Bab 2

Family Series 4688

- Terima kasih sebab selalu utamakan saya. -

SETIAP pagi Liya akan bangun jam 5.00 pagi untuk menyiapkan kerja-kerjanya. Bangun saja daripada tidur, dia akan mandi terlebih dahulu dan menggosok baju kerja orang-orang di dalam rumah.

Selepas itu menyiapkan bahan untuk dimasak sarapan. Selepas itu dia akan bersolat. Selepas bersolat, dia akan mengejut suaminya dan baru dia akan memasak untuk sarapan.

Hari menu dia adalah nasi goreng cina dan roti bakar special. Hari ni dia lebih semangat. Dia mahu melupakan apa yang jadi dan mahu lebih positif. Pelukan dari belakang membuatkan Liya tersenyum girang.

“Sayang!” tegah Liya. Malu jika ada yang nampak.

“Morning, sayang.” Ciuman diberikan di tepi pipi.

Jika dilihat Liya bahagia saja bersama suaminya, namun dia tidak bahagia di rumah ini.

“Kenapa gosok baju saya?” tanya Syawal selepas meLiyaikan pelukan.

Liya memandang Syawal dengan kerutan di dahi. “Sayang kerja kan?”

Syawal menggeleng. “Saya ambil cuti. Nak bawak awak jalan-jalan, kan?”

“Haaa, yalah. Kita nak pergi makan-makan dan tengok wayang kan?” kata Liya dengan penuh semangat.

KELUAR pada hari bekerja adalah sangat tenang kerana tidak semua mempunyai hari yang lapang waktu bekerja. Keluar saja dari GSC One Utama, senyuman di wajah Liya dan Syawal berterusan.

“Sayang happy?” tanya Syawal.

Liya anggukkan kepala. “Dah lama kita tak keluar macam ni since kita kahwin tau.”

Syawal memeluk bahu Liya sambil berjalan. Memahami apa yang Liya rasakan.

“Sayang, mak call banyak kali ni,” kata Liya dengan nada resah.

Lantas, Syawal juga memeriksa telefonnya dan ternyata Puan Kamsiah iaitu emaknya juga menghubunginya.

“Biar jelah,” balas Syawal perlahan dan senyum memandang Liya. “Jom makan aiskrim sayang. Nak makan Inside Scoop tak?”

Laju Liya mengangguk bahagia. Tiba-tiba tangan Liya ditarik ke belakang oleh Syawal. Lama Syawal memandang wajahnya.

“Kenapa?” tanya Liya.

“Terima kasih sebab bertahan. Saya nak awak terus ada dengan saya. Dan, sabar sikit je lagi untuk kita mulakan langkah baru,” tutur Syawal dengan penuh pengharapan.

Liya mengangguk lemah.

SAMPAI saja di rumah. Puan Kamsiah sudah bercekak pinggang di ruang tamu memandang Syawal dan Liya yang bahagia masuk ke dalam rumah.

“Seronok jalan-jalan?” Sinis pertanyaan Puan Kamsiah.

Syawal berasa salah tingkah. Dia memberi isyarat menyuruh Liya masuk ke bilik terlebih dahulu. Hati Puan Kamsiah menjadi sakit dengan melihat kebahagiaan mereka berdua.

Baru saja Liya melintasi Puan Kamsiah. Terus saja Puan Kamsiah bersuara dan membuatkan Liya terhenti. “Kau pergi settlekan apa yang patut kat dapur tu.”

Terus saja Liya masuk ke dapur dan terhenti apabila mendengar suara Puan Kamsiah memarahi Syawal.

“Syawal ni kenapa? Tahu tak mak ni bukan sihat sangat nak buat kerja rumah apa semua ni. Mak mintak tolong je dengan isteri kamu tu. Mak tahu cara mak kasar, tapi ini memang cara mak. Syawal nak melawan mak ke?” ujar Puan Kamsiah.

Syawal menghembuskan nafas perlahan. “Mak, Syawal nak bawak Liya berjalan je. Sehari suntuk dia kat rumah buat kerja. Dia pun kenalah juga jalan-jalan. Lagipun Liya dah siapkan kerja sebelum kitorang keluar tadi.”

Puan Kamsiah masih tidak berpuas hati dengan jawapan Syawal. “Syawal memang suka melawan mak. Sama macam isteri Syawal. Syawal kena ingat kenapa mak suruh Syawal duduk sini lepas berkahwin. Syawal kena berbakti dengan mak dan ayah dulu. Barulah nak hidup berdikari. Syawal bukan macam Syahrul dan Syazana yang sememangnya pandai dan senang nak dapat biasiswa. Syawal belajar tu seratus peratus mak dan ayah yang tanggung.”

Meresap kata-kata itu ke hati Liya. Sampai hati Puan Kamsiah membandingkan Syawal dengan adik-beradiknya yang lain. Tiada rasa belas kasih ke mak mertuanya itu kepada suaminya.

Syawal hanya mendiamkan diri. Dan mengangguk tanda sedar diri. “Syawal akan balas jasa mak dan ayah. Syawal tengah berusaha lagi ni. Mak doakanlah Syawal dapat rezeki lebih.”

“Rezeki lebih pun pergi buat berhibur. Macam mana nak berkat,” ngomel Puan Kamsiah perlahan. Saja mahu sakiti hati Syawal.

Tetapi hati Liya yang tersakiti di sini. “Kak Liya?” panggil Syazana dengan perlahan dan mengerutkan wajahnya.

Terkejut Liya dengan Syazana yang tiba-tiba muncul. “Ya?”

“Tadi hujan kitorang tak sempat angkat baju. So, baju dah basah. Nanti mintak tolong basuhkan semula ya.” Syazana memberi arahan dan terus berlalu pergi. Sakitnya hati Liya, tapi lagi sakit hatinya mendengar apa yang Puan Kamsiah katakan kepada Syawal.

Sepanjang perkenalan dia dengan Syawal, dia langsung tidak pernah mendengar kata-kata buruk daripada Syawal tentang keluarganya. Syawal sangat menjaga aib keluarganya, namun setelah berada di rumah ini dia nampak sedikit sebanyak tentang layanan emak dan ayah Syawal terhadap Syawal. Syawal sering direndah-rendahkan hanya kerana dia tidak sepintar Syahrul dan Syazana.

Air mata Liya mengalir perlahan kerana sedih apa yang menimpa suaminya. Perlahan Liya mengangkat baju yang basah dan mahu membasuhnya. Tadi dia melihat dapur dalam keadaan bersepah.

Selepas dia mengangkat baju di ampaian dan masukkan ke dalam mesin dia terkejut melihat suaminya mencuci pinggan mangkuk.

“Sayang…” panggil Liya sambil menegah suaminya membasuh.

Syawal senyum. “Tak apalah. Awak boleh buat kerja lain.”

“Nanti awak penat.”

“Sayang lagi penat. Tak apa saya buat, okey?” kata Syawal sambil kenyitkan mata.

Liya nekad. Dia perlu lakukan sesuatu. Kalau suaminya tidak berani, dia lebih daripada berani.

“SAYANG… saya nak mintak izin,” kata Liya semasa mereka sudah berbaring di katil untuk tidur. Syawal yang sudah pejamkan mata hanya menyahut dengan perkataan hmmm.

Mendapat persetujuan terus Liya mengubah posisi baring ke duduk. “Saya nak meniaga. Tapi nak buat dropship je. Tak pegang barang. Just cari customer and dapat upah dari situ. Boleh tak?”

Celik terus mata Syawal dan terus memandang Liya. “Tak penat ke?”

Liya menggeleng. “Saya pun nak ada pendapatan sendiri. Simpanan pun dah makin kurang. Jadi, saya nak bantu apa yang boleh untuk majukan hidup kita berdua.”

Syawal mengangguk perlahan. “Nanti dah tahu nak jual apa, bagitahu saya. Boleh saya promote kat kawan-kawan pejabat.”

Terus saja sengihan Liya semakin lebar dan dia terus memeluk Syawal. Patutnya dari awal dia mulakan.

“Tapi jangan bagitahu keluarga sayang boleh?”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience