Amira tiba di lorong celahan antara bangunan. Di situ, suasana agak sunyi dan tiada sebarang kelibat manusia yang kelihatan. Amira terlihat beberapa kotak yang dibuang di belakang bangunan. Fikir perempuan itu, mungkin di situ sesuai menjadi tempat untuk dirinya berehat menghilangkan lelah.

Amira segera mengutip beberapa kotak yang ada di situ dan menghamparnya di lantai. Kotak itu dijadikan alas olehnya untuk berbaring. Satu kotak yang lain pula di buka dan dihamparkan pada badannya untuk dijadikan selimut. Di sebabkan terlalu penat, dalam kiraan beberapa detik sahaja wanita sudah pun terlelap.

Hampir satu jam berlalu. Amira sudah lena diulit mimpi. Walaupun tidur dalam keadaan yang tidak selesa, namun dia tetap mampu nyenyak memandangkan tubuhnya sudah terlalu penat. Tanpa di sangka, sebuah motosikal yang ditunggang oleh dua orang lelaki melalui kawasan tersebut. Amira yang lena langsung tidak menyedari kehadiran tetamu yang tidak diundang itu. Lelaki yang menjadi pembonceng di belakang motosikal tersebut mula menyedari Amira yang sedang nyenyak tidur. Dia segera menepuk bahu sahabatnya yang sedang memandu.

"Weh.. berhenti, berhenti.."

"Kenapa?" tanya si pemandu motosikal kepada sahabatnya.

"Kau tengok tu.. awek la.. duk tidur sorang-sorang kat situ.." jawab si pembonceng sambil tangannya diluruskan dan jari telunjuknya mengarah kepada Amira yang sedang terbaring.

"Ish, biar betul.. awek apa tidur atas jalan, kat lorong macam ni.. orang gila tu." balas si pemandu.

"Ah, tak kisah la gila ke tak.. kau tengok tu.. lawa weh.. takkan la orang gila lawa macam tu.."

"Habis tu kau nak buat apa? aku risau la.. takkan la orang perempuan ada tidur kat tempat macam ni.. entah-entah bukan orang.." si pemandu motosikal cuba menyakat temannya itu.

"Tak kira la orang ke, hantu ke, orang gila ke.. janji lawa.." si pembonceng lantas melompat turun dari motosikal yang ditungangginya.

"Weh, kau nak buat apa? tak kan orang gila pun kau nak cret?" si pemandu motosikal semakin bingung dengan temannya itu. Dia langsung dapat memahmi maksud temannya yang ingin mengambil kesempatan terhadap perempuan yang sedang tidur di sana.

"Gila tak gila, barang tetap sama je rasa.. janji perempuan.. gila pun, kalau lawa macam ni, aku sanggup ambil buat bini.." Lelaki itu membalas kepada temannya sambil langkah kakinya bergerak menuju ke arah Amira. Si pemandu motosikal pula segera mematikan enjin kenderaannya agar tidak terus menggangu wanita yang sedang ketiduran itu. Namun dia tetap mendiamkan diri di atas motosikalnya dan tidak mengikuti temannya yang menghampiri Amira.

"Fuh, lawa gila.." Lelaki yang menghampiri Amira semakin tergoda apabila melihat wajah Amira dari jarak yang lebih dekat. Kecantikan wanita itu serta merta membuatkan nafsunya bergelojak. Kotak yang menutup badan Amira segera diangkat dan dibuang. Lelaki yang semakin dibuai nafsu itu mula mengelus lembut pipi Amira. Namun wanita yang dibelenggu kepenatan itu tetap lena tidak sedarkan diri. Tanpa berlengah, lelaki tersebut memegang kedua belah tangan Amira mendepangkan kedua-dua tangan itu ke sisi.

"Abang datang, sayang.." lelaki yang terbuai oleh nafsu itu cuba merapatkan wajahnya ke muka Amira.

Tatkala itu juga Amira mula tersedar. Dia yang sangat terkejut langsung tersentak dan cuba mengalihkan wajahnya.

"Siapa kau?! Lepaskan aku!.." Amira menjerit sambil meronta untuk melepaskan diri. Namun pergerakannya tersekat kerana tangannya sudah dipegang. Lelaki itu pula tersenyum lebar sehingga menampakkan barisan giginya yang tidak sekata.

"Jangan jerit.. jom layan abang.. kita sedap sama-sama.." Lelaki itu cuba menindih tubuh Amira. Wanita itu semakin cemas. Pergerakannya tersekat. Namun dia tetap tidak ingin mengalah dan pasrah. Amira segera mengangkat lututnya dengan kuat dan lututnya itu tepat mengenai bahagian selangkangan lelaki terbabit.

Lelaki itu segera terbeliak akibat kesakitan pada bahagian sulitnya. Disebabkan kesakitan tersebut, lelaki itu segera melepaskan pegangannya pada tangan Amira. Setelah tangannya dilepaskan, Amira langsung mengambil peluang dengan melepaskan satu tumbukan sekuat tenaganya ke arah muka lelaki terbabit.

"Arghh.." lelaki itu meraung kesakitan dan terundur ke belakang, seraya menjauhi Amira yang sedang terbaring. Menahan rasa sakit pada selangkangannya mengakibatkan lelaki itu terduduk secara melutut di atas jalan. Amira tidak berlengah. Dia segera bangkit berdiri dan sekali lagi menendang keras di bahagian alat sulit lelaki terbabit.

"Jantan tak guna! Mampus kau!" Amira yang geram melepaskan satu lagi tendangan ke arah muka lelaki itu. Disebabkan kemarahan yang memuncak dan risau dengan keselamatan dirinya, Amira buat pertama kalinya meluahkan perkataan kasar dari mulutnya. Wanita itu terasa berpuas hati setelah melihat lelaki yang cuba menodainya itu rebah terlentang di atas jalan.

"Woi!" Lelaki yang memandu motosikal tadi menjerit setelah menyedari temannya dipukul.

Amira yang mendengar jeritan tersebut baru menyedari jika penyerangnya itu mempunyai teman. Memikirkan keselamatan dirinya, Amira segera melarikan diri. Kakinya dihayun sekuat hati untuk meninggalkan lorong tersebut dan menuju ke jalan utama. Lelaki yang memandu motosikal itu pula dengan pantas menghidupkan semula enjin kenderaannya dan mula mengejar Amira.

Tiba di jalan utama, lelaki yang memandu motosikal itu berjaya melintasi Amira dan menghalang wanita itu daripada terus melarikan diri. Tangan Amira di sambar dengan keras. Wanita itu semakin cemas. Dia sekali lagi cuba untuk menendang selangkangan lelaki tersebut sebagaimana dia menyerang lelaki tadi. Namun serangan Amira kali ini berjaya ditepis oleh lelaki tersebut dengan kakinya. Satu tamparan keras dilayangkan oleh lelaki itu tepat ke pipi Amira.

Menerima pukulan tersebut, Amira langsung rebah dan terjelepok di atas jalan. Dia sudah kehabisan upaya. Pandangannya juga turut berpinar setelah ditampar dengan kuat. Kepalanya terasa pening dan pipinya pula sangat pedih. Amira mulai mengalah. Dia sudah tidak mempunyai kekuatan untuk terus melawan.

"Kau ni bukan orang gila rupanya.. cantik jugak kau ni.. dah la, kau jangan duk melawan lagi.. nanti sakit je yang kau dapat.. baik kau ikut aku.." Lelaki itu kembali memegang tangan Amira dan menariknya agar berdiri kembali. Namun Amira cuba menarik tangannya dan tetap melawan untuk tidak berdiri. Pada waktu itu juga sebuah kereta peronda polis melalui jalan tersebut. Menyedari kehadiran anggota polis, lelaki tersebut segera melepaskan Amira dan kembali memandu motosikalnya untuk melarikan diri.

Melihat keadaan tersebut, Amira segera melepaskan nafas lega. Kini dia sudah pun selamat daripada menjadi mangsa rogol. Menyedari Amira yang terduduk di jalan, kereta peronda polis segera berhenti dan mendekati wanita tersebut.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience