Kunci Kesabaranku!

Romance Completed 117449

BAB 33

“KAK AYA!!” Sergahan dari Lin dan Julia itu menyambut aku ketika aku melangkah masuk ke dalam rumah.

“Wah! Kau orang ni hampir-hampir buat jantung akak terkeluar ikut mulut tau!” marahku. Sudah hilang rasa mengantukku ketika ini.

“Kami nak penjelasan!” Lin berjalan menghampiriku dengan wajah yang serius.

Aku ketawa kecil melihat riak wajahnya, sempat aku menjeling melihat wajah Julia, sama seperti Lin juga. Kenapa dengan budak dua ekor ni?

“Penjelasan apa pulak? Pasal mamat tadi tu?” Aku sengaja meneka walaupun aku sudah pasti dengannya. Nampaknya mereka sudah dapat mengenali Ray.
“Ya,” Julia pula menghampiri, di tangannya ada sebuah majalah yang digulung kemas.

“Nampaknya kau orang dah tahu...” Ujarku sambil melihat majalah di tangan Julia.

“Macam mana Kak Aya boleh kenal Hairy Fattah, dan sekarang ni Tuan Muda Rayyan, CEO Hotel Paradise. Tunang kepada pianist terkenal Cik Sallyna...” bertubi-tubi pula soalan dari Julia. Lin hanya mengangguk menanti jawapan dariku.

Aku menggaru kepada yang tidak gatal. Serabut sungguh dengan mereka ni. Semua benda nak tahu mengalahkan wartawan! Argghhh... memang mereka mengambil jurusan media komunikasi pun!

Akhirnya aku bersedia untuk memberi penjelasan kepada mereka. Kami duduk di atas permaidani dalam bulatan. Masing-masing duduk bersila setelah menolak semua buku-buku mereka ke tepi. Aku menarik nafas panjang dan menghembus dengan perlahan, aku juga melihat wajah mereka satu persatu sebelum memulakan penjelasan.

“Akak tak tahu nak mulakan macam mana...” Luahku jujur.

“Tak apa, mulakan dengan macam mana Kak Aya boleh jumpa mereka?”

“Lin, Julia... kalau akak cerita ni, jangan heboh-heboh boleh? Janji dengan akak, please?” Aku memohon kerjasama dari mereka. Perkara seperti ini bukan senang untuk dibicarakan secara umum kerana kedudukan Harry, Ray dan Sallyna bukannya dari kalangan orang kebanyakan.

“Kami janji, perkara ni tak akan keluar dari rumah ni. Betul tak Lin?” Julia menyiku Lin di sebelahnya.

“Yup, of course!” Jawab Lin.

“Sebenarnya Hairy Fattah, Rayyan, dan Sallyna adalah kawan sejak di sekolah lagi. Sekolah Tinggi Adam Taylor...”

“Adam Taylor?!” Julia melopong. “Sekolah tu memang terkenal!”

“Aku pun pernah dengar...” Ujar Lin pula.

“Tak sangka mereka bertiga adalah kawan sejak sekolah... wahh...” Sambung Lin lagi dengan teruja.

“Akak kenal mereka ni di sekolah tu lah...”

“Kak Aya bekas pelajar sekolah tu jugak?!” Tanya Julia dengan muka tidak percaya.

“Bukan, akak kerja part time kat sekolah tu. Kat asrama lelaki...”

“Asrama lelaki?!” Kali ini Lin dan Julia bertambah terkejut.

“Ya, sebab tu akak agak rapat dengan dia orang. Selepas tamat sekolah dia orang masing-masing pergi sambung belajar luar negara. Jadi akak pun dah tak jumpa dia orang lagi, sampailah sekarang ni. Bila kami dah jumpa semula setelah lapan tahun, hubungan baik tu masih berkekalan, walaupun akak dulu cuma jadi tukang kemas bilik dia orang aje masa di asrama...”

“Fulamak!! Kak Aya mesti kenal ramai budak lelaki sekolah tu yang semuanya handsome dan kaya-raya kan?!”

“Tak semua Lin... dia orang ni je yang paling rapat pun. Itu aje lah, sekarang akak boleh masuk tidur?” Pintaku dengan sedikit harapan mereka akan melepaskan aku. Aku tidak boleh menceritakan selebihnya kepada mereka. Cukup setakat itu.

“Tak sangka... tak sangka akak begitu bertuah.” Julia tersenyum.

“Bertuah sangat-sangat.” Aku tersenyum kambing. Tergambar wajah Harry dengan dua tanduk di kepala.

“Kami minta maaf kalau buat Kak Aya tak selesa dengan pertanyaan kami. Kami cuma nak tahu aje, pelik jugak bila orang-orang macam tu datang cari Kak Aya. Hehehe...” Lin tersengih.

“Tak apa. Akak nak minta maaf jugak sebab dah banyak menyusahkan kau orang.”

“No problem, Kak Aya! Kami sayang Kak Aya...” Lin tiba-tiba memeluk aku diikuti Julia.

“Akak dah pun dah banyak tolong kami, thanks for everything akak.” Ujar Julia pula. Aku membalas pelukan mereka dengan senyuman yang panjang. Seketika aku rasakan seperti kami sebuah keluarga. Rindu kepada adik-adiku sedikit terubat dengan kehadiran Julia dan Lin di sisiku.

“Akak pun sayangkan kau orang jugak.”

**********

SEAWAL pagi aku sudah terpacak di hadapan rumah Harry, aku membuka pintu dengan kunci pendua yang diberikan kepadaku semalam. Aku melangkah masuk dengan perlahan, risau jika akan terserempak dengannya sewal pagi ini, biarlah aku mempersiapkan mental dan fizikal dengan sebaikknya dulu sebelum sesi bertekak bermula. Oh tidak! Aku tidak akan bertekak dengannya lagi, semuanya aku akan berlagak tenang sebab aku tidak mahu mendapat habuk hujung bulan ini. Sekurang-kurangnya aku mendapat gaji yang berbaloi dengan perit jerih aku.

Sebelum aku memulakan tugas di dapur bagi menyiapkan sarapan untuk Harry, aku sempat bersenam bagi mengekalkan stamina. Aku perlukan tenaga yang banyak mulai hari ini.

“Satu, dua, tiga... satu, dua, tiga...” Aku melakukan sit up di lantai dapur lelaki itu tanpa menyedari kehadirannya di pintu dapur.

“Hey!!”

“Ahh!” aku terkejut sehingga menjerit. Terus aku terbaring lurus di lantai dengan nafas tercungap-cungap. Harry datang dan menunduk melihat aku di lantai. Wajahnya yang baru bangun tidur itu tetap bengis.

“Kau buat ap,a hah!”

“Sit down. Eh, sit up. Untuk kecergasan.” Aku tersegih seperti kerang busuk.

“Pergi cuci bathroom sebelum aku nak masuk mandi, sekarang!”

“Okey!” Aku menunjukkan dua jari sebagai tanda ‘peace’ kepadanya.

Harry yang pelik melihat sikap jinakku terus melangkah keluar dari ruang dapur. Fuh... lega. Aku kena mulakan hari dengan baik! Barulah rezeki masuk mencurah-curah. Berusahalah Aya!

Luasnya bilik mandi ni, aku kagum seketika. Teringat pula bilik air di Villa Taylor, sangat canggih dan luas serta dekorasinya seperti sebuah spa. Tidak jauh bezanya darinya bilik air ini, sememangnya cita rasa Harry sangat tinggi. Aku hairan kenapa Harry tidak mempunyai pelayan seperti di Villa Taylor. Di sana kehidupannya benar-benar seperti putera raja yang keperluannya semua disediakan oleh pelayan-pelayan yang setia berkhidmat untuk tuan muda mereka. Atau Harry dah cukup matang sekarang di mana dia tidak perlukan layanan seperti itu lagi? Tunggu! Siapa kata dia tidak ada pelayan. Habis aku ini apa? Dah macam hamba abdi di alaf 21 aje!

Walaupun dalam hati membebel tetapi kerjaku tetap berjalan, aku memakai sarung tangan dan mula mencuci tab mandi sehingga benar-benar bersih kemudian aku mop lantai sehingga bersinar. Aku juga memastikan bilik itu wangi dengan haruman lilin lavender yang menjanjikan ketenangan bila berendam di dalam tab mandi. Hmm, aku agak puas hati dengan kerja pertama aku hari ini.

“Tuan muda, sila masuk mandi sekarang, semuanya dah selesai.” Ujarku kepada Harry yang sedang bersenam di atas treadmill. Badannya berpeluh-peluh berjogging di atas alat senaman itu sehingga tidak menyedari kehadiran aku. Dia masih meneruskan senamannya. Tubuhnya sangat lampai dan berotot, bukan seperti ahli gusti tetapi sesuai dengan tubuh seorang atlet. Dia memakai singlet dan seluar panjang, baju bahagian belakangnya juga basah dengan peluh. Seksi! Aku tidak sedar yang aku sudah tersenyum seorang diri. Rupanya sudah tergoda.

Harry berhenti bersenam dan turun dari treadmill, dia terkejut melihat aku berdiri terpacak di belakangnya. “Apa?”

“Huh?” Aku baru tersedar cepat-cepat berdehem beberapa kali. “Emm, awak nak makan apa untuk sarapan, saya dah siap cuci bathroom.”

Harry mencapai tuala kecil lalu diletakkan di lehernya untuk menyerap peluh. Aduh... kacaknya. Wake up, Aya! Jangan tunjuk kelemahan kau di depan mamat ni.

“Tak kisahlah, aku nak rehat dulu. Ambilkan aku air kosong.” kata Harry sambil berjalan menuju ke sofa dan melabuhkan punggungnya di situ. Tv dipasang dan saluran sukan menjadi pilihannya.
Aku terus bergerak ke dapur, membuka peti sejuk dan mengambil sebotol air mineral.

“Nah.” aku menghulurkan botol minuman itu kepadanya. Kemudian aku ke dapur semula untuk menyediakan sarapan pagi.

“Kenapa tak kahwin aje, tak payah nak upah orang gaji!” Aku mencebik. Tetapi, sama juga kalau dia berkahwin pun, wanita anak golongan atasan sepertinya sudah pasti tidak akan masuk dapur. Akhirnya aku mengeluh. “Aku pula bila nak kahwin kalau masih menjadi hamba si keji tu, tak ada masa nak keluar dating pun. Malangnya....”

“Aya!!” Jeritan dari arah ruang tamu itu mengejutkan aku yang sedang mengoreng telur. Mujurlah tidak terbalik kuali itu dek kerana aku melatah.

“Haish!!” Aku menutup api dan terus berlari ke ruang tamu.

“Ada apa, tuan muda?” Aku sengaja memanggilnya begitu kerana ingin membodek. Bukankah gaji aku bergantung kepada sikap aku kepadanya?

“Angkat telefon tu,” Arah Harry sambil menunjukkan telefon yang sedang berdering di atas meja.

Aku yang masih bingung terus mengangkat telefon itu. Dia panggil aku semata-mata untuk angkat telefon?! Memang diktator betul.

“Hello...”

“Hello, siapa ni?” Soal seorang wanita di hujung talian.

“Er...” aku memandang ke arah Harry yang turut memandang aku. Dia menghantar isyarat supaya cakap dia tidak ada di rumah.

“Sa... saya housekeeping.” Tergagap-gagap aku menjawab kerana masih bingung.

“Saya nak bercakap dengan Harry.”

“Dia...” aku memandang Harry lagi. Kali ini Harry menyilangkan tangannya membentuk ‘X’.

“Dia tak ada di rumah, boleh saya tahu siapa bercakap?”

“Bila dia balik nanti beritahu mamanya call.”

Mendengar sahaja jawapan itu seluruh sendi aku terasa lemah. Aku tidak akan melupakan walau sesaat bahawa wanita itu amatlah tidak menyukai aku walaupun kami tidak pernah bertemu.

“Ba... baik, Puan Laura.” Tergagap-gagap suara aku ketika itu. Talian diputuskan oleh mama Harry. Aku memegang dada kerana terlalu gementar.

Harry bangun berdiri dan menarik tangan aku dengan kuat. “Dengar sini, kalau orang tu cari aku lagi buat la apa-apa alasan pun yang aku tak ada di rumah.”

“Tapi, tadi tu mama awak.”

“Aku tahu.” Ringkas Harry menjawab dengan wajah serius.

“Jadi? Tuan Muda Harry, awak perlu tunjukkan sedikit rasa hormat kepada ibu awak. Tak baik menipu macam ni. Oh tidak... saya la yang kena jadi penipu tu, mana boleh saya pun tanggung dosa-dosa awak!” Suaraku tiba-tiba bertukar tinggi dengan emosi marah yang mula mengusai diri. Harry ternganga melihat aku yang sedang bercekak pinggang itu.

Alamak! Barulah aku tersedar, kenapa dah terlepas cakap ni?

“Kau tak boleh kawal mulut kau dalam masa satu jam pun, macam mana nak kerja dengan aku seumur hidup. Huh!!” Harry melemparkan remote control sehingga terjatuh ke lantai dan pecah berderai.

Aku berdiri kaku di situ tanpa membalas kata-katanya.

Harry merenung tajam kepadaku sebelum berjalan menuju ke bilik mandi dengan wajah yang masih tegang. Aku mengeluh berat, kenapalah aku tak boleh bersabar dengan lelaki ini. Pantang ada kesilapan mesti aku akan naik marah dengan spontan.

Tunggu! Apa dia cakap tadi? Seumur hidup? Apa maksud dia dengan seumur hidup hah?!

“Nak jadikan aku hamba sahaya dia sampa ke tua ke, memang dah melampau!” Aku menyepak kaki sofa dengan kuat sehingga kakiku pula yang sakit.

“Ohh, sakitnya!” Aku menggosok kakiku sambil mengumpul kembali kesabaran yang hilang.

*********

Aku siap menyediakan sarapan dan menghidangkannya di atas meja makan. Mujurlah skill memasak aku masih hebat walaupun sudah terlalu lama tidak memasak. Menu sarapan pagi kali ini ialah roti sumbat. Ha, ini nama aku bagi sendiri aje memandang cara membuatnya adalah menyumbat inti ke dalam roti yang sudah digoreng dengan serbuk roti disalut telur itu. Intinya mudah sahaja, aku memasukkan tuna yang di dalam tin sahaja. Buat apa nak susah payah buat inti sendiri. Tersedialah sarapan pagi yang mudah dan simple ini walaupun aku buat dalam keadaan sakit hati. Mujurlah menjadi juga.

Harry yang kelihatan lebih segar setelah mandi datang ke ruang dapur dan duduk di kerusi meja makan. Moodnya juga kelihatan sudah dibaik pulih. Aku hanya berdiri di tepi meja mananti makan sarapan yang aku sediakan itu.

“Silakan makan,” Ujarku.

“Hulurkan tangan kau.” Perintah Harry dengan nada yang serius.

“Ha?” Aku hairan dengan permintaannya itu.

“Hulurkan tangan kau.” Arahnya sekali lagi. Kali ini lebih tegas.

Aku terus menghulurkan kedua belah tanganku. Harry melihat jari dan kuku aku dengan teliti. Sehinggalah dia puas hati barulah dia menyuruh aku menurunkan tangan. Selepas itu barulah dia mencapai roti sumbat itu dan memasukkan ke dalam mulutnya.

Aku menggigit bibir dengan geram. Kini barulah aku faham, apa dia ingat kuku aku kotor ke? Wahh... bukan main semakin cerewet si bedebah ni!!

“Ingat, jaga jari-jari dan kuku kau tu seperti menjaga nyawa sendiri bila nak masakkan aku makanan. Faham?”

“Faham...” Bergetar suara aku kerana menahan geram yang teramat.

“Kejap lagi aku nak keluar, siapkan kereta.” Perintahnya lagi.

“Ya,” Aku mengundur diri. Dalam hati kuat aku menyumpah, bukannya nak ajak aku makan sekali. Aku pun lapar juga la setan!

Aku membuka apron dan meletakknya semula di tempat asal, kemudian aku pergi mendapatkan kunci keretanya. Ada tiga jenis kunci, semuanya kereta yang berbeza. Kereta mana yang dia nak pakai? Sebenarnya aku teringin nak drive kereta Bugatti Veryon milik lelaki itu. Fulamak! Terasa macam selebriti Hollywood pun ada. Hehehe...

Tanpa meminta persetujuannya aku mengambil kunci Bugatti Veryon. Terkinja-kinja aku melompat di luar kondo mewah lelaki itu. Selama ini aku hanya tengok di dalam majalah sahaja, tiba-tiba Harry muncul di depan mata bersama kereta itu semalam membuatkan aku seperti hilang akal sebentar.

Kini aku sudah berada di dalam kereta mewah itu, selama beberapa minit aku membelek-belek keadaan di dalam kereta yang hanya ada berapa buah sahaja di Malaysia itu. Bukan sahaja harganya mencecah jutaan ringgit, harga roadtax sahaja pun rasanya boleh membeli sebuah kereta tempatan, mencecah 24 ribu lebih. Pelik, di mana Harry mendapat duit untuk membeli kereta semewah ini? Ya, baru aku teringat, Harry adalah pewaris harta Sir Adam Taylor. Sayangnya, dia menggunakan duit datuknya untuk dibazirkan kepada perkara seperti ini. Memang cucu yang tak guna betul. Aku sempat mencemuh tuan punya kereta ini.

Bunyi deringan telefon meyedarkan aku dari leka membelek kereta itu. Hah. Harry?

“Saya akan bawa kereta ke pintu utama dengan segera, tuan muda.”

“Kau dah gila!! Jangan sentuh BV aku la, woi!”

“Habis tu?!” Aku sudah tidak sedap hati apabila dimarahi seperti itu.

“Datang ke pintu utama sekarang!!”

Aku membuka langkah dengan luas berlari keluar dari basement kondominium itu menuju ke ruang lobi dan keluar ke pintu utama di mana Harry menunggu aku di situ. Dari jauh aku sudah melihat Harry berdiri di sebelah sebeuah MPV.
Aku tiba di hadapannya dengan nafas yang tercungap-cungap, melihat wajahnya yang tegang itu aku sudah agak pasti akan dimarahi lagi.

“Bagi aku kunci tu.”

Aku terus menyerahkan kunci Bugatti Veryon kepadanya.

“Ingat... jangan sesekali kau sentuh kunci ni apatah lagi kereta tu, faham?!”

“Saya cuma pergi cuci kereta tu, banyak habuk. Hehe...” aku ketawa seperti kambing bagi menutup rasa malu.

“Kepala hotak kau habuk. Kereta tu baru sampai semalam, aku cuma test drive aje masa jumpa kau tu. Sekarang kau dah mencemarkan kereta aku tu. Haish!!” Harry mengetab bibir marah.

Sabar Nur Marhaya, tolonglah sabar!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience